View Categories

Surah Ali-‘Imran : Ayat 92

CAPAILAH AL-BIR, GALAKAN INFAQ HARTA YANG DISAYANGI & ALLAH AKAN BALAS SEMUA KEBAIKAN.

Full video : https://youtu.be/mTWBuloGLHY?si=U_V5I_HDcdpNiFkW

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir bagi ayat 92, surah Ali-‘Imran iaitu surah yang ketiga, dalam juzu’ yang keempat. 
    Alhamdulillah pada hari ini kita telah sampai kepada juzuk yang keempat walaupun hanya dengan beberapa ayat sehari.
  1. Dalam siri ini kita akan baca hanya satu ayat sahaja, Allah SWT beri cara untuk mencapai Al-Bir, kebajikan yang sempurna & keimanan yang tinggi.
  1. Iaitu adalah galakan infaq harta yang disayangi, yang kita kasih semata-mata untuk mencari keredhaan Allah SWT dengan sedekah, waqaf dan seumpamanya.
  1. Allah SWT juga berjanji akan balas semua kebaikan yang kita buat sama ada yang zahir jelas secara terang-terangan atau yang kita lakukan secara tersembunyi senyap-senyap; semuanya Allah tahu serta akan diberi balasan & ganjaran yang sebaiknya insya’ Allah!
  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas (ayat 91) Allah SWT nyatakan tentang orang kafir yang mahu menebus diri mereka untuk melepaskan diri dari azab siksa neraka di Akhirat kelak dengan apa saja yang mereka milik- hatta jika ada, dengan emas sepenuh bumi pun mereka sanggup!

    ii- Maka dalam ayat ini Allah SWT galakan orang mukmin untuk berbuat kebaikan untuk menebus diri mereka daripada neraka adalah sekarang semasa masih hidup atas dunia ini, jangan tunggu ketika nyawa di halkum atau sudah mati & menyesal yang tidak berguna di Akhirat. Jika nak sedekah nak infaq adalah sekarang, semasa masih hidup & sihat! 
  1. Allah juga nyatakan bahawa harta yang paling kita sayangi itulah yang terbaik dan lebih cepat diterima oleh Allah Azza wa Jalla dan ia akan menaikkan darjat kita kepada orang nakkan kebaikan- al-Birr {ٱلْبِرّ}.
  1. Ya Allah jadikan kami orang yang mencari Al-Birr, suka menderma dan menginfaq harta yang kami sayangi! 
    Jadikanlah harta kami sesuatu yang melayakkan kami untuk mendapat teduhannya di Akhirat kelak juga melayakkan kami ke syurga dengan darjat yang tinggi! Amin ya Rabbal-alamin! 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 92- {KAMU TIDAK SEKALI-KALI AKAN DAPAT MENCAPAI (HAKIKAT) KEBAJIKAN DAN KEBAKTIAN (YANG SEMPURNA) SEBELUM KAMU DERMAKAN SEBAHAGIAN DARI APA YANG KAMU SAYANGI. DAN SESUATU APA JUA YANG KAMU DERMAKAN MAKA SESUNGGUHNYA ALLAH MENGETAHUINYA.} (ALI-”IMRAN 3:92)

  1. Allah nyatakan cara yang terbaik untuk mencapai keredhaan & kasih sayang Allah, menjauhkan diri daripada azab neraka dan mencapai hakikat kebajikan dan kebaktian yang sempurna sehinggalah kamu sedekah & infaq fi-sabilillah harta yang kamu sayangi.
  1. Serta sesungguhnya apa yang kamu buat itu, di mana kamu bersedekah, apa yang kamu infaq, banyak atau sedikit; Allah SWT Maha Mengetahuinya. 
    Dia akan balas dan beri pahala mengikut apa yang kamu nafkahkan dengan syarat kamu ikhlas!
  1. Menderma dan bersedekah apa saja dari harta benda walau bagaimana kecil atau sedikit jumlahnya akan tetap mendapat pahala.
    Tetapi hakikat kebajikan & kebaktian yang sempurna dan pahalanya yang besar tidak akan tercapai jika kita belum mendermakan harta benda dan apa saja yang bernilai dan sangat disayangi. 
    Kerana dengan melakukan sedemikian bermakna kita telah berjaya mengalahkan perasaan bakhil, kedekut, kupit dalam jiwa dan meningkatkan darjat taqwa & Al-Birr yang sempurna!
  1. Beberapa kisah yang menarik sebagai motivasik kepada kita untuk menunjukkan bagaimana sifat para sahabat apabila turunnya ayat ini: {Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi.}
  1. Hadis pertama: 
    Dalam satu hadis Anas bin Malik RA : Diceritakan bahawa Abu Talhah RA (bapa tiri Anas) merupakan seorang sahabat Ansar yang yang kaya dan memiliki kebun kurma yang paling banyak di Madinah. Antara kebun kurma yang paling disayanginya adalah yang terletak di Bairuha’, tidak jauh dari masjid Nabi SAW. 

    Sekarang di sebelah pintu al-Malik Fahd gate Masjid Nabi SAW ada dibuat tanda telaga ini!
    Boleh baca di dalam buku ini : Madinah Munawwarah Kelebihan & Sejarah.
    Kebun itu mempunyai sebuah telaga yang jernih airnya dan Rasulullah SAW sering masuk dalam kebun ini untuk meminum air telaga itu yang jernih & manis.

    Apabila Allah SWT mewahyukan ayat tersebut, lantas Abu Talhah terus berkata kepada Rasulullah SAW: “Sesungguhnya antara harta-harta yang saya paling sayangi adalah kebun Bairuha’; Harta itu saya sedekahkan untuk Allah dan saya mengharap balasan kebaikan dan simpanan (pahala) di sisi Allah. Ya Rasulullah, silakan apa yang akan tuan lakukan menurut petunjuk Allah kepadamu (terhadap kebun itu).” Lalu Rasulullah SAW bersabda: بَخٍ، ذَلِكَ مَالٌ رَابِحٌ، ذَلِكَ مَالٌ رَابِحٌ، وَقَدْ سَمِعْتُ مَا قُلْتَ، وَإِنِّي أَرَى أَنْ تَجْعَلَهَا فِي الأَقْرَبِينَ
    Maksudnya: “Wah, itu adalah harta yang menguntungkan (mendatangkan pahala untukmu), itu adalah harta yang menguntungkan (mendatangkan pahala untukmu). Aku telah mendengar apa yang engkau katakan tentangnya, dan sesungguhnya aku berpendapat agar engkau menjadikannya (memberikannya) buat kaum kerabatmu.”
     [HR al-Bukhari (2769)].

    Setelah itu, Abu Talhah pun menyedekahkan harta tersebut kepada keluarganya yang terdekat. 
    Kata perawi : “Antara mereka ialah Ubai bin Ka’ab dan Hassan bin Thabit RAnhum.”
  1. Siapakah Abu Talhah al-Ansori RA (أبو طلحة) sahabat yang hebat ini?
    i- Nama sebenar beliau adalah Zaid bin Sahl (زيد بن سهل الأنصاري) Bin al-Aswad bin Haram bin Amru bin Malik bin an-Najjar al-Ansari, daripada kabilah an-Najjar. 
    Beliau lebih dikenali dengan gelarannya Abu Talhah.
    Memeluk Islam awal sedikit daripada peristiwa Hijrah dengan kisah yang amat menarik.
    Beliau amat mengasihi baginda Nabi SAW. Beliau pernah berikrar, untuk menjadikan tubuhnya tebusan kepada tubuh Rasulullah dan wajahnya menjadi pelindung kepada wajah Rasulullah.
    Beliau menyertai semua peperangan bersama Rasulullah. Dan beliau terus berjihad sehingga ke hujung usia. 
    Sejak kematian Rasulullah, dikhabarkan beliau tidak pernah meninggalkan puasa, melainkan pada hari yang diharamkan sahaja.

    ii- Kisah Islamnya Abu Talhah al-Ansari RA : Dia berkahwin dengan Ummu Sulaim RA (ar-Rumaysa binti Milhan- ibu kepada Anas bin Malik RA) dengan mahar yang paling mulia di Madinah. Sebaik sahaja mendapat tahu suami Ummu Sulaim meninggal, Abu Talhah terus ke rumahnya untuk merisik. Pada waktu itu Abu Talhah belum memeluk Islam tetapi Ummu Sulaim sudah Islam. Syarat untuk berkahwin dengan Ummu Sulaim adalah menerima Islam dengan ikhlas dan jujur. Abu Talhah setuju dan dia terus mengucap dua kalimah syahadah. Selepas memeluk Islam, Abu Talhah kuat beribadah dan berpuasa serta beliau meletakkan keupayaan dan kegagahan dirinya untuk berkhidmat kepada Islam. Mahar beratus ribu belum tentu bahagia. Tetapi mahar keislaman Abu Talhah bakal mendapat syafaat untuk memimpin tangan Ummu Sulaim ke syurga yang kekal bahagia abadi.
  1. Kisah kedua: Kisah Sayyidina Umar bin al-Khattab RA yang diriwayatkan oleh anaknya Abdullah bin Umar RA bahawa Umar RA selepas mendapat bahagian yang banyak dari ghanimah (harta rampasan perang) Khaibar. Umar mengatakan, “Wahai Rasulullah, aku belum pernah memperoleh harta yang paling aku cintai dari semua harta yang ada padaku selain bahagianku dari ghanimah dari Khaibar. Apakah yang harus aku lakukan terhadapnya menurutmu?” Rasulullah SAW bersabda: “Jika engkau suka, kau tahan (pokoknya) tanah itu (waqaf), dan engkau sedekahkan (hasilnya di jalan Allah), tidak dijual, tidak dihibahkan, dan tidak diwariskan.Ibnu Umar berkata: “Umar lalu menyedekahkannya (hasil pengelolaan tanah) kepada orang-orang fakir, kaum kerabat, hamba sahaya, fi-sabilillah, Ibnus-sabil, dan tetamu. Serta tidak dilarang bagi yang mengelola (pengurus kebun) wakaf makan dari hasilnya dengan cara yang baik (selayaknya) atau memberi makan orang lain dengan tidak bermaksud mengumpul harta.” [HR Muslim].

    (Perang Khaibar berlaku antara Rasulullah SAW & kaum yahudi yang diketuai oleh Huyyai bin Ahktab pada tahun ke-7H selepas Perjanjian Hudaibiyah) 
  1. Serta beberapa kisah lagi yang menunjukkan betapa terkesannya para sahabat dengan ayat ini dan mereka terus bertindak berkejar merebut tawaran yang diberi Allah SWT ini!
    i- Zaid bin Harithah RA : Juga mendengar seruan itu dan datang kepada Rasulullah dan memberi seekor kuda yang paling disayanginya, nama SABAL. Nabi SAW mengambilnya dan menyerahkan pada anaknya iaitu Usamah bin Zaid. Ini bermakna Nabi SAW juga menyerahkan semula kepada ahli keluarga pemilik asal harta. Zaid merasa tidak senang hati kerana harta itu diberi kepada anaknya. Maka, dia pergi kepada Rasulullah dan menyatakan kerisauannya. Sabda Nabi SAW: Apa yang kamu niatkan (untuk sedekah fi-sabilillah) sudah diterima oleh Allah SWT. Pada siapa aku serahkan harta itu tiada kena-mengena dengan niat kamu.“ Demikian Rasulullah bijak dalam mengembalikan harta yang diinfakkan pada jalan Allah SWT. [HR Abu Hatim- tetapi sanadnya mursal].
  1. Inilah beberapa kisah yang menunjukkan besarnya kesan ayat ini dan bagaimana para sahabat berebut-rebut untuk infaq fi-sabilillah harta yang mereka sayangi.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 92- {Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi.}-

    Apakah makna kebajikan dan kebaktian yang sempurna {ٱلْبِرَّ} yang di maksudkan di sini?
    Ulama’ tafsir, membawa beberapa makna Al-Birr, iaitu:
    i- Syurga : Kamu tidak akan sampai kepada syurga sehingga kamu nafkahkan harta yang kamu suka.

    ii- Ketaatan : Kamu tidak akan sampai kepada kedudukan orang yang taat sehingga kamu nafkahkan harta yang kamu suka.

    iii- Taqwa : Kamu tidak akan dikategorikan sebagai orang yang bertaqwa sehingga kamu nafkahkan harta yang kamu suka.

    iv- Kebajikan/kebaikan : Kamu tidak akan sampai kepada peringkat orang yang berbuat kebajikan sehingga kamu nafkahkan harta yang kamu suka.

    Walaupuan ulama’ tafsir memberikan 4 makna, keempat-empat maknanya tidak bertentangan sebaliknya saling melengkapi iaitu tujuannya ialah syurga. 
    Yakni kamu tidak akan mencapai syurga kecuali melalui ketaatan, ketaqwaan, dan kebajikan.
    Dan kamu tidak akan dapat kebajikan dari apa yang kamu buat untuk sampai ke syurga Allah SWT sehingga kamu infaq apa yang kamu sayang! 
    Ulama’-ulama’ salaf apabila ada harta yang mereka sayang mereka akan berikannya kepada fi-sabilillah.
    Ayat ini adalah galakan untuk orang mukmin bagi mencapai kebaikan dengan utamakan kesayangan Allah daripada sayang kepada harta! 
    Kita tinggalkan sebahagian harta yang kita sayang untuk menggapai sayang & redha Allah sebagai bekalan di Akhirat kelak, serta peneduh dan naungan untuk kita.

    Sabda Rasulullah SAW: “Naungan orang beriman pada hari kiamat adalah sedekahnya.” (HR Ahmad).
    Maka siapa nak payungnya besar & teduh; banyakkanlah sedekah.
  1. Ayat 92- {Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi.}-

    Ayat ini membawa galakan kepada dua perkara:
    i- Galakan untuk infaq fi-sabilillah agar kita mencapai hakikat kebajikan & kebaikan yang sebenar dengan sedekahkan harta yang paling kita sayang.

    ii- Galakan & sokongan untuk kita sembunyikan sedekah untuk menjauhkan diri daripada perasaan riya’, nak ikhlaskan amalan kita semata-mata kerana Allah & untuk menjauhkan daripada permainan syaitan! 
    Yakni larangan daripada menayang & menyebarkan perbuatan sedekah! 
    Jika orang lain yang mendedahkannya, kita berdoa agar hati kita jauh & tidak dimasuki perasaan bangga & riya’!

    Kata ulama’ tadabbur : Allah SWT tidak minta infaq semua harta; cuma sebahagian saja daripadanya { مِمَّا تُحِبُّونَ ۚ- sebahagian dari apa yang kamu sayangi.}- secopeng saja daripada harta yang kamu ada! Kamu tidak akan merempat selepas kamu bersedekah!
  1. Ayat 92- {Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi.}-

    Biasanya nafsu kita ini akan sayang kepada harta yang kita miliki apatah lagi yang terbaik.
    Tetapi kerana Allah beri galakan supaya infaq. Maka ayat ini adalah galakan untuk kita membuang perasaan & nafsu yang sayangkan harta dan kebendaan- kita sentap jiwa kita, tarik buang nafsu yang sayangkan harta! 
    Maka infaq itu akan menunjukkan kekuatan jiwa & kekuatan iman!
  1. Dalam sebab nuzul- dua kisah yang kita sebut tadi iaitu tentang Abu Talhah (Zaid bin Sahal) & Umar al-Khattab-

    Menunjukan bahawa Rasulullah SAW memberi galakan & ajaran untuk bersedekah & infaq kepada keluarga terdekat terlebih dahulu!
    Ini kerana ia lebih dekat dengan jiwa kita & membaik-pulih sosio-ekonomi keluarga yang terdekat adalah lebih afdhal! 
    Allah galakkan untuk kita serahkan harta kita kepada orang yang rapat & dekat dengan kita lebih utama jika mereka adalah golongan asnaf yang memerlukan bantuan!
    Tetapi jika keluarga terdekat kita semuanya senang & tidak memerlukan lagi- boleh saja kita infaq untuk bersedekah dan infaq kepada umat Islam di mana saja!
    Yakni dua cara infaq sama ada dengan ukhuwwah Islamiyyah atau silatur-rahim. 
    Juga Allah galakakn kita beri kepada kaum keluarga yang terdekat kerana mereka lebih utama. Juga untuk mengelakkan perasaan menyesal- yang jika timbul kelak akibat hasutan syaitan kemudian hari. Ini dari sudut kejiwaan.
  1. Ayat 92- {Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.}-

    Allah sebut di akhir ayat ini, apa saja yang kamu sedekahkan (yang sayang atau kurang sayang) tetap dapat pahala jika ia masih memberi manfaat kepada orang lain! 
    Yakni sedekah juga tetapi bukan apa yang kamu sayangi, jangan runsing tetap dapat pahala asalkan kamu ikhlas! 
    Tetapi pastilah ia bukan kebaikan kelas pertama seperti sedekah apa yang kamu sayangi! 

    Ayat ini pada akhirnya memberi peringatan kepada kita bahawa:  
    i- Jangan bimbang, sedekahlah apa saja yang kamu ada, banyak atau sedikit, sayang atau tidak (selagi bermanfaat), apa saja yang kamu sedekah; asalkan ikhlas Allah akan terima!

    ii- Allah SWT Maha Mengetahui, Maha Melihat & akan membalasnya mengikut perbuatan kamu! 

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran. 
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs