Surah Al-Baqarah : Ayat 62-66

BALASAN YANG BERIMAN, PERJANJIAN BANI ISRAIL & LARANGAN TANGKAP IKAN HARI SABTU.

Full video : https://youtu.be/b-wsudb-OZQ?si=_T7DN9WZTOc63uls

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam ayat yang ke-62 hingga ayat-66, bagi surah Al-Baqarah, iaitu surah yang kedua dalam juzu’ yang pertama.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan balasan bagi orang yang beriman, dari semua kumpulan, sama ada yang awal sebelum kedatangan Islam seperti yahudi, nasrani & sabien, yang beriman kepada Allah mereka dapat balasan, mereka beramal mereka dapat balasan.
    Ini sebelum kedatangan Rasulullah SAW, apabila datang Islam semuanya wajib beriman kepada Baginda SAW.
  1. Kemudian Allah menyebut tentang perjanjian dengan bani Israel (مِيثَـٰقَ), iaitu supaya mereka beriman taat kepada nabi mereka & taat kepada Nabi kita pada zaman Rasulullah SAW.
    Siapa yang tidak beriman dikira kufur kepada Allah.
  1. Juga larangan dari mencari helah untuk menangkap ikan pada hari Sabtu.
    Apa helahnya kita lihat dalam tafsir ayat nanti.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 62- {SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG BERIMAN, DAN ORANG-ORANG YAHUDI DAN ORANG-ORANG NASORA (NASRANI), DAN ORANG-ORANG SAABIEN SESIAPA DI ANTARA MEREKA ITU BERIMAN KEPADA ALLAH DAN (BERIMAN KEPADA) HARI AKHIRAT SERTA BERAMAL SOLEH, MAKA BAGI MEREKA PAHALA BALASANNYA DI SISI TUHAN MEREKA, DAN TIDAK ADA KEBIMBANGAN (DARI BERLAKUNYA KEJADIAN YANG TIDAK BAIK) KEPADA MEREKA, DAN MEREKA PULA TIDAK AKAN BERDUKACITA.} (AL-BAQARAH 2:62)

  1. Allah menyatakan bahawa semua orang yang beriman, dari semua golongan sama ada:
    i- Orang beriman adalah merujuk kepada kita, semua orang yang hidup selepas kebangkitan Rasulullah SAW dan wajib beriman kepadanya.

    ii- Orang yahudi yang asal yang berpegang dengan kitab Taurat.

    iii- Orang nasrani yang asal yang berpegang dengan kitab Injil.
    Yahudi dan nasrani ada tempoh valid agama mereka, hanya sah sehingga kedatangan Rasulullah SAW.
    Selepas itu kena ikut agama Islam & beriman kepada Rasulullah SAW semuanya! Selepas Rasulullah bangkit semua agama lain tidak akan diterima!
    Mengikut kajian hari ada lebih 60 agama baru. Ini baru agama, tarikat yang pelik-pelik & sesat juga banyak lagi, Allahul-Musta’an.

    iv- Dan orang-orang Saabien {ٱلصَّـٰبِـِٔينَ } orang yang keluar dari agama asal, tinggal agama tok neneknya untuk masuk agama lain.
    Tinggal penyembahan berhala kembali kepada fitrah mencari jalan yang ditinggalkan oleh datuk Ibrahim AS.
    Mereka ini kekal atas tauhid kepada Allah SWT, mereka mengharamkan segala kezaliman & sebarang perbuatan keji, tetapi mereka tidak terikat dengan agama.
    Mereka ini jika beriman kepada Allah & ikut Nabi AS, Allah akan beri balasan kepada mereka!
    Kafir Quraisy panggil Rasulullah SAW sebagai orang Saabi’ – صابئ
  1. Maksudnya beriman di sini ialah beriman kepada semua rasul yang diutus oleh Allah SWT bermula dari Nabi Adam AS sehingga kepada Rasulullah SAW.
  1. Jelasnya sama ada orang yahudi, nasrani, saabien atau sesiapa saja yang ada pada zaman Rasulullah SAW atau yang datang selepasnya; dan tidak beriman kepada Baginda & apa yang dibawanya, mereka tetap dianggap sebagai kufur.
  1. Munasabah ayat: ayat 62 ini duduk di tengah-tengah ayat yang menyebut tentang bani Israel yang diberi 10 nikmat yang besar oleh Allah.
    i- Tetapi mereka degil keras kepala, ambil nikmat Allah & lawannya dengan kufur nikmat Allah!

    ii- Ayat ini menyatakan bahawa pintu taubat masih terbuka- kamu masih boleh beriman kepada Allah & beramal soleh, patuh kepada Syari’ah Allah, amalan kamu akan diterima Allah walaupun nenek moyang kamu dulu kufur kepada Allah sehingga ada yang jadi monyet!
    Tetapi jika anak cucunya yang ada ini beriman, selesai masalah, jika tidak sejarah buruk itu akan berulang. Mereka akan ditimpa kehinaan & kepapaan.
  1. Jika mereka ini beriman & beramal dengan amal soleh maka akan diberi:
    i- Pahala balasannya di sisi Tuhan.

    ii- Dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka,

    iii- Dan mereka pula tidak akan berdukacita.

AYAT 63- {DAN (INGATLAH), KETIKA KAMI MENGAMBIL PERJANJIAN SETIA KAMU SEMASA KAMI ANGKATKAN GUNUNG TURSINA DI ATAS KAMU (SAMBIL KAMI BERFIRMAN): “TERIMALAH TAURAT YANG TELAH KAMI BERIKAN KEPADA KAMU (SERTA AMALKANLAH) DENGAN BERSUNGGUH-SUNGGUH, DAN INGATLAH (JANGAN LUPAKAN) APA YANG TERSEBUT DI DALAMNYA, SUPAYA KAMU BERTAQWA.} (AL-BAQARAH 2:63)

  1. Allah ungkit lagi! ingatlah ketika Allah buat perjanjian dengan bani Israel supaya mereka beriman dengan Allah, beriman dengan rasul & beriltizam (beramal) dengan Syari’ah-Nya.
  1. Ketika itu malaikat angkat bukit Tursina letak atas kepala mereka, mengugut mereka untuk melakukan perjanjian untuk beriman & ikrar untuk beramal ini!
    Betapa degil & keras kepalanya puak bani Israel ini. Untuk melakukan janji taat setia itu begitu sekali terpaksa diancam!
  1. Allah sebut isi perjanjian itu adalah supaya mereka:
    i- Terima kitab Taurat.

    ii- Beramal dengan bersungguh-sungguh

    iii- Ingat jangan lupa isi kandungannya agar kamu bertaqwa.
  1. Apa jadi selepas perjanjian itu?
    Selepas bukit diletakkan kembali ke tapak asalnya & mereka selamat.

AYAT 64- {KEMUDIAN SESUDAH ITU KAMU MEMBELAKANGKAN PERJANJIAN SETIA KAMU ITU (TIDAK MENYEMPURNAKANNYA); MAKA KALAU TIDAKLAH KERANA LIMPAH KURNIA ALLAH DAN BELAS KASIHANNYA KEPADA KAMU (DENGAN MEMBUKA PINTU TAUBAT), NESCAYA MENJADILAH KAMU DARI GOLONGAN ORANG-ORANG YANG RUGI.} (AL-BAQARAH 2:64)

  1. Selepas perjanjian setia itu, mereka terus berpaling darinya, khianat tidak ikut & buat syarat perjanjian, tidak menyempurnakannya!
  1. Maka Allah ungkit di sini, jika tidak kerana limpah kurnia Allah & belas kasihan kepada mereka dengan membuka pintu taubat, pasti mereka akan jadi orang yang binasa di dunia & binasa di akhirat!
  1. Tetapi Allah yang penuh rahmat & kasih sayang, Allah terima taubat mereka, Allah hantar ramai rasul & nabi-nabi dari kalangan bani Israel melalui keturunan nabi Ibrahim AS.
    Yang terakhir adalah Rasulullah SAW melalui keturunan Ismail Bin Ibrahim AS.

AYAT 65- {DAN SESUNGGUHNYA KAMU TELAH MENGETAHUI (BAGAIMANA BURUKNYA AKIBAT) ORANG-ORANG DI ANTARA KAMU YANG MELANGGAR (LARANGAN) PADA HARI SABTU, LALU KAMI BERFIRMAN KEPADA MEREKA: “JADILAH KAMU KERA YANG HINA”.} (AL-BAQARAH 2:65)

  1. Sesungguhnya mereka juga tahu akibat jika menangkap ikan hari Sabtu.
  1. Kisahnya, kaum yahudi telah dilarang Allah dari menangkap ikan pada hari sabtu untuk menguji keimanan mereka!
    Sedangkan pada hari itu ikan naik dengan banyaknya ke pantai, betul-betul satu ujian.
  1. Tetapi bani Israel yang banyak tipu daya ini telah membuat helah untuk menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah SWT!
    Yakni mereka langggar juga larangan Allah itu dengan membuat helah!
    Kisah ini ada dijelaskan secara detail & panjang dalam surah-surah lain nanti Insya’ Allah.
  1. Kita hari ini pun hati-hati, kerana terdapat unsur helah dalam sebahagian daripada beberapa muamalat kita, sama ada di bank, jual gold emas ke, takaful ke.
    Mungkin ada elemen tertentu yang mejadi helah untuk menghalalkan apa yang dilarang Allah SWT.
    Maka ahli-ahli panel kena warak & bertaqwa kepada Allah dalam bab ini!
    Kita atas dunia ini mungkin boleh terlepas tetapi ingatlah di akhirat kelak tiada satu apapun yang terlepas dari Allah Azza wa Jalla.
  1. Maka sebagai balasan akibat dari perbuatan jahat mereka itu; Allah tukarkan mereka kepada kera dengan berfirman: “Jadilah kamu kera yang hina”.
  1. Tentang menjadi kera ini {كُونُوا۟ قِرَدَةً خَـٰسِـِٔينَ}:
    i- Mengikut ramai (majoriti) ulama’ tafsir; sebahagian daripada kaum bani Israel yang derhaka melangar arahan itu telah berubah rupa mereka menjadi kera! Yakni bertukar rupa terus.
    Kata Qatadah RHM : Yang muda jadi kera manakala yang tua jadi babi!
    Tidak akan selamat orang yang tidak melarang orang yang melanggar perintah Allah!

    ii- Tetapi ada juga ulama’ yang mengatakan bukan rupa berubah, masih rupa manusia tetapi perangai mereka bertukar menjadi seperti kera.
    Antara yang memegang pendapat ini ialah Syeikh Mujahid RHM. katanya yang bertukar hanya perangai mereka.
    Panjanglah perbahasan ulama’ dalam isu ini!
  1. Kejadian ini memberi pengajaran bahawa sesiapa yang melanggar hukum Allah & tidak menurut peraturan-Nya, nescaya Allah akan ubah keadaannya dengan menurunkan darjatnya ke peringkat yang sehina-hinanya!
  1. Hadis- Rasulullah SAW telah bersabda:
    لَيَكُونَنَّ مِنْ أُمَّتِي أَقْوَامٌ يَسْتَحِلُّونَ الْحِرَ وَالْحَرِيرَ وَالْخَمْرَ وَالْمَعَازِفَ وَلَيَنْزِلَنَّ أَقْوَامٌ إِلَى جَنْبِ عَلَمٍ يَرُوحُ عَلَيْهِمْ بِسَارِحَةٍ لَهُمْ يَأْتِيهِمْ- يَعْنِي الْفَقِيرَ- لِحَاجَةٍ فَيَقُولُوا ارْجِعْ إِلَيْنَا غَدًا فَيُبَيِّتُهُمُ اللَّهُ وَيَضَعُ الْعَلَمَ وَيَمْسَخُ آخَرِينَ قِرَدَةً وَخَنَازِيرَ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ
    “Sungguh pasti akan terjadi suatu hari di kalangan umatku kaum yang menghalalkan perzinaan, sutera, minuman keras dan alat-alat muzik. Dan pasti akan ada kaum yang pergi ke tepi bukit yang tinggi, lalu para pengembala dengan kambingnya mendatangi mereka (yakni orang faqir yang berhajat), lantas mereka berkata: Kembalilah kepada kami esok hari. Kemudian pada malam harinya Allah membinasakan mereka dan menghempaskan bukit itu ke atas mereka, sedang yang lain diubah kejadian mereka menjadi monyet dan babi sampai hari kiamat.” [HR Bukhari]

    Ada juga ulama’ kata : Bukan bertukar rupa tapi hanya perangai!
    Boleh jadi keduanya, walaupun tidak bertular rupa, perangai mereka tetap seperti haiwan. Wallahu a’lam.
  1. Mereka ini yang bertukar rupa jika mengikut pandangan majoriti ulama’ : Sudah tidak makan tidak minum, selepas tiga hari semuanya mati!
    Jadi monyet & haiwan yang ada hari ini bukan ada dari keturunan mereka ini, kerana mereka yang diazab itu sudah binasa semuanya!

AYAT 66- {MAKA KAMI JADIKAN APA YANG BERLAKU ITU SEBAGAI SUATU HUKUMAN PENCEGAH BAGI ORANG-ORANG YANG ADA PADA MASA ITU DAN ORANG-ORANG YANG DATANG KEMUDIAN, DAN SUATU PENGAJARAN BAGI ORANG-ORANG YANG (HENDAK) BERTAQWA.} (AL-BAQARAH 2:66)

  1. Allah nyatakan bahawa segala akibat pembalasan azab ini, sama ada bertukar rupa atau perangai, sangat dihina adalah untuk memberi peringatan, ancaman & pengajaran kepada orang yang bertaqwa.
  1. Ambillah pengajaran dari kebinasaan umat terdahulu yang binasa kerana tak dengar kata, keras kepala, lawan Syari’ah Allah & lawan perundangan Allah Azza wa Jalla.
  1. Moga-moga ia dapat menjadi hukuman pencegah bagi orang-orang yang ada pada masa itu dan orang-orang yang datang kemudian.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 62- {Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasora (Nasrani), dan orang-orang Saabien sesiapa di antara mereka itu beriman kepada Allah dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh,..}-

    Dalam ayat ini Allah SWT sebut kebaikan kepada golongan yang tidak baik iaitu dari Yahudi dan orang-orang Nasoro (Nasrani), dan orang-orang Saabien, mereka yang beriman darinya!
    Allah kembarkan tiga golongan kemudian sebut dari kalangan mereka yang beriman
    { إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟}
    kerana Allah nak suruh yang buruk itu jadi baik semuanya, terikut yang baik.

    Allah juga menyatakan bahawa hasil kesan daripada beriman kepada Allah SWT kita akan:
    i- Dapat pahala balasannya di sisi Tuhann.

    ii- Dan tidak ada kebimbangan dari berlakunya kejadian yang tidak baik kepada kita.

    iii- Dan tidak akan berdukacita juga.
    Sesiapa yang beriman dia akan selamat sesiapa tidak beriman dia cari pasal!
  1. Ayat 62- {Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasora (Nasrani), dan orang-orang Saabien..}-

    Ada tiga tempat dalam Al-Quran ini yang Allah sebut perkataan Saabien & Saabiun {ٱلصَّـٰبِـِٔينَ} ini.
    Kita tengok dari segi bahasa (لغة) apakah perbezaannya:
    i- Ayat 62 Al-Baqarah disebut secara mansub {ٱلصَّـٰبِـِٔينَ} dan susunannya seperti berikut: { وَٱلَّذِينَ هَادُوا۟ وَٱلنَّصَـٰرَىٰ وَٱلصَّـٰبِـِٔينَ}-
    Dalam ayat ini datang golongan Nasrani dulu baru datang Saabien. Ini kerana dari sudut bilangan golongan Yahudi & Nasrani lebih ramai & masyhur daripada golongan Saabien ini.
    Ada ulama’ kata ia khas sebelum bangkit Nabi SAW.

    ii- Ayat 17 surah Al-Hajj disebut secara mansub {ٱلصَّـٰبِـِٔينَ} juga serta susunannya: { وَٱلَّذِينَ هَادُوا۟ وَٱلصَّـٰبِـِٔينَ وَٱلنَّصَـٰرَىٰ}.
    Ada ulama’ kata ayat ini pula khas untuk untuk hari Kiamat kelak.

    iii- Ayat 69 surah Al-Maidah disebut secara marfu’ {ٱلصَّـٰبِـُٔونَ } dan susunannya berbeza: {وَٱلَّذِينَ هَادُوا۟ وَٱلصَّـٰبِـُٔونَ وَٱلنَّصَـٰرَىٰ }- ayat ini khas selepas kebangkitan Rasulullah SAW, sesiapa tidak beriman akan diazab.
    Dalam dua ayat ini datang golongan Saabien dulu baru Nasrani. Ini kerana dari sudut zaman (waktu) golongan Saabien munculnya lebih awal daripada golongan Nasrani manakala yahudi tetap yang terawal & yang paling masyhur dan ramai.

    Manakala perbezaan baris depan (marfu’- ٱلصَّـٰبِـُٔونَ) & baris bawah (marfu’-ٱلصَّـٰبِـِٔينَ) adalah hanya kerana kaedah nahu (grammar) dalam bahasa Arab, maknanya tetap sama.
  1. Ayat 63- {dan ingatlah (jangan lupakan) apa yang tersebut di dalamnya, supaya kamu bertaqwa.}-

    Wahai orang yang beriman, berpeganglah dengan Kitab yang diturunkan kepada kamu, agar kamu menjadi orang yang bertaqwa.
    Kata ulama’ : Syarat nak jadi orang yang bertaqwa mesti berpegang dengan Al-Quran & berpegang dengan Sunnah Nabi SAW.
    Dalam ayat ini juga menunjukkan buruknya perangai kaum bani Israel yang terpaksa diugut dengan diletak bukit atas kepala mereka, barulah mereka nak menerima perjanjian untuk beriman kepada Allah ini!
    Itupun setelah bukit diletakkan kembali pada tempatnya, mereka terus berpaling & khianat, tidak ikut lagi syarat perjanjian itu!
  1. Ayat 63- {Maka kalau tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu (dengan membuka pintu taubat), nescaya menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang rugi.}-

    Dalam ayat ini Allah cela bani Israel yang terpaksa diugut dengan diletak bukit atas kepala mereka, barulah mereka nak menerima perjanjian untuk beriman kepada Allah ini! Tapi tak lama balik semula kepada perangai buruk mereka; tidak takut & tidak ikut lagi syarat perjanjian itu!
    Maka Allah sebut di akhir ayat: Jika tidak kerana rahmat & limpah kurnia Allah, maka di sini kita sedar kena insaf kena ingat kita duduk dibawa limpah kurnia Allah SWT!
    Jika kita tidak diberi nikmat kefahaman Al-Quran & hadis ini mungkin kita juga akan terperangkap dengan ajaran sesat yang menyeleweng dari Al-Quran & Sunnah Nabi SAW.

    Sekarang ini ramai orang mengaku sebagai ahli Sunnah, guna nama ahli Sunnah, tetapi ajaran & amalannya tidak selari dengan Sunnah Rasulullah SAW yang sahih!
  1. Ayat 65- {Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui (bagaimana buruknya akibat) orang-orang di antara kamu yang melanggar (larangan) pada hari Sabtu}-

    Mereka bani Israel tahu tentang larangan menangkap ikan pada hari Sabtu, tetapi mereka tetap melanggarnya juga! Iaitu mereka buat helah, bukan langar perintah secara lansung. Apa yang mereka buat; pada hari Jumaat mereka gali lubang lalu pada hari Sabtu ikan yang banyak masuk dalam perangkap (mereka tak ambilnya lagi) hanya tutup lubang & pada hari Ahad mereka ambil ikan-ikan itu! Maka ulama’ tadabbur kata ayat ini mengharamkan helah. Sesiapa yang cari helah untuk menghalalkan perkara yang diharamkan oleh Allah maka dia akan jadi seperti yahudi yang dimurkai Allah SWT!

    Ayat ini sekaligus menjadi celaan kepada yahudi yang hidup pada zaman Rasulullah SAW & tidak beriman kepada Rasulullah SAW sedangkan mereka sudah tahu apa yang terjadi kepada datuk nenek mereka yang telah dikenakan azab (ada kata tukar rupa jadi monyet & jadi babi) Wallahu a’lam.
    Yang penting sebab azab itu ialah akibat perbuatan buruk & maksiat, mereka juga tidak beriman.

    Akhir ayat Allah berfirman: {Maka Kami jadikan apa yang berlaku itu sebagai suatu hukuman pencegah {نَكَـٰلًۭا} }
    Maksudnya {نَكَـٰلًۭا} ialah Allah jadikan hukuman & undang-undang ini sebagai pencegahan kepada perbuatan yang buruk! Sama seperti dalam kes hudud di mana penzina direjam, minum arak disebat, pencuri potong tangan dan lain-lain; semuanya ini adalah {نَكَـٰلًۭا} sebagai cara-cara pencegahan dari Allah!

    Alangkah malangnya. Allah telah hantar kepada kita satu perundangan Syari’ah yang lengkap untuk menyelesaikan masalah jenayah atas dunia ini, tetapi ruginya kita tak ambil tahu, hukum jenayah Syari’ah Allah SWT kita tak ambil, kita ambil yang dibuat oleh manusia !
    Orang yang berhelah ialah orang yang akan dimurkai Allah SWT. Jangan sekali melakukannya!

    Kesimpulannya dari ayat ini ialah 3 tanda kekuasaan Allah SWT:
    i- Allah angkat bukit Tursina atas kepala bani Israil.

    ii- Tukar rupa mereka yang tangkap ikan kepada monyet & ada kata kepada babi.
    Ibnu Kathir RHM : Tukar yang sahihnya dua-dua; rupa & perangai seperti haiwan

    iii- Menjadi peringatan kepada orang yang derhaka kepada Allah.
    Allah SWT kata semua itu adalah {نَكَـٰلًۭا} pencegahan dari Allah SWT!
    Nak solusi untuk selamat yang sepatutnya kita ikut & berpegang dengan Syari’ah Allah SWT secara menyeluruh; bukan undang-undang orang putih.

Powered by BetterDocs