SURAH AL-QASAS : AYAT 47-50

\"\"

SEBAB ALLAH S.W.T UTUSKAN NABI MUHAMMAD, HUJJAH KAFIR MAKKAH MENOLAK DAKWAH NABI S.A.W & GOLONGAN YANG INGKAR ADALAH PENGIKUT HAWA NAFSU SEMATA.

Full video : https://youtu.be/R-mSBKhHHH0

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini ditegaskan bahawa Allah s.w.t. mengutuskan Nabi Muhammad s.a.w. untuk menegakkan hujah terhadap orang-orang kafir.
  2. Ini setelah menjelaskan hujjah-hujjah orang terdahulu yang melakukan kesilapan besar apabila menolak dakwah yang dibawakan oleh para nabi mereka.
  3. Allah s.w.t memperkuatkan hujjah Rasulullah s.a.w dengan hujjah bahawa walaupun Baginda tiada di tempat kejadian yang berlaku dulu, tetapi cerita yang diberikan kepada kita adalah maklumat yang jelas, berfakta dan terbukti kebenarannya.
  4. Atas dunia ini samada fatka atau auta! Dalil yang sahih, hujjah yang tepat itu fakta, jika hujjah merapu, entah dari mana sumbernya maka itu adalah auta.
  5. Kita sebagai umat Islam kena hati-hati agar dapat bersandar dengan hujjah yang benar di hadapa Allah s.w.t pada hari Kiamat yang didedahkan segala rahsia nanti.
  6. Maka datanglah ayat-ayat ini untuk menolak hujjah-hujjah mereka walaupun ianya rapuh dan tidak berfakta, tetapi tetap boleh menimbulkan keraguan dan kekeliruan bagi orang yang mendengarnya, maka ia perlu dibetulkan.

AYAT 47- {DAN KALAU TIDAKLAH ORANG-ORANG MUSYRIK ITU AKAN BERKATA – SEMASA MEREKA DITIMPA BALA BENCANA DISEBABKAN PERBUATAN KUFUR DAN MAKSIAT YANG MEREKA LAKUKAN: \”WAHAI TUHAN KAMI, MENGAPA ENGKAU TIDAK MENGUTUSKAN KEPADA KAMI SEORANG RASUL SUPAYA KAMI MENURUT AYAT-AYAT KETERANGANMU (YANG DIBAWANYA), DAN SUPAYA KAMI MENJADI DARI ORANG-ORANG YANG BERIMAN,\” (TENTULAH ENGKAU WAHAI MUHAMMAD TIDAK DIUTUSKAN KEPADA MEREKA, BAHKAN KAMI TERUS MENYEKSA MEREKA).} (AL-QASAS 28:47)

  1. Allah s.w.t nyatakan bahawa Dia tidak akan utuskan Rasulullah s.a.w kepada mereka kaum Quraisy jika tidak dikhuatiri mereka akan berkata apabila mereka ditimpa bala bencana disebabkan perbuatan kufur dan maksiat yang mereka lakukan nanti, kenapa Allah s.w.t tidak hantar kepada mereka seorang rasul, utusan atau pemberi peringatan pun. Yakni mereka akan beralasan bahawa belum pernah datang khabar kepada mereka rasul kerana itu tidak beriman.
  2. Jadi Allah s.w.t tidak akan mengazab mereka sebelum dihantar rasul kepada mereka. Selepas jelas mereka mendustakan rasul-rasul yang diutuskan barulah Allah s.w.t menghantar azab kepada mereka.
  3. Ini jelas dalam beberapa ayat al-Quran seperti dalam Surah Toha; 134, An Nisa\’: 165 dan Al-Isra\’:15. Firman Allah s.w.t:
    مَنِ اهْتَدَىٰ فَإِنَّمَا يَهْتَدِي لِنَفْسِهِ ۖ وَمَنْ ضَلَّ فَإِنَّمَا يَضِلُّ عَلَيْهَا ۚ وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ ۗ وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّىٰ نَبْعَثَ رَسُولًا
    {Barangsiapa yang berbuat sesuai dengan hidayah (Allah), maka sesungguhnya dia berbuat itu untuk (keselamatan) dirinya sendiri; dan barangsiapa yang sesat maka sesungguhnya dia tersesat bagi (kerugian) dirinya sendiri. Dan seorang yang berdosa tidak dapat memikul dosa orang lain, dan Kami tidak akan mengazab sebelum Kami mengutus seorang rasul.} [Al-Isra\’: 15].
  4. Umat yang hidup di zaman yang kosong antara dua rasul ini dipanggil ahli Fatrah – أهل الفترة.
  5. Mereka mendakwa jika dihantar surang rasul pasti saja mereka akan beriman! Lalu Allah s.w.t patahkan hujjah mereka dalam ayat yang berikut ini.

AYAT 48- {MAKA KETIKA DATANG KEPADA MEREKA KEBENARAN (AL-QURAN) DARI SISI KAMI, MEREKA BERKATA PULA: \”HENDAKNYA (MUHAMMAD) DIBERI (KITAB AGAMA YANG DITURUNKAN DENGAN SEKALIGUS) SEBAGAIMANA KITAB TAURAT YANG DIBERIKAN KEPADA MUSA\”. BUKANKAH MEREKA DAHULU TELAH KUFUR INGKAR AKAN APA YANG DIBERIKAN KEPADA NABI MUSA? MEREKA BERKATA LAGI: \”KEDUA-DUANYA (AL-QURAN DAN TAURAT) ITU IALAH SIHIR YANG SALING MEMBANTU (YANG SATU MENYOKONG YANG LAIN). \”DAN MEREKA BERKATA PULA: \”SESUNGGUHNYA KAMI KUFUR INGKAR TERHADAP KITAB-KITAB ITU SEMUANYA!\”} (AL-QASAS 28:48)

  1. Tetapi apabila Allah s.w.t menghantar kepada mereka seorang rasul yang membawa kebenaran, mereka putarbelit pula dengan menimbulkan syubhat; kenapa al-Quran ini turun sedikit-sedikit, tidak turun sekaligus seperti kitab Taurat nabi Musa a.s. yang ada lembaran helaian yang dapat dibaca.
  2. Maklumat ini diberi dan diajar oleh kaum Yahudi kepada mereka, jika tidak mereka tidak tahu kerana Arab Quraisy tidak pernah ada kitab yang diturunkan dari langit sebelum ini.
  3. Allah balas balik dengan mengungkit sejarah yang tidak dapat disembunyikan, bahkan mereka itu dahulu telah kufur ingkar akan apa yang diberikan kepada Nabi Musa, Taurat dan mukjizat-mukjizatnya sekarang mahu kitab begitu pula???? Memang auta yahudi ini! Mereka buat perangai selepas nabi Musa a.s pergi bermunajat kepada Tuhan. Sebagaimana dalam siri yang lepas diceritakan bahawa Taurat itu turun selepas kemusnahan Firaun.
  • TENTANG mereka yang kufur ini ulama\’ kata samada kuffar Quraisy, yahudi zaman Rasulullah s.a.w atau yahudi zaman nabi Musa a.s. boleh semuanya.
  1. Akhirnya setelah tidak berjaya membawa hujjah, mereka membuat tuduhan dan fitnah pula dengan mengatakan adalah nabi Musa a.s. dan nabi Muhammad s.a.w., Ktab Taurat dan Al Qur\’an adalah sihir yang saling membantu dan saling membenarkan dalam sihirnya dan dalam menyesatkan manusia.
  2. Akhirnya mereka mengaku bahawa sesungguhnya mereka kufur ingkar terhadap Kitab-kitab itu semuanya! Habis cerita, semua yang tidak beriman kepada dakwah Rasulullah akan kufur kepada kedua-dua kitab ini.
  3. Hakikatnya orang Yahudi dan Nasrani terutama yang benar-benar mempelajari Taurat dan Injil sejatinya telah mengetahui bahawa nabi Muhammad s.a.w adalah benar-benar utusan Allah. Hanya saja kerana kedengkian hati dan kepentingan kuasa, mereka tidak mahu beriman kepada Rasulullah s.a.w.
  4. Digambarkan bahawa mereka kaum Yahudi dan Nasrani sangat jelas mengenal Rasulullah, mengenal ciri-ciri dan sifat Baginda sebagai nabi akhir zaman yang dijanjikan sesuai dalam kitab Taurat dan Injil, jelas seperti matahari di siang hari, dan sebagaimana mereka kenal anak mereka sendiri
    Firman Allah s.w.t:
    ٱلَّذِينَ ءَاتَيْنَٰهُمُ ٱلْكِتَٰبَ يَعْرِفُونَهُۥ كَمَا يَعْرِفُونَ أَبْنَآءَهُمْ ۖ وَإِنَّ فَرِيقًا مِّنْهُمْ لَيَكْتُمُونَ ٱلْحَقَّ وَهُمْ يَعْلَمُونَ
    {\”Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah kami beri Al-Kitab (Taurat dan Injil) mengenalnya (Nabi Muhammad s.a.w) seperti mereka mengenal anak-anaknya sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian di antara mereka menyembunyikan kebenaran padahal mereka mengetahui,\”.} [Al-Baqarah: 146].
  5. Dalil kepada perkara ini ada 3:
    i- Dalil dari Taurat – mereka yang nampak kebenaran dan mengakuinya, lalu masuk Islam – Abdullah bin Salam r.a, bekas pendeta yahudi yang alim tentang kitab mereka.
    ii- Dalil dari Taurat juga tetapi; yang keras kepala menentang dengan keras secara terang-terangan – diketuai oleh ketua yahudi, Huyai bin Akhtab, bapa kepada UM Sofiyyah bin Huyai r.anha yang menceritakan kisah bapanya pergi menyiasat Rasulullah s.a.w. Namun ia sombong dan menolak kebenaran walaupun jelas kerana nabi itu berasal dari Arab bukan dari anak keturunan Israil ( Nabi Ya\’qub a.s ).
    iii- dalil daripada Injil yang diceritakan oleh Salman al-Farisi tentang kebenaran Rasulullah s.a.w yang telah mendalami kitab Injil dan agama Nasrani yang asal.
  • Kisah Huyai diceritakan oleh UM Sayidah Soffiyah r.a sebagai berikut: \”Tidak ada seorang pun anak-anak ayahku dan pakcikku yang lebih keduanya cintai melebihi aku. Tak seorang pun anak-anak keduanya membuat mereka gembira, kecuali apabila aku bersamanya.
    Ketika Rasulullah s.a.w tiba di Quba -perkampungan Bani Amr bin Auf-, ayah dan pakcikku, Abu Yasir bin Akhtab, datang menemuinya di pagi buta. Demi Allah, mereka baru pulang menemui kami saat matahari menghilang. Keduanya datang dengan wajah yang layu, longlai, dan jalan lesu. Aku berusaha membuat mereka gembira seperti yang biasa ku lakukan. Demi Allah, tak seorang pun dari keduanya peduli walau hanya sekadar menoleh padaku.
    Aku dengar pakcikku, Abu Yasir, bertanya pada ayahku, \”Apakah dia itu memang si nabi itu?
    \”Iya, demi Allah,\” jawab ayah.
    \”Kau kenali dia dari sifat-sifat dan tanda-tandanya?\” tanya pakcik lagi.
    \”Iya, demi Allah,\” ayah memberikan jawaban yang sama.
    \”Lalu bagaimana keadaan dirimu terhadapnya?\” tanya pakcik.
    Ayah menjawab, \”Demi Allah, permusuhan selama aku masih hidup.\” [HR ]

AYAT 49- {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): \”KALAU DEMIKIANLAH SIKAP KAMU MAKA BAWALAH SEBUAH KITAB DARI SISI ALLAH YANG DAPAT MEMBERI PANDUAN LEBIH DARIPADA KEDUANYA, SUPAYA AKU MENURUTNYA. (BAWALAH DIA) JIKA BETUL KAMU ORANG-ORANG YANG BENAR \”.} (AL-QASAS 28:49)

  1. Allah s.w.t telah menolak hujjah kaum kafir Quraisy dan membalasnya dengan ayat ini. Allah perintahkan agar Rasulullah katakan kepada mereka, jika kamu meragui dan memandang lekeh kepada dua kitab al-Quran & Taurat yang asal, maka bawalah kitab lain dari sisi Allah.
  2. Ini ayat cabaran dan menolak tuduhan kaum Quraisy, jika mereka benar dalam tuduhan maka bawalah kitab yang lebih baik, yang dapat memberi panduan hatta dapat diikuti bersama.
  3. Cabaran lagi- jika kamu orang yang benar- tetapi pastilah tidak dapat berbuat demikian kerana mereka adalah orang sesat dan mendustakan kebenaran.

AYAT 50- {KEMUDIAN, KALAU MEREKA TIDAK DAPAT MENERIMA CABARANMU (WAHAI MUHAMMAD), MAKA KETAHUILAH, SESUNGGUHNYA MEREKA HANYALAH MENURUT HAWA NAFSU MEREKA; DAN TIDAK ADA YANG LEBIH SESAT DARIPADA ORANG YANG MENURUT HAWA NAFSUNYA DENGAN TIDAK BERDASARKAN HIDAYAH PETUNJUK DARI ALLAH. SESUNGGUHNYA ALLAH TIDAK MEMBERI PIMPINAN KEPADA KAUM YANG ZALIM (YANG BERDEGIL DALAM KEINGKARANNYA).} (AL-QASAS 28:50)

  1. Kemudian apabila hujjah mereka kalah, mereka tetap tidak menerimanya, ini kerana mereka sebenarnya bukan mencari kebenaran tetapi tetap berkeras kepala dan mengikut hawa nafsu.
  2. Begitulah semua keadaan mereka yang menolak hujjah dan dakwah yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w, samada orang kafir yang memang mengingkari atau ada juga orang muslim yang termasuk dalam golongan mengikut hawa nafsu ini. Ini kerana syaitan akan menggilap menjadikan sesuatu amalan yang tidak tepat ikut Syariat itu indah dan cantik berkilat.
  3. Allah s.w.t menegaskan bahawa tidak ada orang yang lebih sesat daripada orang yang menurut hawa nafsunya dengan tidak mengikut hidayah petunjuk dari Allah.
  4. Sesungguhnya Allah tidak memberi pimpinan hidayah kepada kaum yang zalim, yang berdegil dalam keingkarannya. Nauzubillah, kita minta perlindungan Allah s.w.t dari termasuk dalam golongan ini.
  5. Sudah menjadi satu sifat orang ingkar kepada Allah s.w.t adalah orang yang zalim walaupun dia baik dan berkasih-sayang dengan manusia lain.
  6. Ibnu Asyur rhm. berkata, orang zalim itu ada beberapa peringkat, iaitu:
    i- kemuncaknya ialah menzalimi diri sendiri dengan melakukan syirik dan menzalimi juga orang lain dengan keburukannya.
    ii- zalim diri sendiri bukan sampai kepada syirik tetapi melakukan maksiat dan menyaiti orang lain.
    iii- ada yang zalim diri sendiri tetapi tidak menyakiti orang lain.
    iv- serta pelbagai kategori lain lagi.
  7. Mereka ini pula berbeza-beza dalam masalah mendapat hidayah. Ada golongan yang Allah s.w.t ketepikan mereka dari mendapat hidayah petunjuk-Nya dan ada yang sebaliknya walaupun dalam tempoh yang lama.
    Contoh mudah- Abu Sufyan r.a melawan Rasulullah s.a.w selama 20 tahun tetapi pada Tahun Pembukaan Makkah (8 Hijrah) beliau menerima Islam. Dia akhirnya termasuk dalam golongan sahabat Nabi s.a.w.
    Abu Jahal pula mati dalam kafir semasa peperangan Badar, Rasulullah memanggilnya sebagai Firaun umat pada masa itu.
    Abu Lahab- penentang dari awal sehingga akhir, dicop terus dalam al-Quran sebagai penghuni neraka oleh Allah s.w.t.
  8. Kerana tidak tahu bila dan siapa mereka yang akan mendapat hidayah, Rasulullah s.a.w terus berdakwah sehingga ke akhir hayatyna atau sehingga ke akhir hayat mereka. Begitu juga kerja kita, teruslah berdakwah, jangan mudah putus-asa dan nak berhenti. Teruskan berdoa terutamanya untuk kaum keluarga dan orang terdekat, jangan putus harap dan mudah koyak, teruskan perjuangan demi agama.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 48- {Mereka berkata pula: \”Hendaknya (Muhammad) diberi (Kitab agama yang diturunkan dengan sekaligus) sebagaimana Kitab Taurat yang diberikan kepada Musa\”.} Apabila mereka terus mendesak mahu kitab Taurat seperti nabi Musa a.s dulu, tidak mahu terima al-Quran jadi Allah s.w.t membalasnya- {Bukankah mereka dahulu telah kufur ingkar akan apa yang diberikan kepada Nabi Musa?}
    -kata ulama\’ ketika kita berdebat dengan musuh-musuh Islam, kita kena batalkan hujjah mereka dengan kata-kata atau perbuatan mereka sendiri.
  2. Dalam berdebat, kita kena batalkan juga hujjah mereka dengan realiti, hakikat yang memang telah berlaku. Walaupun nabi Musa a.s telah membawa 9 ayat mukjizat yang jelas nyata ke atas mereka, mereka tetap menolaknya.
  3. Mereka berkata – {Mereka berkata lagi: \”Kedua-duanya (Al-Quran dan Taurat) itu ialah sihir yang saling membantu (yang satu menyokong yang lain).} – mereka kata al-Quran dan Taurat dua sihir – ayat ini menenangkan hati pengikut Rasulullah s.a.w, bahawa orang berdakwah ini akan menerima tentangan, cercaan, tohmahan sebagaimana rasul-rasul dan nabi-nabi terdahulu. Kita kena yakin kerana kita ikut al-Quran, ikut hadis Nabi s.a.w yang sahih, dan ikut ulama\’-ulama\’ salafussoleh yang muktabar, insya\’ Allah.
  4. Ayat 49 -{Bawalah sebuah Kitab dari sisi Allah yang dapat memberi panduan lebih daripada keduanya.} Cabaran Allah s.w.t ini kata ulama\’ membawa pengajaran agar kita terus berhujjah dengan mereka walaupun terpaksa menurunkan sedikit standard kita, bukan untuk memperlekehkan, tetapi supaya mereka sedar dan nampak realiti.
    5- Ayat 50- {Maka ketahuilah, sesungguhnya mereka hanyalah menurut hawa nafsu mereka;} – setelah kita uji, mereka ini bukan hendak berhujjah mencari kebenaran, maka al-Quran mengajar kepada supaya akhirnya tinggalkan berhujjah dengan mereka, kita dah sampaikan kepada mereka, jika tidak terima, biar dulu.
  5. Ayat 50- {Dan tidak ada yang lebih sesat daripada orang yang menurut hawa nafsunya..} Tiada siapa yang boleh beramal atas nama agama, atau beribadat atas nama Allah, kecuali dengan apa yang dibawa oleh Allah dan Rasulullah s.a.w, tidak boleh reka ibadat, kena ikut apa yang sudah ada.
  6. Ayat 47- {\”Wahai Tuhan kami, mengapa Engkau tidak mengutuskan kepada Kami seorang Rasul} kita tidak boleh kata semua perbuatan mereka sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w sebagai jahat tiada kebaikan semuanya, mereka ada juga buat kebaikan beri makan minum Jemaah haji dan lain-lain. Yang sederhana kita boleh kata perbuatan jahat itu memang jahat, tetapi cuma perbuatan jahat mereka sebelum kedatangan atau kebangkitan Rasulullah s.a.w tidak diambil kira, dipanggil zaman fatrah. زمن الفترة
  7. Ayat 48- {Maka ketika datang kepada mereka kebenaran (Al-Quran) dari sisi Kami} Apabila Rasulullah membawa wahyu dan dakwahnya kepada Allah s.w.t, maka sesiapa yang menentangnya adalah pejuang kebatilan! Yang hak lawannya batil. Ini hanya untuk Rasulullah s.a.w tetapi tidak untuk manusia biasa seperti kita, tidak boleh kata orang tidak ikut pandangan kita orang yang batil dan hanya kita yang benar. Kata Imam Sy-Syafei rhm: Pandangan kita mungkin benar namun ada kemungkinan juga salah, begitu juga dengan kata-kata orang lain.
  8. Ayat 48- {Sebagaimana Kitab Taurat yang diberikan kepada Musa\”.} Ayat ini menunjukkan Quraisy ada maklumat tentang nabi -nabi terdahulu, tetapi mereka ambilnya dari penasihat mereka, golongan yahudi.
  9. Ayat {Mereka berkata lagi: \”Kedua-duanya (Al-Quran dan Taurat) itu ialah sihir yang saling membantu } – Ulama\’ kata begitulah penyokong kebatilan akan melabelkan orang yang membawa kebenaran itu dengan tuduhan, gelaran yang berat dan jahat-jahat, untuk menjauhkan orang darinya lalu tidak dapat menerima kebenaran yang dibawa. Maka kita yang belajar dan ikut sunnah ini elakkan daripada perbuatan melabel ini.
    Contoh paling jelas abad ini untuk menjatuhkan orang ialah – gelaran WAHABI walaupun ramai yang tidak faham apa makna sebenarnya wahabi ini. Maka tugas kita teruskan menyampai kebenaran, biar tahu jangan keluiru, mereka serang kita terang!

Wallahu a\’lam.

Powered by BetterDocs