SURAH AL-QASAS : AYAT 14-17

\"\"

NABI MUSA SUDAH BESAR DIBERIKAN ILMU DAN HIKMAH, MUSA BERJALAN DALAM BANDAR DAN MENUMBUK QIBTI & MUSA BERTAUBAT JANJI TIDAK AKAN BUAT LAGI.

Full video : https://youtu.be/FfSZuLjbCis

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri yang lepas. Allah s.w.t yang Maha Berkuasa menceritakan detik-detik kelahiran Nabi Musa a.s yang mencemas dan mendebarkan. Apabila seorang ibu terpaksa melepaskan bayinya ke dalam sebuah sungai yang besar demi menyelamatkan nyawanya.
  2. Ini semua dengan tawakkal kepada arahan Tuhannya serta penuh kepercayaan dengan janji-Nya yang akan mengembalikan anaknya.
  3. Begitulah seorang ibu atau bapa itu sanggup melakukan apa saja untuk anak-anaknya. Maka kita sebagai anak-anak hendaklah sentiasa berkhidmat dan mendoakan kepada ibu bapa samada yang masih hidup atau mati.
  4. Dalam siri hari ini adalah episod nabi Musa a.s yang sudah besar dan baligh, dia mengalami beberapa peristiwa pula.

AYAT 14- {DAN KETIKA MUSA SAMPAI KE PERINGKAT UMURNYA YANG CUKUP KEKUATANNYA DAN SEMPURNA, KAMI BERI KEPADANYA KEBIJAKSANAAN SERTA ILMU PENGETAHUAN; DAN DEMIKIAN KAMI MEMBALAS ORANG-ORANG YANG BERUSAHA MEMPERBAIKI AMALANNYA.} (AL-QASAS 28:14)

  1. Selepas Musa a.s dikembalikan kepada ibunya tadi, tidak diceritakan apa yang berlaku dalam hidupnya, terus disambung dengan kisah seterusnya dalam ayat 14 ini.
    Ketika Musa a.s. telah cukup umur baligh, sempurna kekuatannya dan matang fikirannya, maka Allah s.w.t kurniakan kepadanya {Kami beri kepadanya kebijaksanaan serta ilmu pengetahuan;}
  2. Ulama\’ kata maksud kebijaksanaan { حُكْمًا } itu:
    i- sempurna akalnya.
    ii- kenabian.
    iii- kekuatan fizikal.
    iv- al-Fiqhu- kefahaman dalam agama.
  3. Yakni apabila dewasa dan sempurna pemikirannya, yang jelas sebelum kenabiannya kerana dia mendapat wahyu di Tursina sekembalinya dari Madyan nanti.
  4. Tetapi sebelum itu dia telah mendapat ilham dari Allah s.w.t, tidak menyembah Firaun, tidak syirik kepada Allah s.w.t sejak dari awal lgi.
  5. Sebagai persediaan kenabian juga Allah s.w.t mengurniakan kepadanya ilmu dan hikmah kebijaksanaan serta kekuatan fizikal yang sempurna.

AYAT 15- {DAN MASUKLAH IA KE BANDAR (MESIR) DALAM MASA PENDUDUKNYA TIDAK MENYEDARINYA, LALU DIDAPATINYA DI SITU DUA ORANG LELAKI SEDANG BERKELAHI, – SEORANG DARI GOLONGANNYA SENDIRI DAN YANG SEORANG LAGI DARI PIHAK MUSUHNYA. MAKA ORANG YANG DARI GOLONGANNYA MEMINTA TOLONG KEPADANYA MELAWAN ORANG YANG DARI PIHAK MUSUHNYA; MUSA PUN MENUMBUKNYA LALU MENYEBABKAN ORANG ITU MATI. (PADA SAAT ITU) MUSA BERKATA: \”INI ADALAH DARI KERJA SYAITAN, SESUNGGUHNYA SYAITAN ITU MUSUH YANG MENYESATKAN, YANG NYATA (ANGKARANYA) \”.} (AL-QASAS 28:15)

  1. Pada suatu hari nabi Musa a.s berjalan-jalan di dalam bandar di Mesir itu, kata ulama\’ tafsir waktu siang hari yang tiada orang ramai,, orang sedang berehat kerana itu tidak disedari oleh orang ramai peristiwa ini.
  2. Lalu dia mendapati dua orang sedang berkelahi dan saling memukul dan saling memaki hamun.
  3. Seorang dari mereka adalah dari Bani Israil dan seorang lagi adalah kaum Qibti (Mesir), kaum Fir\’aun. Diceritakan bahawa lelaki Qibti itu adalah tukang masak di dapur Fir\’aun. Dia memaksa lelaki Israil membawa kayu bakar ke dapur Fir\’aun, namun ia menolaknya. (cerita ini tidak ma\’thur).
  4. Lalu lelaki Israil meminta tolong kepada Musa a.s., walaupun dia tidak kenal tetapi mengecam Musa a.s sebagai seorang dari bani Israil. Ulama\’ kata ini juga menunjukkan Musa a.s sudah besar dan nampak kekuatannya kerana itu lelaki itu meminta pertolongannya. Jika masih kecil dan nampak lemah pasti tidak akan diminta tolong.
  5. Musa a.s sebagai seorang baik cuba menolong orang yang nampak dalam keadaan bahaya itu. Musa a.s. menumbuknya, tetapi kerana dia memiliki tenaga yang kuat, pukulannya itu menyebabkan kematian orang Qibti tersebut.
  6. Musa a.s amat terkejut kerana dia bukanlah berniat untuk membunuhnya, tetapi semata-mata membela lawannya, dan dia menyalahkan syaitan atas pembunuhan itu, ia merupakan hiasan dan was-was syaitan. Kerana ada riwayat dari sahabat yang menyandarkan benda buruk dari syaitan, manakala yang baik itu dari Allah s.w.t. . Ini sebagai beradab benda yang tidak baik kita tidak sandarkan kepada Allah s.w.t walaupun semua taqdir itu berlaku dengan kehendak Allah s.w.t.
  7. Ini kerana syaitan adalah musuh manusia yang nyata dan keinginannya untuk menyesatkan manusia sepanjang zaman.
  8. Dalam Hadis Syafaat yang panjang- Rasulullah s.a.w menceritakan tentang pada hari Kiamat kisah manusia berarak mencari syafaat dari satu nabi ke satu nabi sehingga tiba kepada Nabi Musa a.s. lalu mereka meminta syafaat darinya yang mendapat banyak anugerah dari Allah s.w.t., lalu beliau berkata:
    Maksudnya: Sesungguhnya pada hari ini Allah s.w.t telah murka yang semurka-murkanya, tidak pernah lagi murka seperti ini sebelumnya atau selepasnya nanti, sesungguhnya aku telah tersalah membunuh orang yang aku tidak diperintahkan membunuhnya. Maka setiap orang mahu menyelamatkan diri masing-masing, maka aku mahu menyelamatkan diri aku. Pergilah cari orang lain, mungkin nabi Isa a.s dapt menolong kamu. [HR Bukhari & Muslim].
  9. Ulama\’ kata nabi Musa a.s menyesali perbuatannya itu sehingga ke hari Kiamat kelak, padalah dia tidak sengaja membunuh orang Qibti itu dan sudahpun bertaubat.
  10. [عن عبدالله بن عمر:] إنَّ الفِتْنَةَ تَجِيءُ مِن هاهُنا وأَوْمَأَ بيَدِهِ نَحْوَ المَشْرِقِ مِن حَيْثُ يَطْلُعُ قَرْنا الشَّيْطانِ وأَنْتُمْ يَضْرِبُ بَعْضُكُمْ رِقابَ بَعْضٍ، وإنَّما قَتَلَ مُوسى الذي قَتَلَ، مِن آلِ فِرْعَوْنَ، خَطَأً فقالَ اللَّهُ عزَّ وجلَّ له: {وَقَتَلْتَ نَفْسًا فَنَجَّيْناكَ مِنَ الغَمِّ وفَتَنّاكَ فُتُونًا}.
    Dari Abdullah bin Umar r.a, Rasulullah memberitahu sesungguhnya nabi Musa a.s membunuh Qibti, ahli Firaun yang dia bunuh itu dengan tersalah, sebagaimana firman Allah s.w.t: {Dan semasa engkau membunuh seorang lelaki, lalu Kami selamatkan engkau dari kesusahan pembunuhan itu; dan Kami telah melepaskan engkau berkali-kali dari berbagai-bagai cubaan.} [Toha: 40]. [HR Muslim].
    11.Kata Imam Izzudin Abdus-Salam: Ini kerana nabi-nabi lain bukan ma\’sum seperti Rasulullah s.a.w yang telah dimaklumkan oleh Allah s.w.t bahawa dia telah diampunkan dosnya samada yang telah lepas atau yang akan datang. Tetapi tidak nabi-nabi lain, kerana itu nabi Musa a.s masih lagi menaruh kebimbangan dan runsing akan dosanya yang satu itu ketika diminta memberi syafaat. Boleh lihat Kitab: 41 Kelebihan Rasulullah s.a.w.

AYAT 16- {IA MERAYU (DENGAN SESALNYA): \”WAHAI TUHANKU, SESUNGGUHNYA AKU TELAH MENGANIAYA DIRI SENDIRI; OLEH ITU AMPUNKANLAH – APALAH JUA KIRANYA – AKAN DOSAKU\”. (MAKA ALLAH TAALA MENERIMA TAUBATNYA) LALU MENGAMPUNKAN DOSANYA; SESUNGGUHNYA ALLAH JUALAH YANG MAHA PENGAMPUN, LAGI MAHA MENGASIHANI.} (AL-QASAS 28:16)

  1. Musa a.s. amat terkejut dan menyesal atas kematian orang itu disebabkan pukulannya, kerana dia bukanlah berniat untuk membunuhnya. Dia juga belum dilantik menjadi nabi dan rasul ketika ini.
  2. Lalu Musa a.s. berdoa dan merayu kepada Tuhannya: {\”Tuhanku, sesungguhnya aku menzalimi diriku, maka ampunilah aku.\”}
  3. Dia menyesal dan bertaubat, maka Allah s.w.t mengampuninya, sesungguh Dia, Dia Maha Pengampun Maha Penyayang.

AYAT 17- {IA MERAYU LAGI: \”WAHAI TUHANKU, DEMI NIKMAT-NIKMAT YANG ENGKAU KURNIAKAN KEPADAKU, (PELIHARALAH DAKU) SUPAYA AKU TIDAK AKAN MENJADI PENYOKONG KEPADA GOLONGAN YANG BERSALAH\”.} (AL-QASAS 28:17)

  1. Musa a.s terus berdoa kepada Allah s.w.t dan berjanji sebagai rasa syukurnya atas kedudukan, kemuliaan, keampunan diterima taubatnya dan berbagai nikmat yang telah Allah s.w.t. anugerahkan kepada dirinya, dia membuat akujanji kepada Allah s.w.t;
  2. Bahawa dia tidak akan menjadi penyokong kepada golongan yang bersalah, orang yang jahat, zalim dan membuat kerosakan atau kejahatan { لْمُجْرِمِينَ ا } lagi.
  3. Bagaimana kisah Musa a.s seterusnya kita akan tengok dalam ayat berikutnya dalam siri yang akan datang insya\’ Allah.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 15-{ Maka orang yang dari golongannya meminta tolong kepadanya melawan orang yang dari pihak musuhnya;} dalam ayat ini Allah s.w.t شِيعَتِهِ (golongannya) dan عَدُوِّهِ (pihak musuhnya)- ini mengisbatkan isu الولاية والعداوة (ketaatan dan permusuhan). Artinya umat Islam mesti memberikan ketaatan dan bantuan kepada sesama Islam yang mendokong perjuangan Islam serta berlepas diri dan jangan memberi sokongan kepada orang kafir yang menetang Islam, bahkan wajib kita jauhi dan tentangi. Serta wajib berlepas diri dari segala kekufuran Ini adalah masalah wala\’ dan bara\’ (berlepas diri).
    2- Ayat 16- {Ia merayu (dengan sesalnya): \”Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya diri sendiri; oleh itu ampunkanlah – قَالَ رَبِّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي فَاغْفِرْ لِي
    Nabi Musa a.s apabila tahu dia telah bersalah terus menyesal dan mengakui dosanya dan meminta ampun dari Allah s.w.t. ulama\’ kata nabi Musa a.s ini tahu jalan untuk Begitulah juga kita apabila tersalah atau melakukan sesuatu dosa maka kena segera kembali ke pangkal jalan dengan:
    i- menyesal dengan sesungguh hati.
    ii- minta ampun
    iii- mengakui kesalahan dan dosa.
    *Inilah kelebihan mengakui dosa dihadapan Allah Azza wa Jalla. Sebagaimana perbuatan nabi-nabi sebelum ini yang mengakui segalanya kepada Allah s.w.t.
    Nabi Adam a.s dalam ayat ini: {Mereka berdua merayu: \”Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi\”. (Al-A\’raaf 7:23)
    Nabi Yunus pula: {Maka ia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: \”Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri\”.} (Al-Anbiyaa\’ 21:87)
    Dari hadis pula-Doa Mohon Keampunan:
    Dari Abu Bakr As Siddiq r.a bahwa dia berkata kepada Nabi SAW: Ajarlah aku doa yang aku boleh baca dalam solatku. Baginda menjawab: Ucapkanlah:
    اللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي ظُلْمًا كَثِيرًا وَلَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ فَاغْفِرْ لِي مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ وَارْحَمْنِي إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
    (Ya Allah, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri dengan kezaliman yang banyak, dan tidak ada yang boleh mengampuni dosa selain Engkau, maka ampunilah aku dari sisi-Mu, sesungguhnya Engkau Maha pengampun lagi Maha Penyayang).\” (HR Bukhari No: 5851)
    Hadis dari Aisyah r.a: Suatu hari Rasulullah bersabda kepadanya: Mana-mana hamba yang menyesal dan mengakui dosanya, kemudian dia bertaubat, Allah s.w.t akanmenerima taubatnya.\” [HR Bukhari & Muslim].
    Waktu yang paling dianjurkan untuk kita mencurah dan mengakui segalanya kepada Allah s.w.t adalah ketika kita bangun bermunajat beribadat kepada Allah s.w.t pada waktu malam tiada orang lain melihat dan mendengarnya walaupun psangan sendiri.
  2. Ayat 17- { aku tidak akan menjadi penyokong kepada golongan yang bersalah\”.} Nabi Musa a.s berjanji dengan Allah s.w.t tidak buat dan bersekongkol lagi dengan orang jahat dan zalim. Maka kita juga begitu jika sudah insaf dan bertaubat, berjanjilah kepada lah s.w.t tidak akan mengulanginya lagi, mudah-mudahan Allah s.w.t menerimanya maka kita akan menjadi orang baik sehingga ke akhir hayat.
  3. Ayat 14- {Dan demikian Kami membalas orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.} وَكَذَلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ
    Kata al- Hasan al-Basri rhm.: Sesiapa yang elok ibadatnya kepada Allah s.w.t pada masa waktu muda, Allah s.w.t akan anugerahkan kepadanya hikmah, ilmu dan kebijaksaan apabila dia tua nanti.
  4. Ayat 15- Orang yang bani Israil tadi minta tolong dari Musa a.s untuk diselamatkan. Kata ulama\’ untuk mempertahankan diri kita boleh mengguna apa senjata yang ada ditangan dan cara untuk selamat. Termasuk dalam kaedah pertahanan diri. دفع الصائل
  5. Dalam kes ini juga, boleh kita minta tolong dari makhluk/manusia dalam perkara yang dia mampu seperti tukang ruamah, mekaknik, doktor dan lain-lain pakar urusan kehidupan dunia dalam bidang masing-masing. Ini tidak akan merosakkan akodah dan tawakkal lita kepada Allah s.w.t. Tetapi dalam perkara yang luar kemampuan manusia kita wajib minta tolong dengan Allah s.w.t. atau dengan orang yang sudah mati- syirik.
  6. Ayat {ini amalan syaitan}- semua benda buruk dan maksiat itu datang dari syaitan. kerana memang pekerjaanya mahu menyesatkan manusia.
  7. Ayat 16- {Ia merayu (dengan sesalnya): \”Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya diri sendiri;} yakni dengan membunuh orang Qibti itu, bererti tidak harus kita membuhuh, menzalimi dan mengkhianati kafir biasa yang bukan harbi (memerangi Islam- harus) bahkan harus buat baik untuk berdakwah kepada mereka dan menunjuk contoh baik tentang Islam.
  8. Nabi Musa a.s berjanji tidak akan menolong lagi orang yang zalim dan bersalah. {لِلْمُجْرِمِينَ } Kita kena tolong dua-dua Islam ajar agar kita bantu orang zalim dengan menyekat dia dari terus melakukan kezaliman dan bantu orang yang dizalimi dari terus ditindas. Zalim disini melakukan mungkar dan maksiat dalam negara, cuba menyekat dakwah Islam dari berkembang.
    Sabda Rasulullah s.a.w: Hadis: \”Tolonglah saudara kamu dalam keadaan dia zalim dan dizalimi! Bantu orang yang zalim – maksudnya larang cegah / tegur/ halang dia dari buat kezaliman, kerana itu adalah jalan untuk membantunya.\” [HR Bukhari].
    Orang yang buat kezaliman, hakikatnya dia buat zalim pada diri sendiri. Maka kita bantu dia daripada menzalimi diri sendiri.
    Manakala membantu org yang dizalimi – seperti bantu atau bela seperti biasa, ikut keperluan supaya tidak dizamimi dan teraniaya.

SETAKAT INI DULU, KITA TENGOK APA YANG TERJADI KEPADA NABI MUSA A.S ESOK, INSYA\’ ALLAH. HARI INI, INGAT JUMAAT INGAT SELAWAT DAN JANGAN LUPA BACA SURAH AL-KAHFI.

Wallahu a\’lam.

Powered by BetterDocs