Surah Al-Baqarah : Ayat 236-237

HUKUM BERCERAI SEBELUM JIMAK, MAHAR DITENTUKAN ATAU TIDAK & GALAKAN MELEPASKAN MAS KAHWIN.

Full video : https://youtu.be/JCB6h3c5dLs?si=PnKSyjYHnvf1uh70

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam ayat 236 sehingga ayat 237 bagi surah Al-Baqarah.
    Ia surah yang kedua dalam juzu’ yang kedua.
  2. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan hukum seorang isteri yang diceraikan sebelum sempat jimak.
  3. Mereka ini ada dua kategorinya iaitu:
    i- Mahar tidak ditentukan, tidak disebut maskahwinnya;

    ii- Sudah ditentukan berapa maharnya. Maka berlainan peraturannya.
  4. Kemudian Allah SWT bawa galakan kepada si suami untuk melepaskan mas kahwin, yakni tak perlu dituntut balik dari isteri yang diceraikan.
  5. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas adalah perbincangan tentang perceraian yang ada iddah- iaitu terdapat pelbagai kategori:
    Tempoh iddah bagi yang bercerai hidup, yang ada haidh 3 kali suci, yang tidak ada haidh 3 bulan, yang hamil dengan melahirkan anak.
    Tempoh iddah bagi yang bercerai mati: empat bulan 10 hari kecuali yang hamil berakhir dengan melahirkan anak.

    ii- Ayat kita hari ini adalah kategori yang lain pula iaitu perceraian yang berlaku sebelum berlakunya persetubuhan antara dua suami isteri itu. Ia pula ada dua kategori – yang telah telah ditetapkan mas kahwinya & yang tidak disebut mas kahwinnya. Ini adalah kategori “janda berhias”.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 236- {TIDAKLAH KAMU BERSALAH DAN TIDAKLAH KAMU MENANGGUNG BAYARAN MASKAHWIN) JIKA KAMU MENCERAIKAN ISTERI-ISTERI KAMU SEBELUM KAMU SENTUH (BERCAMPUR) DENGAN MEREKA ATAU (SEBELUM) KAMU MENETAPKAN MASKAHWIN UNTUK MEREKA. WALAUPUN DEMIKIAN, HENDAKLAH KAMU MEMBERI “MUT’AH” (PEMBERIAN SAGUHATI) KEPADA MEREKA (YANG DICERAIKAN ITU).}

  1. Ayat kita hari ini menyatakan tentang hukum bagi seorang wanita yang diceraikan oleh suaminya sebelum berlaku persetubuhan atau sebelum ditetapkan mas kahwin untuk mereka.
  2. Allah menyatakan tidak ada salah yakni tidak mengapa jika sudah tidak ada bersefahaman lagi; untuk kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu sentuh bercampur dengan mereka atau sebelum kamu menetapkan maskahwin untuk mereka.
  3. Mereka ini (isteri) yang diceraikan itu pula terbahagi kepada dua kategori:
    i- Yang belum ditetapkan mas kahwinnya, bagi saguhati (mut’ah).

    ii- Yang telah ditetapkan mas kahwinnya, bagi separuh.
  4. Munasabah ayat:
    i- Apabila berlaku perceraian sebelum berlakunya persetubuhan dan belum ditetapkan mas kahwinnya, pastilah seorang perempuan itu akan berasa sedih, kecil hati & kecewa dengan nasibnya. Apatah lagi pada zaman viral ini, pastilah akan menjadi bualan orang ramai juga.

    ii- Maka untuk menenangkan hati & jiwa perempuan itu, maka Allah suruh berilah saguhati kepadanya.

AYAT 236- {IAITU: SUAMI YANG SENANG (HENDAKLAH MEMBERI SAGUHATI ITU) MENURUT UKURAN KEMAMPUANNYA; DAN SUAMI YANG SUSAH PULA MENURUT UKURAN KEMAMPUANNYA, SEBAGAI PEMBERIAN SAGUHATI MENURUT YANG PATUT, LAGI MENJADI SATU KEWAJIPAN ATAS ORANG-ORANG (YANG MAHU) BERBUAT KEBAIKAN.} (AL-BAQARAH 2:236)

  1. Maka hukumnya jika belum ditetapkan lagi mas kahwinnya maka berilah saguhati { وَمَتِّعُوهُنَّ} kepadanya mengikut ukuran kemampuan suami.
  2. Yakni beli baju ikut ukuran badan empunyanya.
    Jika suami seorang yang kaya & senang bagilah banyak ikut kesesuaian, jika suami orang susah juga ikutlah kemampuannya. Yang pentingnya dengan persetujuan yang baik {بِٱلْمَعْرُوفِ}.
  3. Ini adalah satu kewajiban bagi orang yang yang mahu berbuat kebaikan.
    Orang muhsin, orang baik akan beri benda baik!
  4. Yakni para suami jangan kedekut, berilah daripada harta kamu itu bahagian untuk bekas isteri yang telah diceraikan itu sebagai hadiah untuk mereka. Untuk mengurangkan sedikit kesedihan & kekecewaan mereka akibat perceraian itu.

AYAT 237- {DAN JIKA KAMU CERAIKAN MEREKA SEBELUM KAMU SENTUH (BERCAMPUR) DENGAN MEREKA, PADAHAL KAMU SUDAH MENETAPKAN KADAR MASKAHWIN UNTUK MEREKA, MAKA MEREKA BERHAK MENDAPAT SEPARUH DARI MASKAHWIN YANG TELAH KAMU TETAPKAN ITU, KECUALI JIKA MEREKA MEMAAFKANNYA TIDAK MENUNTUTNYA); ATAU (PIHAK) YANG MEMEGANG IKATAN NIKAH ITU MEMAAFKANNYA (MEMBERIKAN MASKAHWIN ITU DENGAN SEPENUHNYA).}

  1. Manakala ayat ini pula menyatakan peraturan bagi kategori kedua iaitu: Isteri yang diceraikan sebelum jimak & yang telah ditetapkan maskahwinnya.
  2. Allah nyatakan bahawa mereka si isteri ini berhak mendapat separuh daripada jumlah maskahwin yang telah ditetapkan itu.
    Contohnya : Jika telah dipersetujui untuk beri 10 ribu maharnya, maka apabila bercerai isteri berhak dapat separuh daripadanya iaitu 5 ribu.
  3. Inilah ketetapan dan peraturan yang telah dibuat oleh Allah yang mesti kamu laksanakan.
    Kecuali jika:
    i- Si isteri memaafkan, tidak menuntut maskahwin itu. Dia tidak mahu ambilnya dan serahkan balik kepada si suami semuanya! Inilah yang lebih baik.

    ii- Atau pihak yang memegang ikatan nikah itu (si suami) memaafkannya juga, yakni tidak mahu ambil balik maskahwin itu, beri hadiah untuk bekas isterinya itu tanpa perlu hantar balik walaupun sebahagiannya. Yakni beri sepenuhnya.

AYAT 237- {DAN PERBUATAN KAMU BERMAAF-MAAFAN (HALAL MENGHALALKAN) ITU LEBIH HAMPIR KEPADA TAQWA. DAN JANGANLAH PULA KAMU LUPA BERBUAT BAIK DAN BERBUDI SESAMA SENDIRI. SESUNGGUHNYA ALLAH SENTIASA MELIHAT AKAN APA JUA YANG KAMU KERJAKAN.} (AL-BAQARAH 2:237)

  1. Jika kamu saling bermaaf-maafan dan saling halal-menghalalkan, maka perbuatan itulah yang lebih hampir kepada taqwa!
    Si suami atau isteri yang memaafkan itu adalah yang terbaik!
  2. Janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri.
    Ini kerana walaupun sudah putus ikatan perkahwinan (kerana sebab yang tidak dapat dielakkan) mereka masih tetap ada hubungan, masih perlu berbaik sebagai saudara seagama.
  3. Kecuali yang terpisah kerana perbalahan, godaan manusia atau syaitan, pastilah perasaan permusuhan itu ada, apatah lagi jika kerana sihir! Kena ambil kiralah semua ini.
  4. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu menyentuhnya, maka tiadalah kamu berhak terhadap mereka mengenai sebarang iddah yang kamu boleh hitungkan masanya. Oleh itu, berilah “mut’ah” (pemberian sagu hati) kepada mereka, dan lepaskanlah mereka dengan cara yang sebaik-baiknya.} (Al-Ahzaab 33:49)

    Ayat ini juga menjadi nas yang membawa hukum bahawa tidak ada iddah bagi perempuan yang diceraikan sebelum persetubuhan.
    Imam asy-Syafei menukilkan ijma’ ulama’ tentangnya & tidak ada khilaf yang diketahui.
  5. Timbul lagi perbahasan ulama’ tentang isu berkhalwat iaitu sudah pernah duduk bersama (serumah dan sebilik lagi) walaupun tidak melakukan persetubuhan:
    i- Majoriti ulama’ kata : Bila seorang lelaki itu sudah pernah berkhalwat (berduaan, bersunyi-sunyi) bersama seorang wanita, jangan ambil balik lagi maharnya.
    Ini kerana perbuatan itu bukan perkara kecil. Status si perempuan itu telah bertukar dari anak dara kepada janda (walaupun berhias).
    Tetapi semuanya bergantung kepada persetujuan bersama secara baik (بِٱلْمَعْرُوفِ).

    ii- Iddahnya juga sama, tetap tidak ada tempoh. Selesai saja perceraian boleh terus kahwin lain jika mahu.
  6. Untuk perbincangan detail dalam bab ini boleh lihat kuliah Kitab Fiqh Manhaji dalam Bab Talaq.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 236- {Tidaklah kamu bersalah dan tidaklah kamu menanggung bayaran maskahwin) jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka atau (sebelum) kamu menetapkan maskahwin untuk mereka.}-

    Allah SWT kata dalam ayat ini tidaklah menjadi kesalahan bagi kamu untuk menceraikan isteri yang belum kamu sentuh (jimak). Allah juga sebut tentang dua keadaan wanita dalam ayat ini, iaitu wanita yang yang diceraikan sebelum disentuh dan:
    i- Telah ditetapkan mas kahwinnya.

    ii- Yang belum ditetapkan mas kahwinnya.

    Apakah hikmah kenapa Allah suruh bekas suami beri juga saguhati (متعة) walaupun sudah bercerai & tidak disentuh:
    i- Menenangkan hati wanita yang mungkin kecewa & sedih dengan perceraian itu. Ku sangka panas sehingga ke petang- rupanya hujan di tengahari.

    ii- Sebagai sedikit ganti-rugi terhadap nama baik & maruah wanita itu. Dari anak dara turun kepada status janda.

    iii- Untuk angkat sikit maknawiyat (perasaan) wanita itu & keluarganya.
    Sebagai kenangan atau sumbangan, ganti-rugi atas perbelanjaan yang telah digunakan untuk kenduri dan sebagainya. Jika sudah disebutkan jumlah mas kahwin- boleh ambil ambil balik separuh daripadanya jika suami mahu, atau lebih baik jika hadiahkan semuanya kepada bekas isteri dan itu lebih kepada bertaqwa firman Allah.
  2. Ayat 236- {Walaupun demikian, hendaklah kamu memberi “Mut’ah” (pemberian saguhati) kepada mereka (yang diceraikan itu). Iaitu: suami yang senang (hendaklah memberi saguhati itu) menurut ukuran kemampuannya; dan suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya, sebagai pemberian saguhati menurut yang patut,}-

    Dalam ayat ini Allah kata berilah mut’ah itu ikut keadaan kamu. Allah tidak menetapkan jumlah yang tepat tentang kadar mut’ah ini.
    Tengok keadaan & kemampuan, buatlah penilaian yang adil & baik:
    i- Lihat keadaan si suami itu- yang kaya berilah banyak, yang miskin ikut kemampuannya!

    ii- Lihat keadaan perempuan & keluarganya jika mereka bukan orang senang, sudah banyak berhabis belanja untuk majlis berilah saguhati yang sesuai. Si isteri juga telah jatuh statusnya bertukar dari anak dara menjadi janda. Yang penting berbincang & nilailah kadar pemberian tersebut dengan baik {مَتَـٰعًۢا بِٱلْمَعْرُوفِ ۖ}.
  3. Ayat 236- {Iaitu: suami yang senang (hendaklah memberi saguhati itu) menurut ukuran kemampuannya; dan suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya, sebagai pemberian saguhati menurut yang patut,}-

    Ayat ini menunjukkan kepada keindahan Islam. Allah SWT tidak tetapkan, tidak letakkan jumlah yang khas bagi masalah kadar nafkah, mas kahwin dan seumpama.
    Islam mengambil kira keadaan seorang suami atau bapa itu dalam mengeluarkan nafkah. Ia mengambil kira kemampuan seseorang!
    Kerana itu ia sebut dengan jelas; suami yang menurut ukuran kemampuannya; dan suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya juga!
    Tetapi Allah sebut juga di akhir ayat sebagai peringatan: {lagi menjadi satu kewajipan atas orang-orang (yang mahu) berbuat kebaikan.- حَقًّا عَلَى ٱلْمُحْسِنِينَ}- Sebagai galakan untuk memberi bagi orang yang baik dan sebagai amaran daripada menjadi orang bakhil & menganiayai orang lain. Maka kita mestilah menjadi orang yang baik.
  4. Ayat 237- {Dan perbuatan kamu bermaaf-maafan (halal menghalalkan) itu lebih hampir kepada taqwa.}-

    Jika kamu maafkan dia- halal & lepaskan mas kahwin itu- maka itulah perbuatan yang lebih hampir kepada taqwa!
    Orang yang baik; kesabaran & sifat pemurahnya lebih tinggi.
    Ulama’ tadabbur kata amalan kita ini berperingkt.
    Orang yang imannya kuat & kesabaran yang tinggi dia boleh menerima taqdir dengan baik!
    Ulama’ tadabbur juga kata : Baik perangai, perbuatan yang baik menunjukkan keimanan yang tinggi kepada Allah SWT!
  5. Ayat 236- {Dan janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri.}-

    Yakni apabila berlaku perceraian, sabar jangan emosi, jangan mudah marah & stress.
    Ingatlah hubungan baik & kebaikan yang telah dilakukan antara satu sama lain sebelum berlakunya perceraian itu.
    Sepanjang tempoh merisik, meminang, akad nikah dan lain-lain proses pasti telah ada hubungan, persahabatan dan layanan baik yang telah dibuat kepada satu sama lain.
    Yakni telah ada perasaan suka & senang itu, cuma jodoh & hubungan itu tidak perpanjangan.
    Maka jangan lupa hubungan baik yang telah terjalin sebelum itu, bekas mertua kita, bekas isteri/suami kita. Jika tak jadi, berpisahlah dengan baik, jangan kata-mengata, maki-memaki dan seumpamanya.

    Kata Imam Al-Mujahid RHM: Ayat ini adalah galakan untuk:
    i- Bagi pihak suami, untuk memberi semua mas kahwin sebagai hadiah kepada si isteri jika suami itu orang senang. Tidak perlu ambil balik separuh ataupun semua.

    ii- Bagi pihak isteri pula- juga sebagai galakan kepada si isteri untuk memulangkan semua mas kahwinnya; jika si suami itu pula orang susah tidak berapa senang. Boleh dia gunakan untuk keperluan atau perkahwinannya yang baru.
    Ayat ini galakan agar kita jangan mudah lupa kebaikan orang kepada kita sebelum ini.
    Insya’ Allah dalam ayat yang akan datang kita bincangkan bab solat pula.

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.

Powered by BetterDocs