Surah Ali-‘Imran : Ayat 21-22

YAHUDI MEMBUNUH NABI DAN PARA PENDAKWAH & GUGUR AMALAN MEREKA.

Full video : https://youtu.be/r_ypuUUd32k?si=SV3nDSruUJ5oiCBE

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir bagi ayat 21 sehingga 22, surah Ali-‘Imran iaitu surah yang ketiga, dalam juzu’ yang ketiga.
  1. Dalam siri ini Allah SWT menceritakan tentang yahudi membunuh nabi dan para pendakwah yang ikut nabi.
  1. Maka Allah bagi amaran keras bahawa segala amaran mereka di dunia ini akan gugur dan tiada apa faedah atau pahala di Akhirat kelak.
  1. Juga bahawa tiada siapa yang dapat menolong menghalang mereka daripada azab siksa Allah SWT.
  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang sebelumnya Allah menceritakan tentang ikhtilaf ahli kitab yahudi & nasrani yang berpunca dari kejahatan hasad dengki & dendam iri hati (البغي والحسد).
    Ini setelah kedatangan ilmu- ada di hadapan mereka Nabi SAW & Al-Quran.
    Allah juga ajar jika mereka datang nak berhujjah dengan Rasulullah SAW : Nyatakan pendirian yang tegas bahawa aku ini orang Islam yang menyerah diri kepada Allah SWT!

    ii- Dalam ayat ini menyatakan bahawa mereka ahli Kitab ini bukan hanya menentang Rasulullah SAW bahkan mereka telah membunuh para Nabi sebelum ini bukan hanya menolak dakwah yang dibawa.
    Mereka kaum yahudi dikenali sebagai pembunuh para anbiya’ (قتلة الأنبياء).
    Mereka telah membunuh Nabi Zakaria, nabi Yahya AS dan beberapa orang lagi nabi yang telah diutus Allah kepada mereka.
    Mereka juga membunuh para pendakwah, orang baik-baik di kalangan mereka yang menyeru kepada kebaikan.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 21- {SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG KUFUR INGKAR AKAN AYAT-AYAT KETERANGAN ALLAH DAN MEMBUNUH NABI-NABI DENGAN JALAN YANG TIDAK BENAR, SERTA MEMBUNUH ORANG-ORANG YANG MENYERU MANUSIA SUPAYA BERLAKU ADIL MAKA SAMPAIKANLAH BERITA YANG MENGEMBIRAKAN MEREKA, DENGAN AZAB SEKSA YANG TIDAK TERPERI SAKITNYA.} (ALI-‘IMRAN 3:21)

  1. Inilah kejahatan puak kafir ini bukan setakat melawan, menentang ajaran para nabi tetapi membunuh para nabi & para pendakwah yang menyeru manusia ke arah kebaikan & keadilan.
  1. Yahudi pada masa dahulu telah terkenal sebagai pembunuh para nabi-nabi (قتلة الأنبياء); jadi Allah ungkit semula kisah ini untuk memberi peringatan & amaran kepada yahudi pada zaman Rasulullah SAW agar mereka jangan cuba lagi mengulangi kesalahan & perbuatan jahat nenek moyang mereka itu!
    Jangan menambah rekod buruk keturunan mereka dalam dunia ini.
  1. Lagi kesalahan mereka ahli kitab ini ialah:
    i- Kufur kepada Allah SWT & mendustakannya dengan sombong angkuh & keras kepala menolak ayat-ayat-Nya.

    ii- Mereka juga membunuh para nabi dengan jalan yang tidak benar!
    Ada dua qiraa’t bacaan bagi ayat ini:
    a- Bacaan pertama {وَيَقْتُلُونَ ٱلنَّبِيِّـۧنَ} mereka membunuh para nabi tanpa ada apa-apa perlawanan.
    Mereka saja bunuh dengan zalim dan kejam.

    b- Bacaan kedua {وَيَقاتِلُونَ ٱلنَّبِيِّـۧنَ} iaitu pembunuhan dalam peperangan atau perlawanan.

    iii- Selain daripada nabi mereka juga membunuh para pendakwah & pengikut nabi, yang menyambung tugas dakwah para nabi.
  1. Mereka membunuh para nabi & pendakwah ini kerana tidak mahu menerima ajaran yang dibawa mereka!
    Kerana itu ulama’ tadabbur kata : Punca kerosakan manusia ialah kerana sombong angkuh & takabbur.
    Maka kita yang mengaji Al-Quran & hadis ini kena pastikan hati kita bersih daripada sifat yang keji ini!
  1. Dalil buruknya sifat ini ialah hadis Nabi SAW: “Sombong adalah menolak kebenaran dan meremehkan orang lain.” (HR. Muslim)
  1. Jadi parameter atau kayu ukur sombong ini ialah:
    i- Menolak kebenaran. Walaupun tahu ia benar tetapi tak mahu terima kerana sombong.

    ii- Merendahkan orang lain, inilah sifat sombong takabbur & angkuh. Apabila orang nasihat dia bukan saja tak terima nasihat, tetapi dia akan kecam hina merendahkan orang yang menasihati yang tak kena dengan jiwa mereka itu.
    Manakala riya’ : Rasa bangga diri sendiri saja tetapi dia tidak menghina atau merendahkan orang lain!
  1. Ulama’ tadabbur bawa persoalan kenapa disebut mereka membunuh para nabi & orang yang menyuruh kepada kebaikan?
    Sedangkan para nabi itu orang yang awal menyuruh kepada kebaikan, bukankah sama saja?
    Jawapannya : Disebut khas nama nabi untuk menunjukkan betapa jahat & buruknya perbuatan mereka; kerana membunuh para nabi pastilah lebih besar jenayah & dosanya daripada membunuh orang biasa!

    Seperti bandingan:
    i- Orang yang buat maksiat di Makkah & di tempat lain juga.

    ii- Orang yang mengumpat dalam masjid dengan mengumpat di kedai kopi. Kesemuanya berdosa tetapi pastilah buat jahat ditempat yang mulia lebih buruk dan besar dosanya!
    1. Di mana ada orang nak dengar, di mana ada orang nak belajar; kita usahakan untuk menyampaikan ilmu & nasihat yang baik biar samapai ilmu dan ayat-ayat Allah. Jika orang tak mahu biarkan mereka.
    1. Kerana itu kata ahli motivasi :
      Di mana bumi yang subur di situlah benih kita tabur. Jika kita tahu tanah itu kering dan tak subur, tiada faedah untuk bercucuk tanam di situ! Begitu juga dakwah kita ini di mana ada orang nak dengar di alam maya atau di alam nyata kita sampaikan!
    1. Di akhir ayat Allah kata : Sampaikan kepada mereka khabar gembira (فَبَشِّرْهُم) dengan azab siksa neraka yang tidak terperi sakitnya!
    1. Perkataan mengembirakan yang disebut dalam ayat ini hanyalah untuk mengejek orang kafir yahudi yang kejam itu!
      Kerana mana gembiranya khabar tentang azab Allah (بِعَذَابٍ) itu bahkan mendukacitakan & menghina mereka! Ini adalah ayah istihza’ (perlian, ejekan, sarcastic) untuk memerli mereka!
    1. Tiga dosa mereka : Kafir, bunuh nabi dan bunuh pendakwah yang disebut dalam ayat ini, akan dibalas dengan tiga hukuman juga yang akan disebut dalam ayat berikutnya.

    AYAT 22-{MEREKA ITULAH ORANG-ORANG YANG TELAH ROSAK AMAL PERBUATANNYA DI DUNIA DAN DI AKHIRAT, DAN MEREKA TIDAK AKAN MEMPEROLEH SESIAPA PUN YANG DAPAT MEMBERI PERTOLONGAN.} (ALI-‘IMRAN 3:22)

    1. Maka kerana tiga dosa mereka tadi maka terimalah 3 berita gembira ini pula sebagai hukuman mereka:
      i- Amalan mereka rosak & terbatal. Semuanya gugur tanpa nilai di sisi Allah!
      Atas dunia pun mereka tak dapat kesan yang baik, orang tak puji & tak bagi penghargaan kepada mereka bahkan mereka dicela dihina, dilaknat atas dunia lagi sehinggalah ke Akhirat laknat ini berterusan sampai ke hari Kiamat.
      Allah SWT sendiri sebut mereka yahudi pembunuh nabi-nabi itu sebagai: {ٱلْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ}- {orang-orang yang telah dimurkai Allah}, kembar mereka ialah orang yang sesat {ٱلضَّآلِّين} iaitu golongan nasrani.
      Kita orang Islam berada di tengah-tengah maka jangan buatlah perkara yang sesat & yang dimurkai Allah SWT.
      Inilah jalan ahli Sunnah orang yang ikut nabi SAW, para sahabat & para ulama’ Salafus-Soleh.

      ii- Di Akhirat pula pahala amalan baik jika ada yang mereka buat di dunia dulu tidak akan dikira, semuanya hilang berguguran & terbatal.

      iii- Tidak ada sesiapa yang dapat menolong & selamatkan mereka selamat daripada azab yang disediakan Allah SWT!
    1. Kata ulama’ tadabbur : Inilah tiga lawan tiga, 3 dosa & 3 hukumannya, wal-‘iyazu billah!

    PENUTUP & FAEDAH :

    1. Ayat 21- {Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah dan membunuh Nabi-nabi dengan jalan yang tidak benar,}-

      Ayat ini Allah SWT cela kaum yahudi pada zaman nabi SAW yang sempat jumpa Baginda SAW tetapi tidak mahu beriman.
      Allah cela mereka dengan mengungkit kisah tok nenek mereka yang jahat dan kufur juga- kejahatan itu terpalit dan turun juga kepada anak cucu mereka ini.
      Terdapat kisah sahih dalam sirah nabi SAW tentang beberapa percubaan kaum yahudi di Madinah ini untuk membunuh Rasulullah SAW!

      Boleh baca kisahnya dalam buku ini : Madinah Munawwarah https://dartaibah.com/?page_id=179…
      Jadi perangai mereka ini sama dengan perangai tok nenek mereka, tok nenek yang jahat membawa kesan kepada zuriatnya!
      Sebagaimana kisah sebaliknya di dalam surah al-Kahfi- tok nenek yang beriman & soleh memberi kebaikan kepada anak cucunya yang beriman juga!
      Dalam ayat ini Allah gunakan fe’el (فعل المضارع) yakni present tense bukan past tense (فعل الماضي) sedangkan perkara itu telah berlaku. Kenapa?
      Untuk menunjukkan beratnya perbuatan jahat itu serta perbuatan mereka itu berulang, bukan hanya tok nenek mereka telah membunuh anbiya’ bahkan anak cucu mereka sekarang ini juga mahu membunuh Nabi SAW!
      Maka jika kita nak anak cucu dapat tempias kebaikan & kesolehan kita maka kita tinggalkanlah kebaikan.
      Kerana manusia yang baik ialah yang kebaikan & pahalanya tidak mati walaupun dia telah meninggal dunia!
    1. Ayat 22-{Mereka itulah orang-orang yang telah rosak amal perbuatannya di dunia dan di akhirat, dan mereka tidak akan memperoleh sesiapa pun yang dapat memberi pertolongan.}-

      Tiga balasan hukuman untuk tiga perbuatan dosa!
      Tiga azab yang datang untuk tiga maksiat!
      Iaitu kerana mereka buat keburukan atas dunia ini maka:
      i- Berita gembira tentang azab { فَبَشِّرْهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٍ}

      ii- Amalan baik atas dunia semuanya rosak terbatal { حَبِطَتْ أَعْمَـٰلُهُمْ}

      iii- Mereka akan kekal di dalam neraka tiada siapa yang dapat menolong mereka { وَمَا لَهُم مِّن نَّـٰصِرِينَ}!
      Kita orang beriman apabila kita buat kebaikan & kebajikan atas dunia ini, ia akan jadi pahala iaitu asset kita untuk Akhirat yang dapat membawa kita ke syurga! Mereka orang kafir tiada nilai apa segala perbuatan baik mereka!
    1. Ayat 21- {serta membunuh orang-orang yang menyeru manusia supaya berlaku adil maka }-

      Mereka bunuh orang yang suruh orang buat baik daripada kalangan manusia!
      Orang yang suruh orang buat baik- amar ma’ruf dan nahi mungkar akan dibenci & ditentang oleh orang kafir!

      Kata para ulama’ : Kerja amar ma’ruf nahi mungkar ini juga kerja & tugas umat terdahulu bukan tugas kita saja.
      Sebagaimana punca orang terdahulu dilaknat ialah seperti kisah yang Allah sebut dalam Al-Quran adalah kerana tidak menjalankan tugas amar ma’ruf nahi mungkar ini.
    1. Ayat 21- {serta membunuh orang-orang yang menyeru manusia supaya berlaku adil maka }-

      Orang yang mengambil tanggungjawab berdakwah amar ma’ruf nahi mungkar ini kedudukan mereka adalah selepas daripada maqam (taraf) rasul & anbiya’!
      Para pemdakwah ini senjata mereka ialah:
      i- Mereka kena ada ilmu untuk ajar orang buat kebaikan juga ilmu untuk melarang orang itu.

      ii- Nak buat tugas ini kena ikhlas kerana Allah SWT, bukan kerana nak tunjuk kuasa (gedebey) nak sekodeng orang dan lain-lain niat yang tak baik.
    1. Prinsip amar ma’ruf nahi mungkar ada beberapa perkara yang perlu kita tahu & belajar.

      i- Prinsip pertama : Tak perlu sempuran untuk tegur.
      Apakah sebelum amar ma’ruf nahi mungkar itu kita sendiri kena baik & telah sempurna?
      Ulama’ ahlus-Sunnah kata : Tidak syarat, kerana bila kita nak tunggu diri kita baik, jika ia berlaku di hadapan mata kita wajib kena tegur!

      Kata ulama’ : Suruhlah orang buat baik & laranglah kejahatan sehingga diri kita pun menjadi baik & sempurna!
      Yakni walaupun tidak elok jika kita juga masih buatnya; tetapi sekurang-kurang ada ingkar atau bantahan daripada masyarakat!
      Jika tidak masyarakat akan hanyut, koyak sekali dengan ahli maksiat, nak tegur tak boleh sebab dia juga rasa tak baik!
      Kerja ini umum kepada seluruh manusia bukan hanya untuk ustaz saja!

      ii- Prinsip kedua : Semua orang kena menjalankan tugas ini!
      Benda mungkar wajib diingkari oleh sesiapa saja yang mampu untuk melarang & menghalangnya ikut kemampuan & kuasa yang ada. Tidak kira dia ustaz atau bukan, dia pegawai agama atau pegawai kilang, dia ketua atau rakyat biasa; semua wajib jalankan.

      Sabda Rasulullah SAW tentang kategori mencegah mungkar ini:
      عَنْ أَبِي سَعِيْد الْخُدْرِي رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَقُوْلُ : مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَراً فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ اْلإِيْمَانِ.
      “Dari Abu Sa’id Al Khudri RA berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Siapa yang melihat kemungkaran maka ubahlah dengan tangannya, jika tidak mampu maka ubahlah dengan lisannya, jika tidak mampu maka ubahlah (tolaklah) dengan hatinya dan hal tersebut adalah selemah-lemahnya iman.” [HR Muslim]
      Jika dengan hati pun tidak ingkar maka itu bukan iman yang lemah lagi tetapi iman yang kena stroke & nyawa-nyawa ikan!

      iii- Prinsip ketiga : Bolehkan kita tinggalkan tugas amar ma’ruf nahi mungkar ini?
      Jawapannya tidak boleh ditinggalkan, ini kerana jika kita tidak mengingkari perbuatan mungkar apabila datang bala dari Allah SWT semua akan kena! Tidak kira orang baik atau orang jahat semua akan kena bala.
      Yang penting nak larang orang pastikan dulu perkara itu adalah sesuatu yang mungkar, jika kita tak pasti rujuklah dulu kepada yang tahu & berkenaan.

      iv- Perinsip keempat : Penting juga untuk kita ingkari sesuatu itu mengikut peringkat kemampuan kita.
      Jangan melulu & melampau sehingga membawa mudharat atau bahaya ke atas diri sendiri atau orang lain juga.
      Ini kerana mengingkari kemungkaran ini jangan sampai membawa kepada mungkar yang lebih besar.
      Boleh baca perbincangan lanjut tentang tajuk ini dalam kitab yang kuliahnya setiap pagi Jumaat jika AAM tak musafir: Islam Adalah Cara Hidup https://dartaibah.com/?page_id=179…

    Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.
    Wallahu A’lam

    Powered by BetterDocs