SURAH AL-QASAS : AYAT 1-6

\"\"

MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH, KISAH NABI MUSA BERDEPAN DENGAN FIR\’AUN & KESOMBONGAN FIR\’AUN TERSUNGKUR AKHIRNYA

Full video : https://youtu.be/X5tnDSXJK9g

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini 23hb Muharram 1443H bersamaan 1hb September 2021 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Al-Qasas.
  2. Surah Al-Qasas, surah ke-28 dalam tertib susunan al-Quran, dalam juz ke 20 dan mengandungi 88 ayat.
  3. Hampir ittifaq ulama\’ tafsir mengatakan surah ini diturunkan di Makkah maka ia adalah surah Makkiyyah kecuali satu ayat ada ulama\’ kata turun di Juhfah iaitu ayat 85. Ada juga kata turun di Makkah kecuali ayat 52-55, yang dikatakan turun di Madinah.
  4. Dinamakan surah ini Surah Al-Qasas, yang bererti Kisah-kisah; Dinamakannya kerana perkataan ini disebut dalam ayat ke-25, iaitu tentang kisah Nabi Musa a.s apabila dia tiba di Madyan dan berjumpa seorang lelaki soleh (ada kata Nabi Syua\’ib) lalu dia menceritakan tentang kisah yang berlaku kepadanya semasa di Mesir. Ulama\’ kata tiada nama lain lagi yang dikenali bagi surah ini.
    Ibnu Asyur berkata: Nama surah ini diambil namanya daripada beberapa kisah/hikayat yang dikisahkan. Juga terdapat namanya disebut dalam beberapa \’Athar\’, perkataan sahabat dari Abdullah ibnu Abbas r.a dan Abdullah Ibnu Az-Zubair r.a yang menyebut nama ini.
  5. Al-Quran itu memang turunnya secara berperingkat mengikut keadaan, tetapi susunan kedudukan ayatnya diatur oleh Rasulullah s.a.w dan dibaca serta diperiksa balik bersama malaikat Jibril setiap tahun pada Ramadhan.

MAQASID / OBJEKTIF KANDUNGAN SURAH :

  1. Surah ini menyebut tentang tauhid dan keEsaan Allah s.w.t. serta kisah-kisah nabi yang terdahulu bersama kaum mereka untuk menenangkan hati Rasulullah s.a.w.
  2. Menjelaskan tentang kuasa Allah s.w.t untuk membinasakan orang zalim yang terpedaya dengan kekuasan, kekayaan dan kemewahan hidup yang mereka ada.
  3. Untuk menetapkan hati orang yang beriman dan menguatkan keazaman mereka serta memberi khabar gembira kepada mereka bahawa akhir orang yang benar akan menang. Sebagaimana nabi-nabi terdahulu yang sudah melalui proses berlawan dengan kaumnya serta menang akhirnya seperti nabi Musa a.s dan Nuh a.s.
  4. Diminta supaya bersifat tawadhuk merendah diri kepada Allah. Juga serahkan urusan kita kepada Allah setelah berusaha sedaya upaya.

INTISARI KANDUNGANNYA :

  1. Menerangkan kebenaran al-Quran dan kandungannya yang jelas nyata. Setelah Allah s.w.t ceritakan tentang kisah nabi Musa a.s yang telah berlalu zamannya, maka dinyatakan nikmat kepada Rasulullah s.a.w bahawa Baginda dengan nikmat tersebut dapat menceritakan perkara ghaib itu secara terperinci seperti apa yang berlaku kepada Musa a.s dan nabi-nabi yang lain, sedangkan:
    i- Baginda s.a.w masih belum ada lagi pada masa itu, masih di alam zuriat.
    ii- tidak berlaku di depan matanya.
    iii- tidak pernah belajar dari mana-mana guru atau ahli kitab.
    Semua ini semata-mata melalui wahyu dan mukjizat dari Allah s.w.t. Inilah hikmah Allah s.w.t menjadikan Rasulullah s.a.w seorang yang tidak pernah belajar, tidak membaca dan menulis, untuk mengelak fitnah sebagai seorang yang mencedok ajarannya.
  2. Dijelaskan walaupun al-Quran itu tidak turun sekaligus, bahkan secara sedikit demi sedikit, ikut keperluan dan keadaan semasa, tetapi ia berhubung antara satu sama lain. Mengandungi hukum-hukum, keterangan, nasihat dan pengajaran, kisah dan serta bukti dasar tauhid dan kebenaran para rasul dan nabi yang diutuskan.
  3. Allah s.w.t yang mencipta semua makhluk, ada yang dipilih dan diberikan keutamaan seperti para rasul dan nabi, maka tidak patut bagi sesiapa pun memilih yang lain selain yang dipilih oleh Allah s.w.t. Juga tidak patut bagi para Quraisy itu memilih jalan yang lain dengan mempersekutukan Allah s.w.t dan mendustakan Rasulullah s.a.w.
  4. Wajib menyerah diri bulat-bulat kepada Allah s.w.t, tetapi sebelum itu juga wajib berusaha sebagai ikhtiar. Bukan hanya tawakkal tanpa melakukan apa-apa.
  5. Sebab kaum Quraisy mendustakan kebenaran adalah kerana terpedaya dengan kekayaan dan kedudukan mereka – lalu dibawa kisah Qarun sebagai pengajarannya.
  6. Hendaklah berusaha untuk melakukan amal ibadat sedaya upaya sebagai bekalan akhirat tetapi jangan lupa juga kehidupan dunia yang kita lalui ini.
  7. Surah ini diakhiri dengan kisah Rasulullah s.a.w yang terpaksa keluar berhijrah ke Madinah setelah diancam untuk ditangkap dan dibunuh. Lalu Allah s.w.t turunkan ayat-ayat al-Quran ini untuk menguatkan semangatnya bahawa kemenangan akan menjadi miliknya pada akhirnya nanti.

TAJUK-TAJUK ATAU ISU DALAM SURAH :

  1. Kedudukan dan ketinggian al-Quran. Pakar bahasa dan sasterawan Arab pada masa itu tidak mampu untuk mencabarnya.
  2. Disebut lagi tentang kezaliman dan kejahatan Firaun serta kebinasaannya serta kemenangan kaum Bani Israil yang diselamatkan.
  3. Sebelum ini disebut dalam surah asy-Syuara\’ kisah yang panjang tentang Nabi Musa a.s. Manakala dalam surah an-Namli pula disebut secara ringkas tetapi lebih fokus kepada kisah Musa a.s bersama keluarganya di Tursina.
  4. Dalam surah ini sekali lagi kisah yang panjang tentang nabi Musa a.s bermula sebelum Musa a.s lahir lagi serta;
  • bagaimana kekejaman Firaun membunuh semua bayi lelaki yang baru lahir sehingga lahirnya nabi Musa a.s tetapi terselamat bahkan dipelihara oleh Firaun di istanya pula!!
  • Kisah seorang kaum Qibti yang dibunuh oleh Musa a.s tanpa sengaja diceritakan dengan jelas dalam surah ini.
  • Kemudian kisah Musa a.s keluar ke Madyan, jumpa keluarga soleh serta bakal isterinya lalu berkahwin dan kembali ke Mesir akhirnya.
  • dilantik menjadi nabi dan rasul serta saudaranya Harun yang dilantik bersamanya.
  1. Allah s.w.t menenangkan hati Rasulullah s.a.w yang ditentang dan disakiti oleh kaumnya dengan membawa kisah nabi-nabi lain sebagai pengajaran dan iktibar.
  2. Kisah Qarun, seorang jutawan zaman firman yang tenggelam ditelan bumi.
  3. Allah s.w.t perintahkan kita supaya ikhlas melakukkan perintah-Nya serta jangan melakukan syirik kepada-Nya.

DENGAN NAMA ALLAH, YANG MAHA PEMURAH, LAGI MAHA MENGASIHANI.


AYAT 1- {TAA, SIIN, MIIM.} طسم (AL-QASAS 28:1)

  1. Surah ini dimulai dengan huruf yang terputus (al-Muqatta\’ah المقطعة – ), iaitu tulisan yang hurufnya bersambung tetapi dibaca satu persatu iaitu – ط س م طسم (To Sim Mim )
  2. Allah s.w.t mulakan beberapa surah dengan huruf terputus begini. Ini untuk menyatakan i\’jaz (mukjizat) al-Quran yang tidak boleh ditiru oleh mana-mana makhluk.
  3. Ia juga menggambarkan bahawa kita sebagai manusia tidak dapat memahami dan tidak tahu apa-apa kecuali yang ingin diberitahu oleh Allah s.a.w dan Rasul-Nya s.a.w.
  4. Maksudnya wallahu a\’lam. Hanya ALLAH yang Maha Mengetahui. Tetapi manusia pada hari ini amat sombong, samada kerana kejahilan atau ikut hawa nafsu.

AYAT 2- {INILAH AYAT-AYAT KITAB – AL-QURAN – YANG MEMBERI PENJELASAN.} (AL-QASAS 28:2)

  1. Allah s.w.t menyatakan ayat al-Quran adalah kitab yang jelas dan nyata, datangnya dari Allah s.w.t. Para ulama\’dari kalangan tabi\’en dan selepasnya telah banyak membuat huraian dan penjelasan bagi orang awam untuk lebih memahaminya.
  2. Tetapi malangnya masih ada lagi yang mendusta dan menolaknya.
  3. Ini ialah ayat-ayat Al-Quran, juga Kitab yang jelas nyata kandungannya dan kebenarannya.
  4. Apakah perbezaan apabila Allah s.w.t sebut antara al-Quran dan Kitab? Ulama\’ mengatakan:
    i- al-Quran ialah ayat-ayat yang kita baca.
    ii- Kitab pula ialah yang tertulis, ada huruf yang jelas dan nyata, yang boleh kita baca.
    iii- Ada juga ulama\’ kata ialah kitab catatan di Lauh-Mahfuz.

AYAT 3- {KAMI BACAKAN KEPADAMU (WAHAI MUHAMMAD) SEBAHAGIAN DARI KISAH NABI MUSA DAN FIRAUN DENGAN KETERANGAN YANG BENAR BAGI ORANG-ORANG YANG BERIMAN.} (AL-QASAS 28:3)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t berfirman bahawa akan dikisahkan sebahagian lagi dari kisah nabi Musa a.s yang panjang.
  2. Sesungguhnya dalam kisah-kisah ini mengandungi keterangan yang benar bagi orang-orang yang beriman dan mahu menambah kebaikannya.

AYAT 4- {SESUNGGUHNYA FIRAUN TELAH BERLAKU ZALIM DI BUMI (MESIR) DENGAN MELAMPAUI BATAS, SERTA IA MENJADIKAN PENDUDUKNYA BERPUAK-PUAK. IA MENINDAS SEPUAK DI ANTARANYA DENGAN MEMBUNUH ANAK-ANAK LELAKI MEREKA DAN MEMBIARKAN HIDUP ANAK-ANAK PEREMPUAN MEREKA. SESUNGGUHNYA ADALAH IA DARI GOLONGAN YANG MEMBUAT KEROSAKAN.} (AL-QASAS 28:4)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t perkenalkan kepada kita watak utamanya iaitu Firaun. Bagaimanakah sikapnya:
    i- seorang yang zalim dan melampaui batas, sombong dan takabbur di bumi Mesir.
    ii- menjadikan penduduknya pula berpuak-puak, berpecah dan tidak bersatu. Yakni teknik memecahkan kesatuan rakyat lalu dia dapat menguasai mereka dengan mudah. Sama seperti teknik para penjajah. Kita pun kena hati-hati dengan strategi ini jika ada golongan kafir yang mahu menguasai.
    iii- menindas dan menghina bani Israil dengan menjadikan mereka hamba-abdinya.
    iv – dia juga membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Ulama\’ tafsir berbeza pendapat tentang keadaan ini:
    a- kerana tidak mahu mereka ramai dan membiak.
    b- tidak mahu ramai lelaki yang boleh jadi tentera dan menentangnya nanti.
    c- kerana nasihat tukang tilik yang meramalkan bahawa Firaun akan jatuh oleh kerana sebab seorang bayi lelaki yang akan lahir dari kalangan bani Israil. Ada juga kata mereka tahu tentang ini melalui kitab lama mereka. Lalu dia menjadi panik dan untuk mengelakkannya terus mengeluarkan arahan yang zalim ini.
    v- Jadi untuk melemahkan kaum bani Israil mereka bunuh bayi lelaki serta membiarkan anak perempuan kerana:
    i- anak perempuan tidak terlibat.
    iii- untuk berkhidmat sebagai hamba, khadam.
    iii- niat yang lebih jahat lagi sebagai hamba seks mereka.

AYAT 5- {DAN KAMI HENDAK BERIHSAN DENGAN MEMBERIKAN PERTOLONGAN KEPADA KAUM YANG TERTINDAS DI NEGERI ITU, DAN HENDAK MENJADIKAN MEREKA PEMIMPIN-PEMIMPIN, SERTA HENDAK MENJADIKAN MEREKA ORANG-ORANG YANG MEWARISI (APA YANG DIMILIKI OLEH FIRAUN DAN KAUMNYA).} (AL-QASAS 28:5)

  1. Lalu Allah s.w.t dengan ihsan-Nya mahu memberikan pertolongan kepada kaum yang tertindas iaitu bani Israil di Mesir.
  2. Juga untuk melantik mereka sebagai pemimpin, imam dari sudut agama dan ketua dari sudut pentadbiran.
  3. Mereka juga akan mewarisi segala apa yang ditinggalkan oleh Firaun dan kaumnya selepas mereka dibinasakan. Negara, pemerintahan serta harta kekayaannya.

AYAT 6- {DAN KAMI HENDAK MEMBERI MEREKA KEDUDUKAN YANG KUKUH DI NEGERI ITU, SERTA HENDAK MEMPERLIHATKAN KEPADA FIRAUN DAN HAMAN BERSAMA-SAMA TENTERA MEREKA APA YANG MEREKA BIMBANGKAN DARI GOLONGAN YANG BERTINDAS ITU.} (AL-QASAS 28:6)

  1. Ini kerana Allah s.w.t mahu memberi kepada bani Israil kerajaan yang kukuh, kukuh dek kerana tiada penentang lagi, sudah binasa semua penguasanya.
  2. Untuk menunjukkan kepada Firaun dan Haman (ketua menterinya) serta seluruh bala tenteranya, untuk melihat sendiri kesannya dari apa yang mereka takuti itu.
  3. Allah s.w.t tegaskan bahawa apa yang mereka takut dan bimbangi itu telah berlaku dengan kuasa dan kehendak Allah s.w.t.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 4- {Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi..} menunjukkan sifat yang buruk dan zalim adalah sifat Firaun maka jauhkan sifat ini.
  2. Ayat ini juga memberi peringatan kepada penguasa yang sombong di atas dunia ini bahawa mereka juga akan hilang kuasa, kalah kepada orang yang mereka sangka lemah itu. Hidup di atas dunia ini seperti roda, sentiasa berputar dan akan berubah.
  3. Ayat ini juga menunjukkan orang yang zalim itu akan melakukan kerosakan {الْمُفْسِدِينَ} [القصص: 4] atas dunia ini. Maka kita sebagai orang yang beriman hendaklah bersifat sebaliknya, kena jadi pemulih (المصلحين).
  4. Ayat 5- {..hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin} – Allah nak beri kuasa kepada orang lemah. Maka kata ulama\’, umat Islam yang lemah dan ditindas selama ini, jangan lemah dan mudah putus asa, terus berjuang dan berdoa, jika Allah nak beri bantuannya tiada yang mustahil.
  5. Allah s.w.t juga nak angkat darjat orang yang beriman. Ada orang yang diangkat naik untuk menonjolkan kebaikan dan kebijakannya, memang mereka benar-benar berhak dan layak. Ada juga yang sebaliknya bila diangkat kedudukannya, tertonjol kelemahan atau ketidaktelusannya, kepincangan atau kezaliman. Jadi Allah s.w.t ajar kepada kita orang beriman yang bersikap telus akan diangkat darjatnya oleh Allah s.w.t.
  6. Ayat 2- {Inilah ayat-ayat Kitab.} menunjukkan al-Quran itu termaktub yakni ada tulisannya. Ulama\’ kata al-Quran itu ada 3 tempat tulisannya.
    i- di Lauh al-Mahfuz.
    ii- lembaran yang ada di tangan malaikat, yang dibawa turunnya kepada Rasulullah.
    iii- yang ditulis dalam mushaf yang ada di hadapan kita hari ini.
  7. Ayat 3- {Kami bacakan kepadamu (wahai Muhammad) sebahagian dari kisah Nabi Musa dan Firaun..} menunjukkan jika kita mahu dengar kisah umat-umat terdahulu yang benar maka bacalah al-Quran. Kisah-kisah dari sumber yang lain adalah tambahan ataupun rekaan, maka carilah yang benar dari al-Quran.
  8. Ayat 4- { serta ia menjadikan penduduknya..} – kata ulama\’ ini menunjukkan bani Israil sudah dikira menjadi penduduk Mesir sedangkan mereka berasal dari Syam. Tetapi mereka telah lama tinggal di situ, beranak-pinak dan Maka ini menjadi kaedah apabila orang yang mendiami sesuatu tempat sekian-sekian tempoh, maka mereka boleh dinisbahkan sebagai penduduk tempat itu.
  9. Ayat 4- { serta ia menjadikan penduduknya berpuak-puak} Firaun memecahkan kaum bani Israil untuk melemahkan mereka jadi mudahlah dia mengusai mereka. Maka hati-hatilah kita dengan mereka yang berlainan agama, yang ada agenda tersendiri, jangan sampai kita terpecah kerana agama.
    Bahasa Arab menyebut \”Farriq Tasuud – فرِّق تسود\” atau \”Divide And Rule\”.
    10 . Manusia atas dunia ini ada 4 kategori:
    i- mahu menguasai manusia dengan apa cara sekalipun. Ini kumpulan penguasa dan pembesar dunia seperti Firaun dan gangnya, mereka sanggup melakukan apa saja agar tetap berkuasa.
    ii- mereka melakukan kerosakan atas dunia ini tetapi bukan kerana nak kuasa, tetapi untuk menguasai harta dan bidang mereka masing-masing seperti perompak pencuri atau pengedar dadah.
    iii- mahukan kedudukan tanpa membuat kerosakan. Seperti ahli-ahli agama yang mahu kedudukan untuk menguasai pemikiran manusia, tetapi tidak melakukan kerosakan atas muka bumi, cuma mahu kuasa dan pengikut lalu melakuakn kerosakan dari segi akidah yang lebih dahsyat
    iv- mahu mendamaikan dan membaiki (islah manusia) mereka bukan mahu kuasa dan kedudukan, serta tidak membuat kerosakan di atas bumi ini. Ajak manusia ke arah tauhid Allah s.w.t, sunnah nabi s.a.w, memahami al-Quran dan beramal dengan apa yang dipelajari.
    Insya\’ Allah semoga kita termasuk dalam golongan ini dan diberi taufik oleh Allah s.w.t.

Wallahu a\’lam.

Powered by BetterDocs