SURAH AL-MU\’MINUN : AYAT 44-50

\"\"

KISAH NABI LUT, SYU\’AIB DAN LAINNYA A.S, KISAH NABI MUSA DAN HARUN & NABI ISA BERSAMA IBUNYA MARYAM.

Full video: https://youtu.be/lioxQpuMR0U

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri yang lepas kita telah mendengar bagaimana kaum terdahulu yang ingkar dan mendustakan rasul mereka telah dibinasakan.
  2. Dalam surah an-Nahli ayat 36, sebelum ini telah disebutkan bahawa bagi setiap umat itu ada rasulnya sendiri, bahkan ada yang dua rasul seperti Musa dan Harun.
  3. Dua tugas besar mereka ialah:
    i- menyeru manusia untuk menyembah hanya Allah s.w.t.
    ii- meninggalkan penyembahan segala jenis taghut.
  4. Maka dalam siri ini akan diceritakan lagi beberapa kisah para nabi-nabi secara ringkas.

AYAT 44- {KEMUDIAN KAMI MENGUTUS RASUL-RASUL KAMI SILIH BERGANTI. TIAP-TIAP KALI SESUATU UMAT DIDATANGI RASULNYA, MEREKA MENDUSTAKANNYA; LALU KAMI BINASAKAN UMAT-UMAT YANG DEMIKIAN, LEPAS SATU-SATU; DAN KAMI JADIKAN PERIHAL MEREKA SEBAGAI CERITA-CERITA (YANG MENDATANGKAN IKTIBAR); MAKA KEBINASAANLAH KESUDAHANNYA BAGI ORANG-ORANG YANG TIDAK BERIMAN.} (AL-MU\’MINUUN 23:44)

  1. Allah s.w.t hantar rasul-rasul itu silih berganti, yakni seorang demi seorang untuk memberi dakwah bimbingan kepada setiap umat itu.
  2. Para rasul ini dari golongan dan kaum mereka sendiri untuk memudahkan penyampaian dan komunikasi.
  3. Tetapi setiap kali datang rasul, mereka tetap mendustakannya dengan menggunakan hujjah yang hampir sama dan sejenis:
    i- tiada dalam ajaran datuk nenek mereka dulu.
    ii- hanya manusia biasa seperti mereka tiada keistimewaan.
    iii- kesombongan para pembesar kalangan kafir.
  4. Selepas kehabisan hujjah, mereka pula akan:
    i- mendustakan.
    ii- memperolok-olokkan.
    iii- isytihar terus bahawa mereka kufur dengan apa yang dibawa oleh para nabi itu lalu mengancamnya pula.
  5. Maka Allah s.w.t binasakan umat-umat yang demikian, lepas satu-satu.
  6. Perbezaan umat dahulu dengan umat Nabi Muhammad s.a.w.
    i- mereka akan dibinasakan di depan para nabi mereka.
    ii- azab ke atas mereka menyeluruh, habis musnah satu kampung atau negeri.
  7. Umat Nabi Muhammad dikenakan azab hanya selepas kewafatannya dan tidak ada yang menyeluruh hanya sekelompok tertentu atau bertempat begitu sahaja.
  8. Semua ini Allah s.w.t jadikan untuk orang-orang yang selepasnya bercakap dan tahu bahawa mereka binasa disebabkan kekufuran mereka. Maka kita semua juga tidak akan selamat dari kemurkaan dan azab Allah s.w.t ini.
  9. Maka kebinasaanlah kesudahannya bagi orang-orang yang tidak beriman
  10. Dicadangkan baca Kitab susunan Ibnu Kathir- al-Bidayah wa an-Nihayah. Juga Kitab Dr Solah Abdul Fattah al-Khalidi untuk tafsir al-Quran dan kisah para nabi dan lain-lain.

AYAT 45- {KEMUDIAN KAMI MENGUTUS NABI MUSA DAN SAUDARANYA: NABI HARUN, DENGAN MEMBAWA AYAT-AYAT KETERANGAN KAMI, DAN BUKTI (MUKJIZAT) YANG NYATA.} (AL-MU\’MINUUN 23:45)

  1. Bermulalah episod kisah nabi Musa dan Harun, dua beradik yang dilantik Allah s.w.t menjadi nabi dan rasul.
  2. Kedua mereka ini membawa ayat-ayat keterangan, dan bukti (mukjizat) yang nyata yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t sebagai hujjah bersama mereka.
  3. Antara mukjizat yang diberikan kepada mereka ialah:
    i- tongkat Musa, ii- tangan Musa a.s.
    iii- Allah hantar bala berupa kutu, katak, darah,belah laut, kemarau panjang dan buah-buahan tidak menjadi. 9 semuanya.

AYAT 46- {KEPADA FIRAUN DAN KAUMNYA; LALU MEREKA MENENTANG (SERUAN NABI-NABI ALLAH ITU) DENGAN SOMBONG TAKBUR, SERTA MENJADI KAUM YANG MEMBESARKAN DIRI.} (AL-MU\’MINUUN 23:46)

  1. Nabi Musa dan Harun a.s ini Allah hantarkan kepada Firaun dan pembesar kaumnya.
  2. Mereka menentang dan mendustakannya dengan sifat yang:
    i- sombong, menentang dan enggan menerima kebenaran
    ii- mereka adalah kaum yang takabbur membesarkan diri dan menghina bani Israil.
    Inilah sifat yang menyebabkan mereka menolak kebenaran dan menghina orang lain.
  3. Sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w yang menyatakan tentang sifat sombong. [HR Muslim].

AYAT 47- {SEHINGGA MEREKA BERKATA (DENGAN ANGKUHNYA): \”PATUTKAH KITA BERIMAN KEPADA DUA MANUSIA SEPERTI KITA, SEDANG KAUM MEREKA MENJADI ORANG-ORANG SURUHAN KITA?\”} (AL-MU\’MINUUN 23:47)

  1. Firaun dan pembesarnya berkata dengan angkuh: \”Patutkah kita beriman kepada dua manusia seperti kita?\” Yakni Musa hanyalah manusia biasa seperti mereka.
  2. Sedangkan Musa dan Harun as berasal dari kaum Bani Israil iaitu kaum yang menjadi orang-orang suruhan/hamba mereka.

AYAT 48- {OLEH ITU, MEREKAPUN MENDUSTAKAN KEDUANYA, LALU MENJADILAH MEREKA SEBAHAGIAN DARI ORANG-ORANG YANG DIBINASAKAN.} (AL-MU\’MINUUN 23:48)

  1. Maka akibat pendustaan mereka terhadap dua orang rasul itu, Allah s.w.t binasakan mereka dengan tenggelam dalam Laut Qalzum (Laut Merah).

AYAT 49- {DAN SESUNGGUHNYA, KAMI TELAH MEMBERIKAN NABI MUSA KITAB TAURAT, SUPAYA MEREKA BEROLEH HIDAYAH PETUNJUK.} (AL-MU\’MINUUN 23:49).

  1. Allah s.w.t anugerahkan kepada Musa a.s Kitab Taurat, sebagai hidayah petunjuk kepada kehidupan dan Syariat kepada kaumnya.
  2. Tamatlah kisah Nabi Musa dan Harun dalam surah ini.

AYAT 50- {DAN KAMI JADIKAN (NABI LSA) IBNI MARYAM SERTA IBUNYA SEBAGAI SATU TANDA (MUKJIZAT) DAN KAMI TELAH MENEMPATKAN KEDUANYA DI TANAH TINGGI, TEMPAT TINGGAL YANG ADA TANAMAN DAN MATA AIR YANG MENGALIR.} (AL-MU\’MINUUN 23:50)

  1. Disebut ringkas tentang Nabi Isa a.s dan ibunya Maryam.
  2. Allah s.w.t telah menjadikan Isa dan ibunya Sayyidah Maryam sebagai satu mukijizat, Isa lahir tanpa bapa oleh ibunya gadis suci yang tidak pernah disentuh.
  3. Kisah mereka yang panjang dengan terperinci telah dikisahkan dalam surah Aal-Imran dan surah Maryam.
  4. Kisah mereka berdua ini, Isa dan ibunya Allah sebut sebagai satu mukijizat bersama.
  5. Allah s.w.t telah menempatkan keduanya di tanah tinggi yang rata dan tenang, tempat tinggal yang ada tanaman dan mata air yang mengalir.
  6. Di manakah tempat ini? Boleh rujuk Surah Maryam, ayat 23-25. Ada beberapa pendapat ulama\’ tetapi Ibnu Kathir kata yang pendapat yang paling kuat ialah di Baitul-Maqdis, Palestin.
  7. Hikmah Allah s.w.t meletakkan mereka di situ sebagai menjaga privasi mereka, supaya Maryam dapat melahirkan anaknya dengan tenang dulu, jauh dari orang ramai.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS:

  1. Walaupun Firaun dan kaumnya mempunyai kekuatan dan bala tentera yang kuat, mereka tidak dapat mengalahkan kaum Bani Israil.
  2. Maka yakinlah para pejuang dan pendakwah, bahawa pertolongan Allah s.w.t itu sentiasa ada kepada para hamba-Nya yang bertaqwa.
  3. Maka janganlah kita menjatuhkan semangat dan jiwa masyarakat dengan pelbagai teori atau ramalan yang tidak sahih dn tidak pasti.
  4. Firaun silap cakap dengan berkata: (Patutkah kita beriman kepada dua manusia seperti kita?); sedangkan dia sendiri manusia yang mengaku Tuhan sebelumnya. Maka jangan sombong dan nampak salah orang saja.
  5. Firman Allah s.w.t: {Kemudian Kami mengutus Nabi Musa dan saudaranya: Nabi Harun, dengan membawa ayat-ayat keterangan Kami, dan bukti (mukjizat) yang nyata.}
    Ayat 45 ini menjadi dalil bahawa semua risalah dan mukjizat yang diberi kepada Musa a.s adalah diberi juga bersama kepada Nabi Harun a.s.

Powered by BetterDocs