SURAH AL-\’ANKABUT : AYAT 41-44

\"\"

BANDINGAN AMALAN ORANG KAFIR DENGAN SARANG LABAH-LABAH, FAEDAH MATHAL BANDINGAN DALAM PERCAKAPAN & KEPENTINGAN PENCIPTAAN LANGIT DAN BUMI.

Full video : https://youtu.be/yC2FzsAD4ms

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini kita bermula dari ayat 41 yang menyebut kalimah al-Ankabut (labah-labah) yang dipilih menjadi nama surah ini walaupun namanya hanya disebut dalam ayat ini sahaja.
  2. Allah membuat mathal مَثَلُ (perbandingan) tentang perbuatan orang kafir yang mengambil sembahan dan perlindungan (اتَّخَذُوا مِنْ دُونِ اللَّهِ أَوْلِيَاءَ) selain daripada Allah s.w.t seumpama labah-labah yang mencari perlindungan dalam rumahnya.
  3. Insya\’ Allah, kita akan tadabbur, mengorek melihat apa ilmu dan rahsia yang boleh didapati daripada perumpamaan ini. Ini kerana bandingan ini besar, telah menjadi kajian dan perbincangan yang mendalam oleh ulama\’ dahulu dan sekarang. Samada oleh ulama\’ tafsir yang mengkaji juga ulama\’ sains yang membuat analisa.
  4. Ini kerana apabila Allah s.w.t menyebut sesuatu perkara, atau membuat satu bandingan; tidak boleh untuk kita sekadar membaca dan melaluinya sahaja kerana ianya pasti mengandungi pengajaran dan faedah yang amat penting.
  5. Dalam siri yang lepas Allah s.w.t telah menerangkan bagaimana kaum-kaum yang kufur ingkar telah dibinasakan dengan pelbagai jenis azab yang sesuai dengan dosa dan keadaan masing-masing. Kaum Nuh, Ibrahim & Lut a.s, Kaum Ad, Thamud & Madyan serta Firaun, Haman & Qarun dalam satu kumpulan.
  6. Maka dalam ayat ini diterangkan tentang kebodohan musyrikin yang menjadikan berhala dan makhluk lain sebagai sembahan yang diharapakan pertolongan sedangkan ianya tidak dapat memberi apa-apa manfaat & perlindungan.

AYAT 41- {MISAL BANDINGAN ORANG-ORANG YANG MENJADIKAN BENDA-BENDA YANG LAIN DARI ALLAH SEBAGAI PELINDUNG-PELINDUNG (YANG DIHARAPKAN PERTOLONGANNYA) ADALAH SEPERTI LABAH-LABAH YANG MEMBUAT SARANG (UNTUK MENJADI TEMPAT PERLINDUNGANNYA); PADAHAL SESUNGGUHNYA SARANG-SARANG YANG PALING REPUT IALAH SARANG LABAH-LABAH, KALAULAH MEREKA ORANG-ORANG YANG BERPENGETAHUAN.} (AL-\’ANKABUUT 29:41)

  1. Perumpamaan orang-orang yang mengambil pelindung-pelindung selain Allah adalah seperti labah-labah yang membuat rumah. Pelindung-pelindung selain Allah itu bermaksud sembahan yang mereka harapkan manfaatnya.
  2. Ayat ini mengatakan mereka mencari perlindungan أَوْلِيَاءَ iaitu sebagai tempat berlindung, menolong dan menjaga dengan sembahan itu sebagaimana bapa adalah wali kepada anak-anak. Sedangkan kita sebagai orang beriman hanya Allah s.w.t tempat berlindung dan meminta segalanya.
  3. Allah s.w.t kata sesungguhnya rumah yang paling reput/lemah (أَوْهَنَ الْبُيُوتِ) ialah rumah labah-labah. Rumah tersebut tidak menghalangi panas, dingin dan bahaya yang menimpa. Labah-labah pada zahirnya tampak seperti haiwan yang kecil dan lemah, dan rumahnya adalah rumah yang paling lemah.
  4. Kita akan cuba lihat kepada kajian yang telah dibuat dari sudut sains pula tentang labah-labah ini:
    i- khuyut – benang yang digunakannya untuk menenun/mengait rumahnya itu adalah sejenis benang sutera yang amat kuat dan kukuh, dikeluarkan dari badannya sendiri. Ibu rumahnya adalah labah-labah betina yang menenun sarang itu.
    ii- rumah labah-labah – pula adalah sebuah rumah yang tiada kasih sayang dan penuh dengan pergolakan. Selesai mengawan dan mula terhasil telur si betina akan memakan yang jantan itu untuk mendapatkan zat dan kekuatan. Bila anak-anak dah lahir, ibu akan makan anak-anak yang lemah dan anak-anak juga akan makan sesama sendiri. Bila ibu itu dah tua dan lemah, akan dimakan oleh anaknya pula!
    Inilah yang dikatakan benang paling kuat tetapi rumah paling lemah!
    iii- tetapi sarangnya ini juga ada faedah untuknya sebagai tempat tinggal dan tempat cari rezeki. Memerangkap serangga yang akan jadi makanannya. Hatta lalat yang susah ditangkap pun akan terperangkap pada sarang labah-labah ini.
  5. Mitos- ada juga yang takut dan tak berani nak sapu sarang labah-labah ini kerana dikatakan ia telah membuat sarang di muka gua yang menjadi tempat perlindungan Rasulullah s.a.w dan Abu Bakar As-Siddiq semasa Hijrah.
  6. Ada juga yang kata rumah yang penuh sarang labah-labah adalah rumah yang akan mengundang kefakiran – dari segi logik sesuai – sebab pemalas nak sapunya, pastilah tak akan senang & kaya.
  7. Allah s.w.t tutup ayat ini dengan mengatakan kalaulah mereka orang-orang yang berakal dan berilmu pastilah mereka hanya akan menyembah Allah s.w.t dan meminta perlindungan dari-Nya.

AYAT 42- {SESUNGGUHNYA ALLAH MENGETAHUI (KEPALSUAN) APA JUA YANG MEREKA SEMBAH YANG LAIN DARIPADANYA, DAN ALLAH JUALAH YANG MAHA KUASA, LAGI MAHA BIJAKSANA.} (AL-\’ANKABUUT 29:42)

  1. Sesungguhnya Allah s.w.t. maha mengetahui segalanya! Dia mengetahui tentang orang yang masih degil, ingkar dan kufur ini dan apa saja yang mereka sembah selain Dia, dan semua itu adalah batil dan palsu sama sekali.
  2. Allah jualah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Yakni Dia berkuasa untuk memusnahkan mereka tetapi Dia juga Maha Mengetahui bila untuk mengazab atau untuk membiarkan mereka selama beberapa tempoh yang diberi-Nya.

AYAT 43- {DAN MISAL-MISAL PERBANDINGAN YANG DEMIKIAN ITU KAMI KEMUKAKAN KEPADA UMAT MANUSIA, DAN HANYA ORANG-ORANG YANG BERILMU YANG DAPAT MEMAHAMINYA.} (AL-\’ANKABUUT 29:43)

  1. Semua misal contoh perbandingan yang Allah bawa untuk pemahaman manusia ini hanya akan difahami oleh orang yang berakal, berilmu, dam mahu mencari kebenaran.
  2. Kita sebagai orang yang beriman hendaklah sentiasa buka mata, melihat dan berfikir akan segala ayat-ayat (tanda kekuasaan) Allah ini untuk menambahkan keimanan dan kefahaman.
  3. Betapa banyak ayat dalam al-Quran membawa contoh-contoh yang kecil tetapi mengandungi keajaiban yang menunjukkan kekuasaan Penciptanya, seperti lebah dan semut yang kita pelajari dalam surah sebelum ini.

AYAT 44- {ALLAH MENCIPTA LANGIT DAN BUMI DENGAN CARA YANG LAYAK DAN BERHIKMAT; SESUNGGUHNYA YANG DEMIKIAN ITU MENGANDUNGI SATU TANDA (YANG MEMBUKTIKAN KEBIJAKSANAAN ALLAH) BAGI ORANG-ORANG YANG BERIMAN.} (AL-\’ANKABUUT 29:44)

  1. Seterusnya Allah s.w.t tunjukkan contoh yang besar pula iaitu kejadian langit dan bumi yang penuh haq dan hikmat. Yakni Allah s.w.t menjadikan semua itu bukanlah untuk main-main atau perbuatan yang sia-sia.
  2. Semuanya mengandungi satu tanda yang membuktikan kebijaksanaan Allah bagi orang-orang yang beriman.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 41- {Misal bandingan orang-orang yang menjadikan benda-benda yang lain dari Allah sebagai pelindung-pelindung أَوْلِيَاءَ – } – siapa yang ambil selain dari Allah sebagai wali (pelindung) tidak akan selamat sebagaimanan contoh labaا-labah dan rumahnya tadi.
  2. Setiap bandingan dan perumpamaan yang Allah s.w.t bawa dalam al-Quran ini semuanya terbukti kebenaran dan hikmahnya.
  3. لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ Ayat 41- { kalaulah mereka orang-orang yang berpengetahuan.} – Bandingan-bandingan yang dibuat ini adalah sangat penting dalam hidup manusia. Faedah ini adalah sebagai salah satu strategi penduduk untuk manusia supaya mudah faham dan nampak.
  4. وَمَا يَعْقِلُهَا إِلَّا الْعَالِمُونَ Ayat 43- {dan hanya orang-orang yang berilmu yang dapat memahaminya.} – menunjukkan kepenting orang yang berakal dan berilmu. Baru dapat memilih kebenaran dan menolak keburukan.
  5. بِالْحَقِّ – Ayat 44- {Allah mencipta langit dan bumi dengan cara yang layak dan berhikmat} – Allah cipta kejadian langit dan bumi itu dengan penuh hikmah dan haq yang terartur dan tersusun. Jangan runsing akan runtuh bocor dan lain-lain.
  6. أَوْلِيَاءَ- Ayat 41- {Sebagai pelindung-pelindung (yang diharapkan pertolongannya)} – sebagai wali (pelindung) Allah s.w.t tidak kata sebagai tuhan – kerana ia adalah merangkumi untuk semua:
    i- bagi orang kafir yang ambil benda lain sebagai sembahan dan mengaku tuhan,
    ii- juga bagi orang beriman (syirik yang tersembunyi) seperti riya\’ dalam ibadat.
  7. كَمَثَلِ الْعَنْكَبُوتِ- Ayat 41- {adalah seperti labah-labah..} – Allah s.w.t sebut di sini bandingan pegangan orang kafir dengan rumah ankabut – menunjukkan boleh kita buat bandingan dengan benda yang kecil dan lemah supaya orang sentap dan berfikir.
  8. كَمَثَلِ الْعَنْكَبُوتِ – – Ayat 41- {adalah seperti labah-labah..} – kenapa Allah bandingkan perbuatan orang kafir ini dengan rumah Ankabut ini sedangkan sarang labah-labah ini ada juga faedah kepadanya? Ini kerana mereka juga boleh mendapat faedah dari tempat syirik rumah-rumah ibadat mereka itu; seperti jadikan tempat pelancongan dan lawatan, kutip tiket bayaran, minta derma, hasil jualan dan lain-lain.
  9. Jangan kita salah guna bandingan yang dibuat dalam al-Quran. Seperti mengatakan rumah orang yang kecil dan buruk sebagai sarang labah-labah. Ini kerana Allah membuat misalnya untuk faedah dan hikmah. Kita tidak boleh guna dan samakan dengan rumah juga, tetapi boleh guna untuk bandingkan dengan hujjah yang rapuh dan batil.
  10. {إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَةً لِلْمُؤْمِنِينَ } – Ayat 44- {Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi satu tanda (yang membuktikan kebijaksanaan Allah) bagi orang-orang yang beriman.} – Allah s.w.t kata semua faedah ini boleh diambil oleh orang yang beriman, yang berakal dan mahu berfikir. Orang yang tidak berakal tidak akan dapat faedah darinya.

Powered by BetterDocs