Surah Ali-‘Imran : Ayat 28

LARANGAN WALA’ MELANTIK KAFIR SEBAGAI KETUA, KECUALI KETIKA TAKUT & AMARAN TERUS DARI ALLAH SWT.

Full video : https://youtu.be/1CUTGuJe-Jw?si=e5vmX_xar_qPqETv

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir bagi ayat 28, surah Ali-‘Imran iaitu surah yang ketiga, dalam juzu’ yang ketiga.
  1. Dalam siri ini Allah menyatakan larangan daripada berwala’ melantik kafir sebagai ketua, menjadikan mereka wali atau teman rapat!
  1. Kemudian Allah bagi pengecualian dalam hal ini iaitu ketika takut & terpaksa!
  1. Ini adalah amaran terus dari Allah SWT. kepada sesiapa yang masih melakukannya akan hidup di dalam kemurkaan Allah SWT!
  1. Munasabah ayat:
    A- Dalam ayat sebelumnya Allah menyatakan:
    i- Bahawa semua kekuasaan di langit atau di bumi, timur & barat, lautan & darat; semuanya di bawah kekuasaan Allah Azza wa Jalla. Tiada siapa boleh lawan, ingkar & menentang!

    ii- Di bawah kuasa Allah segala kebaikan & dengan kuasa Allah juga boleh menjatuhkan hukuman, datang segala musibah bencana azab ke atas orang yang ingkar tak dengar kata!

    iii- Allah SWT juga boleh naik atau turunkan seseorang. Serta hina atau mulia seseorang, bukan berkait kerana Allah sayang atau muliakan dia, hina atau mulia seseorang hamba adalah berdasarkan kepada ketaatan dan amal ibadatnya kepada Allah SWT!

    iv- Antara tanda tertipu dan terpedaya & godaan dunia ini ialah apabila manusia ini rasa dirinnya kuat, boleh lawan arahan Allah ikut arahan syaitan, tinggalkan orang yang beriman pergi berkawan dengan orang tidak beriman atas dasar jaga kedudukan jaga pangkat!

    B- Maka dalam ayat ini Allah arahkan:
    i- Agar wala’ kita hanya kepada Allah secara mutlaq,

    ii- Wali kita juga kepada orang yang beriman dalam satu aqidah keimanan tauhid kepada Allah

    iii- Dalam sama-sama menegakkan undang-undang Allah atas dunia ini setakat yang kita mmapu. Tetapi jika tidak mampu apa boleh buat, itu adalah diluar kemampuan!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 28-{JANGANLAH ORANG-ORANG YANG BERIMAN MENGAMBIL ORANG-ORANG KAFIR MENJADI TEMAN RAPAT DENGAN MENINGGALKAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN. DAN SESIAPA YANG MELAKUKAN (LARANGAN) YANG DEMIKIAN MAKA TIADALAH IA (MENDAPAT PERLINDUNGAN) DARI ALLAH DALAM SESUATU APAPUN, KECUALI KAMU HENDAK MENJAGA DIRI DARIPADA SESUATU BAHAYA YANG DITAKUTI DARI PIHAK MEREKA (YANG KAFIR ITU). DAN ALLAH PERINTAHKAN SUPAYA KAMU BERINGAT-INGAT TERHADAP KEKUASAAN DIRI-NYA (MENYEKSA KAMU). DAN KEPADA ALLAH JUALAH TEMPAT KEMBALI.} (ALI-‘IMRAN 3:28)

  1. Ayat ini adalah larangan yang jelas dari Allah SWT agar jangan ambil orang kafir sebagai teman rapat atau lantik sebagai ketua (berwala’) dan sayang kepada mereka, serta tolong mereka dalam beberapa urusan & hal keadaan dengan membelakangkan orang beriman.
  1. Sedangkan ada orang beriman yang boleh kita lantik atau buat kawan tetapi kita tinggalkan dan pinggirkan mereka yang sepatutnya kita bersahabat & sayang, kerana nak jaga kepentingan kedudukan lain!
  1. Sesiapa yang melakukan juga perbuatan ini maka dia akan mendapat kemurkaan Allah & hilang perlindungan Allah SWT!
  1. Larangan ini bukan datang dari malaikat atau orang lain tetapi Allah SWT sendiri yang melarangnya, jangan berwala’kan orang kafir!
  1. Maka jangan kamu meletakkan diri kamu dalam kemurkaan Allah SWT dalam larangan Allah SWT!
  1. Sabab nuzul ayat ini :
    Sepakat ulama’ tafsir mengatakan : Ayat ini turun kerana ada sebahagian orang Islam menzahirkan kasih sayang, wala’ dan suka kepada orang kafir maka Allah SWT larang perbuatan tersebut!
    Dalam tafsir at-Tobari daripada Ibnu Abbas lebih detail menceritakan tentang peristiwa ini.
    Disebut bahawa Al-Hajjaj bin ‘Amr yang mewakili Ka’b bin Al-Asyraf, Ibnu Abil Haqiq, serta Qais bin Zaid (tokoh-tokoh Yahudi) telah memikat segolongan kaum Ansar untuk memalingkan mereka dari agamanya (Islam).
    Beberapa orang sahabat seperti Rifa’ah bin al-Munzir, ‘Abdullah bin Jubair serta Sa’d bin Hathamah memperingatkan orang-orang Ansar tersebut dengan berkata: “Hati-hatilah kamu dari pikatan mereka, dan janganlah terpaling dari agama kamu.”
    Mereka menolak peringatan tersebut. Maka Allah menurunkan ayat tersebut di atas (Ali-‘Imran 28-29). (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Sa’id atau ‘Ikrimah, yang bersumber dari Ibnu ‘Abbas).
    Yakni ada orang kafir yang bersahabat dengan orang Islam dengan tujuan menggoyahkan keimanan & pegangan orang Islam- maka kita Berhati-hatilah & apa yang Allah beri amaran kepada kita- kita kena ingatlah!
  1. Untuk cerita lanjut tentang yahudi ini sila baca buku ini: Madinah Munawwarah https://dartaibah.com/?page_id=179…
  1. Allah SWT bawa beberapa lagi larangan ini dalam firman-Nya:
    i- {Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu; mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah SAW dan juga mengeluarkan kamu (dari Tanah Suci Makkah) disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu. (Janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu keluar untuk berjihad pada jalanKu dan untuk mencari keredaanKu. (Tidak ada sebarang faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra dengan mereka secara rahsia, sedang Aku amat mengetahui akan apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan. Dan (ingatlah), sesiapa di antara kamu yang melakukan perkara yang demikian, maka sesungguhnya telah sesatlah ia dari jalan yang betul.} (Al-Mumtahanah 60:1).

    ii- {Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim.} (Al-Maaidah 5:51)

    iii- {Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Adakah kamu hendak mengadakan alasan yang terang nyata bagi Allah untuk (menyeksa) kamu?} (An-Nisaa’ 4:144)
  1. Cukuplah empat ayat Al-Quran ini larangan daripada berwala’kan orang kafir!
    Jangan mengambil orang kafir sebagai ketua atau pemimpin.
  1. Allah kata sesiapa yang masih ambil, masih berbuat begitu, mewala’kan orang kafir dengan meninggalkan orang mukmin; mereka ini telah berlepas diri dari Allah & Allah juga telah berlepas diri daripada mereka!
    Walaupun mereka mendapat kemenangan, kejayaan atas dunia ini tetapi mereka telah putus hubungan dengan Allah, tidak akan mendapat pertolongan & kasih sayang-Nya lagi!
  1. Tetapi dalam Islam bukan satu hukum yang tetap, adakalanya dalam satu isu diberi pengecualian.
    Maka dalam kes ini Allah beri pengecualian: Kecuali jika kamu terpaksa melakukannya untuk menjaga diri daripada bahaya yang ditakuti seperti penjajah kafir yang ganas & kuat yang masuk serang & memberi tekanan yang kamu akan dibinasakan.
  1. Dibolehkan tetapi dengan beberapa syarat SOP Syari’ah:
    i- Maka bolehlah kita berpura menzahirkan ketaatan & ikut mereka dengan lidah saja, jangan sampai dengan hati.
    Yakni dengan melakukan taqiyah, Taqiyah iaitu perangai bermuka-muka ini diamalkan oleh syiah terhadap ahli Sunnah untuk mengaburi mata kita.
    Sedangkan mulut itulah yang mengeji para sahabat, ingatlah jangan mudah koyak dengan mulut manis mereka!
    Kita dibolehkan amal ini terhadap kafir kalau keadaan memaksa iaitu:
    – Untuk menjaga keselamatan diri & agama jua
    – Orang kafir menguasai negara kita, takut akan keselamatan diri
    – Tiada kekuatan untuk melawan mereka!

    ii- Jangan kita membela & turut serta dalam agama kafir mereka! Jangan merayakan juga kepercayaaan agama mereka kerana boleh membahayakan aqidah kita!
    Budaya saja lain tetapi jika merayakan dalam agama adalah bahaya kepada aqidah kita!

    iii- Jangan kita bantu orang kafir untuk menyerang dan mengalahkan orang Islam!
  1. Tetapi jika kafir zimmiy yang bukan agresif (bukan harbi) yang ada dalam negara kita:
    i- Boleh saja kita berkawan dan bergaul baik dengan mereka tetapi jangan sampai baik & sayang kepada mereka lebih daripada sesama Islam.

    ii- Serta dalam masa yang sama kita hendaklah tidak redha dengan aqidah mereka!

    iii- Kita boleh bermuamalat urusan dunia dengan mereka. Tetapi jika ada kedai & restoran orang Islam kenapa kita nak pergi makan dan sokong kedai mereka walaupun ada ada logo halal dan seumpamanya?
    Yang mereka itu tentu tak baca bismillah & tak mandi junub, kenapa kita nak memilihnya daripada yang orang Islam yang sama bersih & pasti halalnya?
  1. Yakni kita kena tahu bezakan antara pergaulan muamalat kehidupan seharian dengan isu kekuasaan dalam pemerintahan (سلطة) kerana mereka akan ubah dasar dan keadaan.
  1. Tetapi jika kita berada di dalam negara Islam dan diminta untuk menjadi (جاسوس) pengintip atau tali barut kepada mereka tentang orang Islam; jangan sesekali menerimanya!
    Kerana jika dengan sebab kita orang Islam akan dibunuh disiksa oleh orang kafir maka itu adalah satu dosa besar!
  1. Ayat ini adalah satu ayat yang cukup besar peringatannya & larangan yang jelas, semoga Allah beri kita kefahaman yang baik, kita dapat menerimanya dengan dada yang lapang, ketepikan segala sentimen, kita kembali kepada ayat Allah, tafsir & Sunnah Rasulullah SAW, bukan kepada perasaan & sentiment perkauman!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 28-{Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat}-

    Dalam ayat ini Allah SWT letakkan syarat untuk kita berkasih sayang & kesatuan ummah dengan sesama mukmin.
    Ini kerana atas dasar keimanan yang sama- sepatutnya berwala’- kita bersatu & tumpahkan taat setia!
    Kita kena utamakan sesama mukmin sebelum kita letakkan orang kafir di hadapan kita!
    Ia juga menunjukkan bahawa orang mukmin tidak boleh melantik, berwalikan orang kafir jika orang Islam ada bersama!

    Perhatian : Tiada beza dari segi makna antara mukminun (ٱلْمُؤْمِنُونَ) & mukminin (ٱلْمُؤْمِنِينَ) hanya berbeza baris kerana sebab kedudukan dalam ayat mengikut ilmu nahu bahasa Arab (tata bahasa/ grammar) bila ada huruf jar (preposition) sebelum satu nama kena letak baris bawah.
    Allah SWT zahirkan dan sebut (ٱلْمُؤْمِنُونَ) dua kali untuk menta’kidkan agar kamu jangan tinggalkan orang beriman dan memilih serta mengutamakan orang kafir lebih daripada orang beriman (ٱلْمُؤْمِنِينَ).
  1. Ayat 28-{Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat}-

    Orang beriman dilarang agar jangan ambil orang kafir jadi teman rapat kesayanganmu!
    Ayat ini tidak ada fahaman sebaliknya!
    Kamu sebagai orang yang beriman jangan tinggalkan orang yang beriman juga!
    Jangan wala’ dahulukan orang kafir ke atas orang beriman!
    Jika tiada orang beriman, jika kita terpaksa memilih mereka sebagai ketua & pemimpin- seperti jika kita berada di bawah Kerajaan mereka dan kita lemah kerana mereka lebih dominan, maka kita hanya sekadar bermuka-muka, ikutlah mereka sekadar zahir, tetapi dalam hati tetap melawan.
    Kita ikutlah pemerintahan mereka jangan memberontak jika boleh membahayakan dan beri mudharat!
    Tetapi dalam Syi’ar agama kita jagalah sesama kita, sentiasa membantu sesama mukmin, sekurang-kurangnya bebas dan aman untuk beragama & beribadat walaupun tidak dapat menegakkan secara luas.
  1. Ayat 28-{kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu).}-

    Kita diberi pengecualian apabila berada dalam kalangan orang kafir yang ditakuti & merbahaya.
    Apabila takut kita diizinkah oleh untuk tidak melawan.
    Muka senyum dalam tangis : Luaran zahirnya kita seolah terima tetapi jangan sampai masuk juga ke dalam hati!
    Kita dibolehkan bertaqiyah : Tunjukkan penerimaan pada zahir tetapi dalam hati tetap ingkar & tolak!
    Tetapi ingat jangan sampai kita jadi orang munafiq; sayang kepada orang kafir tetapi benci kepada orang yang beiman!
    Betul-betul cinta kepada mereka zahir & batin!
    Jangan berani-berani lawan apa yang dilarang oleh Allah SWT kepada kita!
    Semoga Allah beri bantuan kepada saudara-saudara Islam kita yang berada dalam negara pemerintahan kafir agar mereka dapat menjalankan ibadat dengan aman dan selamat nyawa mereka daripada ancaman!
  1. Ayat 28-{Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun,}-

    Allah sendiri melarang perbuatan ini, bukan serah kepada malaikat atau nabi yang larang!
    Ini menunjukkan besarnya kemungkaran jika tidak akur & taat kepada perintah Allah SWT yakni bersahabat dan berketuakan orang kafir!
    Kita akan dimurkai dengan kemurkaan yang cukup besar maka jauhilah nya agar kita aman & selamat dunia Akhirat.
  1. Ayat 28-{Dan kepada Allah jualah tempat kembali.}-

    Ingatlah kamu akan dikembalikan kepada Allah : Di sana adanya hari perhitungan, terserlah segala yang tersembunyi, tiada rahsia di hadapan Allah SWT nanti!
    {يَوْمَ تُبْلَى ٱلسَّرَآئِرُ} Pada hari didedahkan segala yang terpendam di hati (dari iktiqad, niat, dan lain-lainnya) [at-Toriq: 9].
    Maka kita sesama orang Islam mantapkan iman kita, satukan hati kita kuatkan jemaah kita!
    Kenapa kita nak serahkan ketaatan, tengkuk dan nasib diri kita orang Islam kepada orang bukan Islam untuk menyusun atur perjalanan hidup kita atas dunia ini!
    Jika kita masih ada lagi peluang untuk bersama orang Islam yang kita yakin ikhlas dalam perjuangannya, mendokong sesama Islam kenapa kita nak pilih orang kafir???

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs