KEADAAN KAFIR DI HADAPAN NERAKA, MINTA BALIK KE DUNIA & ASALNYA TAK PERCAYA AKHIRAT.
Full video : https://youtu.be/mTZ-CH33vF8?si=vexZkQoe3ApI2Y8E
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-An’am ini dengan ayat 27 sehingga 29 dalam juzu’ ketujuh.
- Dalam siri ini Allah SWT menceritakan tentang keadaan orang kafir di hadapan neraka, apabila mereka nampak azabnya.
- Mereka lalu berasa takut dan minta hidup balik dan dihantar ke dunia untuk mereka beriman!
Tetapi Allah nyatakan puak kafir ini keras kepala, jika hidup balik sekalipun mereka tidak akan sesekali beriman!
- Semua janji untuk beriman itu hanyalah dusta belaka.
Kerana asalnya mereka tak percaya akhirat, tidak akan bangkit semula selepas mati.
Inilah antara keadaan orang kafir apabila sudah berada di hadapan neraka!
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang kafir yang menyekat orang lain daripada beriman.
Dia sendiri sudah tidak beriman dan sekat orang lain pula, dua kali kejahatan.
Maka dalam ayat ini Allah nyatakan balasan yang mereka akan terima.
Mereka akan menyesal penyesalan yang sudah tidak berguna lagi!
ii- Dalam ayat yang lepas juga Allah nyatakan mereka ingkar tentang kebangkitan semula.
Maka dalam ayat ini Allah nyatakan kamu akan berhadapan dengan neraka di Akhirat kelak.
Inilah ayat-ayat yang Allah nyatakan yang akan berlaku pada masa depan.
Kita yang tahu & yakin ini buatlah persiapan yang sewajarnya.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 27- {DAN SUNGGUH NGERI JIKA ENGKAU MELIHAT KETIKA MEREKA DIDIRIKAN DI TEPI NERAKA (UNTUK MENYAKSIKAN AZABNYA YANG TIDAK TERPERI), LALU MEREKA BERKATA: “WAHAI KIRANYA KAMI DIKEMBALIKAN KE DUNIA, DAN KAMI TIDAK AKAN MENDUSTAKAN LAGI AYAT-AYAT KETERANGAN TUHAN KAMI, DAN MENJADILAH KAMI DARI GOLONGAN YANG BERIMAN”.} (AL-AN’AM 6:27)
- Jika kamu lihat puak kafir musyrikin yang sedang berada di hadapan neraka, dengan suasana huru-haranya yang dahsyat yang mengerikan; yang mereka akan dihumbakan ke dalamnya!
- Tetapi sempat lagi mereka berkata dengan penuh angan-angan palsu:
i- Jika sekiranya Allah hantar balik, kembalikan kami ke dunia:
ii- Kami tidak akan mendustakan lagi ayat-ayat keterangan Tuhan kami,
iii- Dan menjadilah kami dari golongan yang beriman.
- Padahal sebelum ini, semasa hidup atas dunia pelbagai bukti & keterangan yang nyata telah Allah berikan kepada mereka tetapi malangnya mereka menolak dan ingkarinya!
- Firman Allah SWT:
i- Maksudnya: {Dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah, maka tidak ada baginya sesudah itu sesiapapun yang dapat menolongnya. Dan engkau akan melihat orang-orang yang zalim semasa mereka menyaksikan azab (pada hari kiamat) berkata: “Adakah sebarang jalan untuk kami kembali ke dunia?”} (Asy-Syuura 42:44)
ii-Maksudnya: {Dan orang-orang yang kafir, bagi mereka neraka Jahannam; mereka tidak dijatuhkan hukuman bunuh supaya mereka mati (dan terlepas dari seksa), dan tidak pula diringankan azab neraka itu dari mereka; dan demikianlah Kami membalas tiap-tiap orang yang melampau kufurnya.
Dan mereka menjerit-jerit di dalam neraka itu (sambil merayu): “Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami (dari azab ini); kami akan mengerjakan amal-amal yang soleh, yang lain dari apa yang kami pernah kerjakan. (lalu Allah menempelak mereka): “Bukankah Kami telah melanjutkan umur kamu dan memberikan masa yang cukup untuk berfikir dan beringat padanya oleh sesiapa yang suka berfikir dan beringat? Dan kamu pula telah didatangi oleh Rasul (Kami) yang memberi amaran oleh itu, rasalah (azab seksa), kerana orang-orang yang zalim tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan”.} (Faatir 35: 36-37)
AYAT 28- { (MEREKA MENGATAKAN YANG DEMIKIAN BUKANLAH KERANA HENDAK BERIMAN) BAHKAN SETELAH NYATA KEPADA MEREKA APA YANG MEREKA SELALU SEMBUNYIKAN DAHULU; DAN KALAU MEREKA DIKEMBALIKAN KE DUNIA SEKALIPUN, TENTULAH MEREKA AKAN MENGULANGI LAGI APA YANG MEREKA DILARANG DARI MELAKUKANNYA; DAN SESUNGGUHNYA MEREKA ADALAH TETAP PENDUSTA.} (AL-AN’AM 6:28)
- Padahal Allah SWT tahu mereka berkata begitu bukan kerana ikhlas nak beriman atau telah insaf!
Jika mereka hidup balik semula pun mereka tetap tidak akan beriman, tetap akan mengulangi segala perbuatan jahat & buruk mereka!
- Mereka berkata begitu hanya kerana melihat benarnya janji Rasulullah SAW.
Mereka juga sudah lihat semua mukjizat & keterangan bukti yang dibawa Baginda SAW!
- Tetapi malangnya mereka sembunyikan dalam hati kepercayaan & keyakinan mereka itu kerana memang mereka tidak mahu terima apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW.
- Maka sekarang mereka nak kembali ke dunia semula, nak baiki apa yang patut untuk selamatkan diri mereka!
Tetapi sayang semuanya sudah terlambat- waktu tidak dapat diundur atau dibawa ke depan lagi, menyesal kemudian tidak berguna lagi!
- Firman Allah juga menjelaskan ayat ini:
i- {Nabi Musa menjawab: “Sebenarnya engkau (hai Firaun) telah pun mengetahui: tiadalah yang menurunkan mukjizat-mukjizat ini melainkan Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi, sebagai bukti-bukti yang menerangkan kebenaran; dan sebenarnya aku fikir, engkau hai Firaun, akan binasa”.} (Al-Isra’ 17:102)
ii- {Dan mereka mengingkarinya secara zalim dan sombong angkuh sedang hati mereka meyakini kebenarannya. Oleh itu, lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang melakukan kerosakan.} (An-Naml 27:14)
Semata-mata kerana zalim, sombong & angkuh Firaun menolak kebenaran yang dibawa Nabi Musa AS.
- Begitulah keadaan & suasana manusia ini; ada yang tak tahu lalu tidak beriman tetapi yang beratnya yang sudah tahu tetapi tidak mahu terima juga!
Begitulah puak kafir yang tahu Allah ada, dalil-dalil bukti akannya tetapi tetap tidak mahu beriman maka malanglah nasib mereka!
- Allah tegaskan walaupun puak kafir yang keras kepala ini dihantar balik hidup di dunia untuk beberapa lama tempohnya; mereka tetap akan kembali kepada agama asal mereka, tetap tidak beriman, degil keras kepala seperti dulu juga!
- Ini kerana semua kata-kata keinsafan mereka itu hanya dusta semata-mata.
Mereka sebenarnya pembohong & pendusta dalam kata-kata mereka untuk beriman, hanya untuk melepaskan diri pada hari itu menurut sangkaan mereka!
AYAT 29- {DAN TENTULAH MEREKA AKAN BERKATA PULA: “TIADALAH HIDUP YANG LAIN SELAIN DARI HIDUP KITA DI DUNIA INI, DAN TIADALAH KITA AKAN DIBANGKITKAN SEMULA SESUDAH KITA MATI”.} (AL-AN’AM 6:29)
- Puak kafir yang mengingkari bangkit semula ini akan berkata: Tiadalah hidup yang lain selain daripada hidup atas dunia ini!
- Kita hidup hanya sekali kerana itu kena senang & enjoy atas dunia ini sekarang!
Kita tak akan keluar dari kubur kita.
Tidak ada hisab, tidak ada dosa atau pahala!
Hidup & mati hanya sekali tak perlu fikir akibatnya!
- Tetapi alhamdulillah kita orang beriman kita yakin akan kebangkitan semula, ada hisab, kita fikirkan tentang dosa pahala, azab siksa & syurga dan neraka!
- Kerana itu kita tidak berani untuk buat perkara yang tidak baik kerana kita yakin semua itu ada di hadapan kita!
Hisab & pembalasan adalah sesuatu yang pasti maka usahakanlah yang terbaik!
- Tambahan:
i- Kita juga kena belajar ilmu tauhid, wajib sebarkan kefahaman yang benar kepada masyarakat & sekat perkara buruk dari awal.
Jika tidak segala perbuatan khurafat & tahyul yang salah dari sisi agama akan menjadi satu kebiasaan dan dianggap tidak salah!
Masyarakat ke kubur bukan nak pergi mendoakan orang mati tetapi minta doa & permohonan dengan orang mati!
Ilmu aqidah sangat penting untuk difahami; bukan ilmu nak mengkafirkan orang tetapi nak menyelamatkan masyarakat daripada terjerumus ke arah kekufuran, kesyirikan atau khurafat!
ii- Pesanan & wasiat Sayyidina Umar al-Khattab kepada anaknya sebelum kematian.
Boleh lihat rakaman penuh di: https://youtu.be/n835Aq7JBtA?si=BullNlKTv6B8adHk
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 27- {Dan sungguh ngeri jika engkau melihat ketika mereka didirikan di tepi neraka (untuk menyaksikan azabnya yang tidak terperi), lalu mereka berkata: “Wahai kiranya kami dikembalikan ke dunia, dan kami tidak akan mendustakan lagi ayat-ayat keterangan Tuhan kami, dan menjadilah kami dari golongan yang beriman”.}-
Iaitu ketika orang kafir sudah berdiri di hadapan neraka dan melihat azabnya.
Mereka lalu minta rayuan untuk hidup semula, nak kembali ke dunia dengan janji-janji yang tiada faedah.
Kata ulama’ : Ayat ini menunjukkan tertib kejadian; apabila mata melihat dan hati sudah yakin; mulut pun terus akan bercakap merayu dengan kata-kata & janji, nak beriman tak akan dusta la dan seumpamanya.
Ayat ini juga menunjukkan kuatnya penyesalan puak kafir apabila mereka sudah berada di jurang Jahannam, suatu penyesalan yang tiada guna lagi!
Maka Allah cerita kepada kita juga agar jangan menyesal pada saat akhir, apabila nazak nak mati baru insaf nak bertaubat.
Pada waktu itulah manusia akan dipertontonkan ke manakah dan apa yang dia akan dapat.
Itulah saat yang dihadiri oleh para malaikat maut, malaikat rahmat & juga malaikat azab!
Itulah saat yang sangat genting dan menakutkan sudah boleh lihat syurga & neraka!
Ingatlah amalan kita diambil kira dengan yang terkhir.
Ya Allah moga kita semua mati dalam husnul-khatimah dan mendapat rahmat Syurga-Mu.
- Ayat 27- {…lalu mereka berkata: “Wahai kiranya kami dikembalikan ke dunia,…}-
Mereka berangan dan merayu untuk hidup semula dan kembali ke dunia.
Persoalan:
Bagaimana boleh mereka ini berangan-angan bercita-cita begitu, sedangkan mereka tahu, mereka tidak akan dapat hidup balik ke dunia. Jadi kenapa minta juga????
Beberapa andaian jawapan:
i- Boleh jadi mereka tak tahu jika buat rayuan & permintaan, tidak akan diterima.
ii- Atau mereka sudah tahu tetapi nak minta juga takut-takut ada peluang.
Begitulah orang apabila sudah tersepit akan cuba apa saja jalan dan cara yang ada.
Sama ada dengan rayuan atau pujukan, ada usaha.
Sebagaimana firman Allah SWT:
{Mereka sentiasa berharap hendak keluar dari api neraka itu, padahal mereka tidak sekali-kali akan dapat keluar daripadanya; dan bagi mereka azab seksa yang tetap kekal.} (Al-Ma’idah 5:37)
- Ayat 28- {… dan kalau mereka dikembalikan ke dunia sekalipun, tentulah mereka akan mengulangi lagi apa yang mereka dilarang dari melakukannya; dan sesungguhnya mereka adalah tetap pendusta.}-
Allah jawab terus; andaikata mereka puak kafir itu dihantar balik ke dunia semula pun, mereka tetap tidak akan beriman dan kufur kembali!
Menunjukkan betapa keras kepala dan degilnya mereka itu, jika mati hidup semula pun mereka tetap begitu tidak akan berubah & beriman!
Ulama’ kata : Allah SWT tahu dengan ilmunya bahawa puak kafir itu akan kembali kafir juga.
Tak usahla kamu merayu, Allah sudah tahu natijahnya. Ini menunjukan betapa ghuluwnya puak kafir ini.
Dengan sikap bohong mereka yang ada pada mereka itu mereka berani berbohong lagi di hadapan Allah SWT.
Walaupun mereka tahu, orang tahu pembohongan itu, mereka tidak malu & takut juga untuk melakukannya.
Ini kerana perangai atau sifat bohong ini sudah sebati dengan diri mereka.
Perangai buruk ini amat bahaya kerana mereka tidak hiraukan lagi akibatnya.
Ini dalil bahawa perangai yang sudah sebati sifat buruknya maka sukar untuk kita pulih baliknya kerana sudah keras kepala & otak mereka!
- Ayat 29- {Dan tentulah mereka akan berkata pula: “Tiadalah hidup yang lain selain dari hidup kita di dunia ini,…”.}-
Puak kafir hanya yakin dengan kehidupan dunia dan tidak percaya bahawa mereka akan dibangkitkan semula!
Bagi puak kafir ini tiada kehidupan semula di Akhirat. Hidup mereka hanya sekali atas dunia ini kerana itu hidup mereka kena enjoy dan happy-happy.
Kita orang yang beriman yakin dengan hadis Nabi SAW bahawa dunia ini seolah penjara bagi orang mukmin & syurga bagi orang kafir!
Apabila kita berada di dalam negara bukan Islam/muslim baru kita tahu betapa susahnya nak cari makan minum yang halal pun atas dunia ini!
Sedangkan orang kafir tiada sekatan & halangan nak makan atau buat apa saja.
Dunia ini seolah milik mereka maka mereka menikmatilah semua yang ada kerana di Akhirat kelak tidak ada bahagian mereka!
Kita orang beriman sabarlah di atas dunia ini hanya sekejap, di Akhirat kelak kita nikmatilah semua nikmat yang Allah janjikan di syurga kelak insya’ Allah!
Kita berdoalah kepada Allah agar hidup kita berguna di dunia dan selamat di Akhirat.
- Ayat 29- {Dan tentulah mereka akan berkata pula; … dan tiadalah kita akan dibangkitkan semula sesudah kita mati”.}-
Mereka menafikan kehidupan semula!
Aqidah puak kafir tidak percaya kepada kebangkitan semula dan pembalasan selepasnya.
Kerana itu mereka tidak takut dan berani untuk buat apa saja kerana tidak ada balasan lagi jika terlepas atas dunia ini!
Bagi kita orang mukmin dengan adanya hisab & pembalasan itulah yang menunjukkan kepada keadilan Allah SWT.
Jika buat baik dapat syurga, jika buat tak baik dibalas neraka.
Orang zalim dan jahat tidak akan terlepas dari hukuman & keadilan Allah SWT!
Kita orang mukmin kena sabar dan jaga diri daripada kezaliman dan perbuatan buruk kerana di hadapan kita ada pembalasan!
Alhamdulillah tamatlah kuliah kita untuk hari ini dan kita sambung esok dalam ayat seterusnya. Semoga mendapat manfaat kebaikan dunia & Akhirat.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.