SURAH AR-RUUM : AYAT 1-7

\"\"

MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH, PERTEMBUNGAN ANTARA ROM DAN PARSI & KELEBIHAN MENGUSAI ILMU DUNIA DAN AKHIRAT.

Full video : https://youtu.be/TmMpYf740fw

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini Isnin 27hb Safar 1443H bersamaan 4hb Oktober 2021 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Ar-Ruum.
  2. Surah Ar-Ruum, surah ke-30 dalam tertib susunan al-Quran, dalam juz ke 21 dan mengandungi 60 ayat.
  3. Ittifaq ulama\’ tafsir mengatakan surah ini diturunkan di Makkah maka ia adalah surah Makkiyyah. Kecuali ada ulama\’ kata melainkan ayat 17 turun di Madinah.
  4. Ia mengandungi kisah pengajaran dan pemantapan aqidah untuk kaum muslim Makkah pada peringkat awal yang menghadapi tekanan dan tentangan dari musyrikin Makkah pada masa itu.
  5. Dinamakan surah ini Surah Ar-Ruum- nama Rom yang disebut dalam ayat ke-2 hingga ke-4. Iaitu perihal tentera bangsa Rom dan perlawanannya dengan bangsa Parsi. Rom dan Parsi adalah dua kuasa besar dunia pada masa itu.
  6. Terdapat beberapa athar, dari kata-kata sahabat yang menyebut namanya sebagai Ar-Ruum. Daripada Abi Rauhin r.a bahawa dia solat Subuh bersama Nabi s.a.w, dan Baginda membaca surah ar-Ruum…sehingga akhir hadis. [HR Ahmad- Hasan].

INTISARI KANDUNGANNYA :

  1. Pada awal surah Allah s.w.t menegaskan bahawa Rom akan menang kembali dan dapat mengalahkan musuhnya kaum Majusi, Parsi.
  2. Ini adalah berita yang akan menggembirakan orang-orang Islam kerana mereka berjaya mengalahkan musuh kaum musyrikin di Makkah juga dengan kemenagan Rom ini. Ia juga sebagai satu mukjizat Nabi s.a.w.
  3. Setiap apa yang dijanjikan oleh Allah dan dibawa oleh Rasulullah s.a.w itu sesuatu yang benar dan pasti akan terjadi samada yang berhubung dengan dunia atau akhirat.
  4. Tetapi kebanyakan manusia itu tidak mengetahui dan sedar bahawa kemenagan dan kejayaan itu tidak akan dapat dicapai tanpa usaha yang bersungguh mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t.
  5. Diterangkan pula dalil-dalil tentang kejadian langit, bumi dan manusia itu sendiri. Semua ini sebagai dalil wujudnya Allah s.w.t, keesaan, kekuasaan dan keagungan Allah s.w.t.
  6. Jika manusia yang ingkar hari akhirat itu memerhati berfikir akan semua ini mereka akan yakin akan kekuasaan Allah untuk menghidupkan semula manusia di akhirat kelak. Maka mereka akan percaya dan beriman.
  7. Keadaan orang kafir ini ketika susah ingat akan Tuhan, kemudian bila senang dan selamat, akan lupa kembali.
  8. Diterangkan juga cara untuk menerima kesusahan dengan sabar dan menerima kesenangan dengan bersyukur kepada Allah s.w.t. barulah akan mendatangkan kebaikan.
  9. Ditegaskan bahawa bala bencana yang berlaku tidak putus di dunia ini adalah akibat dari perbuatan maksiat manusia itu sendiri. Ini agar mereka insaf dan berhenti, jika tidak akibatnya akan lebih buruk lagi.
  10. Surah ini ditutup dengan menegaskan bahawa jalan kesenangan dan kebahagian hidup dunia dan akhirat telah diterangkan dengan jelas dalam al-Quran, tiada alasan lagi untuk tidak memilihnya atau berdalih.
  11. Diperintahkan untuk nabi Muhammad s.a.w agar bersabar, kerana janji kemenangan untuk Baginda tetap akan berlaku cuma belum tiba, masanya akan ditentukan oleh Allah s.w.t. Maka bersabarlah menunggu masa ketibaanya.

OBJEKTIF SURAH :

1- Menjelaskan dalil-dalil keesaan Allah s.w.t dan membatalkan syirik.

  1. Menetapkan adanya peristiwa bangkit semula (al-Hisab) dan balasan (al-Jaza\’) di akhirat.

TAJUK-TAJUK ATAU ISU DALAM SURAH :

  1. Allah s.w.t ceritakan tentang peperangan antara Rom dan Parsi. Pada awalnya Parsi menang tetapi Rom akan menang dalam masa, terdekat tak sampai 10 tahun.
  2. Galakan supaya orang kafir berfikir tentang kejadian makhluk yang ada di langit dan bumi serta antara keduanya. Berjalan di muka bumi untuk lihat kesan peninggalan orang kafir yang diazab Allah s.w.t sebelum ini.
  3. Allah s.w.t sebut isu kejadian manusia dan dibangkitan semua, semua ini di bawah kuasa Allah s.w.t, dan akan kembali kepada-Nya jua.
  4. Menjelaskan peristiwa yang akan berlaku pada hari Kiamat dan pengakhiran perjalanan orang kafir dan mukmin.
  5. Allah s.w.t sebut tentang tanda-tanda dalil kekuasan Allah s.w.t. untuk menunjukkan keagungan-Nya.
  6. Arahan untuk berpegang dengan agama yang benar ini dan ikut perintah-Nya. Bukan ikut jalan kaum musyrikin.
  7. Allah cerita tentang khabar keadaan manusia ketika senang dan susah, seruan untuk berkerjasama dan berkasih sayang, mengasihi sesama manusia.
  8. Amaran keras daripada mengambil riba.
  9. Kuasa mencipta dan memberi rezeki adalah kuasa Allah, Dia yang menghidupkan dan mematikan! Sekutu yang disyirikkan tiada kuasa lansung.
  10. Allah s.w.t ceritakan tentang asal kejadian, kerosakan di muka bumi ini, di laut dan darat adalah hasil perbuatan manusia sendiri.
  11. Memberi ketenangan hati Rasulullah s.a.w kerana pendustaaan kaumnya, begitulah juga yang dialami oleh para rasul sebelumnya juga. Allah akan ambil tindakan ke atas penentangnya dan jamin kemenangannya.
  12. Allah s.w.t sebut peringkat kejadian manusia dari tiada kepada ada.
  13. Disebut juga sebahagian daripada huru hara hari Kiamat.
  14. Diceritakan tentang kedegilan dan keras kepala orang kafir, maka Allah s.w.t perintah Rasulullah s.a.w supaya bersabar dan tetap pendirian. Mereka akan kalah walaubagaimana sekalipun. Itulah janji Allah s.w.t.

DENGAN NAMA ALLAH, YANG MAHA PEMURAH, LAGI MAHA MENGASIHANI.

AYAT 1- {ALIF, LAM, MIIM.} الم (AR-RUUM 30:1)

  1. Surah ini dimulai dengan huruf yang terputus (al-Muqatta\’ah المقطعة -), iaitu tulisan yang hurufnya bersambung tetapi dibaca satu persatu iaitu – ا,ل, م (Alif, Lam. Mim )
  2. Allah s.w.t mulakan beberapa surah dengan huruf terputus begini. Ini untuk menyatakan i\’jaz (mukjizat) al-Quran yang tidak boleh ditiru oleh mana-mana makhluk.
  3. Ia juga mengambarkan bahawa kita sebagai manusia tidak dapat memahami dan tidak tahu apa-apa kecuali yang ingin diberitahu oleh Allah s.a.w dan Rasul-Nya s.a.w.
  4. Maksudnya wallahu a\’lam. Hanya ALLAH yang Maha Mengetahui. Tetapi manusia pada hari ini amat sombong, samada kerana kejahilan atau ikut hawa nafsu.
  5. Allah buka surah Rom ini dengan ayat ini kerana kisah Rom ini adalah khabar ghaib, kisah yang akan berlaku dalam masa 10 tahun lagi selepas ayat ini diturunkan, pada masa akan datang.
  6. Kerana ini adalah kisah penting, kisah mukjizat yang besar, maka Allah s.w.t mahu agar mereka buka mata buka telinga lalu mendengarnya.

AYAT 2- { ORANG-ORANG ROM TELAH DIKALAHKAN.} (AR-RUUM 30:2)

  1. Perang besar antara pasukan Rom (satu pasukan yang menguasai kawasan Syam) dan pasukan Parsi (Iran) terjadi. Akhirnya pasukan Rom dikalahkan oleh pasukan Parsi. Mendengar berita tersebut orang-orang musyrik Quraisy merasa gembira, sedangkan kaum muslim tidak suka dengan berita itu.
  2. Ini kerana puak Rom adalah kaum Nasrani adalah Ahli Kitab seperti orang Islam pada asalnya, manakala bangsa Parsi adalah kaum Majusi yang menyembah api maka seolah sama dengan kaum Quraisy dalam hal akidah, sama-sama musyrikin kerana itu mereka sokong. Mereka bermegah dan berbangga kepada orang Islam tentang hal ini.
  3. Raja Rom – Heraclius, Raja Parsi – Wangsa.
  4. Maka Allah s.w.t. menurunkan firmanNya, ini; ayat 3- mengatakan mereka akan menang semula selepas kekalahan ini.

AYAT 3- {DI NEGERI YANG DEKAT SEKALI; DAN MEREKA SESUDAH KEKALAHANNYA ITU AKAN MENGALAHKAN LAWANNYA} (AR-RUUM 30:3)

  1. Di negeri yang paling dekat dengan Makkah di Semenanjung Arab iaitu di antara negara Syam, kawasan negeri Syria dan Palestin sewaktu menjadi jajahan kerajaan Rom Timur itu.
  2. Bangsa Rom akan mengalahkan semula bangsa Parsi setelah itu.

AYAT 4- {DALAM MASA TIDAK SAMPAI SEPULUH TAHUN. KEPADA PENTADBIRAN ALLAH JUALAH TERPULANG SEGALA URUSAN, SEBELUM BERLAKUNYA DAN SESUDAH BERLAKUNYA; DAN PADA KETIKA BERLAKUNYA (KEMENANGAN ROM) ITU, ORANG-ORANG YANG BERIMAN AKAN BERGEMBIRA -} (AR-RUUM 30:4)

  1. Dalam masa yang terdekat iaitu tidak sampai 10 tahun, insya\’ Allah.
  2. Kata Ibnu Asyur: berdasarkan riwayat-riwayat ada yang mengatakan selepas tujuh tahun kekalahannya ini, Rom akan menang ke atas Parsi.
  3. Bila ini berlaku, orang-orang yang beriman akan bergembira dengan berita kemenangan ini juga dengan kemenangan mereka di Badar.
  4. Ulama\’ berbahas bahawa kemenangan Rom ke atas Pasri ini berlaku bertepatan samada dengan:
    i- kemenangan di Badar.
    ii- pada hari Perjanjian Hudaibiyah. Ibnu Kathir menyokong pandangan ini.
    Ada dua pandangan, wallahu a\’lam.

AYAT 5- {DENGAN KEMENANGAN YANG DIBERI ALLAH. IA MEMBERI KEMENANGAN KEPADA SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA, DAN DIA LAH JUA YANG MAHA KUASA, LAGI MAHA MENGASIHANI.} (AR-RUUM 30:5)

  1. Allah s.w.t yang berkuasa untuk memberi kemenangan kepada siapa yang dikehendaki-Nya.
  2. Allah, Dia-lah yang Maha Berkuasa, lagi Maha Mengasihani kepada hamba-hamba-Nya.

AYAT 6- {DEMIKIAN DIJANJIKAN ALLAH. ALLAH TIDAK PERNAH MENGUBAH JANJINYA, AKAN TETAPI KEBANYAKAN MANUSIA TIDAK MENGETAHUI (HAKIKAT YANG SEBENARNYA).} (AR-RUUM 30:6)

  1. Yakni segala perkara yang dijanjikan Allah s.w.t samada perkara dunia atau akhirat pasti tetap akan berlaku.
  2. Kejayaan itu hanya dapat dicapai oleh orang yang berusaha bersungguh serta yakin dengan ketetapn Allah s.w.t.
  3. Tetapi hakikat ini tidak diketahui oleh kebanyakan manusia.

AYAT 7- {MEREKA HANYA MENGETAHUI PERKARA YANG ZAHIR NYATA DARI KEHIDUPAN DUNIA SAHAJA, DAN MEREKA TIDAK PERNAH INGAT HENDAK MENGAMBIL TAHU TENTANG HARI AKHIRAT.} (AR-RUUM 30:7)

  1. Ayat ini memberi peringatan kepada kita agar seimbang, setinggi mana kita capai kehidupan atas dunia ini jangan lupa akan kehidupan kita di akhirat nanti.
  2. Orang kafir hanya akan yang nampak yang zahir tentang dunia ini, keindahan dan kemewahan hidupnya, tetapi tidak ingat dan lupa tentang akhirat. Tidak fikir yang tidak nampak diseblaiknya iaitu akhirat.
  3. Ini kerana mereka tidak beriman kerana itu tidak peduli!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 5- {Dia lah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.} – ayat ini mengingatkan kita agar jangan melupakan kuasa yang hakiki adalah kuasa Allah s.w.t.
  2. Ayat 7- {Mereka hanya mengetahui perkara yang zahir nyata dari kehidupan dunia sahaja, – ayat ini mencela orang yang mengambil ilmu dan pengetahuan tentang dunia sahaja tanpa peduli akan akhirat.
  3. Ayat 7- {dan mereka tidak pernah ingat hendak mengambil tahu tentang hari akhirat.} – galakan dan pujian untuk orang yang ingat akan hakikatanya dunia dan ingat akan akhiratnya.
  4. Kemenangan mana-mana kaum bukan menunjukkan kepada kebenaran mereka. Allah s.w.t mahu agar orang beriman yang kalah agar sabar, sedar dan insaf diri. Muhasabah diri untuk menjadi lebih baik dan kuat serta mengharap bantuan Allah.
  5. Ayat 7- {dan mereka tidak pernah ingat hendak mengambil tahu tentang hari akhirat.} – dalam ayat ini Allah mencela orang yang lupa kepada akhirat. Maka jika nak selamat dan nak redha Allah s.w.t ingatlah kepada akhirat.
  6. Kita hendaklah tadabbur dengan kisah kaum terdahulu dan bukan kagum semata dengan kemajuan mereka. Mereka hanya tahu akan ilmu atau zahir dunia sahaja tetapi hakikatnya mereka tidak tahu, jiwa mereka kosong daripada keimanan dan ketenangan.
  7. Jika berlaku pertembungan antara dua kuasa, orang Islam mesti pilih atau sokong kumpulan yang paling kurang membawa mudharat atau kejahatannya kepada agama atau negara.
  8. Ayat 2- {Orang-orang Rom telah dikalahkan} – menunjukkan kepada mukjizat Rasulullah s.a.w. Ramai orang masuk Islam selepas itu akibat kebenaran ini.
  9. Ayat 6- {akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).} – ilmu hakiki yang akan menyelamatakn kita ialah agama, mengenal Allah dan rasul serta ilmu tentang hakikat dunia ini.
  10. Ayat 7- {Mereka hanya mengetahui perkara yang zahir nyata dari kehidupan dunia sahaja} – ayat ini menunukkan dunia ini ada zahir dan batin. Yang batinnya dikenali oleh semua manusia samada yang bijak atau tidak, yang kufur atau beriman. Manakala hakikat dunia sebenar tidak akan diketahui kecuali oleh orang yang beriman, yang tadabbur al-Quran dan melihat kepada dalil-dalilnya.

MAKA ORANG YANG BIJAK AKAN MENGGUNAKAN DUNIA SEBAGAI JAMBATAN KE AKHIRAT.

Powered by BetterDocs