Surah Al-Baqarah : Ayat 265-267

BANDINGAN NAFKAH KERANA ALLAH, KECEWA KEBUNNYA MUSNAH & GALAKKAN INFAQ BENDA YANG ELOK.

Full video : https://youtu.be/jEAb5B6dsP8?si=lT5AzmhTw7rNUs9P

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam ayat 183 sehingga ayat 185 bagi surah Al-Baqarah. Surah yang kedua dalam juzu’ yang ketiga.
  2. Dalam siri ini Allah SWT bawa pula bandingan analogi orang yang nafkah semata-mata kerana Allah dengan sebuah kebun yang indah & subur di atas bukit.
  3. Kemudian bandingan orang bersedekah tetapi diikuti dengan perbuatan yang dilarang dalam ayat sebelumnya seperti riya’ dan mengungkit menyakiti penerima sedekah; seperti orang yang ada kebun yang cantik juga tetapi akhirnya kecewa kerana kebunnya hancur musnah. Yakni pahalanya tidak ada dan sia-sia.
  4. Semua sedekah tadi Allah galakkan agar infaqlah benda yang elok dan baik-baik.
  5. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT telah buat bandingan orang yang sedekah tetapi mengungkit atau menyakiti penerimanya, juga kerana riya’ nak menunjuk kepada manusia.

    ii- Maka dalam ayat ini Allah nasihatkan agar jangan rosakkan pahala sedekah itu dengan perbuatan riya’ tersebut.

    iii- Juga Allah sebut tentang kumpulan yang baik iaitu infaq pada jalan Allah SWT, ikhlas semata-mata kerana Allah SWT. Maka hartanya akan menjadi miliknya selama-lamanya, pahala itu kekal sehingga ke hari Kiamat.
  6. Ya Allah jadikan kami termasuk dalam golongan yang bersedekah dan melakukan segala amal kebajikan dengan hati nurani yang suci ikhlas kerana-Mu.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 265- {DAN BANDINGAN ORANG-ORANG YANG MEMBELANJAKAN HARTANYA KERANA MENCARI KEREDAAN ALLAH DAN KERANA MENEGUHKAN (IMAN DAN PERASAAN IKHLAS) YANG TIMBUL DARI JIWA MEREKA, ADALAH SEPERTI SEBUAH KEBUN DI TEMPAT YANG TINGGI, YANG DITIMPA HUJAN LEBAT, LALU MENGELUARKAN HASILNYA DUA KALI GANDA. KALAU IA TIDAK DITIMPA HUJAN LEBAT MAKA HUJAN RENYAI-RENYAI PUN (CUKUP UNTUK MENYIRAMINYA). DAN (INGATLAH), ALLAH SENTIASA MELIHAT AKAN APA YANG KAMU LAKUKAN.} (AL-BAQARAH 2:265)

  1. Allah membuat bandingan orang yang bersedekah pada jalan Allah, ikhlas kerana Allah, buat untuk mendapat keredhaan Allah SWT- seperti:
    i- Sebuah kebun yang indah & subur, penuh dengan pelbagai pokok buah-buahan yang berharga.

    ii- Di atas tempat tinggi yang udaranya bersih, buminya subur & kuat, cahaya matahari sampai dengan sempurna.

    iii- Air siraman pula mencukupi, dengan air hujan renyai-renyai dari langit pun dah cukup.
  2. Yakni dia akan mendapat pahala yang kekal berterusan, dapat menjadi bekalannya di Akhirat kelak. Bahkan Allah yang Maha Pemurah & Berkuasa kan menganda-gandakan lagi pahalanya itu.
  3. Di akhir ayat Allah mengingatkan bahawa ingatlah, Allah sentiasa Melihat akan apa yang kamu lakukan. Yakni Allah tahu sama ada sedekah kamu itu ikhlas atau tidak, untuk mencari keredhaan Allah atau hanya pujian manusia!
  4. Maka segala balasan akan diberi mengikut kategori- siapa yang ikhlas bersedekah dengan hati nurani yang mulia & siapa yang buat demi riya’ nak menunjuk kepada orang!

AYAT 266- {ADAKAH SESEORANG DI ANTARA KAMU SUKA MEMPUNYAI SEBUAH KEBUN DARI POKOK TAMAR (TAMAR) DAN ANGGUR, YANG MENGALIR DI BAWAHNYA BEBERAPA SUNGAI, IA JUGA MEMPUNYAI DALAM KEBUN ITU SEGALA JENIS BUAH-BUAHAN, SEDANG IA SUDAH TUA DAN MEMPUNYAI BANYAK ANAK CUCU YANG MASIH KECIL, LALU KEBUN ITU DISERANG OLEH ANGIN TAUFAN YANG MEMBAWA API SEHINGGA TERBAKARLAH IA ? DEMIKIANLAH ALLAH MENJELASKAN KEPADA KAMU KETERANGAN-KETERANGAN, SUPAYA KAMU BERFIKIR (DAN MENGAMBIL IKTIBAR).} (AL-BAQARAH 2:266)

  1. Allah buat satu lagi bandingan tentang seorang mempunyai sebuah kebun yang subur & indah, mempunyai segala buah-buahan yang berharga seperti pokok tamar dan anggur, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, ia juga mempunyai dalam kebun itu segala jenis buah-buahan. Allah gambarkan kebun ini dengan begitu lengkap & sempurna.
  2. Sedang dia si pemilik kebun sudah tua dan mempunyai banyak anak cucu yang masih kecil, yakni sudah tidak larat untuk cari hasil usaha lain, nak buat kerja atau kebun lain tidak mungkin lagi.
  3. Kemudian tiba-tiba kebun yang disayangi & menjadi harapan untuk menjadi makanan bekalan hari tua, dilanyak oleh angin taufan, atau terbakar hangus oleh api!
  4. Dapatkah kita bayangkan betapa kecewa dan putus harapannya dia, menungging nyur (frust sehingga menunggeng) kecewanya!
  5. Munasabah ayat ini dengan ayat sebelumnya:
    i- Analogi cerita ini sebagai penjelasan kepada ayat yang sebelumnya, bandingan sedekah dengan tujuh tangkai gandum yang tumbuh 100 biji dari setiap tangkainya.

    ii- Dalam ayat ini ialah bandingan dengan sebuah kebun. Jika seseorang itu sedekah dengan ikhlas dan bersedekah pula dengan barang-barang yang baik. Maka pasti akan terdetik dalam hati kita macamana pula jika ia sedekah tetapi diikuti dengan riya’ dan lain-lain perbuatan yang dilarang itu???
  6. Maka datanglah ayat ini : Allah nyatakan kepada kita akibat dan kesan riya’ itu, segala amal perbuatan & kebaikan yang dilakukan tadi pahalanya musnah, hancur lebur seolah debu yang berterbangan atau kebun yang terbakar, hancur musnah tidak meninggalkan kesan!
  7. Hadis- pada suatu hari Sayyidina Umar al-Khattab RA berkumpul dengan beberapa orang sahabat Nabi SAW & berkata kepada mereka:
    Apakah pendapat kamu tentang ayat ini; {Adakah seseorang di antara kamu suka mempunyai sebuah kebun dari pokok tamar (tamar) dan anggur,…} (al-Baqarah: 266). Para sahabat menjawab; ‘Allahu A’lam.’ Maka Umar pun marah, sambil berkata; Ini majlis perbincangan, minta pandangan! Katakan kami tahu atau kami tidak tahu. Kemudian Ibnu Abbas RA (yang masih muda ketika itu) berkata; ‘Aku memahami sedikit tentang ayat itu wahai Amirul Mukminin. Umar berkata; Wahai anak saudaraku, katakanlah! Jangan kamu cela dirimu sendiri (yakni rasa tidak layak untuk bercakap). Ibnu Abbas berkata; Ayat itu membuat sebuah perumpamaan tentang suatu amalan. Umar berkata; Amalan apakah? Ibnu Abbas menjawab; Tentang mana-mana amalan saja. Umar menjawab; Betul, iaitu tentang seorang laki-laki yang kaya, lalu dia beramal dengan menta’ati Allah Azza Wa Jalla. Kemudian Allah hantar syaitan kepadanya (menggoda menghasutnya). Maka ia pun melakukan maksiat hingga ia tenggelamkan amalan kebaikan yang telah dilakukannya. [HR Bukhari No. 4174].
  8. Di akhir ayat Allah berfirman : Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu keterangan-keterangan, supaya kamu berfikir dan mengambil iktibar.
    Yakni supaya kita berfikir dan merenung; apa faedahnya kita buat amal kebaikan & buat kebajikan jika kita riya’ mengungkit jika semua itu tidak akan memberi manfaat & faedah kepada kita di Akhirat kelak!!!
    Kerana itu hati kita ini kena sentiasa digilap & diingatkan, kerana jika datang lintasan buruk itu dalam hati, maka habislah kita! Kita dengan pahala ini seperti meniti atas titian kecil yang licin di atas sungai, bila-bila masa sahaja boleh tergelincir dan jatuh!
  9. Sentiasalah amalkan doa ini: اللَّهُمَّ إِنِّى أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْفَقْرِ وَالْكُفْرِ ، وَالْفُسُوقِ ، وَالشِّقَاقِ ، وَالنِّفَاقِ ، وَالسُّمْعَةِ ، وَالرِّيَاءِ
    “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari kefakiran, kekufuran, kefasikan, kedurhakaan, kemunafikan, sum’ah, dan riya” (HR Hakim)

AYAT 267- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN! BELANJAKANLAH (PADA JALAN ALLAH) SEBAHAGIAN DARI HASIL USAHA KAMU YANG BAIK-BAIK, DAN SEBAHAGIAN DARI APA YANG KAMI KELUARKAN DARI BUMI UNTUK KAMU. DAN JANGANLAH KAMU SENGAJA MEMILIH YANG BURUK DARIPADANYA (LALU KAMU DERMAKAN ATAU KAMU JADIKAN PEMBERIAN ZAKAT), PADAHAL KAMU SENDIRI TIDAK SEKALI-KALI AKAN MENGAMBIL YANG BURUK ITU (KALAU DIBERIKAN KEPADA KAMU), KECUALI DENGAN MEMEJAMKAN MATA PADANYA. DAN KETAHUILAH, SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA KAYA, LAGI SENTIASA TERPUJI.} (AL-BAQARAH 2:267)

  1. Dalam ayat ini Allah SWT ajar kita orang beriman apakah barang yang kita nak sedekah itu pula!
  2. Allah perintahkan untuk infaqkan sebahagian dari hasil usaha pekerjaan dari apa saja pekerjaan kamu; keluarkan sama ada nafkah yang wajib iaitu zakat atau sedekah sunat.
  3. Hikmah kenapa Allah sebut dalam ayat ini: {sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu.} – iaitu sama ada hasil perniagaan atau hasil tanaman. Allah tidak sebut hasil ternakan atau hasil laut, kenapa??.
    Jawapan; Ini kerana:
    i- Orang Makkah pekerjaan utama mereka ialah berniaga

    ii- Manakala orang Madinah hasil utama mereka ialah melalui pertanian. Mereka ini bukan jenis nelayan atau pengembala.

    Allah ajar dan pesan pula tentang sifat barang yang nak diinfaqkan itu:
    i- Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat. Kerana itu zakat harta perniagaan tidak boleh keluarkan barang, kena bayar duit! Jika tidak barang reject semua yang akan sampai kepada orang miskin! Kecuali orang yang ikhlas dan takut kepada Allah.

    ii- Sedangkan jika diberi kepada kamu; kamu sendiri pun tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu kalau diberikan kepada kamu, kecuali dengan memejamkan mata dan mencebek!
  4. Munasabah ayat:
    i- Jika sebelum ini adalah galakan untuk bersedekah, SOP atau cara infaq;

    ii- Maka ayat ini mengajar pula cara & benda yang nak diinfaqkan.
  5. Sabab nuzul seorang sahabat al-Bara’ RA berkata:
    Ayat ini diturunkan berkenaan dengan kami orang-orang Ansar. Dahulu orang-orang Ansar apabila tiba musim mengutip hasil tamar, mereka memotong tandan buah tamar yang belum masak benar (yang disebut busr) dari kebun tamarnya. Lalu mereka menggantungkannya di antara kedua tiang masjid dengan tali, iaitu di masjid Nabi SAW. Maka orang-orang miskin dari kalangan Muhajirin (ahlis-Suffah) makan buah tamar itu.
    Lalu ada seorang lelaki dari kalangan mereka (kaum Ansar) dengan sengaja mencampur tamar yang tidak elok (buruk atau kering) dengan busr (agar tidak kelihatan), ia menyangka bahawa perbuatan itu diperbolehkan. Maka turunlah firman Allah berkenaan dengan orang yang berbuat demikian: {Dan janganlah kamu memilih yang buruk-buruk, lalu kamu nafkahkan darinya. (Al-Baqarah: 267)}
    [HR at-Tirmizi].
  6. Yakni dalam ayat ini Allah SWT galakkan ahli perniagaan untuk memberi sedekah hasil dari keuntungan perniagaannya, ahli pertanian dengan hasil kebunnya yang baik-baik dan elok. Ini adalah etika sedekah. Cuma tidak sebut hasil-hasil lain seperti haiwan ternakan & perikanan kerana ia bukan perkerjaan utama di kalangan Arab Makkah & Madinah pada masa itu.
  7. Allah SWT tutup ayat ini mengatakan: {Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.}
    i- Yakni Allah SWT itu kaya {غَنِىٌّ}, tidak perlu kepada sedekah yang tidak baik & buruk!

    ii- Allah SWT juga Maha terpuji { حَمِيدٌ}, suci daripada segala sifat yang buruk & tidak baik!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 265- {Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya..}-

    Allah buat bandingan antara orang yang infaq dengan ikhlas dan infaq yang tidak ikhlas & riya’. Ulama’ kata dalam ayat ini Allah bawa bandingan secara lakonan (التشبيه التمثيلي) analogi supaya kita boleh nampak & berfikir:
    i- Orang yang infaq dengan ikhlas & tidak riya’: seperti orang yang memiliki kebun yang indah di atas tanah tinggi, udara bersih, cahaya cukup, air siraman sempuran, pelbagai jenis pokok & buah-buahan yang subur.

    ii- Orang yang infaq tidak ikhlas & riya’: juga mempunyai kebun yang indah tetapi telah habis musnah dilanyak oleh taufan atau hangus terbakar tidak tinggal apa pun. Yakni hasil sedekah yang ikhlas tidak riya’ berkekalan mendapat pahala yang besar; manakala yang riya’ terbatal semua pahalanya.
  2. Ayat 265- {Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka,}-

    Sedekah itu lahir daripada hati yang ikhlas { وَتَثْبِيتًۭا مِّنْ أَنفُسِهِمْ}; bukan nak riya’, bukan takabbur, tidak menyakiti & tidak mengungkit.
    Siapa yang buat sedekah kerana terpaksa; bukan ikhlas tetapi nak suruh orang puji atau terpaksa kerana takut dikata bakhil : Ini adalah sifat munafiq, maka ia adalah sia-sia tidak mendapat apa-apa pahala!
    Maka kita orang yang beriman apabila buat apa-apa ibadat mesti datang daripada hati yang ikhlas & semata-mata kerana mencari keredhaan Allah SWT!
    Jika kita hanya mencari keredhaan manusia, bolehlah sehari dua tetapi tidak selama-lamanya- ketika kita berkuasa atau dapat memberi manfaat kepada mereka, kita akan dipuji setinggi langit.
    Tetapi apabila hilang kuasa & manfaat, tidak akan ada siapa yang suka lagi jika kita buat kerja dengan tidak ikhlas! Begitulah jika bukan keredhaan Allah yang dicari!
  3. Ayat 266- {Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu keterangan-keterangan, supaya kamu berfikir (dan mengambil iktibar).}-

    Allah buat analogi tentang kebun yang cantik dan dapat beri hasil berterusan kepada tuannya; dengan kebun cantik juga tetapi kemudiannya terbakar hangus, supaya kamu berfikir & ambil iktibar pengajaran. Orang yang berfikir, tadabbur & mengakaji ayat Al-Quran, maka dialah yang akan mendapat faedah dari Al-Quran.
    Sebab Allah SWT suruh orang beriman supaya nafkahkan sebahagian daripada hartanya, maka orang beriman akan nafkah kerana ikut perintah Allah ini! Kesan imanlah hasilnya akan timbul kebaikan yang kita buat. Maka jangan sekali-kali kita memandulkan akal dengan tidak gunakannya untuk berfikir.
    Manusia ini suka buat ukuran berbandingkan kepada angka bilangan; orang ini ramai tonton livenya, orang ini sedikit lalu terus buat hukum bahawa yang ramai penonton itu benar! Sedangkan hakikatnya tidak begitu! Mizan (timbangan) yang hakiki; yang benar ialah lihat kepada apa yang disampaikan, apakah betul maklumat ajarannya ikut firman Allah & sabda Rasulullah SAW.
    Kita sudah belajar hadis Rasulullah SAW bahawa Islam itu akan asing (sedikit) pengikutnya pada awal & di akhir zaman ini:
    “Islam datang dalam keadaan yang asing (gharib), akan kembali pula dalam keadaan asing. Sungguh beruntungnlah orang yang asing.” (HR. Muslim no. 145).
  4. Ayat 266- {Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu keterangan-keterangan, supaya kamu berfikir (dan mengambil iktibar).}-

    Dalam ayat ini Allah SWT ajar kepada kita supaya menggunakan bandingan yang dapat dilihat supaya kita dapat lihat & berfikir!
    Ini kerana dosa pahala adalah sesuatu yang tidak dapat di lihat!
    Allah perintahkan kita untuk bersedekah dengan harta yang baik & elok.
    Harta yang haram jangan sedekah, buat masjid, beri makan anak yatim dan lain-lain!
    Nak bersihkan harta begini seperti riba dan seumpamanya kena bersihkannya (bukan sedekah) untuk kegunaan umum seperti buat tandas jalan raya dan seumpamanya!
    Hatta orang kafir pada masa jahiliyyah pun tidak menerima harta & wang haram dalam pembinaan Ka’bah.
    Cerita penuh boleh baca dalam buku ini: Makkah Al-Mukarramah https://dartaibah.com/?page_id=179…
    Sesungguhnya Allah SWT itu baik dan sukakan sesuatu yang baik juga!
  5. Ayat 267- {Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya.}-

    Semua perkara yg kita buat tanya hati & perasaan kita sendiri!
    Buatlah kepada orang sebagaimana kita nak orang buat kepada kita!
    Kita suka orang buat baik kepada kita, beri barang elok- maka buatlah begitu juga!
    Allah suruh beri nafkah yang baik dari harta kamu suka dan sayang, jangan beri barang yang kamu sendiri tidak suka & sudah buruk.
    Jangan beri kepada orang yang diri sendiri tidak suka dengan pemberian kurang baik.
    Kita buatlah baik agar Allah juga buat baik kepada kita & sentiasa beri kebaikan kepada kita!
    Firman Allah SWT:
    {Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.} (A-li’Imraan 3:92)
    Kisah Abu Talhah RA, seorang sahabat yang kaya di Madinah, datang berlari kepada Rasulullah SAW apabila mendengar ayat ini, baca dalam:
    Madinah Munawwarah https://dartaibah.com/?page_id=179…
    Kempen AAM : Harta kita biarlah jadi milik kita selamanya dengan cara kita bersedekah, infaq fi-sabilillah & buat baik sesama manusia agar Allah SWT juga anugerah yang baik & redha kepada kita!
    Alhamdulillah tamatlah siri kuliah kita untuk hari ini, kita sambung lagi besok dalam ayat seterusnya.
    Peringatan sempena kedatangan tahun baru masihi 2024 ini: Sepikan malam ini daripada segala pesta kerana:
    i- Orang kafir gembira dengan cara mereka jangan kita ikut mereka atau ambil sempena malam itu dengan buat majlis sambutan juga. Maka kita jangan ikut erey (kehendak) mereka. Sebelum ini sudah ada ulama’ menegur tentang perayaan pada 25hb Disember.

    ii- Taqlid buta kepada orang kafir & budaya barat yang tiada dalam Sunnah & ajaran Islam. Budaya keterlaluan, yang berpesta tanpa batas.

    iii- Boleh menyebabkan kelalaian, lagha, sia-siakan waktu & kerosakan akhlak yang amat dahsyat.

    iv- Dosa & maksiat akan berlaku seperti; percampuran bebas, pembaziran bakar mercun & bunga api, muzik nyanyian dan lain-lain. Yang penting jangan ada persamaan apatah penyertaan kita dalam perayaan yang disambut oleh orang kafir! Kita tidak mahu menyerupai (tasyabbuh) orang kafir dengan perayaan mereka.
    Kenapa Nabi SAW larang solat sunat ketika matahari nak naik & jatuh matahari? Kerana syaitan sujud kepada matahari pada masa itu.
    Sedangkan kita solat nak sujud menyembah Allah bukan sembah matahari seperti syaitan- tetapi tetap dilarang- kerana tidak mahu menyerupai (tasyabbuh) dengan perbuatan syaitan! Maka kita tidak mahu buat atau ada perayaan/masjlis yang sama sempena (munasabah) dengan perayaan mereka!

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.

Powered by BetterDocs