SURAH AL-HAJJ : AYAT 63-69

\"\"

DALIL KUASA ALLAH MENURUNKAN HUJAN, MEMPERMUDAHKAN PENGEMBARAAN DI DARAT DAN LAUTAN & SETIAP UMMAT ADA SYARIAT PERATURANNYA TERSENDIRI.

Full video: https://youtu.be/R5uY_cH03zM

MUQADDIMAH :

  1. Ayat-ayat yang kita baca ini menunjukkan akan dalil-dalil akan tanda-tanda kekuasaan Allah s.w.t.
  2. Ayat al-Quran ini terbahagi kepada dua;
    i- ayat yang dibaca (maqru\’ah) مقروءة
    ii- ayat yang menunjukkan dalil dan tanda (musyahadah) ومشاهدة
  3. Ayat sebelum ini menunjukkan kekuasaan Allah s.w.t dengan menjadikan malam dan siang silih berganti, kadar dan tempohnya dengan hisab (kiraan) Allah s.w.t.
  4. Dunia ini jika tiada pentadbirnya (Allah s.w.t) pasti akan berlaku pertembungan.
  5. Amat malang jika dalam musim PKP yang kita terkurung ini tidak dapat pergi ke mana-mana ini; bilangan ayat al-Quran bacaan harian kita tidak bertambah, bilangan solat sunat kita juga tiada bertambah, juga amalan zikir tiada peningkatan!
  6. Sepatutnya inilah musim muhasabah diri dan berlaku keinsafan serta bertambah amal kebajikan.

AYAT 63- {TIDAKKAH ENGKAU MELIHAT BAHAWA ALLAH TELAH MENURUNKAN HUJAN DARI LANGIT, LALU MENJADILAH BUMI INI HIJAU SUBUR (DENGAN SEBABNYA)? SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA HALUS SERTA LEMAH-LEMBUT (URUSAN TADBIR-NYA), LAGI MAHA MENDALAM PENGETAHUANNYA (AKAN HAL-EHWAL SEKALIAN MAKHLUK-NYA).} (AL-HAJJ 22:63)

  1. Tidakkah engkau lihat wahai manusia, Allah s.w.t telah menurunkan hujan dari langit lalu bumi pun menjadi hijau subur dengan sebab hujan itu.
  2. Ini berlaku di depan mata kita, maka amat rugilah orang yang tidak mengambil pengajaran bertadabbur dan muhasabah.
  3. Allah s.w.t itu Allah Maha Halus (teliti) serta lemah-lembut urusan tadbir-Nya. Menyeluruh, teliti dan terperinci.
  4. Allah s.w.t itu juga Maha Mendalam pengetahuanNya akan hal-ehwal sekalian makhluk-Nya. Ulat dalam batu, akar pokok dalam bumi, apatah lagi binatang buas dan manusia, semua rezeki masing-masing dalam kuasa dan pengetahun Allah s.w.t.
  5. Inilah kepentingan kita bertadabbur dan menghayati nama-nama dan sifat Allah s.w.t untuk menambahkan keimanan dan taqwa.

AYAT 64- {SEGALA YANG ADA DI LANGIT DAN DI BUMI ADALAH KEPUNYAANNYA. DAN SESUNGGUHNYA ALLAH, DIA LAH JUA YANG MAHA KAYA, LAGI MAHA TERPUJI.} (AL-HAJJ 22:64)

  1. Semua yang ada di langit dan di bumi adalah kepunyaan Allah s.w.t, serta yang ada antara keduanya.
  2. Dan sesungguhnya Allah, Dia lah jua Yang Maha Kaya, Dia tidak memerlukan apa yang dibuat oleh makhluk-Nya.
    Contoh: Kita beribadat dan buat amalan kebaikan semuanya untuk pulangan balasan kita sendiri, bukan untuk kepentingan Allah s.w.t.
  3. Allah s.w.t juga Maha Terpuji, dalam nama, sifat dan urusan-Nya.
  4. Kekuasan Allah s.w.t itu merangkumi semua tempat; bumi, laut dan udara.
  5. Tetapi malangnya manusia ini, tidak cukup buat maksiat atas bumi, mereka juga buat di atas udara dan dalam laut juga.
    Contoh; kelab maksiat dan judi atas kapal-kapal cruise peranginan dan minuman keras atas kapal-terbang,

AYAT 65- {TIDAKKAH ENGKAU MELIHAT BAHAWA ALLAH TELAH MEMUDAHKAN APA YANG ADA DI BUMI UNTUK KEGUNAAN KAMU, DAN (DEMIKIAN JUGA) KAPAL-KAPAL YANG BELAYAR DI LAUT DENGAN PERINTAHNYA? DAN IA PULA MENAHAN LANGIT DARIPADA RUNTUH MENIMPA BUMI, KECUALI DENGAN IZINNYA; SESUNGGUHNYA ALLAH AMAT MELIMPAH BELAS KASIHANNYA DAN RAHMATNYA KEPADA UMAT MANUSIA.} (AL-HAJJ 22:65)

  1. Allah permudahkan urusan manusia di atas muka bumi ini. Contoh; boleh mengawal dan memanfaatkan haiwan-haiwan yang besar dan liar, seperti guna gajah yang begitu besar untuk pengangkutan, anjing dan helang sebagai haiwan perburuan dan seumpamanya.
  2. Kapal-kapal yang belayar di laut yang besar dan bergelora, samada kapal yang besar atau bot/perahu yang kecil semuanya terapung di laut dengan perintah-Nya,.
  3. Allah s.w.t juga menahan langit daripada runtuh menimpa bumi, kecuali dengan izin-Nya iaitu apabila berlakunya Kiamat.
  4. Kemudian Dia perkenalkan dirinya, Dia-lah Allah s.w.t yang Amat melimpah belas kasihan-Nya dan rahmat-Nya kepada umat manusia.
  5. Kerana itu ulama\’ mengatakan nama-nama dan sifat Allah itu mengandungi nama dan sifat yang diperlukan dalam semua keadaan. Jadi mengapa kita tidak sayang, tidak takut dan tidak gerun (untuk melakukan kejahatan) bersyukur (akan nikmat) kepada Allah?

AYAT 66- {DAN DIA LAH YANG MENGHIDUPKAN KAMU, KEMUDIAN IA MEMATIKAN KAMU, KEMUDIAN IA MENGHIDUPKAN KAMU SEMULA. SESUNGGUHNYA MANUSIA SANGATLAH TIDAK BERSYUKUR. (AL-HAJJ 22:66)

  1. Allah s.w.t yang menghidupkan kamu, kita ini asalnya mati dulu- yakni awalnya tiada, kemudian dilahirkan ke atas dunia ini. Tetapi kita tidak mahu menjadi manusia yang hidup badan tetapi mati hatinya.
  2. Kemudian Allah akan mematikan kamu bila tiba ajalnya, ini akan dilalui oleh semua manusia, lalu akan berada di alam barzakh sehingga tiba Hari Kiamat.
  3. Kemudian Allah juga akan menghidupkan kamu semula pada hari Kiamat. Inilah hidup yang tiada mati dan pengakhirannya, iaitu di akhirat. Manusia yang bijak ialah yang merancang untuk hidup yang panjang ini.
  4. Sesungguhnya manusia sangatlah tidak bersyukur dan kufur nikmat. Hamba yang bersyukur ialah yang melakukan ketaatan. Contoh ini telah ditunjukkan oleh nabi kita Rasulullah s.a.w.
  5. Hadis Riwayat UM Aisyah r.a berkata: \”Apabila solat, Rasulullah s.a.w berdiri sehingga bengkak kakinya. Aisyah bertanya: Wahai Rasulullah, kenapa Tuan melakukan ini padahal Allah telah mengampuni dosa Tuan yang telah berlalu dan yang akan datang. Baginda bersabda: Apakah aku tidak boleh menjadi hamba yang bersyukur?\” [HR Muslim].

AYAT 67- {BAGI TIAP-TIAP UMAT, KAMI ADAKAN SATU SYARIAT YANG TERTENTU UNTUK MEREKA IKUTI DAN JALANKAN, MAKA JANGANLAH AHLI-AHLI SYARIAT YANG LAIN MEMBANTAHMU DALAM URUSAN SYARIAATMU; DAN SERULAH (WAHAI MUHAMMAD) UMAT MANUSIA KEPADA AGAMA TUHANMU, KERANA SESUNGGUHNYA ENGKAU ADALAH BERADA DI ATAS JALAN YANG LURUS.} (AL-HAJJ 22:67)

  1. Setiap ummat yang diutuskan nabi dan rasul, masing-masing ada satu syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan, samada cara ibadat seperti solat. zikir, pemyembelihan atau hukum jenayah dan lain-lain.
  2. Maka janganlah ahli-ahli syariat (agama) yang lain membantahmu (Nabi Muhammad) dalam urusan Syariatmu iaitu agama Islam. Ini kerana dengan datangnya Islam, semua agama dan Syariat yang sebelumnya telah terbatal dimansukhkan,
  3. Lalu Allah s.w.t memerintahkan Rasulullah s.a.w untuk terus menyeru umat manusia kepada agama Islam, dan janganlah hiraukan akan tentangan golongan yang ingkar kerana sesungguhnya Baginda adalah berada di atas jalan yang lurus.

AYAT 68- {DAN JIKA MEREKA MENGEMUKAKAN BANTAHAN KEPADAMU, MAKA KATAKANLAH: \”ALLAH AMAT\” MENGETAHUI AKAN APA YANG KAMU LAKUKAN.} (AL-HAJJ 22:68)

  1. Tetapi jika mereka datang juga untuk berdebat dan membantah akan Syariat agama ini, Allah s.w.t ajar kepada Rasulullah s.a.w untuk berkata: Sesungguhnya Allah swt Amat mengetahui akan semua perbuatan dan helah kamu.
  2. Kita kena ingat bukan semua provokasi dan bantahan orang kafir dan yang menetang agama itu perlu dilayan, pilih yang betul-betul diperlukan untuk dibalas dengan hujjah yang bijak dan berhikmah.

AYAT 69- {\”ALLAH AKAN MENGHUKUM DI ANTARA KAMU SEMUA PADA HARI KIAMAT, MENGENAI APA YANG KAMU BERSELISIHAN PADANYA\”.} (AL-HAJJ 22:69)

  1. Allah s.w.t ajar kepada Rasulullah supaya jangan peduli akan perbuatan provokasi orang kafir dan penentang agama.
  2. Ini kerana Allah s.w.t pasti akan menghukum semuanya pada hari kiamat, mengenai apa saja yang kamu berselisih padanya.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS:

  1. Sebaik-baik ummat itu ialah umat nabi Muhammad s.a.w. Rasulullah s.a.w telah berpesan: \”Ikutlah jalan aku dan jalan para sahabat yang diberi petunjuk\”.
  2. Hujjah dalam agama yang akan kita gunakan untuk kembali kepada Allah s.w.t, kita ambillah hujjah dan rujuklah pandangan dari Nabi, para sahabat dan tabien serta ulama\’ salafus-Soleh yang diberi petunjuk.
  3. Bukan pandangan baru yang didapati dari mimpi atau rekaan, apatah lagi jika diambil dari pandangan dan hujjah orang kafir!!!

Wallahu a\’lam.

Powered by BetterDocs