Surah Al-Baqarah : Ayat 84-86

PERJANJIAN YANG DILANGGAR YAHUDI, TERIMA SEBAHAGIAN TAURAT & TUKAR NIKMAT DENGAN AZAB.

Full video : https://youtu.be/MU19_0GU-MA?si=PTHLZeunU_p4iaH1

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam ayat 84 hingga 86 bagi surah Al-Baqarah, surah yang kedua dalam juzu’ yang pertama.
  1. Dalam siri ini sebagaimana dalam siri yang lepas Allah SWT nyatakan tentang perjanjian yang dilanggar oleh yahudi.
  1. Dalam ayat sebelumnya (ayat 83) ada 8 perjanjian yang Allah buat ke atas yahudi. Yang pertama sekali hubungan dengan Allah & yang lainnya adalah hubungan dengan masyarakat dari sudut kemanusiaan iaitu silaturrahim dengan ibu bapa, anak yatim, kaum kerabat dan lain-lain.
  1. Diteruskan lagi dalam ayat 84 ini perjanjian dengan bani Israel dari sudut larangan & jenayah (المنهيات), jika sebelumnya (ayat 83) dari sudut ihsan & buat baik (الإحسان).
    Ini menunjukkan betapa tingginya mantiq Al-Quran.
  1. Tetapi apa boleh buat, janji hanya tinggal janji, yahudi tetap langar perjanjian & mereka hanya terima sebahagian Taurat, apabila kena dengan selera & nafsu mereka.
  1. Di akhir ayat Allah SWT nyatakan betapa bodohnya mereka ini yang tukar nikmat dengan azab.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 84- {DAN (INGATLAH), KETIKA KAMI MENGIKAT PERJANJIAN SETIA DENGAN KAMU: “(BAHAWA) JANGANLAH KAMU MENUMPAHKAN DARAH (BERBUNUH-BUNUHAN) SESAMA SENDIRI, DAN JANGANLAH KAMU USIR-MENGUSIR SESAMA SENDIRI DARI KAMPUNG MASING-MASING”. KEMUDIAN KAMU TELAH BERIKRAR MEMATUHI PERJANJIAN SETIA ITU, DAN KAMU SENDIRI PULA MENJADI SAKSI (YANG MENGAKUI KEBENARANNYA).} (AL-BAQARAH 2:84)

  1. Dalam ayat ini Allah SWT mengingatkan lagi tentang perjanjian yang dibuat dengan kaum yahudi bani Israel.
    Kali ini adalah tentang larangan dari perbuatan jenayah iaitu:
    i- Janganlah kamu menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan) sesama sendiri,

    ii- Dan janganlah kamu usir-mengusir sesama sendiri dari kampung masing-masing.
  1. Menumpahkan darah berbunuh sesama sendiri & menghalau orang keluar dari tempatnya adalah fenomena biasa di kalangan bani Israel.
    Berterusan perangai buruk ini sehinggalah ketibaan Rasulullah SAW di Madinah.
  1. Keadaan di Madinah semasa ketibaan Rasulullah:
    i- Penduduk asal Arab Madinah terbahagi kepada dua kumpulan iaitu kabilah Aus & Khazraj.
    Mereka ini telah bermusuh & berperang sesama sendiri lebih daripada 120 tahun.

    ii- Penduduk dan pendatang yahudi pula ada tiga kabilah: Yahudi Bani An-Nadhir, Bani Quraizah & Bani Qainuqa’,
  1. Bila berlaku peperangan antara Aus & Khazraj yahudi masuk campur dengan:
    i- Yahudi bani Quraizah buat perjanjian dengan Aus.

    ii- Yahudi bani Nadhir pula buat perjanjian dengan Khazraj.
  1. Jadi apabila Aus & Khazraj berperang. yahudi join juga, jadi seolah berperang sesama mereka!
    Sedangkan dalam kitab Taurat sudah ada larangan agar jangan bunuh-membunuh sesama kamu!
    Jangan usir mengusir orang dari tanah tempat tinggalnya!
    Tetapi mereka tidak dengarnya!
  1. Kemudian apabila Aus tawan Khazraj, di dalamnya ada juga tawanan yahudi yang bersama mereka dalam peperangan.
    Jadi puak yahudi bani Quraizah ini pergi jamin pula orang mereka, dengan dakwaan ada peruntukan dalam kitab Taurat untuk menebus tawanan perang.
  1. Inilah kepeningan yang melampau yang berlaku pada kaum yahudi.
    Begitulah perangai mereka yang suka khianat & berhukum ikut selera mereka dengan menyelewengkan kitab Taurat.
  1. Sekarang ini sedang berlaku pertumpahan darah di Palestin di mana kaum yahudi menindas & membunuh orang Islam.
    Sama-samalah kita berdoa untuk keselamatan saudara Islam kita yang tertindas dek yahudi di sana & semoga Allah memberi pertolongan kepada mereka!
    Sepatutnya imam-imam masukkan doa dalam qunut baru dia jadi “Qunut Nazilah.”
  1. Kemudian Allah nyatakan wahai yahudi: Kamu apabila buat perjanjian, kamu sendiri jadi saksi akan kebenarannya, kamu ikrar akan patuh & setia, kamu setuju & kamu tandatanganinya. Tetapi apabila selesai, berpaling belakang aje terus kamu khianatinya dan buat perjanjian lain pula dengan musuh!

AYAT 85- {KEMUDIAN KAMU INI (WAHAI BANI ISRAIL), KAMU BERBUNUH-BUNUHAN SESAMA SENDIRI DAN KAMU USIR SATU PUAK DARI KAUM KAMU KELUAR DARI KAMPUNGNYA; KAMU PULA SALING BANTU-MEMBANTU (DENGAN ORANG LAIN) UNTUK MENENTANG MEREKA DENGAN MELAKUKAN DOSA DAN PENGANIAYAAN; PADAHAL KALAU MEREKA DATANG KEPADA KAMU SEBAGAI ORANG TAWANAN, KAMU TEBUS MEREKA; SEDANG PERBUATAN MENGUSIR MEREKA DIHARAMKAN JUGA ATAS KAMU. SESUDAH ITU MAKA PATUTKAH KAMU HANYA PERCAYA KEPADA SEBAHAGIAN (DARI ISI) KITAB TAURAT DAN MENGINGKARI AKAN SEBAHAGIAN YANG LAIN? MAKA TIADALAH BALASAN BAGI ORANG YANG BERBUAT DEMIKIAN ITU DARI ANTARA KAMU, SELAIN DARI KEHINAAN KETIKA HIDUP DI DUNIA, DAN PADA HARI KIAMAT AKAN DITOLAK MEREKA KE DALAM AZAB SEKSA YANG AMAT BERAT. DAN (INGATLAH), ALLAH TIDAK SEKALI-KALI LALAI AKAN APA YANG KAMU LAKUKAN.} (AL-BAQARAH 2:85)

  1. Allah ulang lagi wahai bani Israel, bahawa perbuatan buruk kamu ialah:
    i- Menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan) sesama sendiri,

    ii- Kamu usir-mengusir sesama sendiri dari kampung masing-masing.
  1. Mereka ini, fahami kronologinya:
    i- Setelah buat perjanjian sesama mereka (yahudi) untuk bersatu

    ii- Buat pula perjanjian dengan kaum Aus & Khazraj,

    iii- Lalu mereka membatalkannya perjanjian itu (sesama yahudi), tetap lawan juga sesama sendiri untuk menunjukkan kesetiaan kepada orang lain yakni kepada Aus & Khazraj.
  1. Kita belajar dari Sirah ini: Jika nak buat perjanjian atau pakatan buatlah pakatan sesama agama Islam supaya kita tidak terjebak turun melakukan perbuatan yang dilarang oleh agama kita!
    Tengok yahudi buat juga walaupun jelas ada larangan tentang ini dalam kitab Taurat yang mereka pegang!
  1. Mereka juga tolong-menolong dengan musuh dengan melakukan dosa dan penganiayaan, menjadikan mereka membunuh & mengusir sesama mereka (yahudi) sehingga ada dari kalangan mereka yang menjadi tawanan perang!
  1. Tetapi setelah selesai perang, apabila mereka dapati ada dari kalangan yahudi itu menjadi tawanan perang kepada puak Aus & Khazraj. Mereka menebusnya pula!
    Iaitu sama ada tebus dengan wang/harta atau bertukar-tukar tebusan dengan musuh.
    Mereka buatnya dengan alasan ia adalah perundangan dalam Taurat, ada hukumnya dalam Taurat.
    Sedangkan larang bunuh-membunuh juga ada & diharamkan dalam Taurat, mereka langgar pula!
  1. Allah bawa contoh dengan jelas perangai mereka ini. Bahaya perbuatan pilih-pilih ayat!
    Begitulah mereka pilih isi kandungan Taurat itu. Apa yang mereka mahu mereka buat apa yang mereka tidak suka mereka langgarnya! Ikut suka mereka!
  1. Realitinya dalam negara umat Islam hari ini, lebih kurang juga dengan sikap yahudi, mengamalkan juga amalan terpilih ini!
    i- Kita buka Al-Quran, Al-Quran kata kena solat. Kita solat & bina masjid besar & banyak.
    Al-Quran kata kena keluar zakat kita buat, lagi semangat kerana dapat duit.
    Puasa, sudah jadi acara hari ini, haji satu perniagaan! dibenarkan oleh puak kafir!

    ii- Tetapi apabila kita bincang bab muamalat, riba haram? no! Judi & arak haram? no! Bahkan di Malaysia jika ada negeri yang menghalang judi, akan ada bantahan dari orang bukan Islam!
    Kenapa mereka berani & rasa kuat?
    Kerana mereka bergabung & mendapat sokongan dari orang-orang Islam yang bersetuju dengan mereka!
  1. Inilah yang dikatakan ambil separuh tinggal separuh!
    Ayat-ayat yang kita suka kita ambil & buat. Yang tak suka ditinggalkan dengan pelbagai alasan! Tak mampu, tak sesuai dan sebagainya!
    Jika ada kemampuan tetapi tak buat! kamu jawablah di hadapan Allah nanti!
    Atas dunia ini bolehlah beri pelbagai alasan tetapi tidak di Akhirat kelak!
    Maka balasan untuk orang berbuat demikian, buat pakatan dengan orang buka Islam, pilih-pilih hukum yang ada dalam Al-Quran, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat!
  1. Sedangkan umat Islam adalah umat yang mulia asalnya, tetapi menjadi hina atas dunia ini kerana tidak mengikut perjalanan agama yang dibawa Allah & tidak mengikut Sunnah yang diajar oleh Rasulullah SAW!
    Nabi ajar kita untuk berkerjasama, bersatu padu atas Islam. Kita berbalah sesama sendiri, kita buat pakatan pula dengan bukan Islam!
  1. Umat Islam pula terbahagi kepada dua pula:
    i- Ada yang semangat untuk mengamalkan ajaran Islam.

    ii- Ada yang sekular ambil separuh-separuh sahaja hukum Islam!
  1. Maka Allah kata jika beginilah sifat kamu, kamu akan menjadi hina atas dunia ini, kamu tidak akan ke depan tapi akan hanya menjadi ekor di belakang!
  1. Sedangkan umat Islam dulu memerintah & menguasai satu pertiga daripada dunia ini!
    Hina kita sebab jauh dari Islam, hina sebab tidak ikut Al-Quran & tidak ikut Sunnah Nabi SAW.
    Ini baru di dunia dan di Akhirat kelak lagi dahsyat azabnya!
    Dalam kampung kita orang kafir serang masuk, masuk yang kita tak nampak secara zahir.
    Masuk melalui alat-alat gadget yang ada dalam poket kita. Anak-anak kita jika tidak dikawal akan terperangkapn dengan mainan pendakyah ini & akan celaru dalam kehidupan beragama!
    Hina kita sebab tak ikut ajaran Al-Quran. Hina kerana tak ikut Sunnah Nabi SAW!
  1. Hendaklah kita ambil perhatian, jangan fikir ayat ini hanya untuk yahudi, memanglah sabab nuzul & ceritanya tentang yahudi, tetapi Al-Quran ini turun untuk semua manusia!
  1. Satu kaedah dari ulama’ tafsir: العبرة بعموم اللفظ لا بخصوص السبب
    “Ayat Al-Quran ini diambil kira umum lafaznya, bukan dikira sebab khas turunnya.”
    Inilah mukjizat Nabi SAW yang berkekalan (Al-Quran)!
  1. Satu kuliah yang menarik dari Kuliah Maghrib semalam yang banyak cerita mukjizat Nabi SAW yang dapat menguatkan semangat & keimanan kita kepada Allah SWT.
    Link: https://youtu.be/yExFBBK-808?si=g9cBhDN-7ShE2dXD
  1. Ayat ini pula menceritakan tentang balasan azab di akhirat pula!
    Hina di dunia walaupun umat Islam ramai, tetapi kekuasaan politik dan ekonomi di tangan orang bukan Islam!
  1. Di akhirat kelak lagi dahsyat azabnya.
    Ayat ini amaran dari Allah Azza wa Jalla tentang siapa yang ambil hukum agama separuh-separuh atau ikut nafsunya dan menafsirkan Al-Quran & hukum ikut nafsunya!
    YANG dia suka ambil yang tak kena dengan seleranya pendamkan dahulu. Wal ‘iyazubillah!
  1. Di akhir ayat Allah beritahu bahawa Dia tidak lalai atas apa yang kamu lakukan, dia akan ambil tindakan di dunia & akhirat.
    Ini ayat amaran & janji siksa bagi orang yang tak ikut peraturan!

AYAT 86- {MEREKA ITULAH ORANG-ORANG YANG MEMBELI (MENGUTAMAKAN) KEHIDUPAN DUNIA (DAN KESENANGANNYA) DENGAN (MENINGGALKAN PERINTAH-PERINTAH ALLAH YANG MEMBAWA KEBAHAGIAAN DALAM KEHIDUPAN) AKHIRAT; MAKA TIDAK AKAN DIRINGANKAN AZAB SEKSA MEREKA (PADA HARI KIAMAT), DAN MEREKA PULA TIDAK AKAN DIBERIKAN PERTOLONGAN.} (AL-BAQARAH 2:86)

  1. Dalam ayat ini Allah nyatakan sekali lagi sebab kenapa mereka mendapat kehinaan di dunia & azab di akhirat kelak!
  1. Mereka inilah {أُو۟لَـٰٓئِكَ} orang yang ambil separuh tinggal separuh, menukar & mengutamakan kehidupan dunia (Allah kata membeli ٱشْتَرَوُا۟ ) dengan meninggalkan kehidupan akhirat.
    Iaitu mereka ambil kekufuran, tinggal keimanan ambil maksiat. Tinggal Syari’ah ambil khurafat. Tinggal Sunnah ambil bid’ah. Tinggal ajaran Nabi SAW ambil kehendak yahudi! Tinggal kehendak Islam.
  1. Mereka kerana habuan dunia yang sedikit jual akhirat, apakah hukuman & tindakan ke atas mereka ini?
  1. Allah bagi amaran jika beginilah perangai kamu: {Maka tidak akan diringankan azab seksa mereka (pada hari kiamat), dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan.}
  1. Tentang kisah yahudi di Madinah yang agak terperinci boleh baca dalam buku ini: Madinah Munawwarah… https://dartaibah.com/?page_id=179…

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 84- {Dan (ingatlah), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu: “(Bahawa) janganlah kamu menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan) sesama sendiri, dan janganlah kamu usir-mengusir sesama sendiri dari kampung masing-masing”.}-

    Ayat ini Allah buat perjanjian dalam bentuk larangan.
    Dua larangan yang besar ialah:
    i- “(Bahawa) janganlah kamu menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan) sesama sendiri,

    ii- Dan janganlah kamu usir-mengusir sesama sendiri dari kampung masing-masing”.}-
    Maka Allah SWT guna ayat dengan tatabahasa (تعبير) percakapan dengan “kamu” {تَقْتُلُونَ أَنفُسَكُمْ وَتُخْرِجُونَ فَرِيقًۭا مِّنكُم}: {“(Bahawa) janganlah kamu menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan) sesama sendiri, dan janganlah kamu usir-mengusir sesama sendiri dari kampung masing-masing”.}-

    Jawapan: Ini kerana seolah-olah apabila kita keluarkan kawan atau kaum kita sendiri dari kampung seolah kita halau diri kira sendiri, apabila kita tumpahkan darah kawan sendiri, seolah-olah kita telah bunuh diri kita sendiri!
    Inilah jenayah yang dibuat oleh yahudi pada ketika itu.

    Kerana itu kata ulama’ : Satu umat itu seperti satu diri sahaja.
    i- Inilah usulub Al-Quran untuk membuatkan kita terasa betapa tak baik & buruknya jenayah itu.
    Jangan khianat kepada sesama Islam kerana seolah kita khianat kepada diri kita sendiri!
    Kerana itu berhati-hatilah dengan mainan talibarut orang kafir ini yang sentiasa mahu menjatuhkan orang Islam.
  1. Ayat 84- {Dan (ingatlah), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu:} –

    Ayat ini menunjukkan betapa buruknya orang yang khianat & merosakkan perjanjian!
    i- Jika tak berjanji dari awal lagi lain, ini berjanji dan bersumpah untuk taat setia kemudian batalkannnya!
    Jika sudah berjanji kemudian tipu. Lagi dahsyat daripada tidak berjanji.

    ii- Puak yahudi sudah berjanji dengan jelas sebagaimana dalam kitab Taurat, jangan bunuh membunuh sesama kamu & jangan menghalau keluar dari tempat tinggalnya!

    iii- Kronologi keadaan yahudi di Madinah:
    a) Ada tiga golongan yang besar iaitu yahudi bani Qainuqa’ yang berkelahi dengan yahudi bani Quraizah & yahudi bani Nadhir.

    b) Bani Quraizah adalah yang memberi sokongan & buat pakatan dengan kabilah Aus.

    c) Bani Nadhir pula yang memberi sokongan & buat pakatan dengan kabilah Khazraj.

    iv- Jadi apabila Aus & Khazraj berperang, yahudi penyokong mereka turut serta masuk campur sekali. Maka berlakulah peperangan sesama sendiri!
    Apabila mereka ditawan, tawanan itulah yang menjadi tebusan!

    v- Taurat larang jangan berperang sesama sendiri, mereka buat. Taurat suruh ambil tebusan mereka buat pula!
    Jadi Allah kata mereka yahudi ini buat separuh tinggal separuh.
  1. Allah SWT gambarkan sifat yahudi itu sebagai kumpulan yang suka batalkan perjanjian & tak tunai janji.

    Maka kata ulama’ tadabbur: Orang yang setia dengan perjanjian & sentiasa tunaikan janji dan tanggungjawab, maka itulah sifat mu’min sejati yang baik.
    Siapa yang batalkan perjanjian, tidak tunaikan janji, itu adalah sifat kafir, munafiq & yahudi. Bila dia berjanji dia tipu.
    Yahudi ini perjanjian dengan Allah pun dia khianat apatah lagi perjanjian sesama manusia, gampang saja bagi mereka!
    Kita orang beriman, kata Nabi hendaklah menyalahi akhlak & sifat orang kafir, munafiq & yahudi.
    Kita minta perlindungan dengan Allah SWT dari semua sifat buruk ini!
  1. Ayat 85- {Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain?}-

    Apakah patut kau ambil separuh & tinggal separuh.
    Kata ulama’ tadabbur menjuzu’-juzu’kan (pecah-pecahkan) hukum Allah adalah seperti:
    i- Dalam Al-Quran kata kena nikah/kahwin, kita buat.
    Tetapi apabila Al-Quran kata haram pergaulan bebas campur lelaki perempuan & tak tutup aurat, kita langar.

    ii- Majlis pernikahannya yang ikut Syari’ah hanya akad nikah, tetapi pengantin tak tutup aurat, tetamu juga tak tutup aurat serta bercampur gaul lelaki perempuan, guna khidmat jurumekap lelaki, ada muzik nyanyian dan seumpamanya yang bertentangan dengan Syari’ah Islam.

    Kata ulama’ tadabbur: Allah SWT buat 4 perjanjian dengan yahudi iaitu dengan larangan:
    i- Jangan berperang sesama sendiri.

    ii- Jangan halau sesama sendiri dari tempat tinggalnya.

    iii- Jangan tolong orang lain untuk mengalahkan kaum kamu sendiri!

    iv- Jika kawan kamu kena tawan kamu kena tebusnya!
    Yahudi tolak/langar tiga & hanya ambil satu sahaja, maka Allah celanya dengan bertanya apakah patut perbuatan kamu itu?
    Kamu ambil separuh sahaja daripada Taurat & tinggalkan ajarannya yang lain?
    Kita orang Islam pun lihatlah bagaimana amalan kita dengan Al-Quran. Apakah kita hanya ambil hukum-hakam dan perundangan yang kita senang saja seperti nikah kahwin, solat & puasa sahaja, tetapi bab muamalat banyak tidak diikut?
    Maka mengambil sebahagian atau separuh yang kita kehendaki & tinggalkan sebahagian yang tidak diingini apa akan jadi?
    Allah kata siapa buat begitu maka tunggulah kamu kehinaan di dunia & azab seksa yang dahsyat di akhirat kelak! Wal-‘yazubillah.
  1. Ayat 86- {Mereka itulah orang-orang yang membeli (mengutamakan) kehidupan dunia (dan kesenangannya) dengan (meninggalkan perintah-perintah Allah yang membawa kebahagiaan dalam kehidupan) akhirat; maka tidak akan diringankan azab seksa mereka (pada hari kiamat), dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan.}-

    Mereka inilah orang yang jual akhirat beli dunia, jual Taurat beli kasih sayang Aus & Khazraj, jual Al-Quran beli undang-undang orang putih atau kehendak orang yang bukan Islam.
    Mereka inilah puak yang melakukan jenayah yang besar.
    Maka Allah nyatakan yahudi dilaknat kerana mereka ambil dunia tinggal akhirat, tinggal Taurat ambik kehendak nafsu.

    Ulama’ kata ayat ini bukan hanya untuk yahudi, bahkan kita umat Islam hari ini juga jika ada perangai yang sama seperti mereka ini, juga akan dihina di dunia & dapat azab yang dahsyat di akhirat kelak!
    Setiap umat ada agamanya, ada suruhan ada larangannya.

    Kita orang Islam juga ada agama kita yang ada suruhan & laranganya.
    Maka jangan sekali-kali kita ikut peraturan yang melanggar Syari’ah Allah SWT.

    Kita sentiasalah berdoa semoga Allah curahkan dalam hati kita agar sayang kepada Al-Quran, sayang kepada Sunnah Nabi SAW.
    Serta bantulah kami ya Allah untuk melaksanakan tuntutan Al-Quran dan tuntutan Sunnah Nabi SAW.
    Jauhkan kami dari semua perkara yang dilarang & dimurkai oleh Allah atau yang dibenci oleh Nabi SAW.

    Koleksi siri Tafsir Surah Al-Baqarah boleh dilihat di: https://youtube.com/playlist…

Powered by BetterDocs