SURAH AL-\’ANKABUT : AYAT 12-15

\"\"

GOLONGAN KAFIR MEMUJUK ORANG MUKMIN, MEREKA AKAN MENANGGUNG SEMUA DOSA & NABI NUH SABAR BERDAKWAH TEMPOH YANG LAMA.

Full video : https://youtu.be/P4XZc8BRKXg

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Dalam siri yang lepas Allah s.w.t berpesan kepada hamba-Nya untuk taat, berbuat baik dan ihsan kepada dua ibu bapa.
  2. Tetapi dalam masa yang sama Allah s.w.t pesan dan buat pengecualian terus sebagai panduan kepada kita:
    i- Jangan bertoleransi atau berkompromi dalam masalah akidah dan prinsip agama.
    ii- Bukanlah ketaatan untuk tinggalkan Islam kerana ibu tidak redha, bukanlah kebaikan untuk tinggalkan amalan sunnah kerana bapa tidak suka.
  3. Inilah cabaran utama orang beriman, kerana surah ini dimulakan dengan cabaran dan ujian- Adakah manusia menyangka mereka akan tidak diuji selepas mengaku beriman.
  4. Cerita pertama yang Allah s.w.t bawa dalam surah ini ialah tentang Nabi Nuh yang sudah berdepan dengan kaumnya selama 950 tahun, iaitu hampir seribu tahun.
  5. Ini untuk memberi motivasi dan mendidik Rasulullah s.a.w agar sabar dan terus bersemangat untuk berdakwah kepada kaumnya yang menentangnya ketika itu.
  6. Allah s.w.t juga ceritakan dalam negara Islam akan terkumpul 3 kumpulan yang utama iaitu:-
    i- Golongan benar-benar ikhlas beriman beriman zahir dan batin,
    ii- Golongan kafir zahir dan batin yang jelas.
    iii- Golongan munafik yang zahir beriman tetapi batin atau dalamannya menolak dan kufur.
  7. Dalam siri yang lepas orang beriman telah diuji dengan azab siksa yang mengancam mereka untuk meninggalkan agama Islam.
  8. Dalam siri ini kita sambung lagi tentang ujian yang diberikan kepada orang-orang yang beriman. Kali ini ujian dengan cara godaan, hasutan, pujukan, iaitu cara lembut pula. Dalam bahasa Arab disebut uslub الإغواء والإغراء iaitu teknik memujuk dan menghasut.
  9. Hari ini dalam Sejarah- mengikut Kitab Rahiqul-Makhtum- setelah keluar berhijrah dari Makkah, Rasulullah s.a.w selamat tiba di Quba\’, Madinah, pada hari Isnin 8 Rabi\’ul Awal bersamaan 23 September 622M.

AYAT 12- {DAN BERKATA PULA ORANG-ORANG YANG KUFUR INGKAR KEPADA ORANG-ORANG YANG BERIMAN: \”IKUTLAH JALAN AGAMA KAMI, DAN KAMI SEDIA MENANGGUNG KESALAHAN-KESALAHAN KAMU (KALAU KAMU MENGIRA PERBUATAN ITU SALAH)\”. PADAHAL MEREKA TIDAK AKAN DAPAT MENANGGUNG KESALAHAN ORANG-ORANG YANG BERSALAH ITU SEDIKITPUN, DAN SESUNGGUHNYA MEREKA ADALAH BERDUSTA. (AL-\’ANKABUUT 29:12)

  1. Orang kafir (Quraisy) cuba menggoda dan memujuk orang yang beriman untuk ingkar atau murtad dengan menimbulkan keraguan dengan kecelaruan fikiran. Ini setelah mereka tidak percaya guna kekerasan dan azab ke atas orang Islam.
  2. Bahkan mereka memberi jaminan untuk menanggung kesalahan mereka kalau orang mukmin mengira perbuatan itu salah.
  3. Allah s.w.t menolak terus jaminan ini dengan berkata bahawa mereka tidak akan dapat menanggung kesalahan orang-orang yang bersalah itu sedikitpun, dan sesungguhnya mereka adalah berdusta.
  4. Firman Allah s.w.t: {\”Dan (ketahuilah) bahawa seorang pemikul itu tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain dan jika berat tanggungannya (dengan dosa), lalu memanggil (orang lain) untuk menolong agar dipikul sama bebanan tersebut, maka tidak akan dapat dipikul sedikitpun daripadanya walaupun orang yang meminta pertolongannya itu daripada kaum kerabatnya sendiri.\”} [Faathir: 18]
  5. Inilah uslub atau cara perang saraf pemikiran.
    Sejarah telah membuktikan betapa begitulah cara penjajah menawan negara-negara Islam dulu, apabila tidak berjaya menawan hati penduduk dengan serang ketenteran mereka mengggunakan serangan pemikiran. الغزو الفكر dakyah dan hasutan.

AYAT 13- { DAN SESUNGGUHNYA MEREKA AKAN MENANGGUNG BEBAN-BEBAN DOSA MEREKA DAN BEBAN-BEBAN (DOSA ORANG-ORANG YANG MEREKA SESATKAN) BERSAMA-SAMA DENGAN BEBAN-BEBAN DOSA MEREKA SENDIRI; DAN SESUNGGUHNYA MEREKA AKAN DITANYA PADA HARI KIAMAT KELAK TENTANG APA YANG MEREKA PERNAH ADA-ADAKAN SECARA DUSTA ITU. (AL-\’ANKABUUT 29:13)

  1. Dalam ayat sebelumnya Allah sebut mereka bohong, yakni setiap orang akan menanggung dosanya sendiri masing-masing. Inilah asasnya.
  2. Tetapi dosa bersebab- seseorang itu akan bertanggung-jawab ke atasnya dan akan ditanya di akhirat nanti. Iaitu apabila ia membuat kesesatan, ia akan akan ditanya tentang orang yang terkesan dengan sebab kesesatan itu.
  3. Hadis riwayat Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: \”Barang siapa mengajak ke arah kebaikan, ia memperoleh pahala sebagaimana pahala-pahala orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangkan pahala mereka yang mencontohinya itu sedikit pun. Barang siapa mengajak ke arah keburukan, maka ia memperoleh dosa sebagaimana dosa-dosa orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangkan dosa-dosa mereka yang mencontohinya itu sedikit pun.\” (Riwayat Muslim)
  4. Ini adalah anugerah yang besar bagi seorang Islam, setiap kebajikan dan kebaikan yang kita ajar kepada orang kita akan dapat meraih pahalanya juga. begitulah seterusnya seolah sistem MLM hari ini.
  5. Kerana itu tidak perlu kita baca ayat-ayat al-Quran dan niat sedekah pahalanya kepada Rasulullah s.a.w, kerana Baginda s.a.w insya\’ Allah secara automatik akan mendapat pahala atas semua manusia yang beriman dan beramal soleh hasil dakwah dan sunnah ajaran Baginda s.a.w.
  6. Begitu juga ibu bapa yang sudah menjalankan tanggung-jawabnya memberi pendidikan agama dan ajaran yang sepatutnya kepada anak-anak tidak lagi akan menaggung dosa atau bertanggung-jawab atas kelakuan buruk mereka.
  7. Maka kita berhati-hatilah dalam beramal dan menyebarkan sesuatu ibadat atau amalan agar bertepatan dengan al-Quran dan ajaran sunnah Rasulullah s.a.w untuk mendapat pahala yang berterusan insya\’ Allah.

AYAT 14- { DAN SESUNGGUHNYA KAMI TELAH MENGUTUS NABI NUH KEPADA KAUMNYA, MAKA TINGGALAH IA DALAM KALANGAN MEREKA SELAMA SEMBILAN RATUS LIMA PULUH TAHUN; AKHIRNYA MEREKA DIBINASAKAN OLEH TAUFAN SEDANG MEREKA BERKEADAAN ZALIM (DENGAN KUFUR DERHAKA). (AL-\’ANKABUUT 29:14)

  1. Nabi Nun ini ialah nabi dan rasul pertama yang diutuskan selepas Adam a.s.
  2. Dia telah berdakwah kepada kaumnya dalam tempoh yang begitu panjang iaitu selama 950 tahun!
  3. Apabila diwahyukan oleh Allah kepadanya bahawa tidak akan ada lagi kaumnya yang akan beriman selepas itu dia pun mengangkat tangannya berdoa kepada Allah s.w.t supaya mereka dimusnahkan.
  4. Akhirnya mereka dibinasakan oleh taufan (banjir besar) sedang mereka berkeadaan zalim dengan kufur dan derhaka.
  5. Ini menunjukkan kepada Rasulullah s.a.w dan kita semua bahawa kena sabar dalam berdakwah serta pengakhiran orang yang zalim akibatnya adalah musnah dengan azab Allah s.w.t.

AYAT 15- { MAKA DENGAN ITU KAMI SELAMATKAN DIA DAN PENGIKUT-PENGIKUTNYA YANG TURUT BERSAMA DALAM BAHTERA, DAN KAMI JADIKAN BAHTERA ITU SATU TANDA (YANG MEMBUKTIKAN KEKUASAAN KAMI DAN MEMBERI PENGAJARAN INSAF) KEPADA SEKALIAN MAKHLUK. (AL-\’ANKABUUT 29:15)

  1. Manakala mereka yang beriman dengan ikut nabi Nuh a.s bersama dalam bahternya, selamat.
  2. Ibnu Kathir berkata: Allah jadikan bahtera itu sebagai satu tanda maksudnya:
    i- kisahnya sebagai satu pengajaran untuk manusia.
    ii- Allah jadikannya kekal atas bukit Juudi itu untuk dilihat oleh orang ramai sebagai pengajaran dan peringatan.
  3. Kisah nabi Nuh dalam siri ini hanya dua ayat ini aja kerana sebelum ini kita sudah lalui banyak kisah nabi Nuh secara panjang dan detail. Ia dibawa khas dalam surah ini untuk menenangkan hati Rasulullah s.a.w.
  4. Kata Imam Malik: \”Sunnah Nabi s.a.w laksana bantera Nabi Nuh A.S sesiapa yang naik akan selamat dan sesiapa yang meninggalkannya akan binasa\”.
    قال ابن وهب كنا عند مالك فذكرت السنة فقال مالك:\” السنة سفينة نوح من ركبها نجا ومن تخلف عنها غرق\”. ( تاريخ دمشق لابن عساكر14/9)
    و(تاريخ بغداد7/336) و(ذم الكلام و اهله للهروي 4/124-رقم885)

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 12- {Dan berkata pula orang-orang yang kufur ingkar kepada orang-orang yang beriman: \”Ikutlah jalan agama kami, dan kami sedia menanggung kesalahan-kesalahan kamu} – ayat ini menunjukkan betapa cara dan usaha orang kafir untuk menyesatkan orang Islam. Juga terus Allah s.w.t pesan agar kita jangan sesekali percaya! Ini kerana setiap orang akan menganggung dosa masing-masing.
  2. Ayat 13- {Dan sesungguhnya mereka akan menanggung beban-beban dosa mereka dan beban-beban (dosa orang-orang yang mereka sesatkan)} – tetapi ada juga dosa bersebab; sesiapa saja yang buka jalan, bawa orang ikut caranya, dia akan menjadi (syarik-partner) dipertanggung-jawab samada menjadi sebab orang buat kebaikan atau kejahatan. Sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w tadi. Dalil bahawa orang yang menjadi penyebab itu akan ada juga sahamnya.
  3. Ayat 12 lagi- {Ikutlah jalan agama kami, dan kami sedia menanggung kesalahan-kesalahan kamu} – memang orang kafir semangat dan bersungguh untuk memesongkan orang Islam. Jika tidak berjaya dengan cara kekerasan mereka akan gunakan godaan yang disukai oleh nafsu. Menjajah fikiran dan akal dengan keraguan dan kelalaian. Mereka akan menormalisasikan perkara mungkar dan maksiat.
  4. Ayat 13- { Dan sesungguhnya mereka akan menanggung beban-beban dosa mereka dan beban-beban (dosa orang-orang yang mereka sesatkan) bersama-sama dengan beban-beban dosa mereka sendiri;} – Penyebab kejahatan akan tangung dosanya sendiri SERTA juga akan mendapat saham dari perbuatan jahat orang lain yang lahir dari akibat perbuatannya.
  5. Ayat 12- {Padahal mereka tidak akan dapat menanggung kesalahan orang-orang yang bersalah itu sedikitpun}- ini adalah isbat keadilan Allah s.w.t, dosa setiap manusia akan ditanggungnya sendiri. Kecuali dosa bersebab, penyebab ada kaitannya akan dipertanggung-jawab.
  6. Ayat 13- {dan sesungguhnya mereka akan ditanya pada hari kiamat kelak tentang apa yang mereka pernah ada-adakan secara dusta itu.} – mereka akan disoal akan semua yang tuduhan yang mereka buat ke atas Rasulullah s.a.w itu semuanya tidak berasas dan bohong.
  7. Ayat 14- {Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh} – Allah s.w.t mula menyebut surah ini dengan kisah nabi Nuh a.s kerana dia adalah rasul pertama yang dihantar kepada manusia ini selepas Nabi Adam a.s. Jaraknya antara Adam dan Nuh adalah 10 kurun.
  8. Ayat 14- { Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh maka tinggalah ia dalam kalangan mereka selama sembilan ratus lima puluh tahun;} Apa faedah disebut tempoh dakwah Nabi Nuh ini? Allah s.w.t turunkan ayat ini untuk menenangkan dan memberi motivasi semangat kepada Rasulullah s.a.w yang sedang merasa sempit dada dan kesedihan selepas berdakwah selama 10 tahun di Makkah tetapi menghadapi tentangan demi tentangan dari kaumnya. Bahawa pertolongan Allah dan kemenangan bagi orang mukmin adalah dekat. Ini terbukti selepas setahun berhijrah ke Madinah dalam peperangan Badar, 313 orang tentera Islam. Dalam peperangan Uhud tahun ke-3H, jumlah tantara Islam adalah 1000 orang, dalam peperangan Ahzab tahun ke-5H 3000, Tahun ke 8-H Pembukaan Makkah 10,000 tentera masuk ke Makkah, manakala pada Haji Wada\’ tahun ke-10H, rombongannya 140,000 lebih! Sedangkan Nabi Nuh berdakwah dekat 1000 tahun hanya beberapa orang pengikutnya yang naik kapal.
  9. Ayat 14- { أَلْفَ سَنَةٍ إِلَّا خَمْسِينَ- seribu tahun kecuali 50 tahun} Allah s.w.t menggunakan uslub/gaya bahasa pengecualian (istisna\’) dalam ayat ini. Hikmahnya untuk:
    i- menunjukkan kepada tahqiq- tepatnya bilangan angka yang digunakan.
    ii- untuk menyatakan betapa Nabi Nuh seorang rasul yang sabar, maka Rasulullah dan semua para pendakwah selepas itu kena sabar, jangan gopoh dan banyak berdoa.
  10. Ayat 14- { akhirnya mereka dibinasakan oleh taufan sedang mereka berkeadaan zalim (dengan kufur derhaka).} Sesiapa yang melakukan kezaliman, jika dia bertaubat, Allah s.w.t akan selamatkannya, tetapi jika mereka berterusan dalam kezaliman Allah s.w.t akan timpakan azab ke atas mereka.
    Zalim diri sendiri ialah tidak beriman atau melakukan dosa maksiat kepada Allah lalu mengundang kemurkaan Allah s.w.t.

MAKA UNTUK SELAMAT JANGANLAH KITA BUAT KEZALIMAN SAMADA KE ATAS DIRI SENDIRI ATAU ORANG LAIN!

Wallahu a\’alam.

Powered by BetterDocs