SURAH AL-QASAS : AYAT 79-84

\"\"

QARUN MENUNJUKKAN KESOMBONGANNYA, ALLAH TENGGELAMKANNYA KE DALAM BUMI & PENGAJARAN BUAT PENGKAGUM KEKAYAAN DAN GOLONGAN YANG INSAF.

Full video : https://youtu.be/uvEjwCp-UQc

MUQADDIMAH :

1. Dalam siri ini kita teruskan tentang kisah Qarun, jutawan Bani Israil yang sombong.

2. Alhamdulillah, untuk rekod, pada hari ini masjid-masjid di negeri Kelantan dibenarkan solat Jumaat & Solat Jemaah seramai 40 orang. Setelah 17 minggu hanya 4 orang dibenarkan. Kepada Allah s.w.t kita minta tolong untuk menghilangkan segala wabak penyakit atas dunia ini dan semoga kita sentiasa istiqomah melakukan ibadat kepada-Nya.

3. Qarun terus mempamerkan kekayaan dan kemewahannya sehingga menyebakan orang ramai yang melihat terpukau dan terkesima.

4. Maka lahirlah dua golongan; ada yang terus terpukau dengan kehidupan dunia itu dan menginginkannya juga. Ada juga golongan yang insaf dan menyedari semua itu hanya sementara dan fitnah dunia.

5. Dengan tadabbur ayat-ayat ini, semoga kita tidak terpedaya dengan ujian harta dan terkesima dengan kekayaan, bahkan kita jadikan iktibar pengajaran bahawa tidak syarat menjadi kaya untuk senang dan bahagia di dunia dan akhirat.

AYAT 79- {KEMUDIAN QARUN KELUAR KEPADA KAUMNYA DENGAN MEMAKAI PERHIASANNYA. (PADA SAAT ITU) BERKATALAH ORANG-ORANG YANG SEMATA-MATA INGINKAN KESENANGAN KEHIDUPAN DUNIA: \”ALANGKAH BAIKNYA KALAU KITA ADA KEKAYAAN SEPERTI YANG DIDAPATI OLEH QARUN! SESUNGGUHNYA DIA ADALAH SEORANG YANG BERNASIB BAIK\”.} (AL-QASAS 28:79)

1. Dalam siri yang lepas, Allah s.w.t telah sebutkan:

i- Betapa kayanya Qarun ini sehingga kunci gedung-gedung hartanya terpaksa dipikul oleh beberapa orang lelaki yang kuat.

ii- Dia juga berbangga dengan kekayaannya, mendakwa bahawa apa yang dia dapat adalah hasil kebijaksanaan dan usahanya sendiri, bahkan juga kerana Allah redha kepadanya.

iii- Dia juga telah diberi 5 nasihat oleh seorang sahabatnya yang soleh tetapi dia tetap ingkar dan menolaknya dengan angkuh.

iv- Qarun ini adalah keluarga Nabi Musa a.s, dari kalangan Bani Israil, tetapi kerana telah kaya, dia angkuh dan sombong lalu terkeluar dari ajaran nabi Musa a.s.

2. Dalam ayat ini pula menceritakan bahawa pada suatu hari Qarun keluar dihadapan orang ramai mempamerkan kepada kaumnya segala kemewahan dan perhiasan yang dimilikinya, dengan iringan kenderaan dan pengawal, penuh dengan kemegahan dan kebanggaan.

3. Ketika orang ramai melihatnya, maka terbahagilah mereka kepada dua golongan.

4. Golongan pertama yang lemah imannya dan inginkan kesenangan dunia, kagum dan terpesona dengan Qarun, mereka ini adalah pencinta dunia.

5. Mereka sangat berharap dapat kekayan seperti Qarun, menjadi sepertinya yang disangkakan adalah seorang yang bertuah dan bernasib baik.

6. Ingatan kepada kita agar jangan menjadi seperti golongan ini, yang hanya nampak dunia tidak disebaliknya nanti. Tetapi jadilah seperti golongan kedua dalam ayat berikutnya ini.

AYAT 80- {DAN BERKATA PULA ORANG-ORANG YANG DIBERI ILMU (DI ANTARA MEREKA): \”JANGANLAH KAMU BERKATA DEMIKIAN, PAHALA DARI ALLAH LEBIH BAIK BAGI ORANG YANG BERIMAN DAN BERAMAL SOLEH; DAN TIDAK AKAN DAPAT MENERIMA (PAHALA YANG DEMIKIAN) ITU MELAINKAN ORANG-ORANG YANG SABAR\”.} (AL-QASAS 28:80)

1. Manakala golongan kedua, yang mendapat ilmu yang bermanfaat dan mengetahui hakikat dunia, mereka menasihat golongan yang pertama tadi dengan mengingatkan mereka agar jangan berkata begitu! وَيْلَكُمْ asal perkataan ini bermaksud mengherdik untuk menyedarkan orang daripada melakukan perbuatan yang tidak baik

2. Mereka mengingatkan bahawa pahala kebaikan dari Allah bagi orang yang beriman dan beramal soleh, di akhirat nanti adalah lebih baik dari semua itu.

3. Ulama\’ mengatakan bahawa maksud pahala dari Allah itu ialah:- ثَوَابُ اللَّهِ

i- pahala di akhirat.

ii- pahala yang segera di dunia iaitu Allah beri kemanisan beribadat dan cintakan Allah.

Contoh- Orang yang tak rasa manis ibadat akan merasakan subuh tiba terlalu awal, manakala yang dapat rasa kemanisannya akan bangun sebelum subuh lagi!

4. Tidak akan mendapat petunjuk untuk mendapat pahala kebaikan itu melainkan orang yang sabar, iaitu:

i- sabar melakukan ketaatan.

ii- sabar meninggalkan maksiat.

iii- sabar menghadapi ujian dari Allah Azza wa Jalla.

5. Semoga kita mendapat ilmu yang bermanfaat, celik mata dan tahu hakikat dunia.

AYAT 81- {LALU KAMI TIMBUSKAN DIA BERSAMA-SAMA DENGAN RUMAHNYA DI DALAM TANAH, MAKA TIDAKLAH IA MENDAPAT SEBARANG GOLONGAN YANG BOLEH MENOLONGNYA DARI AZAB ALLAH\” DAN IA PULA TIDAK DAPAT MENOLONG DIRINYA SENDIRI.} (AL-QASAS 28:81)

1. Dalam ayat ini episod kebinasaan Qarun. Allah s.w.t menyatakan bahawa Dia tenggelamkan Qarun, rumah dan hartanya dalam timbusan tanah.

2. Ini menunjukkan Allah s.w.t menimpa azab-Nya ke atas hamba-Nya yang zalim mengikut kesombongan dan kesukaan mereka.

3. Dalam kes Qarun ini, dia sombong dan takabbur, maka ditelan oleh bumi sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w:

“Ketika seorang laki-laki sedang bergaya dengan kesombongan berjalan dengan mengenakan dua burdahnya (jenis pakaian bergaris-garis; atau pakaian yang terbuat dari wol hitam), dia mengagumi dirinya, lalu Allah membenamkannya di dalam bumi, maka dia selalu terbenam ke bawah di dalam bumi sampai hari kiamat.” [HR Bukhari].

4. Apabila bala ini berlaku, tiada orang yang datang atau dapat menolongnya, bahkan Qarun dengan segala kekayaan hartanya itu, tidak dapat tidak menolong dirinya sendiri.

AYAT 82- {DAN ORANG-ORANG YANG PADA MASA DAHULU BERCITA-CITA MENDAPAT KEKAYAAN SEPERTI QARUN – MULAI SEDAR SAMBIL BERKATA: \”WAH! SESUNGGUHNYA ALLAH MEMEWAHKAN REZEKI BAGI SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA DARI HAMBA-HAMBANYA, DAN DIA LAH JUGA YANG MENYEMPITKANNYA KALAU TIDAK KERANA ALLAH MEMBERI PERTOLONGAN KEPADA KITA TENTULAH KITA AKAN DIBINASAKAN DENGAN TERTIMBUS DI DALAM TANAH (SEPERTI QARUN). ADUHAI! SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG KUFURKAN NIKMAT ALLAH ITU TIDAK AKAN BERJAYA!\” (AL-QASAS 28:82)

1. Maka apabila melihat kejadiaan azab ini barulah sedar dan insaf para pengkagum Qarun yang berharap untuk menjadi sepertinya tadi.

2. Barulah mereka sedar dan berkata bahawa Allah s.w.t akan memberi rezeki-Nya kepada sesiapa yang dikehendakinya, dan Dia juga yang menyempitkan rezeki sesiapa yang dikehendaki-Nya. Mereka bersyukur pula kerana tidak menjadi seperti Qarun, jika tidak mereka juga akan binasa katanya!

3. Yakni ketetapan kaya atau miskin adalah di bawah kuasa Allah s.w.t, tidak mestinya kaya tanda Allah redha, atau miskin tanda Allah murka, sedangkan kedua-duanya adalah ujian dari Allah s.w.t. begitu juga kesakitan dan kesihatan.

4. Sesungguhnya orang-orang yang kufurkan nikmat Allah itu tidak akan berjaya sama-sekali, di dunia apatah lagi di akhirat.

AYAT 83- {NEGERI AKHIRAT (YANG TELAH DITERANGKAN NIKMAT-NIKMATNYA) ITU, KAMI SEDIAKAN BAGI ORANG-ORANG YANG TIDAK BERTUJUAN HENDAK MENDAPAT PENGARUH ATAU KELEBIHAN DI MUKA BUMI DAN TIDAK INGAT HENDAK MELAKUKAN KEROSAKAN; DAN KESUDAHAN YANG BAIK ADALAH BAGI ORANG-ORANG YANG BERTAQWA.} (AL-QASAS 28:83)

1. Allah s.w.t jelaskan lagi, Syurga itu hanya disediakan bagi mereka yang tidak berkehendak untuk mendapat pengaruh atau kelebihan di bumi, serta tidak melakukan kerosakan. لَا يُرِيدُونَ عُلُوًّا memang dia tiada sifat untuk sombong walaupun dia mampu (kaya hartanya) dan berkedudukan tinggi (ada kuasa dan pangkat).

2. Syurga dan nikmat di akhirat hanya bagi orang yang beriman dan beramal ikhlas kepada Allah semata. Juga walaupun mereka diberi pangkat dan jawatan serta kekayaan di atas dunia ini, mereka tidak berlaku zalim dan menggunakan semua kelebihan yang diberi itu untuk kebaikan dan berlaku adil.

3. Yakni bukan semua orang kaya atau berkuasa itu tidak baik, bahkan ada orang yang miskin tetapi sombong. Allah s.w.t amat membenci golongan ini, miskin tetapi sombong.

4. Sabda Rasulullah s.a.w:

\”Empat jenis orang yang dibenci Allah, iaitu penjual yang suka bersumpah, orang miskin yang sombong, orang yang sudah tua suka berzina, dan pemimpin yang derhaka.\” (HR Nasa\’i dari Abu Hurairah].

Orang miskin yang sombong ini maksudnya adalah orang yang miskin secara kehidupan, tetapi ia tidak mahu berdoa kepada Allah, tidak berusaha, dan bahkan cuba bergaya seperti orang yang kaya serta sombong kepada sesama miskinnya.

5. Sabda Rasulullah s.a.w:

لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ

Maksudnya: “Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya ada sebesar zarah perasaan sombong.” Ada seseorang yang bertanya, “Bagaimana dengan seorang yang suka memakai pakaian yang cantik?” Baginda menjawab, “Sesungguhnya Allah itu indah dan menyukai keindahan. Sombong adalah menolak kebenaran dan meremehkan orang lain.“ (HR. Muslim).

6. Sesungguhnya kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa. Ya Allah jadikan kami dan keluarga kami dari kalangan orang-orang yang bertaqwa!

AYAT 84- {SESIAPA YANG DATANG MEMBAWA AMAL BAIK (PADA HARI AKHIRAT) MAKA BAGINYA BALASAN YANG LEBIH BAIK DARIPADANYA; DAN SESIAPA YANG DATANG MEMBAWA AMAL JAHAT, MAKA MEREKA YANG MELAKUKAN KEJAHATAN TIDAK DI BALAS MELAINKAN DENGAN APA YANG MEREKA KERJAKAN.} (AL-QASAS 28:84)

1. Allah s.w.t nyatakan sesiapa yang datang di akhirat nanti membawa kebaikan akan digandakan pahalanya, inilah rahmat Allah s.w.t.

2. Manakala sesiapa yang datang membawa amalan jahat hanya dibalas sekadar apa yang mereka kerjakan sahaja, ini pula keadilan Allah s.w.t.

3. Inilah maksudnya sebagaimana dalam hadis Rasulullah s.a.w yang mengatakan sesungguhnya rahmat Allah s.w.t itu mendahului azab-Nya.

4. Balasan kebaikan dan kejahatan ini merupakan kemurahan, kurnia dan keadilan yang sempurna dari Allah s.w.t.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

1. Orang yang berakal akan berusaha untuk tengok kepada orang lain dari segi kebaikan dan kejayaan, dia akan bercita-cita untuk dapat begitu juga, yakni nak buat kebaikan juga. tetapi orang jahil tidak, dia akan dengki apabila melihat orang lain mendapat kebaikan dia suka jika kebaikan atau harta itu hilang. Dalam kisah Qarun ini para kaumnya tidak hasad-dengki kepada Qarun, mereka cuma kagum dan ingin harta kekayaannya seperti juga. Sebagaimana sebuah hadis tentang niat; orang tiada harta tapi dia tetap dapat pahala sedekah, orang yang tiada ilmu tetapi tetap dapat pahala sebar ilmu, semuanya kerana niat mereka. Allah tidak bagi mungkin kerana takut dia bertukar watak menjadi sebaliknya.

2. Ayat 80– {Dan tidak akan dapat menerima (pahala yang demikian) itu melainkan orang-orang yang sabar\”.}– Allah s.w.t kata kecuali golongan yang sabar yakni guna lafaz jamak (ramai). إِلَّا الصَّابِرُونَ . Ulama\’ kata untuk menunjukkan galakan kepada bekerjasama, isyarat kepada bahawa agama ini tidak akan tertegak jika hanya seorang yang berkerja. Kena ada usaha dan Kerjasama dalam menegakkan kebaikan.

3. Ayat 81– {Lalu Kami timbuskan dia bersama-sama dengan rumahnya di dalam tanah,} Ayat ini memberi amaran keras dari sifat bangga diri, sombong dan angkuh serta mengkhianati sesama makhluk.

4. Ayat 83– { orang-orang yang tidak bertujuan hendak mendapat} لَا يُرِيدُونَ عُلُوًّا – ayat ini khas untuk menyifatkan orang yang memang tidak berniat untuk buat benda tidak baik, memang tidak berkehendak sombong walaupun mereka mampu dan ada peluang untuk melakukannya. Kerana mungkin ada orang yang mahu buat buat keburukan atau sombong, tetapi dia tidak melakukannya kerana TIDAK MAMPU untuk buatnya, seperti kerana tiada harta atau kuasa untuk zalim.

5. Orang yang menuntut, gilakan pangkat, jawatan dan kekuasan (الرئاسة ) atas dunia ini adalah lebih bahaya dan banyak mudharatnya daripada orang yang hanya gila harta tanpa kuasa. Ulama\’ kata orang yang gilakan pangkat kedudukan itu ada 2 kumpulan:

i- orang yang nak pangkat dunia. Ini adalah amat merbahaya dan akan terhalang dari kebaikan akhirat. Kerana itu orang yang gilakan pangkat ini jarang Allah s.w.t taufiqkannya kepada pangkat itu, jika dapat juga Allah serahkan kepadanya, yakni tinggalkan tanpa bantuan untuk mentadbirnya.

Hadis Rasulullah s.a.w pesan kepada sahabat jangan cari jawatan:

وعن أبي سعيدٍ عبدالرحمنِ بن سَمُرةَ قَالَ: قَالَ لي رَسُولُ اللَّه ﷺ: يَا عَبدَالرَّحمن بن سمُرَةَ، لا تَسْأَل الإمارَةَ؛ فَإنَّكَ إن أُعْطِيتَها عَن غَيْرِ مسأَلَةٍ أُعِنْتَ علَيها، وَإنْ أُعْطِيتَها عَن مسأَلةٍ وُكِلْتَ إلَيْها. متفقٌ عَلَيهِ.

“Daripada Abi Said, Abd Rahmah bin Samurah katanya: Baginda Nabi S.A.W telah menasihatiku dengan berkata: Wahai Abd Rahman bin Samurah, jangan engkau meminta jawatan pemimpin. Sesungguhnya jika engkau diberikan jawatan dengan sebab permintaan maka engkau akan ditinggalkan dan tidak akan dibantu oleh Allah dan jika engkau diberikan jawatan tanpa permintaan maka engkau akan dibantu dan mendapat pertolongan Allah dalam memimpin.” [Muttafaqun ‘Alaih].

Sabda Nabi S.A.W lagi:

إنا والله لا نولِّي هذا العمل أحداً سأله، أو أحداً حرص عليه. متفق عليه .

“Sesungguhnya demi Allah kami tidak akan memberi jawatan pemimpin kepada seorang yang memintanya atau terlalu berkeinginan memegangnya.” [Muttafaqun ‘Alaih].

ii- Orang yang mengejar kemuliaan dan kedudukan dengan isu-isu agama, adalah lebih buruk daripada orang yang guna dunia. Taksub mencari kemasyhuran dan kemuliaan dengan menggunakan jalan agama, merasakan hanya dia yang betul.

6. Ayat 83– { dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.} وَالْعَاقِبَةُ لِلْمُتَّقِينَ Akibat kesudahan mendapat kebaikan itu adalah bagi orang bertaqwa, maka kita berusahalah untuk menjadi orang yang bertaqwa.

7. Allah s.w.t mencela orang yang bercita-cita inginkan kedudukan dunia, seperti mana golongan pertama yang kagumkan Qarun tadi.

8. Ayat 79– {\”Alangkah baiknya kalau kita ada kekayaan seperti yang didapati oleh Qarun!} يَالَيْتَ لَنَا مِثْلَ مَا أُوتِيَ قَارُونُ – perkataan seperti مِثْلَ bukan maksudnya dengki nak hilangkan kekayaan Qarun hanya mereka nak juga seperti dia, ini bukan hasad cuma ghibtah (ingin) jadi seperti dia, bukan nak ambil hak dia, macam kita tengok orang alim dan soleh, lalu ingin jadi begitu. Cuma puak itu salah dari segi nakkan dunia.

9. Ayat 80– {Dan berkata pula orang-orang yang diberi ilmu (di antara mereka): \”Janganlah kamu berkata demikian, pahala dari Allah lebih baik} – yakni baiklah kita utamakan pahala akhirat daripada pulangan dunia yang sedikit. Ulama\’ kata sesiapa yang tahu hakikat dunia akan bersifat zuhud tidak tamakkan dunia itulah orang yang alim, tidak bercakap saja tetapi tidak serupa bikin atu tidak bercakap besar. Menunjukkan ilmu kita kena ada dua-dua, cari kelebihan akhirat dan realiti kehidupan dunia. Kena seimbang jangan kita tinggalkan terus sehingga makan minum pun terpaksa orang beri.

10. Hukuman yang dijatuhkan ke atas Qarun, dengan tenggelam dalam bumi. Ini kerana Allah s.w.t turunkan azab mengikut kejahatan dan dosa seseorang itu. Dosa Qarun ini dia angkuh dan sombong atas muka bumi, maka sesuailah ditenggelamkan dia dan hartanya dalam bumi. Ini adalah satu hukuman yang khas dan mencarik adat, tiada lagi orang yang kena azab sebegini sebelum Qarun. ini adalah merupakan salah satu mukjizat Nabi Musa a.s.

Perhatian- Muraja’ah tentang fakta sejarah:

i- Haman memang betul menteri Firaun yang semasa dengannya.

ii- Tetapi Qarun ini tidak dapat dipastikan adakah dia sezaman dengan Firaun atau muncul selepas kemusnahan Firaun. Bila dia mula kaya? Jadi hati-hati jangan kita pandai-pandai kata adalah menteri kewangan Firaun atau seumpamanya.

Insya\’ Allah kisah Qarun secara detail kita akan sambung dalam siri akan datang.

Wallahu a’lam.

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs