SURAH AL-FURQAN : AYAT 11-16

\"\"

PUNCA KAUM MUSYRIKIN MENOLAK DAKWAH NABI S.A.W, SYURGA DAN NERAKA SUDAH DICIPTAKAN & SIFAT NERAKA DAN SYURGA.

Full video : https://youtu.be/LxRPaoEUH9A

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah hari ini adalah hari ke12 Zulhijjah iaitu hari Tasyriq kedua. Juga Hari Nafar Awal, iaitu Jemaah Haji yang berada di Mina boleh memilih untuk keluar dari Mina dan menamatkan pekerjaan hajinya lebih awal, iaitu keluar sebelum maghribnya pada hari ke 12 ini, maka tamatlah pekerjaan Hajinya di Mina, sempurnakan apa yang belum selesai lagi.
  2. Siri kita pada hari ini akan membincangkan sambungan tentang punca kaum musyrikin menolak dakwah Rasulullah s.a.w.
  3. Juga bahawa Syurga dan Neraka itu telah wujud, siap dicipta. Allah s.w.t telah gambarkan neraka dengan sifat yang amat mengerikan, semoga ianya akan lebih menguatkan semangat kita untuk beramal soleh dan menjauhkan segala apa yang dilarang Allah s.w.t.
  4. Dalam siri yang lepas mereka menolak dakwah Rasulullah dengan sebab 5 sifat yang mereka ada-adakan, seperti: makan, berjalan di pasar, tiada harta banyak, tiada kebun-kebun serta lelaki yang kena sihir/gila.
  5. Dalam siri ini kita lihat kepada punca asal yang sebenar, yang menyebabkan mereka tidak beriman dan menolak dakwah Rasulullah. Mereka tolak dan kufur kerana mendustakan Hari Kiamat. Maka apa akibatnya pula yang dijanjikan Allah s.w.t.
  6. Maka kita yang beriman dan percaya dengan Hari Kiamat ini, biarlah berbeza dengan mereka yang tidak beriman itu. Muhasabah hati & diri, tengok balik segala amalan dan keikhlasan hati kita. Hanya kita yang boleh menilai hati sendiri tetapi kita tidak mampu menilai apa yang ada dalam hati orang lain
  7. Hakikatnya setiap bekas itu akan mengeluarkan apa yang ada di dalamnya. Begitulah apa yang keluar dari mulut kita adalah berpunca daripada hati. Tiada istilah walau mulut jahat tetapi hatinya baik! Apa yang ada dalam hati, itulah yang akan keluar dari mulut!!

AYAT 11- {(MEREKA BUKAN SAHAJA MENDUSTAKANMU) BAHKAN MEREKA JUGA MENDUSTAKAN HARI KIAMAT; DAN KAMI TELAH SEDIAKAN BAGI SESIAPA YANG MENDUSTAKAN HARI KIAMAT ITU, API YANG MENJULANG-JULANG.} (AL-FURQAAN 25:11)

  1. Allah menjelaskan kepada Rasulullah s.a.w, bahawa orang kafir itu bukan sahaja mendustakan dan menolak dakwah Rasulullah dengan membuat dalih dan sebab mereka menolak Baginda s.a.w, tetapi yang sebenarnya kerana mereka tidak percaya dengan Hari Kiamat serta mendustakannya. Itulah punca sebenarnya kerosakan itu.
  2. Maka bagi mereka yang tidak beriman, mendustakan Hari Kiamat ini Allah s.w.t telah sediakan bagi mereka api yang menjulang-julang (سَعِيرًا). Inilah salah satu sifat neraka itu. Nauzubillah.

AYAT 12- {APABILA NERAKA ITU MELIHAT MEREKA DARI TEMPAT YANG JAUH, KEDENGARANLAH MEREKA SUARA MARAHNYA YANG MENGGELEGAK DAN MENGELUH. (AL-FURQAAN 25:12)

  1. Ayat ini menyatakan bahawa neraka itu melihat mereka dari jauh, yakni Allah s.w.t gambarkan kepada kita neraka yang memang sudah wujud dan seolah dapat melihat. Bagaimana ia melihat? Semuanya di bawah kuasa Allah s.w.t, tiada yang pelik.
  2. Bunyi suara api yang menjulang membakar itu amat dahsyat, sehingga boleh kedengaran bagi mereka (yang akan masuk) suara marahnya yang menggelegak dan mengeluh تَغَيُّظًا وَزَفِيرًا. Yakni neraka itu seolah naik geram apabila melihat malaikat membawa bakal penghuninya!!!
  3. (اللهم اجرنا من النار) \”Ya Allah, jauhikan daku dari api neraka.\”

AYAT 13- {DAN APABILA MEREKA DIHUMBANKAN KE TEMPAT YANG SEMPIT DI DALAM NERAKA ITU, DENGAN KEADAAN MEREKA DIBELENGGU, MENJERITLAH MEREKA DI SANA MEMINTA SEJENIS KEBINASAAN (YANG MELEPASKAN DARI AZAB ITU).} (AL-FURQAAN 25:13)

  1. Apabila dicampak masuk ke dalam neraka yang sempit dan menyiksakan itu, mereka bertempik penuh sesal minta kebinasaan yakni mati untuk akhiri azab yang dahsyat itu.
  2. Tetapi tiada guna lagi penyesalan yang amat terlewat tu.

AYAT 14- {(LALU DIKATAKAN KEPADA MEREKA): \”JANGANLAH KAMU MENJERIT-JERIT MEMINTA PADA HARI INI SEJENIS KEBINASAAN SAHAJA, TETAPI MINTALAH KEBINASAAN SEBANYAK-BANYAKNYA (KERANA AZAB YANG MENUNGGU KAMU DI SINI BANYAK JENISNYA)\”.} (AL-FURQAAN 25:14)

  1. Lalu dikatakan kepada mereka; Tidak perlu kamu minta satu kebinasaan (mati) sahaja, kerana pelbagai lagi azab kebinasaan yang sedangkan menunggu kamu.
  2. Jenis penyiksaan di dalam neraka ada pelbagai azab, asasnya adalah bakaran api neraka, kemudian ditambah mengikut jenis dan kategori dosa-dosa masing-masing.
  3. Sekali lagi kita banyakkan berdoa agar selamat di dunia dan dari neraka di akhirat.

AYAT 15- {BERTANYALAH (KEPADA MEREKA): \”ADAKAH (AZAB SEKSA NERAKA) YANG DEMIKIAN ITU LEBIH BAIK ATAU SYURGA YANG KEKAL, YANG DIJANJIKAN KEPADA ORANG-ORANG YANG BERTAQWA?\” SYURGA YANG SEDIA DIUNTUKKAN BAGI MEREKA SEBAGAI BALASAN DAN TEMPAT KEMBALI.} (AL-FURQAAN 25:15)

  1. Tetapi Allah s.w.t tidak mahu menakutkan kita selamanya. Allah s.w.t bawa pula ayat ini. Jika ada azab neraka,pasti ada lawannya yang sebaliknya.
  2. Allah s.w.t suruh Nabi s.a.w bertanya kepada puak kafir itu, untuk menimbulkan penyesalan dan keinsafan kepada mereka; adakah neraka yang menakutkan itu lebih baik daripada syurga yang penuh kenikmatan, yang dijanjikan untuk orang yang beriman dan bertaqwa?
  3. Balasan syurga ini untuk mereka yang bertaqwa serta beramal soleh di atas dunia ini dengan mengharapkan balasan yang dijanjikan Allah s.w.t.
  4. Maka jadikanlah hari kita ini bermula dari celik mata dengan lidah yang basah berzikir mengingati Allah s.w.t serta dipenuhi dengan amal soleh sehinggalah kita menutup kembali mata pada malam harinya.

AYAT 16- {MEREKA BEROLEH DI DALAM SYURGA ITU APA YANG MEREKA KEHENDAKI, MEREKA PULA KEKAL DI DALAMNYA. BALASAN YANG DEMIKIAN ADALAH SATU JANJI YANG DIJAMIN OLEH TUHANMU, LAGI YANG DIPOHONKAN DAN DITUNTUT (DALAM DOA MASING-MASING).} (AL-FURQAAN 25:16)

  1. Di dalam syurga itu ada terdapat semua nikmat, apa saja yang kamu inginkan dan hajati, serta akan kekal selamanya di dalamnya.
  2. Balasan baik ini adalah terjamin dan dijamin oleh Allah s.w.t yang telah menjanjikkanya, ianya adalah pasti dengan rahmat Allah s.w.t.
  3. Ini adalah hasil doa dan amal soleh yang sentiasa dipohonkan dan dituntut (dalam doa masing-masing.
  4. Doa 1:
    اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ وأَعُوذُ بِكَ مِنَ النَّار
    (Ya Allah sesungguhnya aku memohon pada-Mu syurga, dan aku berlindung dengan-Mu daripada neraka)
    [HR Abu Daud & Ibn Majah]
    Doa 2:
    اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْر
    Maksudnya:
    \”Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada daripada azab neraka Jahannam dan daripada azab kubur.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Para ulama\’ kata ayat ini: {..dan Kami telah sediakan} menunjukkan bahawa neraka itu telah sedia ada dicipta. Maka kerja kita adalah berdoa minta selamat darinya dan jauhkan diri daripada amalan yang boleh membawa kepadanya.
    Begitu juga syurga yang telah ditunjukkan beberapa kali kepada Rasulullah s.a.w.
  2. Manakala ayat {Apabila neraka itu melihat mereka dari tempat yang jauh,}.. ulama\’ berkata menunjukkan bahawa neraka itu boleh nampak dari jauh menunjukkan pandangannya yang tajam serta boleh melihat.
  3. Serta neraka itu juga boleh bercakap. Banyak dalil-dalil yang menunjukkan kepada itu, antaranya firman Allah s.w.t: {(Peringatkanlah manusia) akan hari Kami bertanya kepada neraka Jahannam: \”Adakah engkau sudah penuh? \” Ia (neraka) menjawab: \”Adakah lagi sebarang tambahan?\” [Qaaf 50:30].
  4. Begitu juga syurga, banyak dalil-dalil dari al-Quran dan hadis yang menunjukkan sedemikian.
  5. Ayat {Dan apabila mereka dihumbankan ke tempat yang sempit di dalam neraka itu,} untuk menunjukkan bahawa tempat siksaan amat azab dan tidak selesa.
  6. Maka selepas mendengar tentang kedua tempat kembali ini, maka agenda utama kita adalah bersiap-sedia untuk tingkatkan persiapan dan ketaqwaan kita, untuk melayakkan kita ke syurga dan menjauhkan diri dari neraka. Ya Allah selamatkan kami.

Wallahu a\’lam.

Powered by BetterDocs