Surah Al-Baqarah : Ayat 21-22

SERUAN PERTAMA DALAM QURAN, SEMBAHLAH ALLAH & LARANGAN SYIRIK.

Full video : https://youtu.be/rTvpJY07BLA?si=wuyHn7XBHmRyKkE3

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir surah Al-Baqarah ini dengan ayat 21 & 22 iaitu tentang intisari kandungan Al-Quran & seruan pertamanya.
  1. Dalam siri ini Allah SWT menyatakan bahawa seruan pertama dalam Al-Quran adalah:
    i- Arahan agar sembahlah Allah

    ii- Larangan daripada syirik.
  1. Ini setelah Allah SWT bahagikan manusia ini kepada tiga kategori:
    i- Orang mukmin yang beriman.

    ii- Kafir tulen yang jelas.

    iii- Kafir yang berselindung iaitu munafiqin.
  1. Maka datanglah ayat ke-21 ini sebagai seruan pertama dari Allah kepada semua manusia agar mengabdikan diri kepada-Nya.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 21- {WAHAI SEKALIAN MANUSIA! BERIBADATLAH KEPADA TUHAN KAMU YANG TELAH MENCIPTAKAN KAMU DAN ORANG-ORANG YANG TERDAHULU DARIPADA KAMU, SUPAYA KAMU (MENJADI ORANG-ORANG YANG) BERTAQWA.} (AL-BAQARAH 2:21)

  1. Allah SWT menyeru seluruh manusia agar hanya beribadat menyembah Allah yang Esa.
    Ini kerana Dia-lah yang telah mencipta kamu dan supaya kamu menjadi orang yang bertaqwa.
  1. Dakwah Islam hanya dua perkara iaitu:
    i- Ajak manusia kepada tauhid &

    ii- Larang manusia dari syirik.
    Wajib serentak & seiring. Jika tidak, maka tak lengkap & tidak sempurna dakwah dan pemurnian aqidah.
  1. Inilah dakwah semua para Nabi yang terdahulu juga, juga tanggungjawab semua pendakwah hari ini sehingga ke hari Kiamat.
  1. Seruan ini kepada seluruh manusia { يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ} yang hitam putih atau merah, yang asli yang asal, lelaki atau perempuan, yang di barat atau di timur, sejak zaman berzaman sehingga ke hari Kiamat.
  1. Arahan itu ialah untuk menyembah Allah! Kenapa?
    Kerana Dia-lah telah mencipta kamu & semua orang yang terdahulu dari kamu, datuk nenek moyang kamu!
    Kita nak sembah Allah yang mempunyai kuasa mutlak, yang layak untuk disembah & dipuja puji!
  1. Dalam ayat ini Allah SWT nyatakan arahan kemudian dinyatakan sebabnya, inilah arahan bersebab supaya jelas & tidak menimbulkan persoalan & pertanyaan lagi bagi manusia.
  1. Inilah uslub Al-Quran yang kita kena belajar & amalkan:
    i- Bila kita suruh orang buat sesuatu kita kena nyatakan sebab; supaya mereka tidak berasa diberati dengan arahan itu.

    ii- Bila larang orang dari buat sesuatu juga kena nyatakan sebab; supaya orang tidak berasa dizalimi kenapa dilarang!
  1. Inilah sebab pertama kenapa kita kena sembah Allah SWT!

AYAT 22- {DIA LAH YANG MENJADIKAN BUMI INI UNTUK KAMU SEBAGAI HAMPARAN, DAN LANGIT (SERTA SEGALA ISINYA) SEBAGAI BANGUNAN (YANG DIBINA DENGAN KUKUHNYA); DAN DITURUNKANNYA AIR HUJAN DARI LANGIT, LALU DIKELUARKANNYA DENGAN AIR ITU BERJENIS-JENIS BUAH-BUAHAN YANG MENJADI REZEKI BAGI KAMU; MAKA JANGANLAH KAMU MENGADAKAN BAGI ALLAH, SEBARANG SEKUTU, PADAHAL KAMU SEMUA MENGETAHUI (BAHAWA ALLAH IALAH TUHAN YANG MAHA ESA).} (AL-BAQARAH 2:22)

  1. Dalam ayat ini Allah SWT bawa pula sebab berikutnya kenapa kita kena sembah-Nya:
    i- Kerana Allah telah mencipta bumi yang luas terhampar seperti hamparan untuk kita diami.

    ii- Serta langit yang kukuh binaannya seperti bangunan yang tegap tidak pernah jatuh atau bocor.
    Firman Allah SWT:
    {Dan Kami telah menjadikan langit sebagai bumbung yang terpelihara dan terkawal, sedang mereka (yang kafir itu) berpaling tidak memerhatikan tanda-tanda (kekuasaan Kami) yang ada padanya.} (Al-Anbiyaa’ 21:32)
  1. Sebab keempat: Kemudian Allah SWT turunkan hujan dari langit! Hujan itu adalah satu rahmat dari Allah, beri sumber air & menyejukkan udara.
  1. Sebab kelima: Allah sediakan rezeki makanan untuk kita dengan mengeluarkan dari bumi hasil dari air hujan tadi- tumbuh-tumbuhan, buah-buahan yang banyak & pelbagai jenis!
  1. Dengan lima nikmat yang Allah sebut ini maka wajiblah kita beriman & hanya menyembah Allah yang Esa!
  1. Dakwah Islam adalah seperti dua sayap burung, wajib ada dua supaya seimbang sempurna.
    Setelah dakwah & seruan pasti ada larangan & peringatan.
  1. Allah tutup ayat ini dengan mengingatkan agar jangan kamu mengadakan sebarang sekutu yang kamu katakan sebanding dengan Allah Azza wa Jalla.
    Tidak perlu ada perantaraan sesama makhluk untuk menyembah & memohon permintaan kepada Allah.
  1. Sedangkan kamu tahu bahawa tidak ada yang setara & sebanding dengan Allah SWT!
    Firman Allah SWT:
    i- {Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya, dan pentadbiranNya) dan Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.} (Asy-Syuura 42:11) { لَيْسَ كَمِثْلِهِۦ شَىْءٌۭ}

    ii- {“Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya”.} (Al-Ikhlaas 112:4)
  1. Hadis riwayat Ibnu Mas’ud RA bahawa dia telah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Dosa apakah yang paling besar di sisi Allah? Rasulullah menjawab: Kamu membuat tandingan bagi Allah (syirik), sedangkan Dialah yang menciptakan kamu.” [HR Muslim].
  1. Firman Allah SWT lagi:
    {Allah yang menjadikan bumi sebagai tempat penetapan untuk kamu, dan langit sebagai bumbung yang kukuh binaannya; dan Ia membentuk kamu lalu memperelokkan rupa kamu, serta dikurniakan kepada kamu dari benda-benda yang baik lagi halal. Yang demikian (kekuasaanNya dan kemurahanNya) ialah Allah Tuhan kamu; maka nyatalah kelebihan dan kemurahan Allah, Tuhan sekalian alam.} (Ghaafir 40:64)

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 21- {Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu}

    Ayat ini adalah seruan yang pertama dalam Al-Quran yang ditujukan kepada manusia semua!
    Allah perintah kita dengan menyeru kita semua supaya menyembah Allah yang Maha Esa kerana dia adalah Pencipta, Pemberi rezeki & Yang mengatur mentadbir hidup kita; maka Dia-lah yang wajib disembah, dipuja & dipuji!

    Apakah makna ibadat?
    i- Iaitu semua perkara samada i’tiqad kepercayaan, perbuatan atau perkataan yang diredhai oleh Allah SWT maka itu dipanggil ibadat seperti solat haji zakat, ini ibadat khusus.

    ii- Manakala ibadat secara umum ialah mengabdikan diri kepada Allah SWT dalam segala urusan & kehidupan kita, nak kahwin, nak berjual-beli, nak memerintah negara, nak makan minum semuanya kena ikut SOP Syari’ah yang Allah SWT telah tetapkan!
  1. Ayat 21- {supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa.}

    Allah perintahkan ini supaya kita menjadi orang yang bertaqwa!
    Taqwa ini adalah satu darjat yang tinggi tidak akan mencapainya kecuali orang yang ikhlas kerana Allah SWT & mengikut cara yang telah diajar oleh Rasulullah SAW!
    Taqwa itu ialah lambang keimanan kepada Allah SWT, maknanya yang paling asas yang dapat difahami oleh semua orang yang intelek atau incelik ialah:
    i- Buat semua perkara yang Allah suruh;

    ii- Meninggalkan semua perkara yang dilarang!
  1. Ayat 21- {Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu,}

    Dalam ayat ini Allah sebut Allah, Tuhan (رَبَّكُمُ) yang mencipta kamu.
    Ini adalah tauhid Ar-Rububiyyah, mengakui bahawa Allah SWT sebagai Pencipta, pentadbir & pengurus manusia & seluruh alam ini!

    Maka apabila kita yakin dengan tauhid Rububiyyah ini, dalam masa yang sama kita juga wajib beriman dengan tauhid Uluhiyyah iaitu Allah SWT yang Esa yang wajib disembah, dipuja-puji dan diminta perlindungan & pertolongan!

    Jangan jadi seperti orang kafir mereka tahu bahawa Allah Tuhan yang mencipta alam ini tetapi dari segi pergantungan hati mereka tidak yakin dengan Allah bahkan mengada-adakan sembahan & tuhan-tuhan rekaan yang lain! Ini adalah syirik yang nyata.
    Satu lagi ialah Tauhid Asma’ was-Sifat, iaitu kita beriman dengan nama-nama Allah yang indah & sifat-Nya yang mulia! Kita wajib beriman & percaya dengan ketiga-tiganya!
  1. Ayat 21- {Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu,}

    Sembahlah Tuhan kamu yang telah mencipta kamu!
    Ini adalah uslub al-Quran yang apabila disebut perintah atau arahan dinyatakan bersama sebabnya.

    Maka sembahlah Allah kerana Dia-lah Pencipta kita yang mentadbir kita & orang-orang yang terdahulu daripada kita.
    Supaya kita dapat terima dengan tenang & lapang dada maka Allah SWT nyatakan sebab (علة) disebalik setiap perintah & larangan-Nya.

    Dalam ayat ini Allah kata {لكم} aku buat untuk kamu. Yakni Allah SWT telah beri nikmat anugerah yang besar samada yang beriman atau yang kafir, semuanya dapat nikmat rezeki makan & minum!
    Bahakan orang kafir lebih luas nikmatnya atas dunia ini kerana mereka tiada sekatan halal haram!

    Inilah hikmah disebalik setiap larangan & perintah; Boleh baca buku Keindahan Islam: 
    https://dartaibah.com/?page_id=179…
  1. Ayat 22- {Maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa).}

    Allah tutup ayat ini dengan pesanan: kamu sudah tahu bahawa Allah SWT itu Esa, Maha Berkuasa maka jangan syirik kepada-Nya.
    Ini adalah uslub apabila kita bercakap (mukhatabah) dengan orang kita kena beri hujjah & dalil yang mantap dan boleh difahami, diterima oleh masyarakat.

    Bila kita dakwah orang, kita kena bawa dakwah yang mantap & lengkap dengan hujjah yang berfakta!
    Seperti dalam ayat ini Allah nyatakan sebab manusia tidak boleh syirik kepada Allah; iaitu kerana kamu sudah tahu bahawa Allah SWT itu Yang Esa, yang Tunggal, yang menciptakan kamu.
    Insya’ Allah kita akan sambung dalam siri yang akan datang tentang cabaran terhadap orang kafir & khabar gembira bagi orang yang beriman!

    Sempena ketibaan bulan Rabiul-Awwal ini boleh kita baca buku ini untuk kenal dan belajar Sunnah Rasulullah SAW melalui kehidupan Baginda sendiri:
    Sehari Dalam Kehidupan Rasulullah SAW. Link: https://dartaibah.com/?page_id=179…
    Tak kenal maka tak cinta; nak kenal kena baca, nak baca kena ada buku 
    Lihat rakaman penuh kuliah ini di: https://youtu.be/rTvpJY07BLA?si=d-GkYvJ_sPHsGuoW

Powered by BetterDocs