Surah Ali-‘Imran : Ayat 19-20

ISLAM AGAMA YANG DIIKTIRAF OLEH ALLAH SWT, PUNCA PERPECAHAN AHLI KITAB & MANTAPKAN PENDIRIAN NABI SAW TERHADAP HUJJAH GOLONGAN KAFIR.

Full video : https://youtu.be/yjnuhbG4NmE?si=jeYD1m26Kc-Ycsll

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir bagi ayat 19 sehingga 20, surah Ali-‘Imran iaitu surah yang ketiga, dalam juzu’ yang ketiga.
  1. Dalam siri ini Allah SWT menyatakan bahawa hanya Islam agama yang diiktiraf oleh Allah Azza wa Jalla.
  1. Kemudian Allah nyatakan punca perpecahan ahli kitab iaitu keras kepala, tak dengar kata & hasad dengki.
  1. Allah SWT juga mantapkan pendirian Nabi SAW untuk berlawan dengan hujjah golongan kafir.
  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah tetap & bersaksi bahawa hanya Allah sebagai Tuhan yang benar, yang berhak disembah, dipuja & dipuji.

    ii- Maka dalam ayat ini Allah nyatakan cara beribadat, cara beramal, agama yang benar yang wajib kita berpegang & beramal dengannya iaitu Islam.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 19- {SESUNGGUHNYA AGAMA (YANG BENAR DAN DIREDAI) DI SISI ALLAH IALAH ISLAM. DAN ORANG-ORANG (YAHUDI DAN NASRANI) YANG DIBERIKAN KITAB ITU TIDAK BERSELISIH (MENGENAI AGAMA ISLAM DAN ENGGAN MENERIMANYA) MELAINKAN SETELAH SAMPAI KEPADA MEREKA PENGETAHUAN YANG SAH TENTANG KEBENARANNYA; (PERSELISIHAN ITU PULA) SEMATA-MATA KERANA HASAD DENGKI YANG ADA DALAM KALANGAN MEREKA. DAN (INGATLAH), SESIAPA YANG KUFUR INGKAR AKAN AYAT-AYAT KETERANGAN ALLAH, MAKA SESUNGGUHNYA ALLAH AMAT SEGERA HITUNGAN HISABNYA.} (ALI-‘IMRAN 3:19)

  1. Allah nyatakan tegas bahawa Islam sahaja agama yang diterima Allah sehingga ke hari Kiamat. Islam agama yang benar kerana ia datang dari Allah!
  1. Semua nabi-nabi & rasul terdahulu juga agama mereka adalah Islam. Cuma Syari’atnya sedikit berbeza mengikut keadaan & kesesuaian umat & zaman mereka.
  1. Firman Allah SWT juga:
    {Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.} (Ali-‘Imran 3:85)
  1. Islam dengan maknanya yang banyak:
    i- Keamanan & kesejahteraan.

    ii- Tunduk akur kepada Allah zahir & batin.

    iii- Islam bermakna agama yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

    iv- Islam juga termasuk dalam perundangan & hukum-hakam.
    Contoh : Islam mengharamkan arak- bererti itu hukum Islam.
  1. Kenapa Allah SWT turunkan agama Islam ini:
    i- Untuk perbetulkan lorong aqidah pegangan hati manusia supaya hanya menyembah Allah SWT!

    ii- Untuk islah (baiki) hubungan baik manusia dengan Allah dalam ibadat & hubungan baik sesama manusia.
  1. Orang-orang yahudi & nasrani iaitu ahli kitab- pada awalnya mereka tidak berpecah belah & tidak menolak agama Islam melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sahih tentang kebenarannya.
  1. Pada awalnya mereka datang ke Madinah dengan penuh semangat untuk menunggu kemunculan Nabi akhir zaman. Tetapi apabila Rasulullah SAW diutuskan dengan Al-Quran, mereka berpecah belah! Hanya segelintir kecil yang ikut Nabi & masuk Islam manakala sebahagian besar menolaknya!

    Kenapa begitu? Sedangkan jelas dalilnya dalam kitab mereka iaitu ada maklumat tentang Rasulullah SAW dalam kitab Taurat & Injil mereka, mereka juga tahu & ada ilmu bahawa Nabi itu betul & ajarannya benar!
    1. Mereka menolak dakwah Nabi SAW bukan mereka tak tahu, bukan kerana tak sampai maklumat tetapi kerana hasad dengki & dendam. Allah nyatakan dengan jelas bahawa : {(perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka.}! {بغيا بينهم}
    1. Sejak dulu lagi, inilah punca utama rosaknya dunia ini : Dendam-berdendam, sakit hati & dengki mendengki. Kerana dendam kesumat & hasad itulah mereka menolak dakwah Rasulullah SAW bukan kerana tak sampai maklumat!
    1. Zaman kita hari ini pun inilah punca utama medan perbalahan & perselisihan umat ini, dendam berdendam, sakit hati & dengki mendengki. Medsos ini menjadi medan menambah dosa caci maki, perli-merli kepada orang lain yang tidak sealiran dengan mereka.
    1. Ia juga boleh menjadi medan meraih pahala kepada setengah orang lain pula! Jika kita berada di atas jalan yang benar, ikut Al-Quran & ikut Sunnah Nabi yang sahih, walaupun mendapat tentangan & hasad dengki orang yang ramai, kita teruskan perjuangan.
      Tunggulah di Akhirat kelak- apabila masuk kubur baru kamu tahu siapa yang benar! Kita biarkan malaikat yang mencatatnya- kita tunggu pahalanya di Akhirat kelak!
    1. Amaran bagi sesiapa yang kufur, tetap ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah yang jelas, hadis Nabi SAW jelas, tafsir & pandangan ulama’-ulama’ Islam yang jelas; maka tunggulah hisab & perhituangan di Akhirat kelak.
    1. Ketahuilah : Allah SWT ini sangat cepat hisab perhitungannya, dengan ilmu & kebijaksanaan-Nya Allah boleh selesaikan segala kira-kira & hisab kita!

    AYAT 20- {OLEH SEBAB ITU JIKA MEREKA BERHUJAH (MENYANGKAL DAN) MEMBANTAHMU (WAHAI MUHAMMAD), MAKA KATAKANLAH: “AKU TELAH BERSERAH DIRIKU KEPADA ALLAH DAN DEMIKIAN JUGA ORANG-ORANG YANG MENGIKUTKU”. DAN BERTANYALAH (WAHAI MUHAMMAD) KEPADA ORANG-ORANG (YAHUDI DAN NASRANI) YANG DIBERI KITAB, DAN ORANG-ORANG YANG “UMMI” (ORANG-ORANG MUSYRIK ARAB): “SUDAHKAH KAMU MEMATUHI DAN MENURUT (AGAMA ISLAM YANG AKU BAWA ITU)?” KEMUDIAN JIKA MEREKA MEMELUK ISLAM, MAKA SEBENARNYA MEREKA TELAH MEMPEROLEH PETUNJUK; DAN JIKA MEREKA BERPALING (TIDAK MAHU MENERIMA ISLAM), MAKA SESUNGGUHNYA KEWAJIPANMU HANYALAH MENYAMPAIKAN (DAKWAH ISLAM ITU). DAN (INGATLAH), ALLAH SENTIASA MELIHAT (TINGKAH LAKU) SEKALIAN HAMBANYA.} (ALI-‘IMRAN 3:20)

    1. Jika mereka ahli kitab & kaum kafir semua terus berhujjah menyanggah & membantah Rasulullah SAW, maka Allah ajar kepada Baginda SAW untuk menjawabnya.
    1. Iaitu jawab dengan mengakui & berikrar bahawa: “Aku telah berserah diriku kepada Allah dan demikian juga orang-orang yang mengikutku”. Yakni amalanku ibadatku hanya kepada Allah, termasuk semua pengikut Rasulullah SAW semuanya ikhlas beribadat kerana Allah & mengamalkan undang-undang Allah!
    1. Allah SWT juga perintahkan Rasulullah SAW untuk bertanya kepada puak ahli kitab iaitu yahudi & nasrani dan kaum musyrikin Arab, iaitu mereka yang tidak ada kitab, kemudian datang segala jenis musyrikin selepas itu!
    1. Maka setelah didakwah itu jika mereka memeluk Islam, maka sebenarnya mereka telah memperoleh hidayah petunjuk dan mereka telah ambil jalan yang benar. Selamatlah mereka di Akhirat kelak!
    1. Tetapi setelah Rasulullah SAW telah sampaikan & berdakwah kepada mereka; jika mereka terus melawan, berpaling ingkar menolak, tetap tak mahu ikut, selesailah tanggung-jawab Baginda SAW! Begitu juga untuk para pendakwah hari ini, Allah SWT tak letak atas kepala kita lebih daripada kemampuan kita iaitu hanya untuk menyampaikan!
    1. Kemudian diakhir ayat, sekali lagi Allah nyatakan, mengingatkan bahawa Allah sentiasa Melihat segala perbuatan, tingkah laku, perkataan sekalian makhluk & hamba-Nya.
    1. Allah tahu semua keadaan mereka; siapa yang taat dari kalangan mereka, siapa yang lari dari Islam, siapa yang berpaling dari Sunnah ajaran Nabi SAW, semuanya diketahui oleh Allah & akan dibalas oleh Allah!
    1. Maka apa lagi yang kita mahu; yang patutnya kita melakukan persiapan, lengkapkan rekod kita dengan amalan-amalan yang baik, bersihkan hati & jiwa kita daripada sifat yahudi seperti dendam, dengki hasad kepada orang!
      Kita buka mata kita, buka telinga kita; dengar yang baik & ikut apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW!

    PENUTUP & FAEDAH :

    1. Ayat 19- {Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.}-

      Allah SWT mulakan ayat ini dengan perkataan sesungguhnya { إِنَّ}- dengan baris bawah sebagai satu ayat yang baru kerana ayat 18 sebelumnya telah siap & lengkap perbincangannya.
      Iaitu Allah sendiri yang menyaksikan keEsaan-Nya kemudian para malaikat & ulul-ilmu menyaksikannya! Yakni telah dimeterikan, dicop mati setem.
      Maka datang ayat ini dengan jumlah ayat yang baru untuk menguatkan ayat 18 bahawa agama yang diterima Allah SWT & yang disaksikan Allah kebenarannya hanya satu sahaja iaitu Islam! Agama lain tidak terpakai!
      Tidak ada toleransi agama seperti kefahaman liberalisma & pluralisma, di mana dalam satu rumah boleh ada pelbagai agama!
      Hari Jumaat kita ke masjid hari Ahad kita ke gereja, Allahu al-Musta’an!
      Kita semua wajib Islam tidak boleh campur-campur.
      Mereka juga mengatakan semua agama sama iaitu mahukan kebaikan!
      Kita kata TIDAK sekali, tiada agama yang sama dengan Islam kerana hanya agama Islam yang diiktiraf diakui dan diterima Allah SWT!
    1. Ayat 19- {Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya;}-

      Ahli kitab adalah orang yang berpecah belah.
      Kata ulama’ tadabbur : Orang yang sudah diberi kitab iaitu kitab Taurat & Injil yang keduanya datang dari Allah!
      Kerana itu kesalahan mereka lebih dahsyat daripada orang musyrikin yang tiada kitab kerana mereka ada ilmu tapi tetap menolaknya walaupun keduanya tetap salah!
      Allah kata orang yang diberi kitab itu sifat mereka adalah {بَغْيًۢا}-penuh hasad dengki, maka di sini Allah tambahkan lagi keburukan atas kejahatan mereka!

      Orang ada ilmu apabila menipu atau buat maksiat maka mereka lebih dahsyat daripada orang yang tiada ilmu. Inilah kejahatan yang tidak dapat dimaafkan!
      Kita baca ayat perpecahan ini bukan sekadar nak tahu Sejarah, tetapi sebagai peringatan, sebagai amaran kepada orang Islam agar jangan berkelahi & berpecah dalam agama, berpuak dan berkumpulan tersendiri, sebagaimana yang telah berlaku kepada yahudi & nasrani sebelum ini!
      Kita jangan jadikan satu benda kecil seperti sebiji kecil menjadi besar seperti kubah!
      Benda khilaf kecil ditarik & dibesarkan sedangkan adakala ia hanya khilaf dari sudut lafazi sahaja!
      Bersihkan hati : Jika hati tak sakit senang saja untuk bersatu, berbaik, tetapi jika hati sudah penuh hasad dengki maka tiada guna lagi!
      Bercakap dengan emosi lain jadinya, bercakap dengan ilmu hati akan tenang!
    1. Ayat 19- {;(perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka.}-

      Ini adalah kata kunci kepada perselisihan.
      Punca perbalahan dan percanggahan, punca kerosakan besar antara manusia adalah {بَغْيًۢا بَيْنَهُمْ} kejahatan dan hasad dengki yang ada antara mereka.
      Bawalah hujjah setara mana jika hati sudah sakit & tidak tenang, tetap tidak akan bersatu!
      Dalam ayat lain Allah kata { حَسَدًۭا مِّنْ عِندِ أَنفُسِهِم}:
      {Banyak di antara Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad SAW).}(Al-Baqarah 2:109)

      Carilah apa saja penyakit besar dalam Al-Quran ini puncanya adalah hati yang bermasalah.
      Selalu kita buat analogi perbezaan antara sakit hati & hati sakit;
      i- Hati sakit, boleh bawa ke hospital insya’ Allah doktor boleh periksa & cari ubat.

      ii- Sakit hati, akan membawa ke mati. Begitulah perangainya tidak akan toleransi, susah maafkan orang, tidak mahu bertolak ansur kerana hati bermasalah. Maka marilah kita baiki hati kita, perbetulkan niat & tujuan insya’ Allah kita akan jumpa kedamaian & kesatuan ummah.
    1. Ayat 20- {Oleh sebab itu jika mereka berhujah (menyangkal dan) membantahmu (Wahai Muhammad), maka katakanlah: “Aku telah berserah diriku kepada Allah dan demikian juga orang-orang yang mengikutku”.}-

      Jika ada orang datang nak berlawan atau berdebat dengan Rasulullah SAW, Allah suruh Baginda isytiharkan bahawa: “Aku telah berserah diriku kepada Allah dan demikian juga orang-orang yang mengikutku”.
      Yakni apabila orang datang nak berhujjah kita kena kembali kepada point asal iaitu beriman kepada Allah SWT! Jika datang nak berhujjah masih lagi kufur, masih bawa pegangan Isa anak Tuhan, sembah berhala dan seumpamanya maka tiada faedah & keperluan lagi.
      Hatta sesama kita orang Islam pun jangan berbalah dalam perkara juz’i sedangkan dalam asas & puncanya kita masih sama dalam keimanan terhadap Allah Azza wa Jalla!

      Kemudian sumber bagi orang beriman ialah Al-Quran & Sunnah Nabi SAW serta huraian penjelasan oleh ulama’ muktabar yang terdahulu para Salafus-Soleh & juga ulama’ muktabar yang terkemudian.
      Inilah rujukan kita, sumber hukum & perundangan kita!
      Kenapa dikatakan serah wajah: “Aku telah berserah diriku {أَسْلَمْتُ وَجْهِىَ} kepada Allah dan demikian juga orang-orang yang mengikutku”.
      Kerana muka atau wajah adalah satu anggota yang paling mulia dalam diri manusia ini!
      Pada wajah terdapat pancaindera yang besar seperti mata telinga hidung & mulut!
      Kemudian dengan wajah yang mulia inilah kita letak dan sujud atas lantai kerana Allah yakni serahkannya kepada Allah!

      Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sedekat-dekat hamba kepada Tuhannya, ialah di kala hamba itu sedang sujud (di hadapan Allah), oleh itu perbanyakkanlah doa dalam sujud”. [HR Muslim 1/350].

      Maka sesiapa yang boleh sujud dengan wajahnya atas lantai- turunlah sujud ketika solat bagi yang solat atas kerusi atau sambil duduk itu! Manfaatkanlah sujud dalam setiap solat kita sebaik mungkin dengan berdoa dan memohon ampun kepada Allah SWT.
      Semoga dengan memperbanyakkan berdoa dalam sujud menjadikan diri kita lebih dekat dengan Allah SWT.
    1. Ayat 20- {Kemudian jika mereka memeluk Islam, maka sebenarnya mereka telah memperoleh petunjuk; dan jika mereka berpaling (tidak mahu menerima Islam), maka sesungguhnya kewajipanmu hanyalah menyampaikan (dakwah Islam itu).}-

      Allah bagi jaminan : Jika kamu ikut Islam kamu akan mendapat petunjuk!
      Satu lorong sahaja untuk dapat petunjuk & hidayah Allah SWT iaitu dengan jalan Islam, dengan ikut Al-Quran dan ikut Nabi SAW!
      Jika tidak ikut Islam- jangan kira sehebat atau setinggi mana kedudukan seseorang itu dia tetap tidak dikira mendapat petunjuk Allah!
      Kerana itu Allah kata: jika mereka lari {وَّإِن تَوَلَّوْا۟} bukan lagi tanggung-jawab kamu!
      Kemudian wahai para pendakwah, kita kata alhamdulillah kerana Allah kata tugas kita hanya menyampaikan dakwah ini, jika orang ikut alhamdulillah, jika orang berpaling lari, tugas kita sudah selesai.

      Para murabbi & ulama’ pendakwah mendidik dengan berkata : Kamu buatlah kerja, berdakwahlah menyampaikan kepada masyarakat; kerana Allah nak tengok kamu buat amal & berdakwah.
      Allah tidak akan tanya kesan kamu berdakwah itu orang ikut atau tidak!
      Tetapi jangan kita mudah berputus asa, mengamuk & merajuk. Nabi Nuh berdakwah hampir 1000 Tuhan, nabi kita Rasulullah SAW berdakwah 23 tahun dengan pelbagai tentangan.
      Dakwah ini kena berterusan kemudian kita serahkan kepada Allah sama ada orang nak ikut atau tidak!
      Kita berdoa kepada Allah SWT dengan nama-Nya yang indah, dengan sifat-Nya yang tinggi, agar anugerahkan kepada kita yang terbaik, yang mampu kita buat dalam melaksanakan tuntutan Syari’ah, berpegang dengan agama yang mulia & berpegang dengan Sunnah Nabi SAW!

    Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.
    Wallahu A’lam

    Powered by BetterDocs