Surah Al-Anbiya\’ : Ayat 78-82

\"\"

💎 Kisah Ke 5 – Nabi Daud Dan Sulaiman, Allah Anugerahkan Kerajaan Dan Ilmu. Kisah Ke 6 – Kekuasaan Nabi Sulaiman Terhadap Angin Dan Syaitan.💎

♥ Live Pagi Ahad 11 Syawwal 1442H = 23/05/2021 Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani – Tafsir Surah Al-Anbiya\’ (09) Ayat [78-82] ♥
Full video: https://fb.watch/5Fl1adLndy/

🎀 Muqaddimah:

  1. Dalam siri yang lepas kita telah mendengar kisah tentang 4 orang nabi sebelumnya, iaitu Nabi Musa a.s, Ibrahim, Lut dan nabi Nuh a.s.
  2. Kali ini kisah yang kelima tentang Nabi Daud a.s manakala kisah yang keenam tentang anaknya Nabi Sulaiman a.s bermula dari ayat 78.

🌺 *Ayat 78- {Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Daud dengan Nabi Sulaiman, ketika mereka berdua menghukum mengenai tanaman-tanaman semasa ia dirosakkan oleh kambing kaumnya pada waktu malam; dan sememangnya Kamilah yang memerhati dan mengesahkan hukuman mereka.}
(Al-Anbiyaa\’ 21:78)

  1. Allah s.w.t bawakan kisah tentang Nabi Daud dan anaknya nabi Sulaiman a.s pula.
  2. Pertamanya Allah sebutkan tentang nikmat bersama yang dikongsi oleh keduanya, kemudian nikmat tersendiri yang dianugerahkan kepada setiap seorang.
  3. Kisah pertama apabila mereka berhukum tentang pemilik kebun yang dirosakkan tanamannya oleh kambing ternakan pada waktu malam.
  4. Masing-masing mengeluarkan hukum yang berlainan (dalam majlis yang berlainan, kerana tidak boleh ada 2 orang atau lebih daripada Qadhi/hakim kecuali bermesyuarat).
  5. Siapakah yang lebih tepat hukumnya? Allah s.w.t berkata: {Kamilah yang memerhati dan mengesahkan hukuman mereka.}

🌺 *Ayat 79- {Maka Kami beri Nabi Sulaiman memahami hukum yang lebih tepat bagi masalah itu; dan masing-masing (dari mereka berdua) Kami berikan hikmat kebijaksanaan dan ilmu (yang banyak); dan Kami mudahkan gunung-ganang dan unggas memuji Kami bersama-sama dengan Nabi Daud; dan adalah Kami berkuasa melakukan semuanya itu.}
(Al-Anbiyaa\’ 21:79)

  1. Kronologi kisah: Dalam tafsir menurut riwayat Ibnu Abbas disebutkan, pemilik kebun (petani) yang dirosakkan tanamannya oleh sekumpulan kambing ternakan pada waktu malam. Sang petani kemudian mengadukan peristiwa tersebut kepada Nabi Daud.
  2. Keputusan yang dipilih Nabi Daud, mengarahkan agar kambing-kambing itu diberikan kepada pemilik kebun sebagai ganti rugi tanaman yang rosak.
  3. Sulaiman yang mendengarnya berpendapat:
    i- Kambing-kambing penternak diserahkan kepada petani hanya sementara waktu, untuk dipelihara, diambil hasilnya seperti susu dan anak serta dimanfaatkan bagi keperluannya.
    ii- Penternak pula wajib mengganti tanaman petani dengan yang baru, yakni bercucuk tanam merawat kebun itu sehingga pulih dan tumbuh seperti asal.
    iii- Jika kebun itu telah pulih, penternak boleh mengambil balik kambingnya, pekebun ambil balik kebunnya, yakni masing-masing menerima kembali miliknya sehingga tidak ada yang mendapat keuntungan atau kerugian lebih daripada yang sepatutnya.
  4. Nabi Daud memuji kebijaksanaan anaknya. Ia pun sepakat dan memilih keputusan Sulaiman yang tepat dan adil. Semua merasa kagum dengan kecerdasan Sulaiman sedangkan dia masih muda.
  5. Bapanya Nabi Daud pula tidak ego dan menerima pandangan anaknya yang adil dan bijak ini.
  6. Allah s.w.t berfirman, ini kerana Sulaiman a.s telah diberi kefahaman oleh Allah s.w.t dalam kes ini.
    Yakni Nabi Sulaiman diilhamkan-Nya untuk memahami hukum yang lebih tepat bagi masalah itu; dan masing-masing dari mereka berdua, Daud dan Sulaiman a.s, Allah s.w.t telah berikan hikmat kebijaksanaan dan ilmu yang banyak.
  7. Al-Hasan al-Basri berkata: Jikalah ayat ini yakni peristiwa Daud dan Sulaiman berhukum ini, tidak diakui oleh Allah s.w.t, maka akan ramailah qadhi-qadhi yang akan binasa. (Kerana itu mahkamah harus ada beberapa peringkat.) Allah s.w.t puji ketepatan dan kebijaksaan Sulaiman dan maafkan Daud atas ijtihadnya yang tidak tepat.
  8. Hadis pahala ijtihad, jika tepat dapat 2 pahala, jika tak betul dapat satu pahala untuk ijtihad. Sabda Rasulullah s.a.w, maksudnya:
    \”Apabila seorang hakim melakukan hukum lalu dia berijtihad dan kemudiannya dia benar maka untuknya dua ganjaran pahala. Sekiranya beliau menghakimi dan berijtihad, kemudian dia tersilap maka baginya satu pahala.\” [HR al-Bukhari & Muslim].
  9. Hadis Rasulullah s.a.w yang panjang tentang kisah dua orang ibu berebut anak.
    Ringkasan hadis: KISAH ini menunjukkan kepintaran Nabi Sulaiman yang luar biasa dalam sebuah dakwaan tanpa bukti yang dapat menunjuk kepada pemilik sebenar.
    i- Dua orang wanita masing-masing mempunyai seorang bayi dan salah satunya dimakan serigala, lalu masing-masing mendakwa bukan anaknya yang dimakan serigala, lalu berebut bayi yang hidup.
    ii- Mereka pergi menghadap Nabi Daud untuk berhukum dan menceritakan kejadian tersebut kepadanya. Ibu yang lebih tua menyampaikan hujjahnya dengan sangat baik, sehingga Nabi Daud A.S akhirnya memutuskan bahawa bayi itu adalah bayinya.
    iii- Ibu yang muda pasti tidak puashati dengan keputusan Nabi Daud A.S, keduanya lalu mendatangi Nabi Sulaiman a.s pula. Mereka menceritakan kejadian yang telah berlaku dan hendak meminta keputusan darinya.
    iv- Di depan Nabi Sulaiman A.S, keduanya sama-sama mengaku sebagai ibu bayi tersebut dan tidak ada yang mahu mengalah. Maka Nabi Sulaiman pun berkata kepada pelayannya \”Berikanlah aku sebuah pisau, akan ku belah anak ini menjadi dua agar keduanya mendapat sebelah seorang anak ini\”.
    v- Ibu yang lebih tua hanya diam mendengar keputusan Nabi Sulaiman A.S. Manakala
    ibu yang lebih muda menangis sambil memohon kepada Nabi Sulaiman A.S. \”Tolong jangan lakukan itu tuanku, Semoga Allah merahmatimu. Itu adalah anaknya (sambil menunjuk ibu yang lebih tua), itu adalah anaknya. Biarkan anak itu menjadi miliknya. Biarkan ibu itu yang mengurus anak ini\”, ucap sang ibu muda sambil menangis.
    vi- Mendengar ucapan ibu yang lebih muda, Nabi Sulaiman A.S akhirnya mengetahui bahawa bayi di hadapannya adalah milik ibu muda.
    vii- Maka terbuktilah siapa ibu yang sebenarnya, yang merelakan anaknya untuk lawannya agar bayi itu tidak dibunuh demi menjaga hidupnya padahal lawannya itu bersedia menerima bayi yang akan dibelah dua oleh Sulaiman.
    viii- Nabi Sulaiman A.S pun akhirnya memberikan bayi tersebut kepada ibu yang lebih muda. [HR Bukari & Muslim].
  10. Begitulah Allah S.W.T telah memberikan kelebihan pada Nabi Sulaiman A.S. Allah S.W.T memberikan pemahaman kepada Nabi Sulaiman yang tidak diberikan kepada Nabi Daud A.S. Namun bukan bererti Nabi Sulaiman lebih utama dan mulia berbanding Nabi Daud. Kerana setiap nabi telah Allah berikan keutamaannya masing-masing
  11. Antara ciri-ciri keistimewaan yang dikurniakan kepada Nabi Daud a.s:
    i- Gunung-ganang dan unggas memuji Allah yakni bertasbih bersama-samanya.
    ii- Nabi Daud terkenal dengan suaranya yang merdu. Apabila dia membaca Kitab Zabur, burung-burung yang berterbangan berhenti dan datang mendengar serta turut bertasbih bersamanya.
    iii- Semua makhluk Allah itu bertasbih dengan caranya tersendiri. Gunung-ganang dan segala binatang lain.

🌺 *Ayat 80- {Dan Kami mengajar Nabi Daud membuat baju-baju besi untuk kamu, untuk menjaga keselamatan kamu dalam mana-mana peperangan kamu, maka adakah kamu sentiasa bersyukur?}
(Al-Anbiyaa\’ 21:80)

  1. Sebelum dulu perisai hanyalah besi yang berbentuk papan sekeping.
  2. Mukjizat Nabi Daud lagi- Allah kurniakan tangan nabi Daud dapat melembutkan besi. Maka dia adalah orang pertama yang mencipta baju besi untuk pertahanan perang.
  3. Maka hendaklah kamu sentiasa bersyukur.

🌺 *Ayat 81- {Dan (Kami mudahkan) bagi Nabi Sulaiman angin yang kencang tiupannya, bertiup menurut kehendaknya ke negeri yang Kami limpahi berkat padanya; dan adalah Kami mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.}
(Al-Anbiyaa\’ 21:81)

  1. Antara ciri-ciri keistimewaan yang dikurniakan kepada Nabi Sulaiman a.s pula:
    i- Dapat mengarahkan angin mengikut kemahuannya. Bertiup ke negeri mana yang diberkati Allah s.w.t iaitu di bumi Syam, atau Palestin lebih tepatnya. Kerana itu ada pendapat ulama\’ bahawa Masjidil Aqsa didirikan oleh nabi Daud dan anaknya Sulaiman.
  2. Allah s.w.t menegaskan lagi bahawa Dia Maha Mengetahui apa saja yang akan berlaku.

🌺 *Ayat 82- {Dan (Kami mudahkan) sebahagian dari Syaitan-syaitan untuk menyelam baginya, serta melakukan kerja-kerja yang lain dari itu; dan adalah Kami mengawal mereka (daripada melanggar perintahnya).}
(Al-Anbiyaa\’ 21:82)

  1. Antara mukjizat nabi Sulaiman lagi, dia dapat menguasai jin dan syaitan untuk menyelam ke dalam lautan untuk mengeluarkan khazanah perhiasannya seperti murtiara, coral dan lain-lain.
  2. Juga untuk mengarahkan mereka melakukan pelbagai kerja lain lagi seperti membina bangunan dan seumpamanya.
  3. Allah s.w.t juga mengawal mereka golongan jin dan syaitan ini daripada melanggar perintah Sulaiman, tidak lari dan memberontak.

🎀 Penutup/Beberapa Faedah Ringkas:
1- Bacalah buku yang sahih tentang Israiliyyat dan hadis-hadis palsu dalam kitab Tafsir tentang kisah nabi-nabi, ini kerana banyak sekali kisah palsu tentang dua nabi Daud dan Sulaiman a.s ini yang dapat mencemar maruah dan kesucian para anbiya\’.
2- Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
لاَ تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلَّا إِلَى ثَلاَثَةِ مَسَاجِدَ: المَسْجِدِ الحَرَامِ، وَمَسْجِدِ الرَّسُولِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَمَسْجِدِ الأَقْصَى
Maksudnya: \”Janganlah kamu bersusah payah mengembara (atau bermusafir bagi tujuan ibadah) melainkan pada tiga buah masjid iaitu masjid al-Haram, masjid Rasulullah S.A.W dan juga masjid al-Aqsa\”. [Riwayat al-Bukhari].
3- Kelebihan tiga masjid ini kerana asas tapaknya dipilih oleh Allah s.w.t sendiri dan orang yang mendirikannya adalah para nabi-nabi, iaitu Masjidil Aqsa didirikan oleh nabi Daud dan anaknya Sulaiman, Masjidil Haram, Makkah oleh Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail a.s manakala Masjid Nabi di Madinah di bina oleh Rasulullah s.a.w.

Wallahu a\’lam.

Powered by BetterDocs