View Categories

(42) Surah Al-A’raf : Ayat 150-153

Nabi Musa AS Marah, Harun Minta Uzur, Balasan Kepada Penyembah Lembu & Qabul Taubat Mereka.

Full video : https://youtu.be/0anSm1mHCrs?si=D30ztUqxz8celTXq

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf ini dengan ayat 150 sehingga 153 dalam juzuk kesembilan.
  1. Dalam siri ini adalah episod kedua Nabi Musa bersama penyembah lembu Samiri.
    Allah nyatakan kisah Nabi Musa AS sudah kembali dari munajatnya dan sangat marah tengok keadaan kaumnya sehingga campak Lauh.
  1. Nabi Musa juga marah kepada saudaranya Harun, tetapi Harun minta uzur, bukan dia tidak larang & jalankan tugas, tetapi kaumnya yang keras kepala, tak dengar larang & melawannya.
    Nabi Musa kemudiannya minta ampun kepada Allah untuk dirinya dan saudaranya Harun.
  1. Kemudian Allah beri amaran & balasan kepada penyembah lembu serta galakan agar mereka bertaubat dengan Allah akan qabul taubat mereka.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang kisah Samiri ambil perhiasan emas & perak dari bani Israil & ukirnya jadi patung lembu yang berongga, masuk angin lalu mengeluarkan suara.
    Nabi Musa yang sedang bermunajat sudah dengar berita ini tetapi tidak boleh balik lagi.

    ii- Maka dalam ayat ini Nabi Musa sudah kembali dan baru tiba bersama kitab Taurat di tangannya.
    Apabila melihat apa yang berlaku begitu terkejut Nabi Musa AS walaupun dia sudah mendengar khabar itu.
    Ini kerana bukanlah mendengar sahaja berita sama dengan menyaksikannya sendiri!
    (ليس الخبر كالمعاينة).

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

AYAT 150- {DAN APABILA NABI MUSA KEMBALI KEPADA KAUMNYA DENGAN MARAH DAN DUKACITA, BERKATALAH IA: “AMATLAH BURUKNYA APA YANG TELAH KAMU LAKUKAN SEPENINGGALANKU; MENGAPA KAMU TERBURU-BURU (TIDAK MENUNGGU) PERINTAH TUHAN KAMU?” DAN IA MELETAKKAN LAUH-LAUH (YANG MENGANDUNGI TULISAN TAURAT) ITU SERTA IA MEMEGANG (RAMBUT) KEPALA SAUDARANYA (NABI HARUN) SAMBIL MENARIKNYA KEPADANYA. NABI HARUN BERKATA: “WAHAI ANAK IBUKU! SESUNGGUHNYA KAUM (BANI ISRAIL) MEMANDANGKU LEMAH DAN NYARIS-NYARIS MEREKA MEMBUNUHKU (KETIKA AKU MELARANG MEREKA); OLEH ITU, JANGANLAH ENGKAU MENJADIKAN MUSUH BERGEMBIRA MELIHAT (TEMPELAKMU) TERHADAPKU, DAN JANGANLAH ENGKAU JADIKAN DAKU TERMASUK DALAM GOLONGAN ORANG-ORANG YANG ZALIM”.} (AL-A’RAF 7:150)

  1. Setibanya Musa dari munajatnya, kembali kepada kaumnya dan melihat apa yang berlaku (mereka menyembah patung lembu), amat terkejut Nabi Musa, perasaannya bercampur baur, amat marah dan sedih dukacita, amat kecewa {غَضْبَـٰنَ أَسِفًۭا} dengan apa yang berlaku & perbuatan buruk yang dibuat oleh kaumnya!
    Musa berkata kaumnya: “Amatlah buruknya apa yang telah kamu lakukan sepeninggalanku; mengapa kamu terburu-buru (tidak menunggu) perintah Tuhan kamu?”
    Yakni kenapa kamu gopoh (lorat) cari Tuhan lain, kenapa kamu tak tunggu aku balik bawa perintah dari Tuhan!
    Amat buruk sekali perbuatan kamu ini, orang suruh tauhid kamu buat syirik.
  1. Ada yang mengatakan Samiri sebagai pempengaruh di kalangan kaumnya telah menyebarkan berita palsu bahawa Musa tidak akan kembali lagi, mungkin telah mati atau meninggalkan mereka terus kerana tak jumpa Tuhan.
    Lalu kata-katanya dipercayai dan mereka ikut arahannya!

    Ini kerana sebagaimana telah diceritakan dalam siri lepas, kaum bani Israil ini telah lemah dan tepu pemikiran mereka akibat terlalu lama ditindas, dizalimi menjadi hamba Fir’aun.
  1. Melihat semua itu, Nabi Musa AS tidak dapat menahan lagi perasaannya terus dicampak lauh lembaran kertas Taurat yang ada ditangannya.
    Ada yang kata sehingga pecah Lauh itu dan hilang beberapa hukum-hakamnya,
    Kata ulama’ muktabar seperti Ibnu Asyur dan lain-lain : Ini tidak ada dalam al-Quran & Hadis Nabi SAW Allah hanya kata lempar sahaja, tidak ada sebut pecah atau hilang!
  1. Hadis riwayat dari Ibnu Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
    ليس الخَبَرُ كالمُعايَنةِ قال اللهُ لموسى: إنَّ قومَكَ صنَعوا كذا وكذا فلمَّا يُبالِ، فلمَّا عايَن ألقى الألواحَ.

    (Mendapat) khabar itu tidak sama dengan melihat sendiri secara langsung. Sesungguhnya Allah SWT telah mengkhabarkan kepada Musa bahawa kaumnya telah berbuat sedemikian-demikian. Akan tetapi ketika melihat langsung apa yang mereka perbuat; (Musa marah dan) melemparkan lembaran-lembaran Taurat yang ada ditangannya. [HR Ibnu Majah].
  1. Kemudian Musa cari saudaranya Harun pula, memegang rambut kepala saudaranya Nabi Harun sambil menariknya kepadanya.
    Ini kerana Musa nak marah kepada Harun yang tidak ambil tindakan lebih keras dan cepat seperti pergi cari Musa segera untuk laporkan keadaan ini!
  1. Nabi Harun tidak melawannya tetapi mengambil pendekatan yang lunak untuk menenangkan Musa yang sedang marah itu.
    Ada kitab tafsir kata : Harun ini abangnya yang lebih tua 3 tahun daripadanya.
  1. Untuk melembutkan perasaan Musa digunakan bahasa yang lembut & penuh kasih-sayang: {wahai anak ibuku- ٱبْنَ أُمَّ}, serta menceritakan keadaan sebenarnya yang berlaku:
    i- Iaitu bani Israil tidak mendengar katanya, mereka kata dia lemah dan hampir-hampir membunuhnya apabila dia melarang mereka!

    ii- Maka jangan kamu buat aku jadi bahan ketawa mereka dengan memarahi aku di depan mereka, mereka akan gembira jika lihat kita berbalah pula.

    iii- Jangan kamu samakan aku dengan mereka yang yang berbuat zalim, syirik kepada Allah itu!
    Aku telah melarang mereka & sesekali tidak menyokong dan bersetuju dengan perbuatan mereka!
  1. Mendengar semua itu nabi Musa menjadi tenang & reda kemarahannya, menerima keuzuran saudaranya Harun.

AYAT 151- {NABI MUSA BERDOA DENGAN BERKATA: “WAHAI TUHANKU, AMPUNKANLAH BAGIKU DAN BAGI SAUDARAKU, DAN MASUKKANLAH KAMI KE DALAM RAHMATMU, KERANA ENGKAULAH SAHAJA YANG MAHA MENGASIHANI DARI SEGALA YANG LAIN MENGASIHANI”.} (AL-A’RAF 7:151)

  1. Lalu Nabi Musa terus berdoa kepada Allah:

    رَبِّ ٱغْفِرْ لِى وَلِأَخِى وَأَدْخِلْنَا فِى رَحْمَتِكَ ۖ وَأَنتَ أَرْحَمُ ٱلرَّٰحِمِينَ
    Wahai Tuhanku, ampunkanlah bagiku dan bagi saudaraku, dan masukkanlah kami ke dalam rahmatMu, kerana Engkaulah sahaja Yang Maha Mengasihani dari segala yang lain mengasihani”.
  1. Kata Ahli Tafsir RHM :
    i- Kenapa Nabi Musa berdoa minta ampun kepada Allah untuk dirinya & saudaranya Harun sahaja?
    Kenapa tidak sebut & doakan orang lain juga?

    ii- Jawapan: Kemungkinan pada masa itu tiada orang lain yang Islam kecuali mereka berdua.
    Yang lain telah terpedaya dengan samiri. Wallahu a’lam!

AYAT 152- {SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG MENYEMBAH (PATUNG) ANAK LEMBU ITU, AKAN DITIMPA KEMURKAAN DARI TUHAN MEREKA DAN KEHINAAN DALAM KEHIDUPAN DUNIA. DAN DEMIKIANLAH KAMI MEMBALAS ORANG-ORANG YANG MENGADA-ADAKAN PERKARA YANG TIDAK BENAR.} (AL-A’RAF 7:152)

  1. Kemudian Allah nyatakan bahawa mereka yang berbuat syirik, yang menyembah (patung) anak lembu itu jika mereka tidak bertaubat:
    i-Akan ditimpa kemurkaan dari tuhan mereka.

    ii- Dan kehinaan dalam kehidupan dunia.
  1. Firman Allah yang menjelaskan bahawa mereka disuruh bertaubat:

    {Dan (kenangkanlah) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya:
    “Wahai kaumku! Sesungguhnya kamu telah menganiaya diri kamu sendiri dengan sebab kamu menyembah patung anak lembu itu, maka bertaubatlah kamu kepada Allah yang menjadikan kamu; iaitu bunuhlah diri kamu. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu di sisi Allah yang menjadikan kamu, supaya Allah menerima taubat kamu itu. Sesungguhnya Dia lah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani”.} (Al-Baqarah 2:54)
  1. Dan demikianlah kami membalas orang-orang yang mengada-adakan perkara yang tidak benar, yakni mereka mencipta sesuatu pembohongan terhadap Allah SWT.
    Mereka kata ini yang Tuhan suruh sedangkan Allah tak suruh, mereka kata ini Syari’ah Allah sedangkan ia bukan Syari’ah.
    Perbuatan ini menimbulkan kemurkaan Allah Azza wa Jalla.
  1. Antara kehinaan atas dunia ini seperti mereka tidak boleh masuk ke bumi yang suci dan kaum Israil tidak ada watan (negara) sendiri yang rasmi sehingga ke hari ini hanya menumpang kemudian merampas tanah orang Palestine!

AYAT 153- {DAN ORANG-ORANG YANG MELAKUKAN KEJAHATAN KEMUDIAN MEREKA BERTAUBAT SESUDAH ITU DAN BERIMAN, (MAKA) SESUNGGUHNYA TUHANMU SESUDAH ITU MAHA PENGAMPUN, LAGI MAHA MENGASIHANI.} (AL-A’RAF 7:153)

  1. Munasabah ayat:
    i-Apabila Allah sebut bahawa ada di kalangan bani Israil yang bertaubat & ada yang terus bersama Samiri menyembah patung lembu.

    ii- Maka datang ayat ini menggalakkan mereka supaya bertaubat.
  1. Ini kerana sesiapa yang buat benda tak syirik, kufur, derhaka buat maksiat; tetapi kemudian jika dia sedar, insaf & insaf maka hendaklah kembali bertaubat, kerana walaupun sebesar mana dosa sekalipun jika kamu bertaubat Allah akan ampunkan!
    Ini kerana Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani!
  1. Banyak ayat-ayat al-Quran yang menyebut galakan untuk bertaubat.
    Antara firman Allah SWT ini:
    {Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.} (Az-Zumar 39:53)

    Walaupun ini mereka berdosa & buat maksiat, Allah tidak sumpah seranah mereka ini tetapi Allah seru mereka dengan panggilan wahai hamba-Ku, jangan putus harap kepada rahmat Allah.
    Maka sebesar manapun dosa kita wahai orang beriman; kita jangan putus harap untuk bertaubat & mengharapkan keampunan & rahmat Allah.
    Banyak atau sedikit dosa, sentiasalah bertaubat!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 150- {Dan apabila Nabi Musa kembali kepada kaumnya dengan marah dan dukacita,…}-

    Nabi Musa apabila kembali dan melihat perbuatan buruk kaumnya amat marah & kecewa sekali!
    Kata ulama’ : Manusia ini berbeza watak & sifatnya.
    Ada orang yang lembut, pijak semut pun tak mati; ada yang panas baran, cepat marah walaupun kes kecil saja.
    Sebagaimana berbezanya watak dua beradik Musa & Harun ini:
    i- Musa yang bekeng/garang amat diperlukan untuk mengawal dan bertegas dengan bani Israil yang amat degil & keras kepala serta banyak karenah.

    ii- Harun yang lembut dan petah bercakap amat diperlukan untuk berunding & berdakwah kepada Fir’aun dan kaumnya.
    Juga untuk mengambil hati dan menyampaikan dakwah kepada bani Israil.
    Kedua nabi ini saling melengkapkan satu sama lain dalam dakwah mereka pada masa itu. Ini adalah satu gandingan yang amat mantap dan sesuai.

    Begitu juga jika nak cari pasangan suami isteri beginilah sepatutnya melengkapi satu sama lain, yang sejuk menenangkan yang panas, yang panas menguatkan yang lemah!
    YANG bercakap banyak cari yang pendiam dan seumpamanya.

    Kerana itu kata ulama’ psikologi : Itulah hikmah Allah cipta satu mulut/lidah tetapi dua telinga.
    Kerana mulut walaupun satu, dah banyak cakap sangat perlu kepada telinga yang lebih untuk mendengar!
    Ini kerana marah mempertahankan kebenaran itu mesti!
    Kita patut bertegas pada tempatnya & juga perlu berlembut pada tempatnya!
    Sebagaimana kata Imam Ghazali RHM :
    i- Jika marah tak tentu pasal & garang bukan pada tempatnya itu bodoh!

    ii- Manakala berlembut dan tak tegas pada tempatnya itu dayus & penakut!
    Ayat ini juga mengajar kepada kita bahawa dengar saja berita, tak sama dengan lihat & saksikan sendiri apa yang berlaku!
    Begitulah kita sebagai pendakwah, kena turun padang juga lihat sendiri keadaan masyarakat.
    Kerana dengar saja tak sama nak tengok.
    Bila dah tengok sendiri baru kita boleh fikirkan apa tindakan yang sepatutnya kita buat untuk kita bantu & uslub dakwah yang sesuai.
  1. Ayat 150- {… Dan ia meletakkan Lauh-lauh (yang mengandungi tulisan Taurat) itu serta ia memegang (rambut) kepala saudaranya (Nabi Harun) sambil menariknya kepadanya…}-

    Nabi Musa SAW amat terkejut & kecewa melihat perbuatan syirik kaumnya lalu mencampakkan Lauh Taurat ditangannya.
    Nabi Musa berbuat begitu kerana amat terkejut & marah, tindakan refleks, tindakan luar kawal, bukan dengan niat menghina Taurat.
    Terlalu marah & kecewa, panik & kaget.

    Kena jaga ayat suci al-Quran, tidak boleh direndahkan.
    Sebagaimana nasihat kepada para iman yang baca al-Quran dengan HP, hati-hati jangan letak ikut suka dekat kaki.
    Musa pegang kepala saudaranya Harun dan tariknya kerana dia menyangka Nabi Harun tak larang dan nasihat mereka itu, biarkan saja mereka sembah lembu!
    Sedangkan Nabi Harun sudah melarang & menasihati mereka, tetapi mereka degil tidak mahu dengar kata-katanya dan melemahkannya!
    Mereka juga hampir membunuhnya kerana cuba menghalang mereka!
    Lalu Musa maafkan Harun dan berdoa kepada Allah untuk mengampunkan mereka.
    Nabi Musa juga hanya berdoa untuk mereka berdua kerana tiada orang Islam lain.
  1. Ayat 150- { berkatalah ia: “…. mengapa kamu terburu-buru (tidak menunggu) perintah Tuhan kamu?”}-

    Nabi Musa tanya kaumnya kenapa kamu gopoh (أَعَجِلْتُمْ), tidak sabar untuk tunggu aku balik???
    Ulama’ bahasa kata : Apa beza antara perkataan segera, gopoh (عجل) & cepat (سرعة)??
    Ada perbezaannya, yang satu untuk gopoh, tak sabar, lorat nak cepat sebelum sampai masanya!
    Manakala cepat adalah laju yang biasa.
  1. Ayat 150- {… Dan ia meletakkan Lauh-lauh (yang mengandungi tulisan Taurat) itu serta ia memegang (rambut) kepala saudaranya (Nabi Harun) sambil menariknya kepadanya…}-

    Nabi Musa marah kepada kaumnya marah kepada apa yang berlaku pada kaumnya, bukan marah kerana ikut nafsunya!
    Musa marah semata-mata kerana Allah lalu tanpa sedar kerana terlalu kecewa Musa campak Lauh Taurat dan tarik rambut Harun.
    Allah tidak mencela perbuatannya ini hanya menceritakannya kembali untuk kita hayatinya.
    Contoh, seperti seorang suami yang terlalu marah kepada isterinya lalu melafazkan talaq tanpa niat sebenar.
    Perbincangan: Sejauh mana kemarahan tanpa niat itu tidak dikira sebagai satu kesalahan & kesannya ke atas pelakunya?
    Kena tengok perbincangannya dalam kitab Feqah & lihat Tafsir al-Munir..

    Ayat 151- {Nabi Musa berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ampunkanlah bagiku dan bagi saudaraku,…}-
    Nabi Musa dan Harun cepat berdamai tidak marah lama-lama.
    Apabila tahu masalah & keuzuran terus memaafkan, tidak marah & berdendam lagi. Begitulah sepatutnya kita sesama saudara, adik-beradik, kita membesar bersama jangan pula apabila besar berkelahi & bermasam muka!
  1. Ayat 151- {Dan demikianlah kami membalas orang-orang yang mengada-adakan perkara yang tidak benar.}-

    Allah beri amaran kepada orang yang mengadakan apa yang tidak ada, iaitu apa yang Allah tak kata dia kata!
    Inilah bahayanya mereka-reka apa yang Allah tak kata tetapi dia kata Allah kata.
    Sesiapa yang buat begini maka dia telah membuat pembohongan dalam agama & atas nama Allah.
    Allah tak kata pun halal atau haram tetapi dia kata ada.
    Allah tak sebut dalam al-Quran & Nabi tak sebut dalam Sunnahnya, tetapi dibuat hukum & fatwa juga kerana tok gurunya cakap!
    Kita bukan tak hormat tok guru atau ulama’ dulu, tetapi ingat manusia tidak ada autoriti & hak untuk memberi dosa-pahala, halal haram & fadhilat amal sekelian.
    Tetapi yang direka inilah yang dilaris di pasaran.
    Kata ahli fikir : Perniagaan atas agama ini mudah laris.
    Kita yang nak ajar dan sebarkan hadis & amalan yang sahih dari Nabi SAW amat payah diterima bahkan dilabel & dituduh dengan macam-macam gelaran pula!

Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita untuk hari ini, semoga memberi manfaat & kebaikan dunia Akhirat.

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs