SURAH AN-NAMLI : AYAT 1-6

\"\"

MUQADDIMAH & INTISARI SURAH, RISALAH AL-QURAN DARI ALLAH S.W.T & GOLONGAN YANG BERIMAN DAN KAFIR DENGAN QURAN.

Full video : https://youtu.be/WJjf6hdNEMQ

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini 9hb Muharram 1443H bersamaan 18hb Ogos 2021 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah An-Namli.
  2. Surah An-Namli, surah ke-27 dalam tertib susunan al-Quran, dalam juz ke 19 dan mengandungi 93 ayat.
  3. Ijma\’ ulama\’ tafsir mengatakan surah ini diturunkan di Makkah maka ia adalah surah Makkiyyah.
  4. Surah ini ayatnya pendek-pendek dan banyak tentang cerita-cerita.
  5. Dinamakan surah ini Surah An-Namli, yang bererti perihal SEMUT; ini antara surah yang namanya kecil dalam al-Quran berbanding surah al-Fil (Gajah). Dinamakannya kerana perkataan ini disebut dalam ayat 16 & 19. Tidak disebut perkataan ini semut selain daripada dalam surah ini. Juga terdapat namanya disebut dalam beberapa \’Athar\’, perkataan sahabat.

MAQASID / OBJEKTIF KANDUNGAN SURAH :

  1. Surah ini menyebut tentang kekuasaan dan keEsaan Allah s.w.t.
  2. Juga menyebut tentang kelebihan limpah kurnia Allah s.w.t ke atas hamba-hamba-Nya.

INTISARI KANDUNGANNYA :

  1. Menegaskan bahawa al-Quran menjadi hidayah dan petunjuk kepada orang-orang yang beriman.
  2. dalam surah ini disebut semula kisah 4 orang nabi. Menceritakan tentang kisah Nabi Musa a.s, kebinasaan Firaun dan kuncu-kuncu yang menentangnya.
  3. Menceritakan juga tentang nabi Daud dan anakandanya Sulaiman. Mereka telah dianugerahkan ilmu pengetahuan meliputi hukum agama dan pentadbiran kerajaan. Tentera Nabi Sulaiman bukan saja dari kalangan manusia, tetapi juga meliputi pasukan jin dan burung-burung.
    Antara mukjizat Nabi Sulaiman ialah dia memahami bahasa pertuturan unggas dan semut. Dengan perantaraan seekor burung belatuk (Hud-hud) nabi Sulaiman mendapat tahu tentang penduduk negari Saba\’ yang berajakan seorang raja perempuan, Balqis dan mereka menyembah matahari. Lalu Nabi Sulaiman mengutus surat kepadanya megajak dia dan kaumnya untuk memeluk Islam. Akhirnya Ratu Balqis dan pengiringnya berangkat ke Palestin untuk mengadap Sulaiman dan masuk Islam.
  4. Setelah Allah s.w.t menceritakan kisah nabi-nabi yang lalu kepada Rasulullah s.a.w, semuanya yang membuktikan kekuasan Allah s.w.t, serta kebenaran mukjizat-mukjizat yang diberikan kepada mereka, dan kebenaran agama Allah s.w.t.
  5. Lalu diperintahkan supaya Rasulullah s.a.w bersyukur kepada Allah s.w.t dengan memuji Allah s.w.t dengan nikmat-nikmat itu. Juga memohon agar segala nabi-nabi dan Rasul-rasul itu selamat sejahtera selalu kerana merekalah yang telah menyampaikan agama Allah yang berdasarkan tauhid agar manusia selamat di dunia dan akhirat.
  6. Allah s.w.t memberi pertanyaan kepada kaum musyrikin untuk menggambarkan kebodohan mereka yang menyembah benda-benda yang tiada kuasa, yang tidak dapat menolong mereka dan dirinya sendiri. Sedangkan Allah s.w.t yang mencipta sekelian alam dan makhluk ini serta mentadbirnya.
  7. Tentang kerasulan Nabi Muhammad s.a.w dan al-Quran yang mulia sebagai sebesar-besar mukjizat yang diberikan kepada Baginda s.a.w.
  8. Menceritakan tentang soal agama yang diperselisihan oleh kaum Bani Israil tentang nabi Isa a.s., samada mereka dari golongan yang mendustakan Nabi Isa a.s atau dari golongan yang mempertuhankannya. Sedangkan ia menyeru mereka untuk menyembah Allah s.w.t dan sentiasa membaca al-Quran.
  9. Maka sesiapa yang mengikut petunjuk al-Quran dan mengamalkannnya maka kebaikan akan kembali kepadanya, manakala sesiapa yang sesat dengan membelakangkan al-Quran maka terserahlah kepada Allah s.w.t. untuk membalasnya

TAJUK-TAJUK ATAU ISU DALAM SURAH:

  1. Isyarat dan perhatian tentang I\’jaz al-Quran (إعجاز القرآن) iaitu ia melemahkan orang lain daripada meniru dan melawannya, dengan kedudukannya, bahsanya, maknanya dan balagahnya.
  2. Allah s.w.t sebut sifat-sifat orang mukmin dan balasan untuk mereka juga sebaliknya, sifat orang kafir dan balasan buruk mereka pula.
  3. Disebut sedikit daripada kisah Nabi Musa a.s dari sudut lain yang belum disebut dalam surah asy-Syua\’ra\’ sebelumnya.
  4. Disebut kisah Nabi Sulaiman dengan kisah burung belatuk, semut dan kerajaan Saba\’.
  5. Disebut kisah Nabi Soleh a.s. dan kaumnya.
  6. Disebut kisah Nabi Lut a.s. dan kaumnya.
  • Ada 4 kisah rasul-rasul dalam surah ini.
  1. Menjelaskan tanda-tanda keEsaan Allah s.w.t dan membatalkan peganga agama musyrikin dan sembahan lain selain dari Allah s.w.t. serta menetapkan kebangkitan semula.
  2. Al-Quran menceritakan tentang kisah umat terdahulu, serta ia adalah menguasai (muhaimin- ) ke atas kitab-kitab yang terdahulu.
    9 Surah ini menyebut beberapa tanda-tanda Kiamat dan sebahagiandari apa yang akan berlaku pada hari itu. Para pendustanya akan menyaksikan apa yang mereka ingkar dan dustakan dulu, maka tahulah di mana hujung-jatuh, pengakhirannya.

MUNASABAH SURAH INI DENGAN SURAH SEBELUMNYA:

  1. Sebagai pelengkap kepada kisah para Nabi iaitu kisah Nabi Daud a.s.
  2. Penjelasan atau tambahan tentang kisah Nabi Musa sebelum ini. Ayat 7-14.
  3. Kisah Nabi Soleh diulang sekali lagi. Ayat 45-53.
  4. Kisah nabi Lut a.s juga diulang sekali lagi. Ayat 54-58.
  5. Susunan tiga Surah yang berturutan – As-Syu\’ara\’, An-Namli & al-Qasas selepasnya: Menurut Ibnu Abbas r.a – ada persamaan antara 3 nya- permulaan pada surah yang pertama- 1 &3 sama طسم, yang tengah طس berbeza.
    Dalil Allah bawa huruf yang terputus ini semata-mata untuk mencabar kepakaran para sasterawan dan pakar bahasa Arab pada zaman itu, bahawa ayat al-Quran ini Allah boleh bawa bagaimana saja, ada tiga huruf, boleh juga dengan dua huruf.
    Inilah I\’jaz al-Quran (إعجاز القرآن) iaitu ia melemahkan orang lain daripada menirunya.
  6. Manakala mukjizat itu ialah satu perkara pelik yang diberikan kepada para rasul sebagai menguatkan dakwah mereka, dan al-Quran itu sendiri ialah salah satu mukjizat kepada Rasulullah s.a.w.

DENGAN NAMA ALLAH, YANG MAHA PEMURAH, LAGI MAHA MENGASIHANI.

AYAT 1- {TOO, SIIN.} طس INI IALAH AYAT-AYAT AL-QURAN, JUGA KITAB YANG JELAS NYATA (KANDUNGANNYA DAN KEBENARANNYA),} (AN-NAML 27:1)

  1. Surah ini dimulai dengan huruf yang terputus (al-Muqatta\’ahالمقطعة – ), iaitu tulisan yang hurufnya bersambung tetapi dibaca satu persatu iaitu – ط س طس (Too – Sin)
  2. Allah s.w.t mulakan beberapa surah dengan huruf terputus begini. Ini untuk menyatakan i\’jaz al-Quran (إعجاز القرآن ) yang tidak boleh ditiru oleh mana-mana makhluk.
  3. Ia juga menggambarkan bahawa kita sebagai manusia tidak dapat memahami dan tidak tahu apa-apa apa kecuali yang ingin diberitahu oleh Allah s.a.w dan Rasul-Nya s.a.w. Maksudnya wallahu a\’lam. Hanya ALLAH yang Maha Mengetahui.
  4. Ini ialah ayat-ayat Al-Quran, juga Kitab yang jelas nyata kandungannya dan kebenarannya.
  5. Apakah perbezaan apabila Allah s.w.t sebut antara al-Quran dan Kitab? Ulama\’ mengatakan:
    i- al-Quran ialah ayat-ayat yang kita baca.
    ii- Kitab pula ialah yang tertulis, ada huruf yang sangat jelas dan nyata, yang boleh kita baca.
    Ada juga ulama\’ kata ialah kitab catatan di Lauh-Mahfuz.

AYAT 2- {MENJADI HIDAYAH PETUNJUK DAN BERITA GEMBIRA BAGI ORANG-ORANG YANG BERIMAN} (AN-NAML 27:2)

  1. Sifat utama al-Quran ialah sebagai petunjuk hidayah kepada manusia.
  2. Maka sesiapa yang mahu berjaya dan bahagia maka ikutlah ajaran al-Quran.
  3. Rasulullah s.a.w telah menterjemah dan menjelaskan al-Quran dengan jelas dan nyata, bahkan sebagaimana kata UM Aisyah r.a; akhlak Baginda adalah al-Quran.
  4. Kemudian disambung oleh para sahabat dan ulama\’ tabiin yang menafsir dan menyusun al-Quran sehinggalah ke hari ini dengan tambahan contoh-contoh mengikut perkembangan semasa yang terkini.
    Contoh: jika dulu kenderaan yang ada hanyalah unta, maka tafsir hari ini kena beri contoh yang sesuai dengan zaman kita. Ini perlu untuk manusia nampak dan direalisasikan dalam kehidupan. Bukan tafsiran baru, cuma penambahan contoh mengikut perkembangan semasa.
  5. Al-Quran juga menjelaskan segala hukum-hakam, tentang halal-haram kehidupan manusia secara umum. Kemudian ditafsir dan dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w.
  6. Firman Allah s.w.t dalam surah an-Nahli ayat 89.
    {Dan (ingatkanlah tentang) hari Kami bangkitkan dalam kalangan tiap-tiap umat, seorang saksi terhadap mereka, dari golongan mereka sendiri; dan Kami datangkanmu (wahai Muhammad) untuk menjadi saksi terhadap mereka ini (umatmu); dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam.} (Al-Nahl 16:89).
  7. Sifat kedua al-Quran ialah memberi khabar gembira kepada orang yang beriman, alhamdulillah.

AYAT 3- {IAITU MEREKA YANG TETAP MENDIRIKAN SEMBAHYANG DAN MEMBERI ZAKAT, SEDANG MEREKA PULA PERCAYA DENGAN YAKIN AKAN HARI AKHIRAT.} (AN-NAML 27:3)

  1. Allah s.w.t menyifatkan dalam ayat ini siapakah orang yang beriman itu?
    Iaitu orang yang:
    i- mendirikan solat dan
    ii- menunaikan zakat serta
    iii- percaya dengan yakin akan hari Akhirat.
  2. Untuk iman di dalam hati kita tidak nampak dan tiada alat untuk testnya, maka ia harus diikuti dengan amalan yang zahir sebagai tandanya.
  3. Hikmah Allah s.w.t menjadiakn solat sebagai rukun Islam yang kedua, 5 kali sehari harus ditunaikan, maka ia boleh menjadi pengukur iman secara zahir. Maka ambillah berat dalam masalah solat kita dan solat keluarga kita.
  4. Begitu juga zakat, sebagai rukun iman yang mesti ditunaikan serta dapat diketahui. Orang yang beriman mesti ada amal; iman dan amal mesti selari dan seiring.
    Orang yang kata iman hanya dalam hati itu tanpa melakukan ibadat perintah Allah s.w.t yang lain; ini fahaman sesat golongan Murji\’ah, yang memisahkan iman dan amal, sama seperti golongan liberal dan pelbagai kebebasan dalam beragama hari ini.
  5. Kita wajib baik dua-dua dengan Allah & manusia juga. Yakni ikut semua Syariah dan hukum-hakam-Nya serta tidak menyakiti dan jaga hak sesama makhluk.
  6. Kita kena jaga yang wajib dan juga yang sunat.
    Ulama\’ kata yang membezakan antara sesama kita yang muslim dan ahli ibadat ini ialah amalan sunatnya.
  7. Manakala yakin dan beriman dengan hari Akhirat pula ialah asas utama untuk menjadi seorang mukmin yang betul-betul patuh dan taat. Maka dia berani mengeluarkan hartanya dari akaun dunia ke akaun akhirat.
    Sabda Rasulullah s.a.w: \”Sedekah itu adalah tanda orang yang beriman!\”
    Berbahagialah mereka yang kaya dan mampu, yang suka berinfaq!!!

AYAT 4- {SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG TIDAK PERCAYA KEPADA HARI AKHIRAT, KAMI JADIKAN PERBUATAN-PERBUATAN BURUK MEREKA KELIHATAN BAIK KEPADA MEREKA; OLEH ITU, TINGGALAH MEREKA MERABA-RABA DALAM KESESATAN. (AN-NAML 27:4)

  1. Orang yang tidak beriman pada hari Kiamat, mereka dengar al-Quran tetapi tidak peduali akan isi kandungannya, lalu mereka akan terpesong.
  2. Allah s.w.t akan jadikan perbuatan-perbuatan buruk mereka kelihatan baik kepada mereka. Ini untuk orang kafir, amalan mereka diperhiaskan oleh syaitan.
  3. Manakala untuk orang beriman pula, syaitan juga memperhiaskan amalan mereka, iaitu amalan yang tidak sahih, yang tidak ada dalam nas al-Quran dan sunnah Nabi s.a.w, sebagai sesuatu yang baik dan bagus. Biasanya sesuatu yang bukan dari sunnah itu akan nampak cantik dan indah, pahalanya juta-juta dan melampau. Maka berhati-hatilah.

AYAT 5- {MEREKALAH ORANG-ORANG YANG AKAN BEROLEH AZAB SEKSA YANG BURUK (DI DUNIA) DAN MEREKA PULA PADA HARI AKHIRAT ADALAH ORANG-ORANG YANG PALIG RUGI. (AN-NAML 27:5)

  1. Mereka yang tidak beriman, yang tidak ikut al-Quran, semasa di atas dunia lagi akan beroleh keburukan (seperti Abu Jahal yang terbunuh dalam perang Badar) serta lain-lain bala yang akan Allah s.w.t hantar tanpa mereka sedari.
  2. Manakala di akhirat kelak mereka adalah orang-orang yang paling rugi.

AYAT 6- {DAN SESUNGGUHNYA ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD) DIBERIKAN MENYAMBUT DAN MENERIMA AL-QURAN DARI SISI ALLAH YANG MAHA BIJAKSANA, LAGI MAHA MENGETAHUI. (AN-NAML 27:6)

  1. Punca kesesatan manusia kafir itu, mereka ambil ajarannya samada dari syaitan atau dari nenek moyang mereka yang jahil juga.
  2. Tetapi Allah tegaskan pula bahawa Rasulullah itu sifatnya berbeza dengan mereka itu. Baginda s.a.w diberikan kemuliaan menyambut dan menerima Al-Quran dari sisi Allah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Al-Quran ini turun dari Allah s.w.t yang sangat bijaksana. Maka seluruh Syariah dan perundangan agama Islam itu amat sempurna dan menyeluruh.
    Peringatan:
    Dalam bab pembahagian harta pusaka, beringatlah bahagian itu telah ditentukan oleh Allah s.w.t sendiri, siapa kita untuk mengatakannya tidak adil dan tidak kena.
    Yang merosakkannya iaitu menjadikan ia seolah menganiayai ialah manusia yang tidak menunaikan tanggung-jawabnya dan memberi hak yang wajib seperti nafkah dan lain-lain.
    Lihat Kuliah Di: https://youtu.be/kxKirZjz1nk Keindahan Islam Dalam bab Pusaka, DDAAM.
  2. Al-Quran itu adalah ayat-ayat yang dibaca dan juga Kitab yang ditulis, dua-duanya adalah sifat al-Quran.
  3. Ayat 2- {Menjadi hidayah petunjuk dan berita gembira bagi orang-orang yang beriman} ia juga menjadi isyarat yang sebaliknya, bagi orang kafir sebagai satu fitnah dan amaran.
  4. Dari ayat ini juga bahawa al-Quran adalah hidayah, Hidayah itu ada dua jenis:-
    a. Hidayah Irsyad – menyampaikan dakwah dan bimbingan, mengajak manusia tauhid kepada Allah s.w.t adalah tugas manusia iaitu para Nabi-nabi dahulu dan sehingga kepada para pendakwah hari ini, sepanjang zaman untuk mengajak dan berdakwah kepada manusia.
    b. Manakala hidayah untuk menerima atau tidak petunjuk itu pula adalah milik Allah s.w.t semata-mata. Kita tidak mampu untuk menentukan siapa yang akan mendapatnya atau tidak.
  5. Allah s.w.t kembarkan sifat orang yang beriman ialah yang mendirikan solat. Maka ini menunjukkan amalan fizikal itu adalah tanda orang yang beriman! Sesiapa yang tidak melakukan ibadat sebagaimana perintah Allah s.w.t maka menunjukkan lemah imannya. Maka kena banyakkan ibadat kita yang fardhu dan yang sunatnya.
  6. Semoga kita semua termasuk dari kalangan mereka yang beriman dan melakukan semua amal soleh ini. Insya\’ Allah.

Wallahu a\’lam.

Powered by BetterDocs