Surah Al-Baqarah : Ayat 261-264

GANDAAN PAHALA SEDEKAH, LARANGAN MENGUNGKIT, ELOKKAN BAHASA PENOLAKAN & RIYA’ MENGHILANGKAN PAHALA.

Full video : https://youtu.be/lMDLdxhd3aQ?si=zKnDn5jLP0_tlP7V

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam ayat 261 sehingga ayat 264 bagi surah Al-Baqarah. Surah yang kedua dalam juzu’ yang ketiga.
  2. Dalam siri ini Allah SWT galakkan kita untuk berinfaq, bersedekah dengan menyatakan tentang kelebihan sedekah dengan membuat analogi bandingan tujuh tangkai gandum. Iaitu gandaan pahala sedekah sebanyak 700 kali ganda.
  3. Bagi orang ada harta bersedekahlah dengan harta; jika tidak ada harta bersedekahlah dengan perbuatan & kata-kata yang baik!
  4. Dinyatakan SOP untuk jaga pahala sedekah kita agar tidak hilang:
    i- Jangan mengungkit, menyakiti hati orang yang diberi sedekah.

    ii- Elokkan bahasa penolakan

    iii- Jangan riya’ menunjuk-nunjuk kerana juga menghilangkan pahala.
  5. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT tunjukkan bukti kekuasaan-Nya menghidupkan balik orang yang sudah mati. 2 kisah telah kita baca dalam dua ayat sebelum ini iaitu kisah orang yang melalui kampung yang sudah binasa & kisah nabi Ibrahim dengan empat ekor burung.

    ii- Kemudian apabila kamu telah yakin tentang kematian & kebangkitan semula, kamu sudah lihat bukti kekuasaan Allah SWT; maka dalam ayat ini Allah ajar kamu apakah bekalan kamu untuk ke syurga. Selain ibadat khas seperti solat, puasa & haji- ada satu lagi ibadat iaitu infaq yang mampu dibuat oleh orang kaya atau kurang kaya. Iaitu sedekah harta bagi orang yang kaya & infaq dengan kata-kata dan perbuatan yang baik bagi orang yang tiada harta. Dengan sebab keyakinan kita kepada hari Akhirat kita berani letakkan harta di mana Allah suruh, iaitu infaq fi-sabilillah.
  6. Infaq fi-sabilillah, sedekah pada jalan Allah itu ada banyak cara, sama ada; sebar ilmu, berdakwah, menjatuhkan hukuman yang adil sesama manusia, jihad membantu orang faqir & susah serta jihad yang paling tinggi iaitu untuk menegakkan agama Allah yang mulia ini!
  7. Tidak ada ummat atau masyarakat yang bakhil kecuali mereka akan hina & menjadi hamba kepada hartanya sendiri- nak ke masjid tidak boleh, ke majlis ilmu tidak sempat; kerana sibuk menjaga harta! Kita minta perlindungan Allah daripada sifat ini.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 261- {BANDINGAN (DERMA) ORANG-ORANG YANG MEMBELANJAKAN HARTANYA PADA JALAN ALLAH, IALAH SAMA SEPERTI SEBIJI BENIH YANG TUMBUH MENERBITKAN TUJUH TANGKAI; TIAP-TIAP TANGKAI ITU PULA MENGANDUNGI SERATUS BIJI. DAN (INGATLAH), ALLAH AKAN MELIPATGANDAKAN PAHALA BAGI SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA, DAN ALLAH MAHA LUAS (RAHMAT) KURNIANYA, LAGI MELIPUTI ILMU PENGETAHUANNYA.} (AL-BAQARAH 2:261)

  1. Allah SWT membuat bandaingan pahala orang yang bersedekah seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Yakni setiap satu sedekah digandakan sehingga 700 kali ganda!
  2. Inilah bonus atau dividen yang paling tinggi, tidak dapat dibandingkan dengan mana-mana keuntungan lain atas dunia ini selain yang diberi oleh Allah SWT!
  3. Hadis-
    i- Diriwayatkan daripada Uqbah bin Amir RA katanya:
    جَاءَ رَجُلٌ بِنَاقَةٍ مَخْطُومَةٍ فَقَالَ هَذِهِ فِى سَبِيلِ اللَّهِ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- : لَكَ بِهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ سَبْعُمِائَةِ نَاقِةٍ كُلُّهَا مَخْطُومَةٌ
    Maksudnya: “Bahawa seorang lelaki telah menginfakkan seekor unta yang bercucuk hidungnya (tali) pada jalan Allah, lantas Rasulullah SAW bersabda: “Bagi kamu dengannya pada Hari Kiamat nanti tujuh ratus unta yang telah diikat tali pada hidungnya.” [HR Muslim].

    ii- Riwayat dari Abu Hurairah RA:
    Sabda Rasulullah SAW :” Semua amalan anak Adam akan digandakan kebaikannya 10 kali ganda serupa dengannya sehingga 700 kali ganda….” [HR Muslim].
  4. Allah juga akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya iaitu:
    i- Mengikut tahap keimanan orang yang bagi nafkah atau infaq itu. Orang yang beri dengan betul-betul ikhlas tanpa ada riya’, tanpa ada orang yang tahunya. Ini ikut keadaan pemberi.

    ii- Serta ikut keperluan orang yang menerima sedekah itu! Beri kepada mereka yang betul-betul berhak & memerlukan pastilah akan lebih besar pahalanya daripada yang lain! Ini ikut keadaan penerima.
  5. Di akhir ayat Allah kata bahawa Allah Maha Luas kurnia & rahmat-Nya,
    i- Dia beri & gandakan pahalanya sebanyak mana yang Dia mahu kepada sesiapa yang Dia mahu! Jangan pertikai dan rasa besar apa yang Allah beri.

    ii- Allah juga mata Meliputi ilmu pengetahuan-Nya. Allah tahu sama ada kamu ikhlas atau tidak, orang yang diberi (meminta) itu memerlukan atau tidak dan semuanya!

AYAT 262- {ORANG-ORANG YANG MEMBELANJAKAN HARTANYA PADA JALAN (AGAMA) ALLAH, KEMUDIAN MEREKA TIDAK MENGIRINGI APA YANG MEREKA BELANJAKAN ITU DENGAN PERKATAAN MEMBANGKIT-BANGKIT (PEMBERIANNYA), DAN TIDAK PULA MENYINGGUNG ATAU MENYAKITI (PIHAK YANG DIBERI), MEREKA BEROLEH PAHALA DI SISI TUHAN MEREKA, DAN TIDAK ADA KEBIMBANGAN (DARI BERLAKUNYA KEJADIAN YANG TIDAK BAIK) TERHADAP MEREKA, DAN MEREKA PULA TIDAK AKAN BERDUKACITA.} (AL-BAQARAH 2:262)

  1. Munasabah ayat:
    i- Ayat 261 tentang galakan sedekah, infaq fi-sabilillah.

    ii- Ayat 262 ini pula adalah SOP yang perlu dijaga agar pahala sedekah tidak hilang begitu saja!
  2. Ayat ini mengajar tentang SOP sedekah yang sahih:
    i- Sedekah ikhlas kerana Allah, infaq fi-sabilillah.

    ii- Beri nafkah tempat yang benar jangan di tempat yang salah- seperti tempat maksiat, bid’ah dan seumpamanya. Contoh buat dewan yang akan jadi tempat hiburan, muzik maksiat dan lain-lain atau seperti nak buat binaan & hiasan atas kubur.

    iii- Jangan mengungkit, jangan menyakiti hati pihak penerima. Beri sedekah tetapi sekali dengan perkataan tidak baik!
  3. Dalilnya hadis Rasulullah SAW: “Tiga kumpulan yang Allah SWT tidak akan bercakap dengan hamba-Nya iaitu: pengungkit perbuatan baik, bersumpah palsu untuk menjual, orang lelaki yang melabuhkan pakaiannya.” [HR Muslim].
    Ada hadis yang ada riwayat tambahan; yang melabuhkan pakaiannya kerana sombong. Tetapi langkah selamat jangan kita buat untuk keluar daripada khilaf yang berat ini- selamatkan diri kita lebih baik!
  4. Allah janjikan balasan bagi mereka yang memberi nafkah dengan ikhlas ini, tidak mengungkit & menyakiti:
    i- Bagi mereka pahala di sisi Tuhan mereka, yakni tidak akan hilang pahala mereka.

    ii- Dan tidak ada kebimbangan dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap mereka, yang tidak akan susut atau berkurangan hartanya dengan sedekah.

    iii- Dan mereka pula tidak akan berdukacita dengan ditimpa kesusahan Seperti dapat sembuh dari penyakit atau apa-apa bahaya.
  5. Sedekah juga boleh menjadi iktiar untuk menyembuhkan penyakit yang dideritai.
    داوُوا مرضاكم بالصَّدَقةِ الراوي: الحسن البصري • الألباني، صحيح الترغيب (٧٤٤) • حسن لغيره • أخرجه أبو داود في ((مراسيله)
    Nabi SAW bersabda: “Ubatilah orang yang sakit di antara kalian dengan sedekah.” (HR. Abu Daud].
  6. Kisah ubati sakit dengan sedekah: Dikisahkan bahawa Abdullah bin Mubarak rhm. (seorang ulama’ salaf) pernah ditanya oleh seorang lelaki tentang penyakit yang menimpa lututnya semenjak tujuh tahun. Ia telah mengubati lututnya dengan berbagai macam ubat. Ia telah bertanya kepada para doktor, namun tidak memberikan kesan. Lalu ia pergi berjumpa dengan Abdullah Ibnu al-Mubarak. Dia pun berkata kepadanya: “Pergi dan galilah perigi di tempat yang manusia sedang memerlukan air. Saya berharap dengan adanya mata air dalam perigi yang engkau gali dan dapat menyembuhkan sakit lututmu. Lelaki itu lalu menggali perigi dan ia pun sembuh”. [Kisah ini terdapat dalam “Sahih at-Targhib”].

AYAT 263- { (MENOLAK PEMINTA-PEMINTA SEDEKAH) DENGAN PERKATAAN YANG BAIK DAN MEMAAFKAN (KESILAPAN MEREKA) ADALAH LEBIH BAIK DARIPADA SEDEKAH (PEMBERIAN) YANG DIIRINGI (DENGAN PERBUATAN ATAU PERKATAAN YANG) MENYAKITKAN HATI. DAN (INGATLAH), ALLAH MAHA KAYA, LAGI MAHA PENYABAR.} (AL-BAQARAH 2:263)

  1. Jika kita ada duit berilah, jika tidak mampu untuk bersedekah- jangan sekali-kali kita gunakan perkataan kasar untuk menolak permintaan mereka.
  2. Juga jangan kita beri sedekah kemudian diikuti dengan perkataan yang buruk & tidak baik yang dapat menyakiti hati orang yang menerima pemberian itu!
  3. Iaitu sama ada:
    i- Jika ada duit & kamu beri sedekah kemudian beri nasihat & motivasi dengan perkataan yang baik.

    ii- Tidak dapat beri sedekah maka tolaklah ia dengan kata-kata yang baik juga, beri nasihat pesanan yang baik.
  4. Di akhir ayat Allah menyatakan dua sifatnya: {Allah Maha Kaya, lagi Maha Penyabar }
  5. Munasabah kenapa ayat tutup ayat ini dengan menyatakan sifat-nya ini:
    i- Allah Maha Kaya, untuk menolak sangkaan bahawa Allah berhajat kepada sedekah manusia itu. Allah sudah kaya & tidak memerlukan apa jua ibadat hamaba-Nya;- sedekah itu untuk kebaikan manusia itu sendiri!

    ii- Allah Maha Penyabar iaitu jika kamu tersilap melakukan apa yang dilarang seperti tidak beri sedekah atau mengungkit kemudian kamu insaf bertaubat- Allah maha Pengampun & maha Penyabar.

AYAT 264- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN! JANGAN ROSAKKAN (PAHALA AMAL) SEDEKAH KAMU DENGAN PERKATAAN MEMBANGKIT-BANGKIT DAN (KELAKUAN YANG) MENYAKITI, SEPERTI (ROSAKNYA PAHALA AMAL SEDEKAH) ORANG YANG MEMBELANJAKAN HARTANYA KERANA HENDAK MENUNJUK-NUNJUK KEPADA MANUSIA (RIAK), DAN IA PULA TIDAK BERIMAN KEPADA ALLAH DAN HARI AKHIRAT. MAKA BANDINGAN ORANG ITU IALAH SEPERTI BATU LICIN YANG ADA TANAH DI ATASNYA, KEMUDIAN BATU ITU DITIMPA HUJAN LEBAT, LALU DITINGGALKANNYA BERSIH LICIN (TIDAK BERTANAH LAGI). (DEMIKIANLAH JUGA HALNYA ORANG-ORANG YANG KAFIR DAN RIAK ITU) MEREKA TIDAK AKAN MENDAPAT SESUATU (PAHALA) PUN DARI APA YANG MEREKA USAHAKAN. DAN (INGATLAH), ALLAH TIDAK AKAN MEMBERI PETUNJUK KEPADA KAUM YANG KAFIR.} (AL-BAQARAH 2:264)

  1. Ayat ini Allah ulang balik untuk memberi peringatan kepada orang yang bersedekah agar tidak batal pahala sedekahnya, agar tidak sia-sia perbuatan baiknya!
  2. Iaitu jangan beri sedekah untuk riya’ kepada manusia.
    Ulama’ tafsir kata Allah fokuskan ayat ini kepada orang munafiq iaitu mereka riya’ serta tidak beriman kepada Allah.
  3. Allah buat analogi baru iaitu seperti batu yang bersih licin selepas ditimpa hujan lebat, tidak lekat apa satu lagi di atasnya- seperti pahala yang sedekah yang boleh hilang dengan sebab riya’- wal ‘iyazu billah!
  4. Munasabah ayat:
    i- Sebelum ini Allah nyatakan syarat nak infaq ialah kena ikhlas, jangan ungkit & jangan menyakiti.

    ii- Maka di sini Allah ingatkan sekali jangan hilangkan pahala sedekah dengan perbuatan tersebut & tambahan satu lagi iaitu jangan riya’ menunjuk-nunjuk kepada orang. Boleh diiklan sedekah yang banyak untuk beri galakan kepada orang lain juga serta dengan niat yang baik lain.
  5. Analoginya seperti hati munafiq yang buat sesuatu kebaikan bukan kerana Allah serta hatinya sendiri tidak beriman kepada Allah! Pahalanya akan hilang seperti batu yang ditimpa hujan tadi, bersih licin tidak tinggal apa lagi!
  6. Di akhir ayat Allah kata Dia tidak akan beri taufiq:
    i- Kepada orang kafir untuk menerima kebenaran.

    ii- Kepada orang munafiq untuk balik kepada Islam.

    iii- Kepada orang yang buat maksiat yang dahsyat supaya mereka bertaubat. Marilah kita jaga diri kita supaya Allah SWT sentiasa sayang kepada kita dan memberi taufiq-Nya kepada kita selalu!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 261- {Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji.}-

    Allah SWT buat bandingan satu analogi yang kita manusia mudah faham & nampak dengan mata (التمثيل التصوير). Iaitu Allah SWT bagi gambaran yang semua orang boleh nampak & faham.
    Oleh kerana orang Arab suka makan gandum maka Allah gunakan tangkai gandum agar mereka lebih mudah nampaknya.
    Ayat ini adalah galakan, kempen untuk kita banyak bersedekah berinfaq fi sabilillah.
    Bilangan 700 ini juga bukan satu bilangan tetap, Allah beri untuk kita nampak banyak, sedangkan sedekah atau pahala yang Allah nak beri adalah unlimited tanpa had!
  2. Ayat 262- {Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (agama) Allah,}-

    Fi-sabilillah (فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ) pada jalan ini adalah maksudnya ikhlas kerana Allah SWT!
    Isyarat kepada jika kamu nak sedekah, nak infaq, nak tolong atau beri kepada orang wajib ikhlas kepada Allah.
    Ini kerana pahala itu berganda mengikut tahap keikhlasan kita & ikut tahap keadaan penerima itu sendiri!
    Bila kita ikhlas dan penerima pula sangat berhajat kepada bantuan, maka amat besar pahalanya!
    Bahkan ada orang buat bandingan antara pahala sedekah & beri orang berhutang- mana lebih baik?
    Sehinggakan ada yang mengatakan berhutang lebih besar kerana orang itu terdesak.
    Tetapi jika kita sedekah kepada orang yang terdesak pastilah lagi besar pahalanya!
    Jika kita beri kepada orang yang tidak berapa terdesak lain sedekah pahalanya!
  3. Ayat 262- {Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (agama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi)}-

    Allah pesan jangan iringi perbuatan sedekah dan infaq dengan perbuatan mengungkit atau perkataan membangkit-bangkitkan pemberian sehingga menyinggung perasaan penerima. Kemudian Allah ulang lagi dalam ayat berikut:
  4. Ayat 264- {Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti,}-

    Ingatlah orang yang beriman, jangan batalkan pahala sedekah kamu itu dengan perkataan membangkit-bangkit dan perbuatan yang menyakiti penerima!
    Maknaya : Waktu beri sedekah jangan guna perkataan buruk & tidak tidak baik! Beri tetapi diiringi dengan perkataan yang buruk & menyakiti hati penerima. Mengungkit mengata itu sama ada pada ketika beri itu juga atau mengungkit menyakit beberapa lama selepas itu!
    Boleh beri nasihat dengan baik agar dia sedar diri & ingat kepada kebaikan orang lain yang telah menolongnya! Serta hormat kepada orang tua secara umumnya. Maka para ulama’ mengatakan bahawa syarat untuk diterima pahala sedekah juga adalah:
    i- Dengan bersedekah pada jalan Allah iaitu kerana Allah & ikut Rasulullah SAW. Ikhlas fi-sabilillah bukan kerana nak suruh orang puja puji.

    ii- Barang yang kita beri diambil kira juga. Iaitu beri sedekah barang yang baik & elok. Apatah lagi sedekah barang yang masih kita sayangi! Jangan beri barang yang sudah tidak berkualiti atau hampir rosak.

    iii- Kepada orang yang memerlukan dan terdesak, pastilah lebih besar pahalanya!
  5. Ayat 263- {(Menolak peminta-peminta sedekah) dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati.}-

    Allah ajar kepada kita dua perkara. Iaitu kena guna perkataan baik dalam dua-situasi ini:
    i- Kita beri kepada orang pun kita senyum dan berkata baik.

    ii- Jika kita tidak dapat beri pun kita tolak dengan perkataan yang baik dan senyum juga. Juga agar kita maafkan mereka yang meminta itu jika mereka salah ayat atau perbuatan semasa meminta bantuan. Semua perbuatan yang tidak baik itu amat bahaya kerana jika kita tidak peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT kerana ia dapat membatalkan pahala sedekah serta amalan lain kita.
    Mari kita belajar ikhlaskan hati kita dalam semua perbuatan terutamanya dalam bersedekah.

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.

Powered by BetterDocs