SURAH AL-FURQAN : AYAT 41-44

\"\"

GENG KAFIR QURAISH MEMPERLI NABI S.A.W, MENUDUH NABI S.A.W BAWA AJARAN SESAT, 3 JAWAPAN KE ATAS TUDUHAN MEREKA DAN 7 SEBAB DIBANDINGKAN DENGAN HAIWAN.

Full video : https://youtu.be/ay5wQKIgppk

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini adalah tentang kisah kaum Quraisy yang terus memerli, menyindir dan menghina Nabi s.a.w.
  2. Mereka juga mengutuk Rasulullah s.a.w sebagai seorang yang mahu menyesatkan mereka dari agama datuk nenek mereka yang asal.
  3. Allah s.w.t menjawab tohmahan mereka ini dengan 3 jawapan hujjah yang mantap.
  4. Kemudian akhirnya Allah s.w.t membandingkan perangai buruk kafir musyrikin ini dengan haiwan. Terdapat 7 sebab kenapa Allah s.w.t buat bandingan sebegini, kita akan cuba lihat semuanya, insya\’ Allah.

AYAT 41- {DAN APABILA MEREKA MELIHATMU (WAHAI MUHAMMAD), MEREKA HANYALAH MENJADIKANMU EJEK-EJEKAN (SAMBIL MEREKA BERKATA): \”INIKAH ORANGNYA YANG DIUTUS OLEH ALLAH SEBAGAI RASULNYA?} (AL-FURQAAN 25:41)

  1. Keadaan kaum kafir musyrikin ini setiap kali berjumpa dengan Rasulullah s.a.w mereka akan mengejek, memerli, menyindir dan meyakiti Baginda. Bukan setakat tidak beriman, Baginda menjadi bahan ejekan dan celaan mereka.
  2. Mereka berkata: {\”Inikah orangnya yang diutus oleh Allah sebagai RasulNya?}
  3. Semua ini berpunca dari perasaan takabbur dan sombong yang ada diri mereka. Kerana merasakan mereka lebih kaya, lebih berpengarauh, berpangkat dan lebih segalanya daripada Rasulullah s.a.w yang terpilih itu.
  4. Maka semua ini menimbulkan perasaan tidak puas hati, dengki dan iri hati, lalu tidak dapat menerima kenyataan yang ada di depan mata mereka itu.
  5. Begitulah manusia apabila orang yang tidak disukainya, buatlah apa saja walaupun kebaikan; semuanya nampak tidak betul dan tidak kena, tetapi jika orang yang dia minat dan puja segalanya baik hatta nak disamakan dengan nabi!!!
  6. Maka berhati-hatilah jangan bersifat taksub yang melampau samada kepada pemimpin, pendakwah apatah lagi kepada artis atau penyanyi!!!

AYAT 42- {\”SEBENARNYA IA HAMPIR-HAMPIR DAPAT MENYESATKAN KAMI DARI TUHAN-TUHAN KAMI, JIKA TIDAKLAH KERANA KAMI TETAP TEGUH MENYEMBAHNYA\”. DAN MEREKA AKAN MENGETAHUI KELAK KETIKA MEREKA MELIHAT AZAB SEKSA: SIAPAKAH YANG SEBENAR-BENARNYA SESAT JALANNYA.} (AL-FURQAAN 25:42)

  1. Mereka juga mengakui bahawa Rasulullah s.a.w hampir berjaya meyakinkan mereka. Yakni bagi mereka; hampir dapat menyesatkan mereka dari jalan yang benar, dengan menghalang mereka dari menyembah tuhan-tuhan berhala mereka.
  2. Tetapi dengan keteguhan mereka mempertahankan berhala itu mereka pun terus berada dalam kesesatan dan menolak kebenaran.
  3. Ini semua berlaku sedangkan mereka sudah mengenal Rasulullah s.a.w selama 40 tahun, sejak dari kecil sebagai seorang yang benar, amanah, baik akhlak, baik keturunan dan rupanya. Bahkan Baginda s.a.w juga menjadi tempat mereka menitipkan barang-barang amanah.
  4. Tetapi apabila Rasulullah s.a.w sudah menerima wahyu dan dilantik menjadi rasul, bertukar dari Muhammad bin Abdullah kepada Muhammad Rasulullah s.a.w, pandangan dan persepsi mereka terhadap Baginda s.a.w juga bertukar dan berubah.
  5. Setelah menceritakan tuduhan itu, Allah s.w.t menjawabnya dengan jawapan yang pertama ini: {Dan mereka akan mengetahui kelak ketika mereka melihat azab seksa: siapakah yang sebenar-benarnya sesat jalannya.}
  6. Bilakah mereka melihat azab dan akan sedar siapa yang sesat ini? Ulama\’ kata samada:
    i- melihat azab yang di dunia, apabila Allah hantar kemarau dan lain-lain.
    ii- Ketika maut, nazak hendak mati, seperti Firaun yang beriman bila dah tenggelam.
    iii- Ketika melihat azab di akhirat nanti.
    **Ketiga-tiga ini betul belaka, semuanya boleh menyedarkan mereka..Tetapi malangnya taubat dan keinsafan dalam dua keadaan terakhir ini tidak akan diterima lagi.
  7. Puak kafir musyrikin ini percaya ada Tuhan yang berkuasa mencipta alam ini, tetapi mereka tetap menyembah selain dari-Nya. Inilah namanya syirik!!
  8. Apabila seseorang itu nazak, malaikat akan datang dan tunjukkan tempat yang akan dibawanya, samada baik atau buruk. Maka orang yang baik amalannya akan suka untuk bersegera mati, manakala yang buruk sebaliknya!!
  9. Kenapa orang nazak dan nak mati tidak ada bunyi mengaduh kesakitan sedangkan sakaratul-maut itu amat dahsyat? Ulama\’ kata kerana terlalu sakit dan dahsyatnya sakaratul-maut ini sehingga tidak ada suara dan keluhan lagi yang. Kerana itu jangan ajar dan suruh baca apa-apa, kita yang mengucapkan kalimah syahadah dekat telinga dia.

AYAT 43- {NAMPAKKAH (WAHAI MUHAMMAD) KEBURUKAN KEADAAN ORANG YANG MENJADIKAN HAWA NAFSUNYA: TUHAN YANG DIPUJA LAGI DITAATI? MAKA DAPATKAH ENGKAU MENJADI PENGAWAS YANG MENJAGANYA JANGAN SESAT?} (AL-FURQAAN 25:43)

  1. Allah s.w.t bertanya kepada Rasulullah s.a.w adakah Baginda nampak keadaan buruk orang yang mengikut hawa nafsunya sehingga seolah menjadi tuhan yang disembah dan ditaati?? Bagaimana nafsu menjadi tuhan ini?
  2. Kata Syeikh Ahmad Abdul Halim: Pengikut hawa nafsu ini ada beberapa peringkat, yang tertinggi kemuncaknya adalah kafir musyrikin yang menyembah selain dari Allah s.w.t tanpa hak, tanpa bukti dan dalil!! Ibadat mereka mengikut kecenderungan hawa nafsu mereka.
  3. Kata Imam al-Mawardi, maksud ikut hawa nafsu ini:
    i- kafir dulu buat agama/tuhan ikut apa hawa nafsu dia suka, bukan ikut kebenaran.
    ii- apabila hawa nafsu mereka setuju dengan sesuatu, maka ia akan jadi ibadat.
    iii- mereka ikut semua apa yang hawa-nafsunya suka dan nak.
  4. Maka berhati-hatilah, agar ibadat kita tidak ikut hawa-nafsu. Sekarang ini sudah menjadi trend doa, bacaan Quran hadis juga kuliah, semuanya berlatarkan muzik. Inilah apa yang nafsu suka, muzik-muzik dan bunyian alat-alatnya, maka elakkannya!
  5. Orang yang bertuhankan hawa-nafsunya akan melakukkan apa saja yang dia suka tanpa sekatan. Maka Rasulullah s.a.w tidak dapat lagi mengawal mereka ini atau untuk dibawa balik ke pangkal jalan kebenaran.
  6. Orang yang paling susah untuk dibetulkan balik ialah orang yang mengikut hawa nafsu dalam ibadat mereka, iaitu ahli bid\’ah, ahli khurafat, mereka merasakan apa yang mereka itu buat itu benar, kerana mereka ahli ibadat.
    Berlawanan dengan ahli maksiat, mereka tahu perbuatan dan amalan mereka itu salah, cuma buat juga. Mereka ini lebih mudah untuk ditarik balik ke jalan yang benar.

AYAT 44- {ATAU ADAKAH ENGKAU MENYANGKA BAHAWA KEBANYAKAN MEREKA MENDENGAR ATAU MEMAHAMI (APA YANG ENGKAU SAMPAIKAN KEPADA MEREKA)? MEREKA HANYALAH SEPERTI BINATANG TERNAK, BAHKAN (BAWAAN) MEREKA LEBIH SESAT LAGI.} (AL-FURQAAN 25:44)

  1. Allah s.w.t menegur dan menyedarkan Rasulullah s.a.w bahawa apakah Baginda ingat orang kafir yang mengikut hawa nafsu akan mendengar dan faham apa yang Baginda sampaikan? Allah s.w.t lalu memberi memberi jawapan yang kedua.
  2. Mereka sebenarnya seolah binatang ternakan, (seperti lembu kenyang) bahkan lebih teruk dan sesat daripada itu. Yakni walaupun mereka dengar tetapi tidak tahu apakah ia benar atau tidak, atau berfikir akan kebenarannya.
  3. Mereka tidak akan mendengar dan masuk dalam kepala mereka seruan Islam serta tidak akan dapat memahami dalil-dalil dan bukti yang luas terbentang di depan matanya kerana mereka seolah binatang ternakan.
  4. Yakni ingatan kepada Rasulullah s.a.w bahawa orang yang kamu sangka baik, berkelip matanya mendengar seruan/bacaan kamu, sebenarnya mereka tiada akal, dengar dengan tujuan nak perli dan cemuh, bukan untuk mencari kebenaran.
  5. maka kita jangan menjadi seperti kafir jahiliyah ini, yang mendengar nasihat dan teguran tanpa cuba mengambil pengajaran darinya.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Jika kita ikut arahan Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w dengan meninggalkan apa yang dilarang dan buat apa yang diperintah, maka itu bermakna kita taat, tidak ikut dan telah lawan hawa nafsu. Tetapi jika larangan kita langar makna telah ikut nafsu.
  2. Itulah saja cara kita nak ukur/timbangnya. Tengok landasan beragama kita adakah ikut al-Quran dan hadis maka lawanlah hawa nafsu.
  3. Allah s.w.t buat bandingan orang kafir yang dengar saja seruan Nabi s.a.w itu dan menentang dakwah Nabi s.a.w sebagai ikut hawa nafsu dan lebih sesat daripada haiwan.
  4. Kenapakan sehingga begini bandingannya yang Allah buat? Ini kerana haiwan yang banyakpun akan patuh ikut pengembalanya yang seorang apabila dibawa ke padang ragut atau kembali semula ke kandang, tetapi ramai dari kalangan manusia yang ramai menolak dan tidak mengikut ajaran dakwah Rasulullah s.a.w. maka mereka lebih sesat daripada haiwan yang ikut gembalanya itu.
  5. Ada tujuh (7) sebab kenapa Allah s.w.t buat bandingan yang menyentap perasaan ini:
    i- haiwan pun akur dan patuh kepada tuan/pengembalanya. Haiwan juga boleh bezakan orang yang buat baik atau jahat kepadanya. Berbeza dengan manusia yang tidak boleh nak beza dan terima kebaikan yang dibawa oleh Nabi s.a.w.
    ii- hati haiwan ini tiada ilmu, dan tiada dalam akal mereka ajaran sesat untuk syirik dan melawan Allah s.w.t. Tetapi orang kafir sudahlah tiada ilmu ditambah dengan kejahilan melawan dan memperolok-olokan agama dan nabi.
    iii- haiwan yang tiada ilmu tidak akan memudharatkan orang lain, tetapi manusia tanpa ilmu akan beri kesan besar dan mudharat kepada orang lain.
    iv- haiwan tiada ilmu tidak akan dikira di sisi Allah, tetapi manusia akan dihisab dan diambil Tindakan akan perbuatannya di akhirat kelak.
    v- haiwan-haiwan ini semuanya bertasbih kepada Allah s.w.t. tetapi puak kafir lansung tidak bertasbih kepada Allah, maka mereka lebih sesat daripada haiwan. Banyak ayat-ayat al-Quran yang menunjukkan tentang ini, antaranya: al-Isra\’: 44, Al-Haj: 18, An-Nur 41 dan lain-lain.
    vi- haiwan tidak diberi akal untuk berfikir, sedangkan manusia itu sudah diberi akal dan ada alat mencari ilmu pengetahuan seperti mata, telinga dan otak, tetapi mereka tidak gunanya lalu lebih sesat daripada haiwan.
    vii- haiwan ini tidak akan merosakkan benda yang dia tahu baik, dengan makrifat yang Allah bagi kepada mereka. Tetapi puak kafir akan merosakkan segala benda, apa yang Nabi ajar dari benda baikpun mereka rosakkan juga, maka mereka lebih sesat daripada haiwan!!
  6. Biasanya manusia mengejek/hina orang lain itu kerana dua sebab:
    i- kerana rupa fizikalnya, yang cacat, huduh atau buruk.
    ii- kerana sifatnya, perangainya yang buruk dan jahat.
  7. Tetapi mereka menghina Rasulullah s.a.w yang amat sempurna dan indah kejadian fizikalnya, serta perangai dan sifatnya juga amat indah ini, semata-mata kerana hawa-nafsu.
  8. Semoga Allah jadikan kita orang yang baik, lebih baik daripada segala haiwan, dari segala makhluk yang tidak beriman atas dunia ini. Agar selamat di dunia dan akhirat ikutlah al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w, serta kefahaman yang ditafsir oleh ulama\’-ulama\’ salafus-soleh dan salaf yang mengajar perkara yang benar. Insya\’ Allah.

Wallahu a\’lam.

Powered by BetterDocs