Surah Al-Baqarah : Ayat 172-173

ARAHAN MAKAN BENDA BAIK, KENALI MAKANAN YANG DIHARAMKAN & GOLONGAN YANG TERDESAK.

Full video : https://youtu.be/fmD_9e7PkIQ?si=HltjrDXcOv1ILiZO

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam ayat 172 sehingga ayat 173 bagi surah Al-Baqarah.
    Surah yang kedua dalam juzu’ yang kedua.
  2. Dalam siri ini Allah SWT beri arahan kepada hamba-hamba-Nya untuk makan benda-benda baik, serta supaya sentiasa bersyukur atas semua rezeki dari Allah SWT dengan melakukan ketaatan & ibadat kepada-Nya.
  3. Kemudian Allah senaraikan beberapa makanan yang diharamkan oleh SWT dalam ayat ini & beberapa ayat lain.
  4. Di akhir ayat Allah nyatakan pengecualian bagi golongan yang terdesak, yang tiada makanan lain kecuali yang diharamkan seperti bangkai dan lain-lain. Maka dibenarkan makan sekadar keperluannya.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 172- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN! MAKANLAH DARI BENDA-BENDA YANG BAIK (YANG HALAL) YANG TELAH KAMI BERIKAN KEPADA KAMU, DAN BERSYUKURLAH KEPADA ALLAH, JIKA BETUL KAMU HANYA BERIBADAT KEPADANYA.} (AL-BAQARAH 2:172)

  1. Dalam ayat ini Allah SWT perintahkan kepada hamba-hamba-Nya yang beriman agar makanlah makanan yang baik, halal, suci bersih, lazat, berkhasiat dan yang baik-baik yang Allah SWT telah rezekikan kepada kamu.
    Manusia hari ini terbalik suka cari yang pelik-pelik.
  2. Kemudian bersyukurlah atas segala rezeki yang telah Allah anugerahkan kepada kamu.
  3. Syukur itu ada tiga iaitu:
    i- Syukur dengan hati- gembira dengan apa yang kita dapat.

    ii- Dengan lidah dengan ucapkannya- alhamdulillah.

    ii- Dengan anggota- guna & infaq rezeki yang ada pada jalan Allah.
  4. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT:
    i- {Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik-baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.
    Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik, dan bertaqwalah kepada Allah yang kepadaNya sahaja kamu beriman.} (Al-Maaidah 5: 87-88)
  5. Hadis:
    i- Riwayat Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
    “Wahai manusia! Sesungguhnya Allah itu baik, tidak menerima kecuali perkara yang baik, dan sesungguhnya Allah memerintahkan orang-orang yang beriman dengan apa yang Dia perintahkan kepada para rasul.
    Allah berfirman: {“Wahai para Rasul, makanlah yang baik-baik dan kerjakanlah amal soleh, sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”} (Al-Mukminun: 51). Dan Allah berfirman: {“Wahai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu.”} (Al-Baqarah: 172). Kemudian Baginda menyebutkan tentang seorang laki-laki yang dalam muafir jauh dalam keadaan kusut dan berdebu, dia menadahkan kedua tangannya ke langit (sambil berkata), “Ya Rabb, ya Rabb,” sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram, dan dia dikenyangkan dengan yang haram, lalu bagaimana mungkin doanya dikabulkan?”
    [HR Muslim]
    Pentingnya untuk mustajab doa makan makanan yang halal & baik.
  6. Jika nak berdoa berdoalah kepada Allah SWT terus tak perlu guna perantaraan (tawasul) lebih-lebih lagi kepada orang mati di kubur-kubur.
    Jika minta tolong (tawasul) dengan orang soleh yang masih hidup (minta dia tolong berdoa) tiada khilaf itu dibolehkan.
    YANG jadi masalah minta dengan orang yang dah mati. Hari ini jadi fenomena pula pergi berdoa di kubur dan minta semua orang aminkan doanya!
  7. Bila ditegur dibalas balik dengan melabel pula orang yang menegur dengan label yang buruk.
  8. Hadis riwayat Anas bin Malik RA:
    Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah SWT redha kepada hamba-Nya yang apabila ia makan sesuatu makanan lalu ia memuji Allah atas makanan itu, dan apabila ia minum akan minuman lalu ia memuji kepada Allah atas minuman itu.” [HR Muslim].
  9. Di akhir ayat Allah katakan jika kamu betul-betul taat, akur & ikhlas beribadat kepada Allah; maka makanlah rezeki yang baik & syukurlah kepada Allah SWT atas limpah kurnia nikmat yang Allah berikan kepada kamu.
  10. Jangan bakhil kupit & main-main dengan nikmat yang anugerahkan kepada kita.
    Kita hendaklah bersyukur dengan lidah, hati & anggota.

AYAT 173- {SESUNGGUHNYA ALLAH HANYA MENGHARAMKAN KEPADA KAMU MEMAKAN BANGKAI, DAN DARAH, DAN DAGING BABI, DAN BINATANG-BINATANG YANG DISEMBELIH TIDAK KERANA ALLAH MAKA SESIAPA TERPAKSA (MEMAKANNYA KERANA DARURAT) SEDANG IA TIDAK MENGINGININYA DAN TIDAK PULA MELAMPAUI BATAS (PADA KADAR BENDA YANG DIMAKAN ITU), MAKA TIDAKLAH IA BERDOSA. SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA PENGAMPUN, LAGI MAHA MENGASIHANI.} (AL-BAQARAH 2:173)

  1. Dalam ayat ini Allah membawa senarai beberapa makanan yang haram:
    i- Memakan bangkai {ٱلْمَيْتَة},

    ii- Dan darah {وَٱلدَّمَ}-

    iii- Dan daging babi {وَلَحْمَ ٱلْخِنزِيرِ}

    iv- Dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah
    {وَمَآ أُهِلَّ بِهِۦ لِغَيْرِ ٱللَّهِ}.
  2. Apakah bangkai { ٱلْمَيْتَة} itu? Iaitu segala jenis binatang yang mati tidak disembelih atau disembelih tetapi tidak cukup SOP Syari’ahnya.
    Allah jelaskan dengan lebih terperinci dalam firman-Nya ini:
    {Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya),} (Al-Maaidah 5:3)
  3. Darah {وَٱلدَّمَ}- iaitu darah yang mengalir dengan banyak.
    Adapun darah yang telah bercampur dengan daging, kita telah bersihkannya tetapi apabila dimasak ada keluar pula merah-merah sikit, ini dimaafkan bukan darah yang mengalir.
    Rasulullah juga buat pengecualian iaitu hati & limpa binatang tidak mengapa.
  4. Daging babi {وَلَحْمَ ٱلْخِنزِيرِ}- dan semua komponennya; kulit, bulu semua sekali dari hujung kepala sehingga ke hujung kaki.
    Sebab diharamkan kerana ia memberi mudharta serta adalah haiwan yang jijik, pemalas & pengotor serta mempunyai tabiat yang buruk iaitu tidak ada sifat cemburu.
    Memakannya akan memberi kesan buruk sama ada dari segi kesihatan atau perangai.
    Tetapi Allah uji kita orang Islam- babi ini banyak sekali kegunaannya sama ada dari segi perubatan atau penggunaan.
    Tetapi ingatlah Allah SWT tidak haramkan sesuatu perkara itu tanpa sebab & hikmahnya- Cuma ada yang kita tahu ada yang kita tidak nampak!
  5. Maksudnya binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah {وَمَآ أُهِلَّ بِهِۦ لِغَيْرِ ٱللَّهِ}.
    Korban untuk mendekatkan diri kepada berhala mereka, buat jamu hantu sembahan, pemujaan syaitan dan lain-lain.
    Dulu masyarakat jahiliyah sembelih haiwan untukk berhala Lata & Uzza mereka, hari ini ada juga orang yang sembelih atas kubur dan lain-lain.

    Ini juga dijelaskan dengan firman Allah SWT:
    {Dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik.
    Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari agama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.
    Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.} (Al-Maaidah 5:3)
  6. Hadis daripada Ibn Abbas RA, beliau berkata: نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنْ كُلِّ ذِي نَابٍ مِنَ السِّبَاعِ وَعَنْ كُلِّ ذِي مِخْلَبٍ مِنَ الطَّيْرِ
    Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang memakan setiap binatang buas yang bertaring dan setiap jenis burung yang mempunyai kuku untuk mencengkam.” [HR Muslim (1934) dan Abu Daud (3803)].

    Ayat-ayat ini hanya menyebut beberapa contoh jenis makanan yang haram- kaedah umumnya Allah telah katakan: Dihalalkan kepada kamu benda yang baik & Allah haramkan semua benda yang buruk ke atas kamu!
    Ayat ini skopnya amat luas- maka para ulama’ kena pasang ayat-ayat ini & hadis-hadis Rasulullah bersama dengan kaedah umum ini!
    Jika mahu disebut satu-persatu dalam Al-Quran maka tidak cukuplah satu Jilid Al-Quran.
    Tambahan satu lagi pada zaman ini: Kena ada sijil halal- untuk memudahkan kita buat pengecaman di seluruh dunia yang kita pergi.

    Hati-hati juga kerana lambang / logo halal ini ada dua:
    i- Ditanggung HALAL

    ii- Digantung HALAL
    Ambillah perhatian yang berat kerana kita tidak mahu kita termakan benda yang tidak baik apatah lagi HARAM!
  7. Allah nyatakan pula sesiapa yang terpaksa memakannya (yang haram) kerana darurat, sedang ia tidak mengingininya (bukan kerana dia mahu) dengan syarat tidak melampaui batas tidak lebih dari keperluan yang sepatutnya benda yang dimakan itu; maka tidaklah berdosa orang yang terpaksa itu. Yakni ada pengecualian terhadap larangan ini.
  8. Keadaan darurat mengikut pengertian hukum Syara’ ialah: Satu keadaan yang dipercayai mendatangkan bahaya kepada diri atau harta benda yang tidak harus mengikut hukum Syara’ dibiarkan hilang, rosak atau cacat cela.
    Yakni jika kita tidak makan benda itu kita akan mati atau lapar kronik keadaannya, maka boleh makan sekadar nak cari jalan keluar.
  9. Sesiapa yang makan benda haram itu dengan terpaksa bukan kerana nak, maka makanlah sekadar yang diperlukan jangan melampaui dan bermewah-mewah pula dengannya!
  10. Kemudian Allah nyatakan sifat-Nya- Sesungguhnya Allah Maha Pengampun {ٱللَّهَ غَفُورٌۭ}
    lagi Maha Mengasihani { رَّحِيم}- iaitu apabila hamba-Nya yang dalam keadaan darurat, dibenarkan untuk makan benda-benda yang halal itu sekadar keperluannya maka mereka tidaklah berdosa.
    BUKAN HALAL; diberikan keizinan untuk makan sekadar keperluan.
    Bahkan jika ada pilihan wajib pilih yang halal- seperti ubat-ubatan, vaksin dan lain-lain.
  11. Untuk rekod:
    i- Ayat-ayat yang lepas bermula dari ayat 40 sehingga ayat 168- diceritakan tentang pertentangan antara mereka yang menentang Al-Quran & orang yang beriman.
    Iaitu pertembungan dari sudut aqidah & tauhid.

    ii- Manakala bermula dari ayat 172 yang kita baca hari ini, bermula episod yang kedua dalam surah ini sehingga akhir juzuk yang kedua.
    Iaitu untuk menyatakan hukum Syara’ dari sudut fiqh amali (makan minum kerja buat) kepada orang yang beriman.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 172- {Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu,}-

    Dalam ayat ini sekali lagi Allah tekankan khas kepada orang yang beriman untuk makan makanan yang baik- yang halal lagi baik.
    Jika ayat sebelum ini umum untuk semua manusia, ayat ini pula fokus khas perintah untuk orang yang beriman!
    Jangan kamu makan benda yang haram; kecuali apa yang Allah telah nyatakan dibolehkan dalam keadaan darurat & terdesak.
  2. Ayat 172- {yang telah Kami berikan kepada kamu, }-

    Benda yang baik yang Allah rezekikan kepada kamu.
    Kata ulama’ tadabbur: Ayat ini mengajar kita orang beriman untuk berdoa meminta dari Allah SWT serta mengambil sebab iaitu berusaha dan berikhtiar.
    Kita berdoa, kemudian wajib berusaha untuk mencapainya kemudian serahkan kepada Allah SWT natijahnya.

    Rezeki & rahmat Allah itu datang melalui dua cara:
    i- Allah suruh kita makan yang baik, yang bagus supaya kita sihat & ceria hidup. Ini adalah nikmat yg besar!

    ii- Rezeki yang kita dapat itu adalah rahmat dari Allah SWT!
  3. Ayat 172- {dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.}-

    Syukurlah kamu kepada Allah jika kamu benar-benar mengabdikan diri kepada Allah.
    Syukur itu mengikut kategorinya yang tertentu. Bersyukurlah kepada Allah dengan tiga kategori syukur iaitu: ucap dengan lidah, syukur dengan perbuatan/amalan anggota dan dengan hati yang ikhlas.
    Ayat ini juga mengajar kepada kita wajib beribadat ikhlas semata-mata kerana Allah SWT. kerana Allah kata {Jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.}
  4. Ayat 173- {Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu}-

    Isu halal-haram datang dari Allah.
    Kata ulama’ ayat ini menunjukkan setiap hukum halal-haram, harus, makruh dan semuanya atas Allah SWT.
    Bukan atas manusia untuk menentukannya, kena kembalikan kepada Allah.
    Kita hanya menyatakan apa yang kita faham daripada nas Al-Quran & hadis Rasulullah SAW. serta huraian para ulama’ muktabar.
    Contoh: hukum rokok- dulu memang ada khilaf ada yang kata makruh. Tetapi hari ini sudah ijma’ semua bahawa rokok itu haram.
  5. Ayat 173- {Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah}-

    Dalam ayat ini Allah sebut beberapa kategori benda yang diharamkan.
    Bangkai, darah, babi & semua benda yang diharamkan oleh Allah SWT yang disebut ini termasuk dalam perkara yang menjadi najis.

    Najis terbahagi kepada dua:
    i- Najis ain (fizikal) seperti bangkai, babi.

    ii- Najis maknawi- bukan najis fizikal asalnya seperti ayam kambing yang asalnya halal tetapi apabila disembelih bukan kerana Allah maka ia telah menjadi haram & Najis. Begitu juga seperti yang Allah sebut dalam Al-Quran, judi arak berhala & orang musyrikin itu semua najis. Iaitu majis dari sudut makna. Ini juga amat bahaya!
    Alhamdulillah tamat dulu perbincangan kita dalam siri ini.

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.

Powered by BetterDocs