SURAH AL-MU\’MINUN : AYAT 84-92

\"\"

MENEGAKKAN HUJJAH KE ATAS KAUM KAFIR TENTANG KEWUJUDAN ALLAH & MENAFIKAN ALLAH MEMPUNYAI ANAK DAN SEKUTU.

Full video: https://youtu.be/QUuiQIR8SCg

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri yang lepas, ayat-ayatnya menceritakan tentang orang kafir yang telah menjadikan sekutu bagi Allah s.w.t, bahkan mengatakan Allah ada anak.
  2. Maka Allah s.w.t menolak dakwaan mereka dengan membawa hujjah dan dalil-dalil yang mantap yang tidak dapat mereka nafikan.
  3. Ayat pada hari ini merupakan iqamatul-hujjah, Allah s.w.t membawa beberapa soalan yang jawapannya akan membuat mereka akui akan keEsaan dan kekuasaan Allah s.w.t.
  4. Hujjah berbentuk soalan kemudian bila mereka jawabnya, akan diberikan balik soalan untuk kesedaran.

AYAT 84- {TANYAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): \”KEPUNYAAN SIAPAKAH BUMI INI DAN SEGALA YANG ADA PADANYA, KALAU KAMU MENGETAHUI?\”} (AL-MU\’MINUUN 23:84)

  1. Allah s.w.t memerintahkan Rasulullah s.a.w bertanya kepada kaum Quraisy yang mendustakan Hari Kebangkitan itu apakah mereka tahu; {Kepunyaan siapakah bumi ini dan segala yang ada padanya?}.
  2. Yakni siapakah yang mencipta dan memiliki bumi ini dan segala isi kandungannya jika kamu tahu..

AYAT 85- {MEREKA AKAN MENJAWAB: \”KEPUNYAAN ALLAH\”. KATAKANLAH: \”MENGAPA KAMU TIDAK MAHU INGAT (DAN INSAF)?\”} (AL-MU\’MINUUN 23:85)

  1. Pasti mereka menjawab: \”Kepunyaan Allah\”.
  2. Yakni mereka ikrar (mengakui) akan Tauhid Rububiyyah yakni ketuanan Allah s.w.t.
  3. Lalu tanyalah lagi: Jika kamu mengakui akan kekuasaan Allah yang sedemikian, maka kenapa kamu tidak mahu menyedari dan mengakui (insaf) akan kekuasaan Allah s.w.t untuk menjadikan semula hidup dan bangkit semula yang mereka dustakan.

AYAT 86- {TANYAKANLAH LAGI: \”SIAPAKAH TUHAN YANG MEMILIKI DAN MENTADBIRKAN LANGIT YANG TUJUH, DAN TUHAN YANG MEMPUNYAI ARASY YANG BESAR?\”} (AL-MU\’MINUUN 23:86).

  1. Allah suruh Rasulullah s.a.w bertanya lagi tentang alam atas pula.
  2. Tanyalah mereka siapa yang cipta, milik, susun dan atur:
    i-Siapakah Tuhan yang memiliki dan mentadbirkan langit yang tujuh,
    ii- dan siapakah Tuhan yang mempunyai Arasy yang besar?

AYAT 87- {MEREKA AKAN MENJAWAB: \”(SEMUANYA) KEPUNYAAN ALLAH\”. KATAKANLAH: \”MENGAPA KAMU TIDAK MAHU BERTAQWA?\”} (AL-MU\’MINUUN 23:87)

  1. Pasti sekali lagi mereka menjawab: \”Kepunyaan Allah\”.
  2. Maka tanya dan tekanlah lagi: Jika kamu tahu ini semua mengapa kamu kamu tidak mahu bertaqwa? yakni – beriman, mengakui, dan takut kepada Allah s.w.t? Serta jangan mendustakan Nabi-Nya.

AYAT 88- {TANYAKANLAH LAGI: SIAPAKAH YANG MEMEGANG KUASA PEMERINTAHAN TIAP-TIAP SESUATU, SERTA IA DAPAT MELINDUNGI (SEGALA-GALANYA) DAN TIDAK ADA SESUATUPUN YANG DAPAT DISEMBUNYI DARIPADA KEKUASAANNYA? (JAWABLAH) JIKA KAMU MENGETAHUI!\”} (AL-MU\’MINUUN 23:88)

  1. Jika begitu jawapan mereka, tanya lagi kepada puak kafir musyrikin, satu soalan yang lebih umum.
  2. Siapakah yang memegang kuasa pemerintahan dan berkuasa penuh (mutlak) terhadap tiap-tiap sesuatu makhluk di atas muka bumi ini? Yang tidak ada sesuatupun yang dapat disembunyikan daripada kekuasaannya?
  3. Jawablah jika kamu mengetahuinya! Tekan lagi mereka.

AYAT 89- {MEREKA AKAN MENJAWAB: \”(SEGALA-GALANYA) DIKUASAI ALLAH\”. KATAKANLAH: \”JIKA DEMIKIAN, BAGAIMANA KAMU TERTARIK HATI KEPADA PERKARA YANG TIDAK BENAR?\”} (AL-MU\’MINUUN 23:89)

  1. Pasti sekali lagi mereka menjawab: \”Kepunyaan Allah segala kuasa ini.\”.
  2. Maka asaklah lagi mereka dengan bertanya: Jika kamu sudah mengakui dan mengetahui segalanya ini, tetapi kenapa kamu masih lagi terpedaya, masih tidak mahu beriman dan mengakui kebenaran ini?
  3. Jelaslah di sini mereka mengakui \’Ketuanan\’ Allah s.w.t ( الربوبية) ke atas dunia ini,
    tetapi tidak dari segi \’Ketuhanan\’ Allah s.w.t (الألوهية) kerana itu mereka tetap kufur.
  4. Dalam ayat ini orang kafir diasak dengan tiga persoalan:
    i. Kenapa kamu tidak ingat dan insaf (akui)?
    ii. Kenapa kamu masih tidak takut?
    iii. Kenapa masih sukakan perkara yang tidak benar?

AYAT 90- {(BUKANLAH SEBAGAIMANA TUDUHAN MEREKA) BAHKAN KAMI TELAH MEMBAWA KEPADA MEREKA KETERANGAN YANG BENAR, DAN SESUNGGUHNYA MEREKA ADALAH BERDUSTA.} (AL-MU\’MINUUN 23:90)

  1. Sekarang hujjah balas lagi, Allah s.w.t mengatakan sudah dibawa keterangan yang benar kepada mereka iaitu Tauhid dan al-Quran yang penuh dengan hujjah yang mantap.
  2. Tetapi mereka tetap mendustakannya walaupun tahu kebenaran.
  3. Seperti kisah seorang ketua yahudi di Madinah, Huyai bin Akhtab yang pergi menyiasat Rasulullah s.a.w dan jelas terbukti Muhammad itu rasul akhir zaman sebagaimana yang termaktub dalam Kitab mereka.
  4. Tetapi apabila sudah tertutup mata hati, tetap menafikan kebenaran yang sudah di depan mata ini.
  5. Punca sebab mereka tetap menolak kebenaran ini:
    i- Sombong dan membesarkan diri.
    ii- hasad dengki yang ada dalam diri mereka.
    iii- keras kepala, berpegang dengan ajaran lama peninggalan tok nenek.

AYAT 91- {ALLAH TIDAK SEKALI-KALI MEMPUNYAI ANAK, DAN TIDAK ADA SAMA SEKALI SEBARANG TUHAN BERSAMANYA; (KALAULAH ADA BANYAK TUHAN) TENTULAH TIAP-TIAP TUHAN ITU AKAN MENGUASAI DAN MENGURUSKAN SEGALA YANG DICIPTAKANNYA DENGAN BERSENDIRIAN, DAN TENTULAH SETENGAHNYA AKAN BERTINDAK MENGALAHKAN SETENGAHNYA YANG LAIN. MAHA SUCI ALLAH DARI APA YANG DIKATAKAN OLEH MEREKA (YANG MUSYRIK) ITU.} (AL-MU\’MINUUN 23:91)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t menolak dan menafikan dakwaan dan tuduhan jahat mereka yang sama-sekali tidak berasas iaitu mengatakan Allah s.w.t ada anak!
  2. Penafiaan kedua bahawa ada TIDAK ADA tuhan lain atau sekutu bagi Allah.
  3. Cuba buka akal dan fikiran kamu; bahawa jika ada tuhan lain pasti mereka akan mahu mencipta, mentadbir dan memerintah dengan gaya dan kuasa masing-masing, pasti akan berlawan dan saling menunjuk kuasa.
  4. Subhanallah, Maha Suci Allah dari apa yang dikatakan oleh kaum musyrik itu!!! Maha Berkuasa dan Suci Allah s.w.t daripada segala sifat-sifat yang didakwa oleh mereka.

AYAT 92- {(ALLAH) YANG MENGETAHUI SEGALA YANG TERSEMBUNYI DAN YANG NYATA; MAKA (DENGAN YANG DEMIKIAN) MAHA TINGGILAH KEADAANNYA DARI SEGALA YANG MEREKA SEKUTUKAN.} (AL-MU\’MINUUN 23:92)

  1. Dialah Allah Yang Mengetahui segala yang tersembunyi dan yang nyata.
  2. Allah juga Maha Tinggi keadaan-Nya dari segala yang mereka sekutukan.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS:

  1. Allah sebut: {Katakanlah: \”Mengapa kamu tidak mahu ingat (dan insaf)?\”}
    ayat ini menunjukkan galakan agar kita bertadabbur, kaji, fikir dan selidik.
  2. Allah s.w.t juga sebut tiga kali soalan untuk ditanya begini:
    i – {Katakanlah: \”Mengapa kamu tidak mahu ingat (dan insaf)?\”}
    ii- {Katakanlah: \”Mengapa kamu tidak mahu bertaqwa?\”}
    iii- {Katakanlah: \”Mengapa kamu tidak mahu ingat (dan insaf)?\”}
    Ayat-ayat ini menunjukkan dalil bahawa boleh kita berdebat dan berhujjah dengan orang kafir dan mereka yang percaya atas kebatilan ini untuk menzahirkan kebatilan dan kesesatan mereka, agar orang lain yang mendengar mendapat jawapan yang sahih.
  3. Tetapi untuk berhujjah dan berlawan dengan mereka, mesti ada ilmu, dalil dan hujjah yang mantap, jangan sampai kelihatan Islam lemah dan dhaif.
  4. Hujjah orang kafir ini bukan dalil akal yang logik dan dapat diterima, bahkan mereka hanya sandarkannya kepada kata-kata dan ajaran orang-orang yang terdahulu!
  5. Semoga dengan tadabbur al-Quran ini dapat menjadikan kita lebih mencintai dan kembali kepada al-Quran dan beramal dengan apa yang kita belajar, insya\’ Allah.
  6. Pentingnya kita kaji al-Quran dan mengaji agama dengan apa yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w.

Wallahu a\’lam.

Powered by BetterDocs