Surah Al-Baqarah : Ayat 230-232

HUKUM CERAI KALI KE 3, JANGAN BERMAIN DENGAN IDDAH & LARANGAN WALI MENYUSAHKAN PERKAHWINAN.

Full video : https://youtu.be/dAR8G1E3SE0?si=ajhFwAhrvrbk4Cid

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam ayat 230 sehingga ayat 232 bagi surah Al-Baqarah. Ia adalah surah yang kedua dalam juzu’ yang kedua.
  2. Dalam siri ini adalah sambungan dari ayat siri yang lepas, iaitu Allah SWT bawa hukum tentang cerai kali ke 3. Selepas dua kali bercerai tak insaf lagi, maka berlakulah perceraian kali ketiga yang akan memutuskan terus ikatan perkahwinan itu!
  3. Ada juga suami yang jahat, bermain-main dengan iddah. Ini adalah perbuatan yang zalim & dilarang dalam Islam.
  4. Kemudian Allah bawa peringatan & larangan kepada para wali agar jangan menyusahkan perkahwinan.
  5. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat lepas Allah nyatakan selepas dua kali cerai boleh rujuk lagi, tetapi tidak ada lagi rujuk selepas kali ketiga.
    Hukum khulu’ juga mesti terjadi sebelum talaq kali ketiga.
    Allah juga sebut hukum rujuk : Rujuk dengan kata-kata ini boleh terjadi dengan automatik jika suami buat tanpa persetujuan isteri. (بالقول)
    Cuma khilaf ulama’ jika rujuk dengan perbuatan, ada kata sah, ada pendapat mesti kata juga dengan lisan.

    ii- Maka dalam ayat ini Allah nyatakan tentang hukum perceraian buat kali ketiga.
    Seolah ia adalah penutup kepada isu perceraian ini!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 230- {SESUDAH (DICERAIKAN DUA KALI), ITU JIKA DICERAIKAN PULA (BAGI KALI YANG KETIGA) MAKA PEREMPUAN ITU TIDAK HALAL LAGI BAGINYA SESUDAH ITU, SEHINGGA IA BERKAHWIN DENGAN SUAMI YANG LAIN. SETELAH ITU KALAU IA DICERAIKAN (OLEH SUAMI BAHARU ITU DAN HABIS IDAHNYA), MAKA MEREKA BERDUA (SUAMI LAMA DAN BEKAS ISTERINYA) TIDAKLAH BERDOSA UNTUK KEMBALI (MASKAHWIN SEMULA), JIKA MEREKA KUAT MENYANGKA AKAN DAPAT MENEGAKKAN ATURAN-ATURAN HUKUM ALLAH DAN ITULAH ATURAN-ATURAN HUKUM ALLAH, DITERANGKANNYA KEPADA KAUM YANG (MAHU) MENGETAHUI DAN MEMAHAMINYA.} (AL-BAQARAH 2:230)

  1. Sesudah diceraikan dua kali talaq, apabila mereka bercerai lagi buat kali ketiga maka terputuslah lagi hubungan mereka, perempuan itu tidak halal lagi bagi suaminya; tidak boleh rujuk semula (tiada lagi iddah untuk rujuk) & tidak boleh kahwin semula.
  2. Kecuali si isteri setelah habis iddah berkahwin dengan lelaki lain-
    i- Berkahwin yang sungguh bukan bersyarat. Jika bersyarat atau dengan niat nak bercerai dalam aqad maka tidak sah & batal dari awal lagi pernikahan itu!
    Istilah orang melayu : Cina buta.
    Manakala istilah bahasa Arab : Bapa kambing pinjaman! التيس المستعار!

    ii- Serta kena berlaku persetubuhan yang rasmi antara mereka berdua sebagai suami isteri.
    Ini juga sebagai pengajaran dan denda ke atas suami lama supaya insaf & lebih menghargai si isteri.
  3. Kemudian ditaqdirkan Allah berlaku perceraian dengan suami baru ini!
    Bukan dengan paksaan atau telah berjanji.
    Maka selepas habis iddahnya barulah dia si isteri boleh berkahwin dengan suami yang telah menceraikannya dengan talaq 3 dulu itu dengan yang baru.
  4. Tetapi dengan syarat mereka ada sangkaan yang besar (tidak perlu yakin 100%) bahawa mereka boleh kembali bersama dalam satu ikatan perkahwinan yang mengikut peraturan & hukum yang Allah telah tetapkan.
    Yakni dapat beri haq & jalankan tanggungjawab masing-masing mengikut Syari’ah Islam.
  5. Dalil; Hadis berkaitan kisah Aisyah binti Abdul Rahman RA yang diceraikan suaminya, Rifa’ah bin Wahab RA dengan talak ba’in kubra iaitu talak yang terjadi untuk ketiga kalinya. Talak jenis ini tidak dapat dirujuk dan tidak dapat dinikahkan kembali. Dia kemudian berkahwin pula dengan Abdul Rahman bin Zubir al-Qurazi. Malangnya beliau bercerai juga dengan suami keduanya itu. Setelah itu, dia datang kepada Rasulullah SAW dan berkata: Wahai Rasulullah, dia (Abdul Rahman bin Zubair al-Quraizi- suami kedua) menceraikan aku sebelum menyentuhku kerana dia ibarat hujung kain (iaitu belum bersetubuh kerana lemah syahwat.) Bolehkah aku kembali kepada bekas suamiku yang pertama? Baginda SAW menjawab tidak boleh sebelum kamu benar-benar merasakan manis madunya Abdul Rahman bin Zubair dan dia juga merasakan manis madumu (yakni bersetubuh dengan suami kedua). [HR Muslim].
  6. Nikah tahlil/muhallil atau cina buta (istilah orang Melayu) adalah pernikahan bersama suami baru yang bertujuan untuk menghalalkan bekas isteri yang ditalak tiga oleh bekas suami dengan syarat dan peraturan yang telah dipersetujui.
    Seperti contoh:
    i- Suami baru tidak dibenarkan untuk melakukan hubungan intim atau suami baru ketika akad perlu melafazkan ta’liq seperti sekiranya beliau melakukan hubungan intim bersama isteri, secara langsung akan terjatuh talak 3.

    ii- Perkahwinan baru itu telah ditentukan waktu atau kontrak, setelah tamat waktu maka suami perlu menceraikkan isterinya.

    iii- Sejumlah wang telah ditetapkan kepada suami baru bagi menceraikan isterinya supaya bekas suami boleh bernikah semula.
  7. Jumhur ulama’ Syafie, Maliki, Hanbali dan Hanafi menyatakan bahawa nikah ini tidak sah dan ia merupakan nikah fasid atau nikah batil.
  8. Bahkan Rasulullah SAW melaknat perbuatan ini dalam hadisnya:
    لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْمُحِلَّ وَالْمُحَلَّلَ لَهُ ‏.‏ قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ
    Maksudnya: Rasulullah SAW melaknat seseorang yang menikahi wanita yang ditalak 3 dengan niat untuk menjadikan halal kepada bekas suami dan ke atas siapa yang dia dihalalkan. [HR at-Tirmizi, No. 1120, hasan sahih].
  9. Allah berpesan lagi itulah aturan-aturan hukum Allah, undang-undang Allah diterangkannya kepada kaum yang mahu mengetahui dan memahaminya. Maka janganlah kamu berani melakukan apa yang dilarang & dilaknat Allah SWT.
  10. Satu lagi hadis yang diriwayat dari ‘Uqbah bin ‘Amir RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
    ألا أُخْبِرُكُمْ بِالتَّيْسِ المُسْتَعارِ؟ قالوا: بلى، قال: هو المُحَلِّلُ، لَعَنَ اللهُ المُحَلِّلَ والمُحَلَّلَ لهُ
    Maksudnya: Mahukah kalian aku beritahukan mengenai kambing yang dipinjam? Sahabat menjawab: Ya! Lalu Baginda SAW menjawab: Dia adalah Muhallil, Allah melaknat seseorang yang menikahi wanita yang ditalak 3 dengan niat untuk menjadikan halal kepada bekas suami dan ke atas siapa yang dia dihalalkan.” [HR Ibnu Majah].

AYAT 231- {DAN APABILA KAMU MENCERAIKAN ISTERI-ISTERI (KAMU) KEMUDIAN MEREKA (HAMPIR) HABIS TEMPOH IDAHNYA MAKA BOLEHLAH KAMU PEGANG MEREKA (RUJUK) DENGAN CARA YANG BAIK ATAU LEPASKAN MEREKA DENGAN CARA YANG BAIK. DAN JANGANLAH KAMU PEGANG MEREKA (RUJUK SEMULA DENGAN MAKSUD MEMBERI MUDARAT, KERANA KAMU HENDAK MELAKUKAN KEZALIMAN (TERHADAP MEREKA); DAN SESIAPA YANG MELAKUKAN DEMIKIAN MAKA SESUNGGUHNYA DIA MENGANIAYA DIRINYA SENDIRI. DAN JANGANLAH KAMU MENJADIKAN AYAT-AYAT HUKUM ALLAH ITU SEBAGAI EJEK-EJEKAN (DAN PERMAINAN).}

  1. Apabila sudah hampir tempoh iddah isteri yang kamu ceraikan itu, maka buatlah keputusan yang tegas sama ada kamu ingin:
    i- Kembali rujuk kepada mereka, maka peganglah mereka sebagai isteri dengan baik.

    ii- Atau jika kamu ingin lepaskan mereka, sudah tidak ada harapan untuk bersama lagi, maka ceraikan juga mereka dengan baik!
  2. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat sebelumnya Allah nyatakan jika seorang isteri itu diceraikan tetapi belum 3 kali, jika ada peluang untuk berbaik semula maka kamu boleh merujuknya!

    ii- Maka dalam ayat ini sekali lagi Allah sebut peringatan agar berhubunglah dengan isteri kamu dengan cara yang baik.
    a) Jika sudah tidak mahu & tidak ada jodoh, berpisahlah & ceraikan dia dengan cara yang baik. Masing-masing bawa diri mencari hala tuju yang boleh membahagiakan hidup kamu di dunia & selamat di Akhirat.
    b) Jika masih ada harapan untuk kembali berdamai, berbaik dan hidup bersama semula, maka rujuklah dia dengan cara yang baik juga. Kembali hidup bersama jangan digantung tidak bertali & menyiksa mereka.
    Hiduplah sebagai suami isteri yang sepatutnya dengan aman damai & mengikut peratuaran yang telah ditetapkan Allah!
  3. Allah SWT melarang & memberi peringatan keras agar jangan sekali-kali seorang lelaki itu merujuk kembali isterinya semata-mata dengan niat memberi mudharat kepada mereka.
    Iaitu supaya berpanjangan tempoh iddah perempuan itu sedangkan dia tiada niat pun untuk berbaik semula. Ini adalah satu kezaliman terhadap wanita itu.
  4. Allah memberi amaran lagi bahawa sesiapa yang melakukan perbuatan tersebut sesungguhnya dia telah menganiayai dirinya sendiri dengan mengundang kemurkaan Allah SWT!
  5. Sekali lagi Allah berpesan; itulah aturan & hukum Allah, jangan kamu jadikan hukum & undang-undang Allah ini sebagai satu bahan permainan & ejekan!

AYAT 231- {DAN KENANGLAH NIKMAT ALLAH YANG DIBERIKAN KEPADA KAMU, (DAN KENANGLAH) APA YANG DITURUNKAN KEPADA KAMU IAITU KITAB (AL-QURAN) DAN ILMU HIKMAT, UNTUK MEMBERI PENGAJARAN KEPADA KAMU DENGANNYA. DAN BERTAQWALAH KEPADA ALLAH SERTA KETAHUILAH: SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA MENGETAHUI AKAN TIAP-TIAP SESUATU.} (AL-BAQARAH 2:231)

  1. Kemudian Allah berpesan agar kamu kenang nikmat yang Allah berikan kepada kamu iaitu:
    i- Kitab Al-Quran
    ii- Ilmu hikmah iaitu hadis Rasulullah SAW.
  2. Yang penting Allah juga telah beri kepada kita nikmat Islam, nikmat iman dan nikmat ada isteri. Maka hargailah dan jagalah dia sebagaimana yang telah ditetapkan oleh hukum Syari’ah.
  3. Sekali lagi Allah beri peringatan untuk bertaqwa kepada-Nya dalam bab wanita ini, serta ingatlah bahawa Allah mengetahui segala perbuatan kamu!

AYAT 232- {DAN APABILA KAMU MENCERAIKAN ISTERI-ISTERI (KAMU), LALU HABIS MASA IDAH MEREKA ‘ MAKA JANGANLAH KAMU (WAHAI WALI-WALI NIKAH) MENAHAN MEREKA DARIPADA BERKAHWIN SEMULA DENGAN (BEKAS) SUAMI MEREKA, APABILA MEREKA (LELAKI DAN PEREMPUAN ITU) BERSETUJU SESAMA SENDIRI DENGAN CARA YANG BAIK (YANG DIBENARKAN OLEH SYARAK). DEMIKIANLAH DIBERI INGATAN DAN PENGAJARAN DENGAN ITU KEPADA SESIAPA DI ANTARA KAMU YANG BERIMAN KEPADA ALLAH DAN HARI AKHIRAT. YANG DEMIKIAN ADALAH LEBIH BAIK BAGI KAMU DAN LEBIH SUCI. DAN (INGATLAH), ALLAH MENGETAHUI (AKAN APA JUA YANG BAIK UNTUK KAMU) SEDANG KAMU TIDAK MENGETAHUINYA.} (AL-BAQARAH 2:232)

  1. Allah nyatakan apabila selepas bercerai dan habis tempoh iddah tanpa rujuk antara sepasang suami isteri, kemudian mereka bersetuju untuk berkahwin semula dengan cara yang baik.
  2. Maka para wali jangan menghalang lagi jika mereka berdua itu telah bersetuju untuk berbaik & membina semula rumah tangga mereka mengikut peraturan yang telah ditetapkan Allah.
  3. Sabab nuzul ayat:
    Ma’qil bin Yasar RA berkata : Ayat ini turun kepadanya. Iaitu peringatan agar para wali jangan menyekat & halang apa yang mereka bekas suami & isteri telah setuju. Ma’qil menceritakan bahawa dia telah mengahwinkan adik perempuannya dengan seorang muslim. Kemudian mereka ada masalah lalu si suami menceraikan adiknya dan tidak merujuknya kembali hingga habis masa iddahnya. Kemudian kedua mereka menyesal dan bersetuju untuk kembali membina rumah tangga bersama semula. Maka bekas suami itu pun melamarnya semula melalui abangnyna Ma’qil tetapi Ma’qil berkata dengan marahnya: “Wahai si bodoh, dulu aku telah memuliakanmu dan menikahkanmu dengan adikku, namum kemudian engkau menceraikannya. Demi Allah, dia tak akan kembali lagi padamu”. Allah Yang Maha Tahu keperluan suami itu begitu juga sebaliknya. Maka Allah menurunkan ayat ini (Al-Baqarah 2:232). Apabila Ma’qil mendengar ayat ini, dia pun terus berkata, “Aku mendengar dan taat kepada Tuhanku”. Kemudian dia memanggil lelaki itu dan berkata,” Sekarang aku menikahkanmu dengan adikku dan akan memuliakanmu”. [HR Bukhari].
    Para sahabat ini amat taat & patuh, apabila turun perintah Allah mereka terus melakukannya tanpa banyak soal!
  4. Demikian peringatan yang Allah beri kepada mereka yang beriman kepada Allah & hari Akhirat.
    Apabila dua suami isteri setuju untuk bernikah semula, para wali tidak ada hak untuk menyekatnya lagi!
  5. Permudahkan urusan mereka kerana yang demikian adalah lebih baik bagi kamu dan lebih suci.
    Yakni para wali jika kamu ikut ajaran Allah, ia lebih baik bagi hati & jiwa kamu- suci dari permusuhan & syak wasangka!
  6. Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang baik untuk kamu sedang kamu tidak mengetahuinya!
    Inilah ajaran Syari’ah Islam yang cuba menghapuskan amalan jahiliyah yang tidak membenarkan lagi mereka yang sudah bercerai untuk kahwin balik!
  7. Kita mahu : Biar mati adat jangan lawan Syari’ah!
    Bukan : Biar mati anak jangan mati adat!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 230- {Sesudah (diceraikan dua kali), itu jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga ia berkahwin dengan suami yang lain.}-

    Jika kamu sudah cerikan isteri kamu buat kali ketiga; maka mereka tidak halal lagi mereka bagi kamu!
    Perceraian kali ketiga ini dipanggil talaq Ba’in iaitu talaq pemutus- tidak boleh rujuk, tidak boleh kahwin semula lagi walaupun dengan akad nikah yang baru. Kecuali si isteri telah berkahwin dengan lelaki lain selepas perceraian mereka.
    Kemudian bercerai pula dengan suami baru itu & telah bersama sebagai suami isteri yang sah, barulah dia halal semula untuk dinikahi oleh bekas suami yang pertama tadi (yang telah bercerai talaq tiga).
    Wajib nikah sungguh! Bukan main-main, bukan kerana upah & bersyarat.
    Wajib juga telah bersama (bersetubuh) sebagaimana selayaknya pasangan suami isteri!
    Kemudian berpisah dengan sebab mereka sendiri bukan kerana paksaan atau janji.

    Hadis Nabi SAW seperti di atas: “Allah laknat mereka yang menjadi kambing pinjaman” atau istilah orang melayu (Cina buta)- yang sanggup berkahwin dengan seorang wanita kemudian menceraikannya semata-mata supaya dia boleh berkahwin kembali dengan suami lamanya. Sama ada dengan upah atau tidak tetapi ada perjanjian & syarat walaupun tidak disebut dalam masa aqad. Jika disebut dalam aqad terus tak sah nikah itu!
  2. Ayat 230- {jika mereka kuat menyangka akan dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah dan itulah aturan-aturan hukum Allah,}-

    Ini syarat untuk rujuk balik, iaitu jika mereka bekas suami isteri ada sangkaan yang kuat yang mereka boleh berdamai dan hidup bersama kembali.
    Maksudnya- boleh menegakkan aturan & hukum Allah, yakni mereka rasa yakin (ada sangkaan yang kuat) yang mereka boleh menjalankan semula tanggung-jawab & tunaikan haq sebagai pasangan suami isteri sebagaimana yang ditetapkan dalam perundangan Syari’ah Islam.
    Jika kamu tidak yakin, tidak ada harapan dapat berbaik & hidup bersama semula dalam bahtera rumah tangga sebagai pasangan suami isteri- jangan rujuk kembali, jangan main-main dengan hukum yang Allah buat ini!
  3. Ayat 231- {Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) kemudian mereka (hampir) habis tempoh idahnya maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik.}-

    Sekali lagi Allah SWT berpesan Inilah peraturan yang Allah buat agar manusia tidak bermudah-mudah dan bermain-main dengan undang-undang & peraturan yang Allah buat! Itulah batasan yang Allah buat.
    Batasan halal haram yang Allah buat ini hanya orang yang ada ilmu boleh fahamnya.
    Maka apabila orang yang ada ilmu, para ulama’ Feqah membaca ayat Al-Quran & hadis, mereka pun membuat garisan panduan SOP perceraian & SOP rujuk balik.
    Ayat Allah ini jelas, rujuk itu hanya setakat dua kali, kamu jangan main-main dengan nikah cerai & rujuk.
    Jika tak suka tinggal & lepaskan mereka dengan cara baik.
    Jika nak kembali bersama, rujuklah mereka dengan cara yang baik juga.
  4. Ayat 231- {Dan janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula dengan maksud memberi mudarat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman (terhadap mereka); dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menganiaya dirinya sendiri.}-

    Allah kata rujuk itu dua akali saja- kemudian Allah ulang lagi kamu hidup bersama dengan cara baik & berpisah dengan cara yang nak damai, nak bercerai cerailah!
    Kemudian Allah memberi amaran sesiapa yang buat juga selepas Allah larang, perbuatan menganiayai wanita ini, dengan gantung tak bertali, membiarkannya terumbang-ambing atau apa saja perbuatan yang tidak baik; maka orang ini telah menghina diringa sendiri dengan berbuat kezaliman, buat dosa, buat benda mungkar, buat perkara yang tidak diizinkan Allah SWT!
  5. Ayat 232- {Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu), lalu habis masa idah mereka ‘ maka janganlah kamu (wahai wali-wali nikah) menahan mereka daripada berkahwin semula dengan (bekas) suami mereka,}-

    Para wali jangan halang dan nikahkan anak-anak perempuan di bawah jagaan mereka apabila mereka mahu terutamanya janda-janda.
    Ini kerana perempuan janda itu lebih berhak untuk menentukan sama ada nak kahwin kembali atau tidak, mereka bertanggungjawab terhadap diri mereka sendiri dan lebih mengetahui keadaan diri mereka kerana sudah ada pengalaman berumahtangga sebelum ini.
    Manakala anak dara tidak mengapa walinya paksa jika memang jelas kebaikan dalam pernikahan tersebut.
    Ini kerana mereka belum ada pengalaman dan masih tidak tahu selok belok berumah-tangga.

    Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Tidak boleh menikahkan seorang janda sebelum dimusyawarahkan dengannya dan tidak boleh menikahkan anak gadis (perawan) sebelum meminta izin daripadanya. Mereka bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimana mengetahui izinnya?” Baginda SAW menjawab, “Dengan dia diam.” (HR Al-Bukhari no. 5136 dan Muslim no. 1419)

    Nasihat kepada para wali jangan payahkan urusan perkahwinan anak perempuan mereka, jika sudah datang melamar orang yang kamu lihat baik dari segi agama & dunianya maka permudahkan urusannya.

    Hadis- Sabda Rasulullah SAW : Apabila seseorang yang kamu redhai agama dan akhlaknya datang kepada kamu untuk meminang anak kamu, maka hendaklah kamu menikahkan orang tersebut dengan anak perempuan kamu. Jika kamu tidak melakukannya, nescaya akan terjadi fitnah di bumi dan kerosakan yang besar.” [HR At-Tirmizi no. 1084].

    Maka para wali dan semua muslimin, marilah kita ambil peringatan & pengajaran daripada ayat ini. Permudahkan urusan perkahwinan perempuan yang di bawah jagaan kamu jika sudah nampak lelaki itu baik perangai dan agamanya, mampu & baik dari segi agama dan dunianya.
    Semoga Allah bersihkan hati & jiwa kita, berkati hidup anak-anak kita.

    Risalah yang boleh dikongsi untuk semua: Kewajian Yang Terabai Di Saat Kebahagiaan Dua Mempelai!
    Buku untuk dibaca: Keindahan Islam. https://dartaibah.com/?page_id=179…

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.

Powered by BetterDocs