SURAH AL-KAHF : MUQADDIMAH

\"\"

MUQADDIMAH SURAH, 5 FADHILAT SURAH & INTISARI DAN MAQASID KANDUNGAN SURAH.

Full video: https://youtu.be/jMx3BRdK5XI

MUQADDIMAH SURAH :
1. Surah yang ke-18, berada dalam juzuk ke-15. Mengandungi 110 ayat.
2. Surah Makkiyyah, yakni diturunkan di Makkah, sebelum Nabi berhijrah.
3. Merupakan salah satu dari lima surah yang dimulai dengan “Alhamdulillah” (Segala puji bagi Allah).
(1) Al-Fatihah: الْحَمْدُ للّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
“Segala Puji bagi Allah, Tuhan seluruh alam” (QS.Al-Fatihah:2)
(2) Al-An’am: الْحَمْدُ لِلّهِ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضَ
“Segala puji bagi Allah yang telah Menciptakan langit dan bumi.” (QS.Al-An’am:1)
(3) Al-Kahfi: الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَنزَلَ عَلَى عَبْدِهِ الْكِتَابَ
“Segala puji bagi Allah yang telah Menurunkan Kitab (al-Quran) kepada hamba-Nya.” (QS.Al-Kahfi:1)
(4) Saba’: الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ
“Segala puji bagi Allah yang Memiliki apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi” (QS.Saba’:1)
(5) Fathir: الْحَمْدُ لِلَّهِ فَاطِرِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ
“Segala puji bagi Allah Pencipta langit dan bumi.” (QS.Fathir:1)
4. Dinamakan Surah al-Kahfi الكهف yang bermakna GUA yang disebut kisah penghuni gua (Ashaabul-Kahfi) dalam surah ini.
**Perbezaan antara perkataan Bahasa Arab al-Kahfi الكهف dan al-Ghari الغار , Kahfi adalh gua yang besar dan luas, manakala ghar adalah gua yang kecil dan sempit seperti Ghar Thur dan Hira’.
5. Ada juga yg menamakannya surah – Ashabul-Kahfi – Mereka Yang Berlindung dalam Gua, yang disebut kisahnya dalam ayat 9-26.
6. Surah ini mempunyai beberapa kelebihan (Fadha’il) khas tentangnya.

FADHAIL (KELEBIHAN SURAH):
Mungkin ramai yang sedia maklum bahawa surah al-Kahfi sangat digalakkan untuk dibaca pada setiap hari atau malam Jumaat. Tapi tahukah kita apakah kelebihan surah Al-Kahfi yang sering disebut-sebut ini?
1- Sesiapa Yang Membacanya Ketenangan Akan Turun Di Rumahnya.
Daripada al-Bara’ bin ‘Azib R.A katanya,
Ada seorang lelaki membaca surah al-Kahfi di rumahnnya dan ada seekor haiwannya yang diikat dengan dua utas tali, kemudian dia melihat haiwan itu berbunyi seperti resah. Tiba-tiba dia nampak seolah kabus atau awan putih menaungi kawasan rumahnya. Keesokannya lelaki itu pergi berjumpa dengan Nabi S.A.W lalu menceritakan apa yang telah berlaku kepadanya. Baginda pun bersabda: “Apa yang berlaku kepada engkau itu adalah al-Sakinah (ketenangan dan rahmat yang disertai dengan para malaikat) yang turun untuk mendengar bacaan ayat-ayat al-Quran”. [HR al-Bukhari dan Muslim].
* Maka sesiapa yang mahu ketenangan turun kepadanya, selalulah baca surah ini.
2. Jika hafaz 10 ayat pertama surah al-Kahfi akan Selamat Dari Fitnah Dajjal:
i- Dari Nawwas bin Sam’an r.a; Para sahabat apabila mendengar Rasulullah s.a.w menceritakan tentang fitnah dajjal, mereka sangat gerun dan takut dengan cabaran dan godaan yang akan dihadapi. Lalu Rasulullah s.a.w pun bersabda: Sesiapa yang hidup lalu bertemu dengan dajjal, maka hendaklah dia baca permulaan surah al-Kahfi.” [HR Muslim].
ii- Dari Abu Darda’ R.A, bahawa Nabi S.A.W bersabda:
مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْف عُصِمَ مِنَ الدَّجَّالِ
Maksudnya: Sesiapa yang menghafal 10 ayat daripada awal surah al-Kahfi akan terselamat daripada fitnah Dajjal. [HR Muslim: 1342]. Maksudnya hafaz, baca dan fahaminya.
ii- Timbul persoalan sebab ada juga pendapat kata 10 akhir, dua-duanya ada dalam hadis tetapi Ulama kata hadis permulaan /10 yang awal lebih terpilih. Untuk selamat hafaz semua 10 pertama juga 10 akhir. Lebih elok hafaz seluruh surah, insya\’ Allah.
iii- Maksud Rasulullah kata bacanya selamat dari fitnah Dajjal ini ialah:
a) Dalam kisah Ashabul-Kahfi menunjukkan ayat-ayat tanda kekuasaan Allah S.W.T, siapa yang memahami dan menjiwainya ini tidak akan terpengaruh dengan tipu-daya Dajjal. Apabila kita takut dengan dengan ancaman Allah
b) Menjadikan mukmin sabar menghadapi fitnah Dajjal yang zahir dan selamat dari godaannnya. Sebagai motivasi dan menjadi benteng keimanan kepada orang mukmin kerana jelas Allah cerca mereka yang menyekutukan Allah s.w.t.
c) Boleh jadi satu keistimewaan khas yang Rasulullah s.a.w bawakan untuk orang yang menghafaznya.
3. Antara Surah Yang Terawal Dan Lama Yang Dihafaz Oleh Para Sahabat R.A.
Kata Abdullah b. Mas’ud r.a berkata: “Surah Bani Israil (Al-Isra’), Al-Kahfi, Maryam, Toha al-Anbiya, adalah surah yang terawal turun, dan inilah surah yang terawal yang aku belajar dan hafaz.” [HR al-Bukhari].
4. Semua Ayatnya Muhkamat (Dijadikan Hukum)- Tiada Yang Dimansukhkan/ Dibatalkan Hukum Dan Ayat-Ayatnya, ijma’ ulama’.
5. Kelebihan Membaca al-Kahfi pada hari Jumaat:
i- Dipancarkan Cahaya Untuknya Antara 2 Jumaat
a) Dari Abu Sa’id Al-Khudri R.A, Rasulullah s.a.w bersabda: “Barangsiapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka akan dipancarkan cahaya untuknya di antara dua Jumaat.” (HR Al-Hakim 2/368, al-Baihaqi 3/249. Ibnu Hajar kata ‘Hadis Hasan’ dalam Takhrij al-Azkar. Beliau kata hadis ini paling kuat tentang surah Al-Kahfi)
b) Dalam sebuah lagi hadis, dari Abu Sa’id al-Khudri RA bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ َقَرَأَ سُوْرَةَ الْكَهْفِ لَيْلَةَ الْجُمْعَةِ أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّوْرِ فِيْمَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْبَيْتِ الْعَتِيْقِ
Maksudnya: Barangsiapa membaca surat al-Kahfi pada malam Jumaat, maka dipancarkan cahaya untuknya sejauh antara dirinya dia dan Baitul ‘atiq (Ka\’bah).
(Sunan Ad-Darimi: 3273)

SECARA RINGKASNYA, TERDAPAT 4 PEMBAHAGIAN KISAH DALAM SURAH AL-KAHFI IAITU:1-Kisah ashab al-Kahf: Fitnah Agama (ayat 9-26)
i) Kisah penghuni gua – Mengisahkan tentang sekumpulan pemuda (Ashabul Kahfi) yang diuji keimanan sehingga berlindung dalam gua. Kisah ini menuntut kita agar bersahabat dengan orang soleh dan saling membimbing antara satu sama lain dalam memelihara akidah serta iman kepada Allah.
2-Kisah Sohib al-Jannatain: Fitnah Harta (ayat 32-46)
ii) Kisah Pemilik Dua kebun – Mengisahkan tentang ujian dan fitnah harta benda yang menimpa mereka. Ia mengingatkan kita kepada kehidupan dunia yang akan musnah dan hari akhirat yang kekal selamanya.
3-Kisah Nabi Musa & Khidir: Fitnah Dalam Ilmu (ayat 60-82)
iii) Kisah Nabi Musa dan Nabi Khidir – Mengisahkan tentang ujian serta fitnah ilmu. Ia mengingatkan kita agar sentiasa mengamalkan sikap tawaduk dan rendah diri walaupun dikurniakan ilmu yang tinggi.
4- Kisah Zu al-Qarnain: Fitnah kekuasaan (ayat 83-98)
iv) Kisah Zulqarnain, Yakjuj dan Makjuj – Mengisahkan tentang Zulqarnain yang berhadapan ujian dan fitnah berkaitan kuasa. Ia mengingatkan kita kepentingan sikap tawaduk dan mengakui kekuasaan hanyalah daripada Allah.
Setiap kisah ini mempunyai banyak pengajaran yang boleh dijadikan iktibar untuk kita semua.

INTISARI/ OBJEKTIF SURAH:

1. Menerangkan kebenaran al-Quran menegaskan dasar tauhid derta mendedahkan kesesatan kaum kafir yang mendakwa secara dusta bahawa Allah s.w.t ada anak. Bagi menjawab persoalan kaum Quraisy yang diajar oleh kaum yahudi untuk menguji Nabi s.a.w .
2. Membetulkan pemahaman teradap ayat-ayat al-Quran, jika kisah ini sudah pelik, ada banyak lagi kuasa dan keajaiban Allah s.w.t.
3. Perintah supaya sentiasa baca Al Quran, seluruhnya untuk menurut ajarannya bukan untuk dibahagi-bahagikan untuk tujuan atau perubatan tertentu.
4. Misal perbandingan antara orang kafir dan orang beriman serta kehidupan dunia dan akhirat.
5. Membetulkan neraca timbangan kehidupan dunia, bukan semata mengejar anak dan harta, tetapi dengan cara membanyakkan amal soleh.
6. Kisah Nabi Musa dan Khidir Bukti Allah berkuasa untuk beri ilmu dan kuasa kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Serta betapa luasnya ilmu Allah SWT.
7. Kisah Zulqarnain penegasan tentang Allah s.w.t berkuasa juga memberi pemerintahan kepada siapa yang dikehendaki-Nya.
8. Penegasan bahawa Nabi Muhammad S.A.W adalah manusia biasa yang diutuskan sebagai Rasul Allah dengan menerima wahyu.

ANTARA MAGASID/OBJEKTIF SURAH INI:
1. Membetulkan akidah kepercayaan manusia kepada Allah SWT.
2- Membetulkan cara berfikir (manhaj) dan melihat tanda-tanda ayat Allah s.w.t.
3- Membetulkan nilai hidup manusia berdasarkan neraca akidah.
4- Membetulkan neraca timbangan kehidupan.
5- Menceritakan Realiti Kehidupan Sebenar
6. Iktibar Untuk Menghadapi Ujian & Fitnah Akhir Zaman.

PENUTUP & KESIMPULAN:
Surah ini bukan sahaja menceritakan realiti kehidupan sebenar, tetapi membuktikan bahawa setiap yang dicatat dalam al-Quran itu bukanlah suatu kebetulan sebaliknya menjelaskan lagi setiap kebenaran. Surah ini mempunyai satu tema iaitu pertembungan antara iman dengan keduniaan.

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs