Surah Al-Baqarah : Ayat 168-171

JANGAN IKUT JEJAK SYAITAN, IKUT AJARAN TOK NENEK & BANDINGAN DENGAN PENDENGARAN HAIWAN.

Full video : https://youtu.be/N8yMvqINQ9M?si=3XLv-rDcI6ACrqvc

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam ayat 168 sehingga ayat 171 bagi surah Al-Baqarah.
    Surah yang kedua dalam juzu’ yang kedua.
  2. Dalam siri ini Allah SWT perkenalkan musuh kita iaitu syaitan serta amaran agar jangan ikut jejak syaitan yang kerjanya adalah melawan Allah SWT.
    Juga agar kita makan yang halal lagi baik, jangan ikut jejak langkah syaitan.
    Ini kerana syaitan itu kerjanya halalkan apa yang Allah haramkan serta haramkan apa yang Allah telah halalkan.
  3. Orang kafir ini bukan mahu ikut hujjah & ajaran Nabi SAW tapi nak ikut ajaran tok nenek.
    Kita orang Islam tak boleh guna hujjah agama tok nenek. Kita kena semak apakah ajaran tok nenek ini bertepatan dengan Syara’ atau tidak? Jika bertepatan baru boleh ikut, jika tidak kena tinggalkan.
    Adat kena ikut dan diperbetulkan dengan Syara’ bukan sebaliknya!
  4. Allah buat perbandingan bahawa pendengaran orang kafir itu sama seperti dengan pendengaran haiwan.
    Mereka dengar tetapi tidak ada respon dan tindak balas yang sepatutnya.
  5. Munasabah ayat:
    i- Allah ceritakan dalam ayat yang lepas tentang buruknya akibat orang kafir di akhirat sehingga mereka berkelahi sesama mereka di dalam neraka, yang tidak memberi faedah apa lagi!

    ii- Maka dalam ayat ini Allah perintahkan untuk ambil yang baik & bermanfaat dari apa yang telah Allah sediakan atas muka bumi ini.
    Untuk semua makhluk-Nya baik manusia, jin atau haiwan semua dapat faedahnya!
    Tetapi ingat di sana ada halal-haram, ada ujian, ada godaan yang kita kena hati-hati!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 168- {WAHAI SEKALIAN MANUSIA! MAKANLAH DARI APA YANG ADA DI BUMI YANG HALAL LAGI BAIK, DAN JANGANLAH KAMU IKUT JEJAK LANGKAH SYAITAN; KERANA SESUNGGUHNYA SYAITAN ITU IALAH MUSUH YANG TERANG NYATA BAGI KAMU.} (AL-BAQARAH 2:168)

  1. Allah SWT menyeru kepada seluruh manusia untuk makan rezeki yang ada atas muka bumi ini sesuatu yang halal lagi baik {حَلَـٰلًۭا طَيِّبًۭا}.
    Yakni untuk seluruh hamba-Nya sama ada yang mukmin atau tidak!
  2. Orang kafir pun ada yang jaga pemakanannya untuk sihat & khasiat.
    Mereka telah gunakan kemudahan yang Allah beri ini untuk kehidupan dunia mereka.
    Kita orang Islam buat semua ini untuk berbekal di akhirat, mencari keredhaan dan keampunan Allah bagi kejayaan dunia & akhirat.
  3. Yakni Allah beri kita lesen & keizinan untuk kita makan perkara yang baik apa saja atas dunia ini, tumbuh-tumbuhannya, haiwannya sama ada yang kita pelihara atau kita berburu dan tangkapnya lalu sembelih.
  4. Tetapi dengan syarat kita mesti pilih makanan itu dengan dua kriteria:
    i- Halal {حَلَـٰلًۭا } dari segi hukum Syari’ah,

    ii- Baik {طَيِّبًۭا} iaitu suci bersih tidak memberi mudharat, baik dari segi kesihatan & keselamatan setiap orang itu.
    Contoh: seperti gula & garam, walaupun halal tetapi tidak baik dari sudut kesihatan, maka kita kena kurangkan jika sudah ada penyakit tertentu.
  5. Kemudian Allah pesan supaya kita jangan ikut jejak langkah syaitan! Ini kerana syaitan adalah musuh manusia yang jelas lagi nyata! Jika kita tak nampak lagi syaitan sebagai musuh maka itu adalah silap kita!
  6. Apakah langkah syaitan ini untuk menyesatkan manusia:
    i- Nak mengajak manusia untuk menyalahi segala arahan Allah SWT!

    ii- Ia halalkan apa yang Allah haramkan serta

    iii- Haramkan apa yang Allah telah halalkan.

    iv- Mengajak manusia untuk buat perkara yang buruk (خبيث) seperti minum arak, main judi, merokok dan seumpamanya.

    v- Ajak manusia untuk meninggalkan benda-benda baik.
  7. Jika kamu ikut juga musuh kamu ini, ia akan bawa kamu kepada kebinaasan di dunia apatah lagi di akhirat, azab neraka yang pedih.
    نعُوذُ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيطَانِ الرَّجِيمِ-
    Kita berlindung dengan Allah dari syaitan yang direjam.
  8. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT ini:
    {Sesungguhnya rugilah orang-orang yang membunuh anak-anak mereka kerana kebodohan, lagi tidak berpengetahuan (sedang Allah yang memberi rezeki kepada sekalian makhluknya), dan juga (rugilah orang-orang yang) mengharamkan apa yang telah dikurniakan oleh Allah kepada mereka, dengan berdusta terhadap Allah. Sesungguhnya sesatlah mereka, dan tiadalah mereka mendapat petunjuk.

    Dan Dia lah (Allah) yang menjadikan (untuk kamu) kebun-kebun yang menjalar tanamannya dan yang tidak menjalar; dan pohon-pohon tamar (kurma) dan tanaman-tanaman yang berlainan (bentuk, rupa dan) rasanya; dan buah zaiton dan delima, yang bersamaan (warnanya atau daunnya) dan tidak bersamaan (rasanya). Makanlah dari buahnya ketika ia berbuah, dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya; dan janganlah kamu melampau (pada apa-apa jua yang kamu makan atau belanjakan); sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampau.
    Dan di antara binatang-binatang ternak itu, ada yang dijadikan untuk pengangkutan, dan ada yang untuk disembelih. Makanlah dari apa yang telah dikurniakan oleh Allah kepada kamu, dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.} (Al-An’aam 6: 140-142)
  9. Akhir dua ayat ini sama: {kerana sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.} iaitu memberi peringatan akan syaitan sebagai musuh manusia yang nyata!

AYAT 169- {IA HANYA MENYURUH KAMU MELAKUKAN KEJAHATAN DAN PERKARA-PERKARA YANG KEJI, DAN (MENYURUH) SUPAYA KAMU BERKATA (DUSTA) TERHADAP ALLAH APA YANG KAMU TIDAK KETAHUI (SALAH BENARNYA).} (AL-BAQARAH 2:169)

  1. Kerja syaitan ini adalah untuk membinasakan kamu dengan:
    i- Menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-perkara yang keji, benda yang haram, buruk berdosa & mungkar.

    ii- Dan menyuruh supaya kamu berkata dusta terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui salah benarnya.
    Iaitu syaitan juga menyuruh manusia mereka-cipta amal-amal yang batil tetapi dinisbahkan kepada agama Allah.
    Maka ini adalah satu pendustaan & pembohongan terhadap Allah SWT, kerana mereka sandarkan sesuatu tanpa ilmu yang sahih kepada Allah & Rasulullah.
  2. Maka terjadilah perkara yang sebenarnya haram dalam mu’amalat, makan minum & kehidupan seharian kita dengan sangkaan & keyakinan bahawa ia harus!
    Inilah belitan (talbis iblis) yang amat bahaya dalam hidup kita!
  3. Maka hati-hatilah agar kita tidak ikut langkah syaitan iaitu menghalalkan apa yang Allah haramkan serta mengharamkan apa yang Allah telah halalkan.
    Maka janganlah kita berani-berani masuk ke tempat yang berisiko tinggi seperti menjadi penasihat Syari’ah kepada bank, syarikat kewangan, produk-produk & seumpamanya yang meluluskan produk/plan yang ada syubhah dan khilaf, dikhuatiri termasuk dalam langkah syaitan ini!
    Penasihat Syari’ah & agama bertanggung-jawab di hadapan Allah SWT nanti.
  4. Kita tidak mahu terlalu rigid, ketat mempersempitkan sehingga tidak boleh bergerak, juga tidak mahu terlalu longgar sehingga tercabut skru!
    Kerana itu kita belajariah bersederhana dalam semua perkara; jangan melampau & jangan terlalu cuai!
  5. Ayat ini ditafsirkan dengan beberapa firman Allah yang lain:
    i- {Oleh itu, makanlah (wahai orang-orang yang beriman) dari apa yang telah dikurniakan Allah kepada kamu dari benda-benda yang halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembahNya semata-mata.
    Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu, maka tidaklah ia berdosa), sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
    Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu: “Ini halal dan ini haram”, untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah; sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya.} (Al-Nahl 16: 114-116)

    ii- {Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari Syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka.
    Sesungguhnya Kami telah menjadikan Syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman.
    Dan (orang-orang yang tidak beriman itu) apabila mereka melakukan sesuatu perbuatan yang keji, mereka berkata: “Kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya, dan Allah perintahkan kami mengerjakannya”.
    Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji. Patutkah kamu mengatakan terhadap Allah apa yang kamu tidak mengetahuinya?”} (Al-A’raaf 7: 27-28)

    iii- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?”
    Katakanlah: “Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat”
    . Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.
    Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi; dan perbuatan dosa; dan perbuatan menceroboh dengan tidak ada alasan yang benar; dan (diharamkanNya) kamu mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya); dan (diharamkanNya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya.} (Al-A’raaf 7:33)

    Semua ini tentang larangan daripada menghalalkan apa yang Allah haramkan serta mengharamkan apa yang Allah telah halalkan, kerana amat besar kesan & balanya!

AYAT 170- {DAN APABILA DIKATAKAN KEPADA MEREKA” TURUTLAH AKAN APA YANG TELAH DITURUNKAN OLEH ALLAH” MEREKA MENJAWAB: “(TIDAK), BAHKAN KAMI (HANYA) MENURUT APA YANG KAMI DAPATI DATUK NENEK KAMI MELAKUKANNYA”. PATUTKAH (MEREKA MENURUTNYA) SEKALIPUN DATUK NENEKNYA ITU TIDAK FAHAM SESUATU (APA PUN TENTANG PERKARA-PERKARA AGAMA), DAN TIDAK PULA MENDAPAT PETUNJUK HIDAYAH (DARI ALLAH)?} (AL-BAQARAH 2:170)

  1. Apabila dikatakan kepada orang kafir & ahli maksiat untuk menurut perintah Allah dari segi hukum-hakam Syari’ah & peraturan undang-undangnya (ikut Al-Quran & ikut Sunnah); mereka tidak mahu.
  2. Mereka menolak seruan ini sambil menjawab bahawa mereka ikut ajaran & amalan tok nenek mereka. Inilah taqlid ikutan yang membuta tuli tanpa ilmu & kebenaran.
  3. Allah membantah dakwaan mereka dengan mengatakan apakah mereka tiada akal yang cerdik yang boleh buat pertimbangan untuk memilih antara yang benar & yang salah, antara yang haram & halal, antara yang sahih & yang batil?
    Ikut sahaja walaupun tok nenek mereka tidak faham tentang agama & tiada dalil itu?
  4. Punca akal tidak berfungsi ialah kerana ikut nafsu & emosi bukan ikut wahyu!
    Agama kita agama yang berfakta & ada dalil bukan sekadar ikut-ikut saja.
  5. Kita takut sekali walaupun ayat ini Allah turunkan kepada orang kafir tetapi sama juga kepada kita yang yang apabila diberitahu bahawa sesuatu amalan itu adalah Sunnah Nabi tetapi tetapi memilih untuk ikut apa yang tok nenek atau apa yang mereka dapat dari orang terdahulu!
  6. Ayat ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    i- {Allah tidak sekali-kali mensyariatkan Bahirah, tidak juga Saa’ibah, tidak juga Wasilah dan tidak juga Haam. Akan tetapi orang-orang kafir itu sentiasa mengada-adakan perkara dusta terhadap Allah; dan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal fikirannya.
    Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Marilah menurut kepada apa yang telah diturunkan oleh Allah (Al-Quran), dan kepada RasulNya (yang menyampaikannya)”, mereka menjawab: “Cukuplah bagi kami apa yang kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya”.
    Adakah (mereka akan menurut juga) sekalipun datuk nenek mereka tidak mengetahui apa-apa dan tidak pula mendapat hidayah petunjuk?} (Al-Maaidah 5: 103-104)

    ii- {Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada kami nikmat-nimatNya yang zahir dan yang batin? Dalam pada itu, ada di antara manusia orang yang membantah mengenai (sifat-sifat) Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan atau sebarang petunjuk; dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab Allah yang menerangi kebenaran.
    Dan apabila dikatakan kepada mereka (yang ingkar): “Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah” mereka menjawab:” (Tidak), bahkan Kami hanya menurut apa yang Kami dapati datuk nenek kami melakukannya”. Patutkah mereka (menurut datuk neneknya) sekalipun Syaitan mengajak mereka itu (melakukan perbuatan yang menjerumuskan mereka) ke dalam azab api neraka yang marak menjulang?} (Luqman 31: 20-21)

AYAT 171- {DAN BANDINGAN (ORANG-ORANG YANG MENYERU) ORANG-ORANG KAFIR (YANG TIDAK MAHU BERIMAN ITU), SAMALAH SEPERTI ORANG YANG BERTERIAK MEMANGGIL BINATANG YANG TIDAK DAPAT MEMAHAMI SELAIN DARI MENDENGAR SUARA PANGGILAN SAHAJA; MEREKA ITU IALAH ORANG-ORANG YANG PEKAK, BISU DAN BUTA; OLEH SEBAB ITU MEREKA TIDAK DAPAT MENGGUNAKAN AKALNYA.} (AL-BAQARAH 2:171)

  1. Allah tempelak mereka yang hanya ikut-ikut saja dalam beragama dalam ayat ini. Teguranlhh SWT dalam ayat ini agak keras!
  2. Allah SWT buat bandingan kepada orang kafir yang apabila diajak untuk beriman sebagaimana dimulai oleh Rasulullah yang mengajak kaum Quraisy di Makkah; kemudian disambung oleh para sahabat & semua orang beriman selepasnya.
  3. Allah bandingkan mereka yang dengar kebenaran tetapi tidak mahu ikut; seperti binatang, yang dengar suara gembala mereka tetapi mereka tidak menjawabnya.
    Mereka tidak mendapat manfaat dari seruan Allah SWT- tuli dan pekak dari menerima kebenaran!
    Contoh- orang yang dengar azan tetapi tidak menyahutnya dengan ke masjid seperti lembu kenyang yang buat tak tahu walaupun dihon berkali-kali.
  4. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT ini:
    i- {Dan kami palingkan hati mereka dan pemandangan mereka sebagaimana mereka telah tidak (mahu) beriman kepada (ayat-ayat Kami ketika datang kepada mereka) pada awal mulanya, dan Kami biarkan mereka meraba-raba di dalam kesesatannya dengan bingung.} (Al-An’aam 6:110)

    ii- {Atau adakah engkau menyangka bahawa kebanyakan mereka mendengar atau memahami (apa yang engkau sampaikan kepada mereka)? Mereka hanyalah seperti binatang ternak, bahkan (bawaan) mereka lebih sesat lagi.} (Al-Furqaan 25:44)


    iii- {Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.} (Al-A’raaf 7:179)

    iv- {Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya – dengan melihat kesan-kesan yang tersebut – mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.} (Al-Hajj 22:46)

    v- {Dan di antara mereka (yang ingkar) itu, ada yang datang mendengar ajaranmu (dengan tidak mendapat faedah sedikitpun sebagai orang pekak); maka engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa menjadikan orang-orang yang pekak itu mendengar, juga kalau mereka menjadi orang-orang yang tidak mahu memahami perkara yang didengarnya.
    Dan di antara mereka pula ada yang memandang kepada perkara-perkara yang engkau tunjukkan (tetapi mereka tidak nampak kebenarannya sebagai orang buta); maka engkau (wahai Muhammad) tidak berfaedah menunjuk jalan kepada orang-orang yang buta, juga kalau mereka menjadi orang-orang yang tidak mahu melihat (perkara yang engkau tunjukkan itu).} (Yunus 10: 42-43).
  5. Kesemua ayat ini apabila dikumpulkan sekali akan terkumpullah sifat buruk orang yang dengar tak mahu ikut, orang yang tengok tak ambil iktibar, orang yang tahu benda baik tetapi tak mahu bercakap. Maka ia adalah pakej; buta, tuli & bisu.
    Ayat ini adalah pukulan yang amat berat bagi kita orang yang beriman!
  6. Ya Allah, kami memohon dengan nama-Mu yang indah dan sifat-Mu yang Tinggi; Engkau cerahkan hati kami, celikkan mata kami, buka telinga kami serta mulut kami supaya menerima kebenaran yang kami dapat melalui Al-Quran, Sunnah & huraian ulama’ yang muktabar untuk menerima perkara yang baik & jauhkan kami daripada sifat seperti haiwan yang mendengar tetapi tidak jawab & ikut!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 168- {Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik,}-

    Dari ayat ini menjadai dalil bahawa Allah SWT buka pintu seluasnya untuk kita makan perkara yang baik & halal yang ada di atas dunia ini!
    Nak makan apa saja boleh sama ada haiwan atau tumbuhan; tetapi ingat syaratnya wajib pilih & makan yang halal lagi baik {حَلَـٰلًۭا طَيِّبًۭا}.
    Kerana itu ada yang kata, nak mustajab doa: Baikkan makanan & minuman kamu maka mustajablah doa kamu!
    Rupanya doa kita tidak mustajab kerana ada benda yang tidak baik, tidak tepat & tidak comel!
  2. Ayat 168- {dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.}-

    Ayat ini memberi perintah kepada kita agar jangan sekali-kali menurut ajakan & jejak langkah syaitan dalam apa jua perkara!
    Jika kita ikutnya kita akan binasa.
    Syaitan itu masuk meracun manusia dalam pelbagai cara & jalan!
    Ia pandai & tidak akan masuk melalui jalan no-entry, kerana dia tahu manusia tidak akan ikutnya!
    Dia akan masuk melalui pintu yang disukai & sesuai dengan sifat dan amalan seseorang manusia itu.
    Ahli maksiat dengan caranya, ahli ibadat dengan caranya!

    Hadis qudsi riwayat dari Iyadh bin Himar r.a bahawa Rasulullah SAW bersabada bahawa: Allah SWT berfirman:
    إِنِّيْ خَلَقْتُ عِبَادِي حُنَفَاءَ وَإِنَّهُمْ أَتَتْهُمُ الشَّيَاطِيْنُ فَاجْتَالَتهُمْ عَنْ دِيْنِهِمْ وَحَرَّمَتْ عَلَيْهِمْ مَا أَحْلَلْتُ لَهُمْ وَأَمَرَتهُمْ أَنْ يُشْرِكُواْ بِيْ مَا لَمْ أَنَزِّلْ بِهِ سُلطَاناً
    Maksudnya: “Aku telah menciptakan hamba-hamba-Ku itu dalam keadaan bersikap lembut dan sesungguhnya mereka telah didatangi syaitan-syaitan, lalu menyesatkan mereka dari agama mereka dan mengharamkan ke atas mereka apa yang Aku halalkan bagi mereka serta menyuruh mereka supaya menyekutukan Aku dengan sesuatu yang Aku tidak turunkan sebarang keterangan padanya.” [HR Muslim].
    Inilah yang kita takut, yang haram jadi halal, yang sesat jadi baik, yang salah dianggap benar!

    Contoh: Pakaian yang patuh Syari’ah disekat tidak lulus SOP untuk dipakai ke pejabat atau majlis-majlis tertentu sedangkan pakaian yang mendedahkan aurat diterima & menjadi kebiasaan.
    Orang yang berdakwah nak ajak orang kembali kepada Al-Quran & Sunnah disekat manakala yang menyeru kepada amalan-amalan yang ikut mimpi, tafsir ayat Al-Quran ikut batin, nur Muhammad dan sebagainya; dibenarkan bahkan dianggap sebagai itulah ahli-Sunnah.
    Ini semua mainan syaitan, syaitan dia tidak akan masuk jalan no-entry, dia akan cari lorong yang dibenarkan dan ikut watak/kecenderungan seseorang. Maka mudah berjayalah kerjanya jika kita lalai.
  3. Ayat 168- {kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.}-

    Allah nyatakan dengan tegas dan tekankan bahawa {kerana sesungguhnya- إِنَّهُۥ } Allah gunakan huruf taukid (penekanan).
    Untuk menunjukkan kekuatan larangan itu (jangan ikut syaitan) maka Allah nyatakan sebabnya. iaitu kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.
    Inilah bahayanya atas dunia ini apabila kita tidak kenal musuh, sepatutnya mereka jadi musuh kita dalam agama ini, tetapi kita menjadikan mereka kawan & penasihat bahkan ketua pula!
    Manakala orang Islam yang sepatutnya menjadi saudara kita- kita jadikan musuh pula!
  4. Ayat 169- {Ia hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-perkara yang keji,}-

    Syaitan mengajar kamu untuk melakukan perkara buruk & menjauhi perkara yang baik.
    Kerana itu kita kena jauhkan diri & minta perlindungan dengan Allah dari syaitan & kejahatannya!

    Sebagaimana firman Allah SWT ini:
    {Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa Meliputi PengetahuanNya.} (Al-Baqarah 2:268)

    Dari ayat ini antara kejahatan syaitan itu ialah:
    i- Menjanjikan atau menakut-nakutkan kamu dengan kemiskinan dan kepapaan jika kamu bersedekah atau menderma,

    ii- Dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji seperti bersifat bakhil kedekut dan malas melakukan kebaikan;

    iii- Juga supaya kamu mengeluarkan hukum yang tidak ada dalam perintah Allah dengan menggunakan helah-helah yang mana yang haramnya akhirnya dijadikan halal atau harus.
    Hati-hatilah dengan perangkap syaitan (talbis iblis) yang mengajak kamu ke arah keburukan.
  5. Ayat 170- {Dan apabila dikatakan kepada mereka” Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah” mereka menjawab: “(Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya”.}-

    Apabila disuruh untuk ikut Al-Quran & Sunnah Nabi SAW, mereka kata mereka hanya nak ikut apa yang telah dibuat oleh datuk nenek mereka dulu.
    Dalam ayat ini Allah ceritakan betapa bahayanya taqlid buta iaitu ikut tanpa dalil & ilmu.
    Sepakat ulama’ umat Islam mengatakan batilnya taqlid dalam bab aqidah (ikut tanpa ilmu- buta tuli) seperti kata saya tahu ada Allah kerana ikut apa yang ayah saya kata, dan seumpamanya.
    Maka Allah fardhukan ke atas semua mukallaf yang baligh & yang aqil. Kena belajar & tahu dalil dan kena putuskan dalam bab tauhid bukan hanya ikut-ikut dan bermudah-mudah tanpa pendirian. Kena tahu dalil daripada Al-Quran & as-Sunnah.
    Ayat ini juga larangan dari taksub kepada mazhab-mazhab yang kita ada tanpa berpaksi kepada dalil dari ayat Al-Quran & hadis Nabi SAW.
    Sesetengah orang ini ayat Al-Quran ada, hadis ada, pandangan ulama’ salaf pun ada; tetapi tetap tak mahu ikut juga kerana bercanggah dengan mazhab!
    Allahul-Musta’an!
    Allah nyatakan bahawa mana-mana orang yang menyalahi kebenaran yang diturunkan oleh Allah SWT, meyalahi apa yang diajar oleh Rasulullah SAW; maka orang itu dikira tidak berakal dalam bab agama!
    Walaupun dia bijak, hebat dalam bab lain!
  6. Ayat 171- {Dan bandingan (orang-orang yang menyeru) orang-orang kafir (yang tidak mahu beriman itu), samalah seperti orang yang berteriak memanggil binatang yang tidak dapat memahami selain dari mendengar suara panggilan sahaja;}-

    Allah SWT buat bandingan orang kafir yang dengar dakwah tidak mahu ikut seperti dengan haiwan yang dengar panggilan gembalanya tetapi tidak tahu apa.
    Allah SWT keras dalam membuat perbandingan dalam ayat ini kerana hati manusia lebih keras- ini kerana apabila batu itu keras untuk memecahakn pastilah memerlukan tukul besi yang lebih keras.
    Begitulah ayat-ayat bandingan dalam Al-Quran adakalanya keras, adakalanya lembut, mengikut keperluan & kesesuaian keadaan manusia itu.
    Begitu juga cara & uslub untuk berdakwah mesti ikut keadaan yang sesuai & lihat kepada keadaan orang yang hendak didakwah itu!
    Gunalah ayat dan gaya bahasa yang sesuai. Nak bercakap dengan manusia ikut kadar yang diperlukan.

    Kata Imam Al-Ghazali RHM. : Marah pada bukan tempatnya adalah bodoh manakala tidak marah pada tempatnya itu adalah orang yang dayus atau penakut!

Semoga kita keluar & tidak termasuk dalam kelompok ini.
Marilah kita kembali ke jalan yang diredhai Allah SWT!
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.

Powered by BetterDocs