SURAH AL-ANBIYA\’ : AYAT 106-112

\"\"

Al-Quran Sebagai Bekalan Ke Jalan Kebahagian, Rasulullah SAW Sebagai Pembawa Rahmat Kepada Alam & Allah Mengetahui Segala Perkara.

Full video: https://youtu.be/s3lENU4msaE

MUQADDIMAH :
1. Kuliah hari ini membincangkan tentang Al-Quran sebagai bekalan ke jalan kebahagiaan, Rasulullah S.A.W sebagai pembawa rahmat kepada alam & Allah mengetahui segala perkara.
2. Sebelum ini kita telah mendengar kisah ringkas 14 orang rasul-rasul, yang menjadi dalil bahawa tugas utama dakwah mereka ialah membawa tauhid kepada Allah s.w.t serta menghapuskn syirik kepada-Nya di atas dunia ini.
3. Walaupun jarak masa, zaman dan tempat yang bebeza, landasan mereka semua adalah satu saja iaitu Tauhid kepada Allah s.w.t.
4. Ayat terakhir kita dalam surah ini sebagai penutup kepada perbincangan-peibincangan yang telah lepas.
5. Allah s.w.t nyatakan sekali lagi tugas dan isi utama al-Quran yang sempurna dan mencukupi sebagai petunjuk kehidupan dunia dan kebahagian akhirat bagi orang-orang yang bertaqwa.

AYAT 106- {SESUNGGUHNYA AL-QURAN INI MENGANDUNGI KETERANGAN-KETERANGAN YANG CUKUP BAGI ORANG-ORANG YANG (CITA-CITANYA) MENGERJAKAN IBADAT (KEPADA ALLAH DENGAN BERILMU).} (AL-ANBIYAA\’ 21:106)
1. Bagi orang-orang yang bercita-cita untuk beribadat dengan ilmu dan akal fikiran, ayat ini menyatakan cukuplah dengan al-Quran untuk mencapai semuanya.
2. Kata ulama\’: Sesiapa yang mengikut petunjuk al-Quran dan beramal dengannya, al-Quran akan menjadi penjamin, pembimbing dan petunjuk kepadanya untuk sampai ke syurga, mencapai kebahagiaan darul -Akhirat dan keredhaan Allah s.w.t.
3. Manakala sesiapa yang tidak mengikut panduan al-Quran pula dia tidak akan menjumpai kejayaan dan keselamatan dunia dan akhirat.
4. Firman Allah s.w.t: { Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;}. [Al-Baqarah: 2].

AYAT 107- {DAN TIADALAH KAMI MENGUTUSKAN ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD), MELAINKAN UNTUK MENJADI RAHMAT BAGI SEKALIAN ALAM.} (AL-ANBIYAA\’ 21:107)
1. Rasulullah s.a.w diutuskan kepada seluruh alam risalah dakwahnya.
2. Yakni Nabi Muhammad, diutus kepada penduduk dunia seluruhnya sebagai satu rahmat dan nikmat yang besar, sesiapa yang menurut ajarannya, maka selamatlah dunia akhirat, jika tidak sebaliknya juga.
3. Rahmat itu mempunyai dua maksud:
i- Rasulullah s.a.w itu sendiri bersifat rahmat, sangat gemar, sangat ingin, sangat suka jika manusia seluruhnya beriman dengan apa yang dia bawa. Sangat penyayang dan lembut dengan orang mukmin.
ii- Rahmat yang paling besar yang dibawa oleh Baginda ialah Tauhid kepada Allah s.w.t dan menghapuskan syirik. Kenapa rahmat kepada manusia? Kerana dengan beriman dan menjauhkan syirik, manusia akan selamat dari kemurkaan dan azab Allah s.w.t.
Zalim akidah yang terbesar ialah syirik kepada Allah s.w.t.
iii- Rahmat kepada orang kafir pula:-
Ummat terdahulu apabila mereka kufur dan ingkar kepada nabi mereka, mereka akan diturunkan bala dan musnah keseleluruhannya, satu bandar satu kampung, seluruh kaumnya akan binasa di hadapan nabi mereka.
Tetapi ummat Nabi Muhammad s.a.w, walaupun mereka kufur, menzalimi kaum muslimin, berbuat munkar, namum Allah s.w.t tangguhkan dulu hukuman dan bala ke atas mereka.
Kecuali apabila Abu Jahal bertemu dengan Rasulullah s.a.w dalam peperangan Badar, selepas 10 tahun menetang Islam dan menyakiti Rasulullah dan orang Islam barulah ramai penjahat Quraisy yang terbunuh.
Ini semua terbukti pada Hari Pembukaan Makkah pada Tahun ke8 H, berduyun-duyun Quraisy Makkah masuk Islam. Yakni anak cucu keturunan mereka itu sekarang telah menjadi muslim kebanyakannya, alhmdulillah.
4. Keindahan Syariat Islam yang ringan dan mudah kepada manusia serta tidak bertentangan dengan tabiat semula jadi manusia.
Firman Allah s.w.t: {(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.} [Al-Baqarah: 185].

AYAT 108- {KATAKANLAH: \”SESUNGGUHNYA YANG DIWAHYUKAN KEPADAKU (MENGENAI KETUHANAN IALAH) BAHAWA TUHAN KAMU HANYALAH TUHAN YANG BERSIFAT ESA, MAKA ADAKAH KAMU MAHU MENURUT APA YANG DIWAHYUKAN KEPADAKU?\”} (AL-ANBIYAA\’ 21:108)
1. Allah s.w.t menyuruh Rasulullah s.a.w menerangkan kepada manusia bahawa asas utama agama ini ialah Tauhid. Maka patuhilah perintah Allah s.w.t dan jauhi syirik.
2. Maka masih adakah lagi manusia yang degil keras kepala, tidak mahu akur dan terima? Mahu terus ingkar dan lawan?

AYAT 109- {SEKIRANYA MEREKA BERPALING INGKAR MAKA KATAKANLAH: \”AKU TELAH MEMBERITAHU KEPADA KAMU (APA YANG DIWAHYUKAN KEPADAKU) DENGAN KETERANGAN YANG JELAS UNTUK KITA BERSAMA; DAN AKU TIDAK MENGETAHUI SAMA ADA (BALASAN BURUK) YANG DIJANJIKAN KERANA KEINGKARAN KAMU ITU, SUDAH DEKAT ATAU MASIH JAUH.} (AL-ANBIYAA\’ 21:109)
1. Jika ada yang terus ingkar dan lawan, maka Rasulullah s.a.w disuruh memberitahu mereka secara terbuka: Aku hanyalah penyampai apa yang diperintahkan oleh Allah s.w.t melalui wahyu yang jelas untuk semua, iaitu al-Quran.
2. Rasulullah s.a.w juga disuruh memberitahu bahawa dia tidak tahu bilakah azab yang Allah s.w.t akan timpakan ke atas mereka, kemusnahan akibat kekufuran mereka.
3. Dalam masalah jangkaan tarikh Kiamat, kita berpeganglah dengan hadis yang sahih, Rasulullah dengan jelas mengatakan dia dan malaikat Jibril pun tidak tahu bilakah ia akan berlaku. Tak perlu kita percaya dan kaji teori-teori serta ramalan yang dibuat oleh sesama manusia yang tidak mendapat wahyupun.
4. Kata ulama\’: Maka kita jangan sibuk mencari tarikh Kiamat, tetapi sibukkan diri kita membuat persiapan untuk bertemu dengan Hari Kiamat dan menghadapi kematian.

AYAT 110- {SESUNGGUHNYA ALLAH MENGETAHUI AKAN PERKATAAN YANG KAMU SEBUTKAN DENGAN TERUS TERANG, DAN JUGA IA MENGETAHUI APA YANG KAMU SEMBUNYIKAN (DI DALAM HATI).} (AL-ANBIYAA\’ 21:110)
1. Allah s.w.t jua yang mengetahui segalanya, apa yang kamu zahirkan dan apa yang terlintas dalam hati kamu, kafir atau muslim. Yakni yang zahir dan yang batin, yang tersembunyi yang nyata.
2. Maka jika beriman dengan ini, kita tidak akan buat maksiat dan khianat kepada orang, kerana kita yakin segalanya di dalam pengetahuan Allah s.w.t, akan dicatat, dihisab dan dibalas di akhirat kelak.

AYAT 111- {\”DAN AKU TIDAK MENGETAHUI (MENGAPA DILAMBATKAN BALASAN BURUK YANG DIJANJIKAN KEPADA KAMU ITU) JANGAN-JANGAN LAMBATNYA MENJADI SATU SEBAB YANG MENAMBAHKAN AZAB KAMU, DAN DI SAMPING ITU MEMBERI KAMU KESENANGAN HIDUP HINGGA KE SUATU MASA YANG TERTENTU\”.} (AL-ANBIYAA\’ 21:111)
1. Allah juga mengatakan Rasulullah sendiri pun tidak tahu; kenapa Allah s.w.t lewatkan azab kepada mereka ini?
2. Boleh jadi itu sebagai satu istidraj – sebab untuk menambahkan azab dan siksa. Yakni diberi kehidupan yang baik, bukan kerana Allah redha, tetapi satu ujian dan sebab untuk dihukum. Dibiarkan dulu untuk bertambah kejahatan dan dosa mereka.
3. Bergembira dan bermewahlah supaya kamu bertambah kufur dan ingkar, kerana dunia ini adalah ibarat syurga kepada orang kafir dan neraka bagi orang mukmin.

AYAT 112- {(NABI MUHAMMAD MERAYU DENGAN) BERKATA: \”WAHAI TUHANKU, HUKUMKANLAH (DI ANTARA KAMI DENGAN MEREKA) DENGAN YANG BENAR; DAN TUHAN KAMI IALAH YANG MELIMPAH-LIMPAH RAHMAT-NYA YANG DIPOHONKAN PERTOLONGAN-NYA TERHADAP APA YANG KAMU SIFATKAN ITU\”.} (AL-ANBIYAA\’ 21:112)
1. Akhirnya Rasulullah s.a.w berdoa agar Islam diberi kemenangan dan orang kafir itu diberi kesedaran dan beriman.
2, Doa Rasulullah s.a.w ini diperkenankan pada akhir-akhir dakwahnya, dimana pada Tahun ke8 H, Pembukaan Kota Makkah, penduduk Makkah dan Taif yang sebelum ini begitu kuat menolak dan menentang dakwah Baginda s.a.w, akhirnya menerima Islam, alhamdulillah.
3. Allah s.w.t itu sangat banyak limpah kurnianya.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS:
1- Tamatlah kita surah al-Anbiya’ dengan ayat terakhir 112 hari ini ini.
2. Allah s.w.t tutup dengan mengatakan Dia jua yang mengetahui segalanya, yang zahir dan yang batin, yang tersembunyi yang nyata.
3. Disebalik setiap perintah, larangan dan hukuman dalam Islam itu mengandungi hikmah dan pengajaran, samada kita nampak atau tidak. Boleh baca buku Keindahan Islam susunan Dr Abu Anas Madani:
http://www.dartaibah.com/…

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs