Surah Al-Baqarah : Ayat 285-286

BERIMAN DENGAN USUL IMAN & LIMA FADHILAT DUA AYAT TERAKHIR SURAH AL-BAQARAH.

Full video : https://youtu.be/dvVvqF9QtQg?si=6l9FX-uY7S5fdx7S

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam ayat 285 sehingga ayat 286 bagi surah Al-Baqarah. Surah yang kedua dalam juzu’ yang ketiga. Ini adalah dua ayat terakhir bagi surah Al-Baqarah dan kita sudah berada dalam siri penutup surah Al-Baqarah ini, alhamdulillah.
  2. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan bahawa Rasulullah SAW telah beriman dengan semua perkara yang diturunk oleh Tuhannya untuk beriman dengan usul iman.
  3. Manakala semua orang beriman pula akan ikut Nabi SAW. Begitulah sikap mukmin apabila dengar akan akur dan taat kepada Allah & Rasul-Nya.
  4. Allah juga nyatakan bahawa Syariat Islam adalah mudah & mampu diamalkan oleh seluruh manusia.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 285- {RASULULLAH TELAH BERIMAN KEPADA APA YANG DITURUNKAN KEPADANYA DARI TUHANNYA, DAN JUGA ORANG-ORANG YANG BERIMAN; SEMUANYA BERIMAN KEPADA ALLAH, DAN MALAIKAT-MALAIKATNYA, DAN KITAB-KITABNYA, DAN RASUL-RASULNYA. (MEREKA BERKATA): “KAMI TIDAK MEMBEZAKAN ANTARA SEORANG DENGAN YANG LAIN RASUL-RASULNYA”. MEREKA BERKATA LAGI: KAMI DENGAR DAN KAMI TAAT (KAMI POHONKAN) KEAMPUNANMU WAHAI TUHAN KAMI, DAN KEPADAMU JUALAH TEMPAT KEMBALI”.} (AL-BAQARAH 2:285)

AYAT 286- {ALLAH TIDAK MEMBERATI SESEORANG MELAINKAN APA YANG TERDAYA OLEHNYA. IA MENDAPAT PAHALA KEBAIKAN YANG DIUSAHAKANNYA, DAN IA JUGA MENANGGUNG DOSA KEJAHATAN YANG DIUSAHAKANNYA. (MEREKA BERDOA DENGAN BERKATA): “WAHAI TUHAN KAMI! JANGANLAH ENGKAU MENGIRAKAN KAMI SALAH JIKA KAMI LUPA ATAU KAMI TERSALAH. WAHAI TUHAN KAMI ! JANGANLAH ENGKAU BEBANKAN KEPADA KAMI BEBANAN YANG BERAT SEBAGAIMANA YANG TELAH ENGKAU BEBANKAN KEPADA ORANG-ORANG YANG TERDAHULU DARIPADA KAMI. WAHAI TUHAN KAMI! JANGANLAH ENGKAU PIKULKAN KEPADA KAMI APA YANG KAMI TIDAK TERDAYA MEMIKULNYA. DAN MAAFKANLAH KESALAHAN KAMI, SERTA AMPUNKANLAH DOSA KAMI, DAN BERILAH RAHMAT KEPADA KAMI. ENGKAULAH PENOLONG KAMI; OLEH ITU, TOLONGLAH KAMI UNTUK MENCAPAI KEMENANGAN TERHADAP KAUM-KAUM YANG KAFIR”.} (AL-BAQARAH 2:286)

MUNASABAH AYAT:

  1. Dalam ayat lepas:
    i- Allah nyatakan apa yang kamu sebut zahirkan atau sembunyikan dalam hati kamu; Allah SWT ambil kira & tahu semuanya, tidak ada yang tersembunyi dari ilmu pengetahuan Allah SWT.

    ii- Dalam ayat ini pula Allah SWT puji Rasulullah SAW dan semua umatnya yang betul-betul beriman kepada Allah, rasul, kitab, malaikat dan semua rukun Iman. Maka kamulah orang yang baik & terpuji.
  2. Dalam ayat yang lepas juga:
    i- Menunjukkan sempurnanya kekuasaan Allah SWT dalam mencipta, menyusun atur dan mentadbir alam ini.

    ii- Maka kita kena zahirkan pengabdian & perhambaan kita kepada Tuhan Pencipta alam ini & yang mentadbirnya dengan penuh hikmah dan adil saksama; lalu apabila kita dengar kita pun terus taat & akur patuh. Maka wajib kita tunduk kepada ketuhanan Uluhiyyah & Rububiyyah Allah SWT.

BEBERAPA KELEBIHAN TENTANG 2 AYAT AKHIR SURAH AL-BAQARAH INI:

  1. Sebagai ayat pelindung : Dari Uqbah bin Amru RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa membaca dua ayat di akhir surah Al-Baqarah pada malam hari nescaya Allah Taala akan menjaganya dari segala gangguan musuh dan syaitan.” [HR Bukhari]
    Kerana itu jangan malas & lupa dari membaca zikir pagi & petang yang mengandungi dua ayat ini.
    Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang membaca dua ayat terakhir dari surah al-Baqarah pada waktu malam telah cukup baginya dengan keduanya.” [HR HR Bukhari 5008].

    Ulama’ kata : Makna mencukupi keduanya (كفتاه) bagi sesiapa yang membacanya ialah mencukupi kepadanya daripada melakukan ibadah pada malam hari, atau daripada melakukan bacaan Al-Quran.
  2. Pada malam Isra’ Rasulullah SAW naik ke langgit sehingga ke Sidratul Muntaha dan menerima beberapa ayat Al-Quran antaranya:
    i- Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Aku telah diberi beberapa ayat akhir surah al-Baqarah, belum pernah diberikan kepada seorang Nabi pun sebelumku.” [HR Ahmad]

    ii- Abdullah bin Mas’ud menceritakan: “(Dalam peristiwa Israk dan Mikraj) Rasulullah dibawa hingga sampai di Sidrah al-Muntaha yang berada di langit ketujuh. Di situlah sebarang perkara yang dibawa naik dari bumi ditahan. Begitu juga sebarang perkara yang dibawa turun dari atasnya… dan Rasulullah diberikan tiga perkara; solat lima waktu, ayat-ayat penutup surah al-Baqarah dan keampunan bagi umatnya yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu pun.” [HR Muslim]

    iii- Dua ayat terakhir surat Al Baqarah ini dikisahkan turun ke bumi dengan cara yang istimewa. Disaksikan oleh Rasulullah SAW dan Jibril, turunnya dua ayat tersebut melalui pintu langit yang bercahaya sebagaimana diriwayatkan dari Ibnu Abbas RA: “Ketika malaikat Jibril sedang berada bersama Rasulullah SAW. tiba-tiba ia mendengar dari atas langit suara bergempa seperti suara pintu ketika dibuka, lalu ia melihat ke atas dan ia berkata: Itu adalah pintu dari langit yang pada hari ini dibuka, pintu itu sebelumnya tidak pernah dibuka kecuali pada hari ini saja.’ Lalu ada seorang malaikat turun ke bumi melalui pintu tersebut, lalu Jibril berkata: ‘Itu adalah seorang malaikat yang turun ke bumi, ia tidak pernah turun kecuali hari ini.’ Lalu malaikat tersebut mengucapkan salam, lalu berkata kepada Rasulullah SAW: Bergembiralah kamu kerana kamu dikaruniai dua cahaya yang tidak pernah diberikan kepada seorang Nabi pun sebelum kamu, dua cahaya tersebut adalah surat Al-Fatihah dan penutup (dua ayat terakhir) surat Al-Baqarah, kamu tidak membaca satu huruf pun dari keduanya tersebut kecuali huruf itu akan dikurniakan kepadamu.” (HR Muslim 806).
  3. Betapa besarnya kelebihan dua ayat ini, maka berikanlah haknya. Kita baca, hafaz, hadam & fahami betul-betul maknanya. Kita amalkannya kerana banyak hadis telah menunjukkan kelebihan besar ayat ini. Pagi petang, siang & malam kita bacanya.
    Jika di negeri Arab Saudi : Ayat ini dikenali sebagai ayatul-mihrab kerana imam-imam suka membacanya ketika solat!

KELEBIHAN & SABAB NUZUL TURUNNYA AYAT INI:

  1. Abu Hurairah RA berkata, bahawa ketika turunnya ayat 284 surah Al-Baqarah yang bermaksud:
    {Dan jika kamu melahirkan apa yang ada dalam hati kamu atau kamu menyembunyikannya, nescaya Allah akan membuat perhitungan dengan kamu tentang perbuatan kamu itu};
    Para sahabat merasa tertekan dan susah hati, terlalu takut. (Kerana lintasan hatipun akan dihisab). Mereka kemudian menghadap Rasulullah dan mengadu: “Kami tidak mampu mengikut ayat ini (yakni tidak mampu nak kawal lintasan yang hadir dalam hati).” Nabi bersabda: “Apakah kamu akan berkata: ‘Kami mendengar akan tetapi kami ingkar’, seperti yang diucapkan oleh dua golongan ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) yang sebelum kamu?” Ucapkanlah: “Kami mendengar dan kami taat, serta ampunilah kami wahai Tuhan kami kerana kepada Engkaulah tempat kembali.”

    Setelah diajarkan doa ini dan para sahabat sudah terbiasa membacanya, maka turunlah ayat 285 ini:
    {Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya”. Mereka berkata lagi: “Kami dengar dan kami ta’at. (Kami pohonkan) keampunanMu wahai Tuhan kami, dan kepadaMu jualah tempat kembali”.} [Al Baqarah – Ayat 285]

    Kemudian setelah mereka laksanakan perintah ayat 285 tersebut pula, maka turunlah pula ayat 286 ini:
    {Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang di usahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.
    (Mereka berdo’a dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami terlupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan ma’afkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”. [Al Baqarah – Ayat 286]. [HR Muslim No.125].

    Allah menjawab & menerima semua doa hamba-Nya ini. Allah telah bersetuju dengan semua permohonan kita iaitu:
    i- Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.

    ii- Setiap orang mendapat pahala kebaikan yang di usahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.

    iii- Allah tidak akan mengira salah jika hamba-Nya terlupa atau tersalah.

    iv- Allah tidak akan bebankan kepada kita bebanan yang berat sebagaimana yang telah dibebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada mereka.

    v- Allah tidak akan pikulkan kepada kita apa yang kita tidak terdaya memikulnya.

    vi- Kemudian kita pinta lagi doa agar Allah maafkanlah kesalahan kita, serta ampunkanlah dosa dan berilah rahmat kepada kita. Maaf & ampun apabila bersama dalam satu ayat berbeza besar maknanya.
    Maaf : Semua benda kita minta maaf kepada Allah; yang kita tahu & yang kita tidak tahu daripada dosa & kesalahan kita.
    Minta ampun akan dosa yang kita tahu & telah bertaubat darinya. Kemudian kita minta rahmat Allah yang dengan limpahan rahmat Allah-lah kita masuk syurga Allah!

    vii- Hanya Allah-lah Penolong kita; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir. Allah jawab & terima segala doa permohonan & permintaan hamba-Nya yang soleh ini!
    Apabila kita baca ayat ini biar kita rasa sebak, kita menangis seolah kita berdoa berdiri di hadapan Allah SWT!
    Walaupun Allah SWT telah setuju dengan doa & permintaan kita dan tidak memberatkan Syari’ah ini; tetapi kita masih cuai, lagha & leka, apa yang Allah suruh kit atak buat, apa yang Allah larang kita tak tinggal.
    Apa yang Rasulullah SAW ajar kita tak amal, apa orang lain ajar kita pulun amalkan! Tetap degil keras kepala kerana kita memahaminya!
  2. Daripada An-Nu’man bin Basyir RA, Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah telah menulis kitab (Lauh Mahfuz) dua ribu tahun sebelum Dia menciptakan langit dan bumi. Dia menurunkan dua ayat terakhir dari kitab tersebut menjadi akhir surah Al-Baqarah dan tidaklah seseorang membacanya di dalam rumah selama tiga malam kecuali syaitan tidak akan memasukinya.” [HR at-Tirmizi & Ahmad dengan sanad yang baik].
  3. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: لَا تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ مَقَابِرَ، إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْفِرُ مِنَ الْبَيْتِ الَّذِي تُقْرَأُ فِيهِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ
    Maksudnya: “Janganlah menjadikan rumah kamu seperti perkuburan, sesungguhnya syaitan lari daripada rumah yang dibaca padanya surah al-Baqarah”. [Riwayat Muslim (780)]
  4. Sebagaimana sebuah kisah dalam hadis ini:
    عَنْ الْبَرَاءِ بْنِ عَازِبٍ قَالَ: ( كَانَ رَجُلٌ يَقْرَأُ سُورَةَ الْكَهْفِ وَإِلَى جَانِبِهِ حِصَانٌ مَرْبُوطٌ بِشَطَنَيْنِ فَتَغَشَّتْهُ سَحَابَةٌ فَجَعَلَتْ تَدْنُو وَتَدْنُو وَجَعَلَ فَرَسُهُ يَنْفِرُ فَلَمَّا أَصْبَحَ أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَذَكَرَ ذَلِكَ لَهُ فَقَالَ تِلْكَ السَّكِينَةُ تَنَزَّلَتْ بِالْقُرْآنِ ) رواه البخاري وأحمد.
    Daripada al-Bara’ bin ‘Azib RA katanya, “Ada seorang lelaki membaca surah al-Kahfi dan di sisinya seekor kuda yang diikat dengan dua utas tali, kemudian dia nampak awan menaunginya, dan awan itu juga menaungi kudanya, tetapi kudanya lari daripada lindungan awan itu. Keesokannya lelaki itu pergi berjumpa dengan Nabi SAW lalu menceritakan apa yang telah berlaku kepadanya”. Baginda pun bersabda, “Perkara yang berlaku kepada engkau itu adalah al-Sakinah (ketenangan dan rahmat yang disertai dengan para malaikat) yang turun untuk mendengar bacaan ayat-ayat Al-Quran.” [HR Bukhari & Ahmad].

PENUTUP & FAEDAH :

Alhamdulillah kita berhenti dulu perbincangan tentang kelebihan dua ayat terakhir surah Al-Baqarah ini dan sambung terjemahan & tafsiran ayatnya besok insya’ Allah. Tak cukup dua hari kita ambil tiga hari, biar jelira (terasa sungguh) kita hayati betapa besar & istimewanya ayat ini!

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.

Powered by BetterDocs