View Categories

(9) Surah Al-A’raf : Ayat 28-30

AGAMA KAFIR IKUT TOK NENEK, AGAMA NABI SAW IKUT WAHYU & SYAITAN KERJA MENYESATKAN.

Full video : https://youtu.be/8OwyYjFqxfs?si=CYhhQmg-n9KJKgk2

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf ini dengan ayat 28 sehingga 30 dalam juzu’ kelapan.
  1. Dalam siri ini Allah SWT tegaskan bahawa agama puak kafir ikut tok nenek, mereka tiada sumber yang sahih, bukan dari wahyu seperti agama Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW.
  1. Mereka juga mendakwa bahawa agama mereka itu direstui Allah & disandarkan kepada Allah bahawa Allah yang suruh! 
    Allah murka dan ini adalah satu pembohongan atas nama Allah kerana Allah tidak ajar buat perbuatan yang keji (fahisyah).
  1. Sekali lagi Allah peringatkan kita bahawa syaitan kerjanya nak menyesatkan anak Adam, maka jika nak selamat kita jagalah diri & jauhi daripada godaan syaitan!
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan agar anak Adam jangan terpedaya dan terperangkap dengan godaan fitnah syaitan. 

    ii- Ayat ini menyatakan antara mainan syaitan ialah apabila manusia buat sesuatu yang keji, dikatakan ia adalah dari perbuatan nenek moyang mereka dan pastilah ia adalah perintah Allah! 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 28- {DAN (ORANG-ORANG YANG TIDAK BERIMAN ITU) APABILA MEREKA MELAKUKAN SESUATU PERBUATAN YANG KEJI, MEREKA BERKATA: “KAMI DAPATI DATUK NENEK KAMI MENGERJAKANNYA, DAN ALLAH PERINTAHKAN KAMI MENGERJAKANNYA”. KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): “SESUNGGUHNYA ALLAH TIDAK SEKALI-KALI MENYURUH MENGERJAKAN PERBUATAN YANG KEJI. PATUTKAH KAMU MENGATAKAN TERHADAP ALLAH APA YANG KAMU TIDAK MENGETAHUINYA?”} (AL-A’RAF 7:28)

  1. Puak kafir itu apabila mereka melakukan perbuatan keji {فَـٰحِشَةًۭ} mereka mendakwanya itu adalah perbuatan tok nenek mereka, dan ia yang berasal dari perintah Allah juga!
    Antaranya ialah seperti melakukan tawaf dalam keadaan telanjang! 
  1. Kata ibnu Asyur RHM : 
    i- Jika dikatakan benda mungkar ia merangkumi semua perbuatan jahat yang langgar perintah Allah.

    ii- Tetapi fahisyah {فَـٰحِشَةًۭ} ialah satu perbuatan yang sangat keji bagi orang yang mempunyai fitrah yang baik serta mengandungi kemudharatan yang besar seperti zina, pelacuran, tanam anak hidup-hidup, mencuri dan sebagainya!
  1. Kemudian mereka ini sudahlah melakukan perbuatan keji mereka menyandarkannya kepada Allah pula! 
    Sangat buruk & jahat dakwaan mereka terhadap Allah ini!
  1. Kata ulama’ : Puak yang ikut syaitan ini apabila mereka ini melakukan perbuatan keji, contohnya tawaf telanjang , mereka bawa dua hujjah.:
    i- Ini adalah perbuatan tok nenek kita dulu, masyarakat dulu di Makkah, kenapa kejinya??? 
    Inilah permainan syaitan sehingga ke hari ini, masyarakat dulu telah buat apa peliknya? 
    Apa salahnya atas nama budaya atas nama toleransi dan seumpamanya kita hadir perayaan mereka???!

    ii- Ini semua adalah arahan Allah! Betapa buruknya dakwaan ini!
  1. Maka Allah perintahkan Nabi SAW untuk membalas balik hujjah mereka ini dengan menbantah bahawa Allah SWT tidak akan menyuruh hamba-Nya buat perbuatan keji yang tidak layak dengan sifat-Nya yang sempurna & hikmah-Nya yang mulia! 
  1. Allah suruh kita buat benda baik & larang perbuatan mungkar, tiba-tiba mereka kata Allah suruh buat perbuatan keji itu! 
    Kamu tidak tahupun arahan Allah, sesungguhnya puak kafir ini telah melampaui dalam kejahatan mereka! 

AYAT 29- {KATAKANLAH: “TUHANKU MENYURUH BERLAKU ADIL (PADA SEGALA PERKARA), DAN (MENYURUH SUPAYA KAMU) HADAPKAN MUKA (DAN HATI) KAMU (KEPADA ALLAH) DENGAN BETUL PADA TIAP-TIAP KALI MENGERJAKAN SEMBAHYANG, DAN BERIBADATLAH DENGAN MENGIKHLASKAN AMAL AGAMA KAMU KEPADANYA SEMATA-MATA; (KERANA) SEBAGAIMANA IA TELAH MENJADIKAN KAMU PADA MULANYA, (DEMIKIAN PULA) KAMU AKAN KEMBALI (KEPADANYA).} (AL-A’RAF 7:29)

  1. Allah perintahkan Rasulullah SAW berhujjah lagi bahawa Allah tidak suruh buat perkara buruk & keji itu tetapi Allah menyuruh berlaku adil pada segala perkara, tidak berlaku syirik kepada Allah, dalam mu’amalah sesama manusia seperti dalam jual-beli, sukatan & timbangan!
  1. Kemudian Allah perintahkan kamu untuk hadapkan hati & muka kamu kepada Allah semata-mata apabila mahu solat & beribadat, di mana saja kamu berada! 
    Kemudian ikhlaskan segala amal ibadat & perbuatan kamu kepada Allah SWT. berdasarkan apa yang disyari’atkan Allah.
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan hadis Nabi SAW ini:
    i- Dari Ali bin Abi Talib RA, dia berkata:  “Apaila Rasulullah SAW berdiri hendak mengerjakan solat, diucapkannya takbir kemudian dibacanya:
    وَجَّهْتُ وَجْهِيَ لِلَّذِي فَطَرَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضَ
    حَنِيفًا وَمَا أَنَا مِنْ الْمُشْرِكِين.َ
    إِنَّ صَلاَتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِين.َ
    لاَ شَرِيكَ لَهُ وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا مِنْ الْمُسْلِمِينَ.
    اللَّهُمَّ أَنْتَ الْمَلِكُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ أَنْتَ رَبِّي وَأَنَا عَبْدُكَ، 
    ظَلَمْتُ نَفْسِي وَاعْتَرَفْتُ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي ذُنُوبِي جَمِيعًا
    إِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ أَنْتَ.
    وَاهْدِنِي لأَحْسَنِ الأَخْلاَقِ لاَ يَهْدِي لأَحْسَنِهَا إِلاَّ أَنْتَ،
    وَاصْرِفْ عَنِّي سَيِّئَهَا لاَ يَصْرِفُ عَنِّي سَيِّئَهَا إِلاَّ أَنْتَ،
    لَبَّيْكَ وَسَعْدَيْكَ وَالْخَيْرُ كُلُّهُ فِي يَدَيْكَ وَالشَّرُّ لَيْسَ إِلَيْكَ
    أَنَا بِكَ وَإِلَيْكَ تَبَارَكْتَ وَتَعَالَيْتَ أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ.
    “Aku hadapkan wajahku kepada Tuhan yang mencipta seluruh langit dan bumi, dengan sepenuh penyerahan dan bukanlah aku daripada golongan orang yang musyrik. Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, matiku adalah untuk Allah Tuhan sekalian alam.
    Tidak ada sekutu bagi-Nya. Demikianlah aku diperintah dan aku tergolong dari golongan Islam.
    Ya Allah, Engkaulah Tuhanku dan aku adalah hamba-Mu, aku telah membuat aniaya terhadap diriku dan mengakui kesalahanku, maka ampunilah dosaku kesemuanya, dan tiadalah yang dapat mengampuni dosa-dosaku itu melainkan Engkau.
    Dan tunjukilah aku kepada akhlak terbaik, tak ada yang akan menuntun kepada akhlak yang terbaik itu kecuali Engkau; dan jauhkanlah aku dari akhlak yang buruk, tak ada yang dapat menjauhkan aku dari akhlak yang buruk itu melainkan engkau.
    Aku penuhi panggilan-Mu ya Allah dan aku patuhi perintah-Mu.
    Dan kebaikan itu seluruhnya berada dalam Tangan-Mu sedangkan kejahatan itu tak dapat dipergunakan untuk menghampirkan diri kepada-Mu.
    Aku milik-Mu, kepada-Mu-lah yang Maha Berkat lagi Maha Tinggi, aku meminta ampun dan bertaubat.”
    [HR Muslim]. 

    ii- Riwayat dari al-Bara’ bin Azib RA bahawa Nabi SAW berpesan kepada sahabat untuk membaca doa ini apabila mahu tidur:
    للَّهُمَّ أَسْلَمْتُ إِلَيْكَ وَوَجَّهْتُ وَجْهِي إِلَيْكَ، وَفَوَّضْتُ أَمْرِى إِلَيْكَ وَأَلْجَأْتُ ظَهْرى إِلَيْكَ رَغْبَةً وَرَهْبَةً إِلَيْكَ، لاَ مَلْجَأَ وَلَا مَنْحَى مِنْكَ إِلا إِلَيْكَ، أَمَنْتُ بكتابكَ الَّذِي أَنْزَلْتَ وَبِنَبِيِّكَ الَّذِي أَرْسَلْتَ.
    Artinya : “Ya Allah, aku berserah diri kepada-Mu. Aku menghadapkan wajahku kepada-Mu. Aku menyerahkan segala urusanku kepada-Mu. Aku menyandarkan punggungku kepada-Mu lantaran mengharap dan takut kepadaMu. Tidak ada tempat berlindung dan menyelamatkan diri dari ancaman-Mu kecuali hanya kepada-Mu. Aku beriman kepada kitab-Mu yang Kau turunkan juga (aku beriman) kepada nabi-Mu yang Kau utus.” [HR Bukhari & Muslim].
  1. Kemudian Allah perintahkan agar kamu beribadat dengan mengikhlaskan amal agama kamu kepada Allah semata-mata; yakni sembahlah Allah SWT tanpa sekutu bagi-Nya.
  1. Sebagaimana Allah menjadikan kamu pada mulanya, yakni sebagaimana kamu mula keluar dari dunia pada awal penciptaan kamu dulu, demikianlah pula kamu akan kembali kepada Allah. 
  1. Iaitu kita berasal dari tanah, Allah cipta daripada air mani, hidup atas tanah, apabila mati masuk dalam tanah kembali, kemudian pada hari Kiamat kelak keluar semula dari tanah untuk berhimpun di hadapa Allah!
  1. Hadis riwayat dari Abdullah bin ‘Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda:
    خَطَبَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا أَيُّهَا النَّاسُ، إِنَّكُمْ مَحْشُورُونَ إِلَى اللَّهِ حُفَاةً عُرَاةً غُرْلًا، ثُمَّ قَالَ: {كَمَا بَدَأْنَا أَوَّلَ خَلْقٍ نُّعِيدُهُ ۚ وَعْدًا عَلَيْنَا ۚ إِنَّا كُنَّا فَاعِلِينَ} إِلَى آخِرِ الآيَةِ، ثُمَّ قَالَ: أَلَا! وَإِنَّ أَوَّلَ الخَلاَئِقِ يُكْسَى يَوْمَ القِيَامَةِ إِبْرَاهِيمُ.
    Maksudnya: “‘Wahai manusia! Sesungguhnya kamu akan dibangkitkan di hadapan Allah dalam keadaan tanpa alas kaki, bertelanjang dan tidak bersunat.’ Kemudian Baginda membaca ayat ini: {كَمَا بَدَأْنَا أَوَّلَ خَلْقٍ نُّعِيدُهُ ۚ وَعْدًا عَلَيْنَا ۚ إِنَّا كُنَّا فَاعِلِينَ}
    Maksudnya: {Sebagaimana kami mulakan wujudnya sesuatu kejadian, Kami ulangi wujudnya lagi; sebagai satu janji yang ditanggung oleh Kami; sesungguhnya Kami tetap melaksanakannya.] [Surah al-Anbiya’: 104]
    Kemudian Baginda bersabda lagi: ‘Ketahuilah! Sesungguhnya makhluk pertama yang diberikan pakaian pada Hari Kiamat ialah Nabi Ibrahim’.”
     [HR al-Bukhari (4625) dan Muslim (2860)].

AYAT 30- {SEBAHAGIAN (DARI UMAT MANUSIA) DIBERI HIDAYAH PETUNJUK OLEH ALLAH (DENGAN DIBERI TAUFIQ UNTUK BERIMAN DAN BERAMAL SOLEH); DAN SEBAHAGIAN LAGI (YANG INGKAR) BERHAKLAH MEREKA DITIMPA KESESATAN (DENGAN PILIHAN MEREKA SENDIRI), KERANA SESUNGGUHNYA MEREKA TELAH MENJADIKAN SYAITAN-SYAITAN ITU PEMIMPIN-PEMIMPIN (YANG DITAATI) SELAIN ALLAH. SERTA MEREKA PULA MENYANGKA, BAHAWA MEREKA BERADA DALAM PETUNJUK HIDAYAH.} (AL-A’RAF 7:30)

  1. Ada sebahagian manusia yang Allah beri taufiq & petunjuk lalu mereka beriman dan beramal soleh. 
    Yakni Allah permudahkan sebab mereka dapat hidayah, Allah lapangkan dada & cerahkan hati mereka untuk mendapat hidayah!
    Ya Allah jadikan kami daripada golongan ini!
  1. Demikian juga ada sebahagian manusia yang ingkar maka mereka tidak dapat petunjuk Allah lalu mereka jatuh dalam kesesatan dengan pilihan mereka sendiri – maka sesatlah mereka selama-lamanya!
  1. Sebagaimana firman Allah SWT:
    {Bukankah Allah cukup untuk mengawal dan melindungi hambaNya (yang bertaqwa)? Dan mereka menakutkanmu (wahai Muhammad) dengan yang mereka sembah yang lain dari Allah. Dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan oleh Allah (dengan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapapun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya.
    Dan sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah (dengan sebab pilihannya yang benar), maka tidak ada sesiapapun yang dapat menyesatkannya. Bukankah Allah Maha Kuasa, lagi berhak membalas dengan azab seksa (kepada golongan yang bersalah)?} 
    (Az-Zumar 39: 36-37)
  1. Ini kerana mereka yang sesat itu telah menjadikan syaitan sebagai wali & pemimpin yang diikuti & ditaati selain Allah SWT maka sesatlah mereka!
  1. Mereka yang sesat ini tidak tahu & tak sedar mereka sesat! 
    Mereka sangka mereka berada atas kebenaran & tidak salah! 
    Kerana itu kita jangan sokong melulu, sokongan yang boleh membawa rebah, kerana tahu fakta & peraturan Syari’ah!
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Maka (fikirkanlah) adakah orang yang diperelokkan kepadanya amal buruknya (oleh Syaitan) lalu ia memandangnya dan mempercayainya baik, (bolehkah disifatkan sebagai orang yang menjalankan peraturan yang ditetapkan Allah untuk memberi hidayah kepadanya, atau sebaliknya) ? Kerana sesungguhnya Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya, dan Ia juga memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Oleh itu, janganlah engkau membinasakan dirimu (wahai Muhammad) kerana menanggung dukacita terhadap kesesatan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka kerjakan.} (Faatir 35:8)
    Maka kita perbanyakkan doa kepada Allah agar sentiasa mendapat petunjuk & hidayah-Nya!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 28- {Dan (orang-orang yang tidak beriman itu) apabila mereka melakukan sesuatu perbuatan yang keji, mereka berkata: “Kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya,…}-

    lihatlah betapa orang-orang yang tidak beriman itu apabila mereka melakukan sesuatu perbuatan yang keji mereka berkata:
    i- Kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya, seperti perbuatan zina, minum arak, tawaf telanjang dan lain-lain, mereka katakannya itu adalah amalan tok nenek kami dulu! Maka apa salahnya kami teruskan!

    ii- Dan Allah-lah yang perintahkan kami mengerjakannya.
    Tetapi yang lebih berat & jahat laginya, mereka mengatakan Tuhan yang menyuruh & mengajar kami untuk melakukannya!
    Dalam Islam, amal ibadat tidak boleh hanya disandarkan kepada amalan tok nenek, kita wajib ada dalil dan sumber yang sahih dari al-Quran & Hadis Nabi SAW yang sahih serta ditafsir oleh para ulama’ Islam yang muktabar!
    Inilah yang bahayanya dok guna hujjah tok nenek kita telah buat lama dah, jangan dikacau & keruhkan suasana yang ada! 
    Masalahnya sekarang air sudah keruh & kita nak tapis guna filter SOP Syari’ah untuk menjernihkannnya!
  1. Ayat 29- {Katakanlah: “Tuhanku menyuruh berlaku adil (pada segala perkara)…}-

    Allah perintahkan kita untuk berlaku adil dalam semua perkara.
    Iaitu kita jangan terlalu melampaui atau terlalu cuai! 
    Kita kena berada dalam keadaan sederhana, tenang & adil.
    Jangan terlalu melampaui hatta dalam ibadat seperti lari bertapa dalam gua dalam hutan, berzikir sorang-sorang sehingga tak solat jemaah & Jumaat.
    Atau terlalu cuai juga, rumah dekat masjid tetapi tetap tak sampai untuk solat berjemaah atau dengar kuliah! 
    Ada setengah orang terlalu ketat; semua benda haram, sedangkan tiada yang haram kecuali yang Syari’at telah tetapkan!
    Ada juga yang terlalu bermudah & lega sangat, semua perkara boleh belaka! 
    Asalkan ada khilaf maka kira bolehlah.
    Ada orang yang zalim khianat, buat perkara yang keji & mungkar, semua itu perkara yang tidak baik!
    Maka Allah perintahkan & ajar kepada kita supaya melakukan keadilan dalam semua perkara. 
    Apa yang Allah perintahkan jangan sesekali kita cuai atau melampaui! 
    Begitu juga dalam hubungan sesama manusia!
    Kita tidak boleh baik dengan Allah saja tetapi tidak dengan makhluk-Nya atau sebaliknya!
    Wajib kita baik dua-dua, jaga hubungan dengan Allah & jaga hubungan sesama manusia. 
    Jika tidak, tidak lengkap hidup ini.
  1. Ayat 29- {… dan (menyuruh supaya kamu) hadapkan muka (dan hati) kamu (kepada Allah) dengan betul pada tiap-tiap kali mengerjakan sembahyang,…}-

    Allah perintahkan kita supaya hadapkan wajah kepada Allah apabila solat & beribadat!
    Kata ulama’ hadapkan wajah {وَأَقِيمُوا۟ وُجُوهَكُمْ} ini sama ada:
    i- Secara zahir & fizikal seperti menghadap muka ke arah kiblat.

    ii- Atau secara batin iaitu hadapkan hati yang penuh tertumpu kepada Allah. Perjalanan hati kepada Allah.
    Jadi jika kita nak beriibadat, sama ada berzikir, solat, sedekah, baca al-Quran atau apa saja, kita kena niat dan ikhlaskannya kepada Allah SWT!
    Ada orang yang bermudah dengan solat seperti dalam musafir, jika kita mampu untuk solat dengan sempurna bertempat atas bumi dengan menghadap kiblat yang tetap, wudhu’ yang sempurna maka lakukannya.
    Jangan bermudah dengan hanya lakukan solat hormat waktu, atau tanpa wudhu’, tanpa arah kiblat yang tepat seperti solat atas kapal terbang atau keretapi yang bergerak jika kita masih ada peluang untuk lakukannya atas bumi!
    Tetapi jika darurat memang tiada masa yang sempat, maka bolehlah kita lakukannya setakat kemampuan serta ulang balik (إعادة) solat tersebut.
    Ibadat ini kena ikut Syari’at dan Allah SWT bukan suka-suka ikut kepala otak kita!
  1. Ayat 29- {…(kerana) sebagaimana Ia telah menjadikan kamu pada mulanya, (demikian pula) kamu akan kembali (kepadaNya).}-

    Allah kata sebagaimana kita dijadikan dulu begitulah kita akan dikembalikan kepada Allah kelak!
    Yakni kita manusia ini dijadikan Allah kemudian akan dikembalikan kepada Allah dalam kejadian asal kita seperti dalam hadis di atas tadi, manusia akan dibangkitkan dengan tidak berpakaian & tidak berkasut dan tidak bersunat!
    Firman Allah SWT juga: {وَلَقَدْ جِئْتُمُونَا فُرَٰدَىٰ كَمَا خَلَقْنَـٰكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍۢ وَتَرَكْتُم}
    Maksudnya: {Dan demi sesungguhnya, kamu tetap datang kepada Kami (pada hari kiamat) dengan bersendirian, sebagaimana Kami jadikan kamu pada mulanya;} [Al-An’aam 6:94].

    Maka kita tahu kelak kita akan berjalan seorang diri tidak akan ada orang yang akan menemani kecuali ibadat & amal soleh kita kepada Allah SWT, maka kita ikhlaskan ibadat kepada Allah perbaikkan amalan supaya kita selamat apabila dipersoalkan di hadapan Allah Azza wa Jalla kelak!
    Maka buat sehabis comel dan moleklah ibadat kita kerana ia yang akan menemani kita di dalam kubur & dalam perjalanan Akhirat kita kelak.
  1. Ayat 30- {Sebahagian (dari umat manusia) diberi hidayah petunjuk oleh Allah (dengan diberi taufiq untuk beriman dan beramal soleh); dan sebahagian lagi (yang ingkar) berhaklah mereka ditimpa kesesatan (dengan pilihan mereka sendiri),…}-

    Begitulah atas dunia ini akan ada dua kumpulan & jenis manusia yang berbeza:
    i- Ada orang yang akan mendapat hidayah itulah orang yang baik, orang yang ceria & bahagia atas dunia ini serta insya’ Allah aman di Akhirat.

    ii- Serta ada kumpulam kedua yang sesat tidak mendapat petunjuk.
    Allah beri peringatan kepada kita untuk berhati-hati, iaitu orang yang sesat itu ialah orang yang menjadikan syaitan sebagai wali & ketua ikutan mereka!
    Maka jika kita nak selamat wajib kita jauhkan diri dari syaitan, jauhi dari kumpulan-kumpulan yang sesat & sentiasa berusaha agar kita mendapat hidayah & petunjuk dari Allah dengan belajar ilmu yang benar!
    Apakah ilmu yang benar? 
    Pilihlah ilmu yang berdasarkan kepada al-Quran & Sunnah Nabi SAW serta berdasarkan huraian yang tegas dari para ulama’ Salafus-Soleh. 
    Ulama’ yang terkemudian yang ikut ulama’ Salafus-Soleh itulah juga ulama’ yang benar!
    Bukan mereka yang buat huraian yang pelik-pelik, ajar amalan yang pelik atas nama khilaf!
    Kenapa begitu, jika ajaran yang sahih & jelas ada kenapa kita nak pilih yang khilaf & tidak sahih??? jika khilaf pun hendaklah khilaf yang muktabar.

    Contoh pilihan:
    i- Yang jelas & sahihnya ialah; kita berdoa & minta terus kepada Allah SWT.

    ii- Yang jelas & sahihnya; perayaan orang kafir yang ada unsur-unsur keagamaan mereka jangan pergi, itulah yang selamat.
    Jangan terlalu mencari sokongan sehingga tergadai aqidah, langgar hukum Allah, ini adalah perbuatan jenayah yang tidak dapat dimaafkan!
    Para jemaah sekelian sentiasalah berusaha agar mendapat hidayah petunjuk dari Allah & berada di atas landasan yang benar.
    Oleh kerana isu kita ini berkait dengan perbuatan jahiliyyah yang tawaf atau beribadat dengan telanjang tak pakai baju, ada kesinambungan dengan scenario manusia hari ini.
    Iaitu kita hari ini pula apabila melakukan ibadat seperti solat & tawaf, pakaiannya elok indah menutup aurat tetapi apabila diluar ibadat terus telanjang pula atau tidak sempurna menutup aurat! 
    Contoh: Apabila di Makkah 24 jam berkain telekung hatta naik untapun; tetapi apabila kembali ke negara, tudung habis tercabut! 
    Nak solat pakai telekung molek, lepas solat nak keluar bersolek & aurat terdedah bebas! 
    Wal ‘iyazu billah!

Alhamdulillah tamatlah tafsir ringkas kita hari ini semoga kita termasuk dalam mereka yang pakaian zahirnya cantik elok serta batinnya bersih; semoga kita bertemu Allah dengan hati yang selamat!

Semoga Bermanfaat Buat Pencinta llmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs