SURAH AL-MU\’MINUN : AYAT 31-43

\"\"

Full video : https://youtu.be/8x3clTUWB0M

MUQADDIMAH :

1. Dalam siri yang lepas kita telah mendengar kisah pendustaan kaum nabi Nuh a.s. dan apa yang telah menimpa ke atas mereka iaitu kebinasaan dengan tenggelam dalam air banjir yang besar.

2. Ini sebagai pengajaran bagi manusia yang datang selepas itu, yakni jika mereka mendustakan ajaran para nabi dan mengikut jejak langkah orang yang terdahulu ini, maka kamu juga akan binasa.

3. Supaya kita beringat dan berhati-hati, ambil ibrah pengajaran.

4. Lalu setelah dimusnahkan semua yang kafir itu, tinggallah Nabi Nuh a.s dan beberapa orang pengikutnya yang beriman. Selepas pupus mereka ini maka datanglah pula generasi umat baru yang lain.

5. Inilah yang akan dijelaskan dalam siri ini.

AYAT 31- {KEMUDIAN KAMI CIPTAKAN SESUDAH MEREKA, UMAT YANG LAIN.} (AL-MU\’MINUUN 23:31)

1. Kemudian selepas pupus generasi yang beriman dari umat nabi Nuh as. Allah s.w.t cipta pula umat yang laim.

2. Umat yang lain ini menurut tafsir Abdullah Ibnu Abbas r.a ialah kaum Ad iaitu kaum Nabi Hud a.s

3. Ada juga yang kata kaum Thamud iaitu kaum nabi Saleh a.s. Boleh jadi dua-duanya.

4. Kenapa dua kaum ini sering disebut dan dijadikan contoh peringatan? Kerana ayat Quran ini diturunkan kepada kaum Quraisy ketika itu, dan dua tempat ini adalah kawasan laluan kafilah perdagangan kaum Quraisy setiap tahun (Rujuk al-Quran: Surah Quraisy).

5. Sebagai peringatan untuk mereka yang melihatnya selalu agar mendapat pengajaran, tetapi sayangnya mereka cuma melihat dengan mata kepala sahaja bukan dengan hati dan berfikir, lalu tetapi kufur.

AYAT 32- {LALU KAMI MENGUTUS KEPADA MEREKA SEORANG RASUL DARI KALANGAN MEREKA (DENGAN BERFIRMAN MELALUI RASUL ITU): \”SEMBAHLAH KAMU AKAN ALLAH, (SEBENARNYA) TIDAK ADA TUHAN BAGI KAMU SELAIN DARIPADANYA. OLEH ITU TIDAKKAH KAMU MAHU BERTAQWA KEPADANYA?\”} (AL-MU\’MINUUN 23:32)

1. Allah s.w.t tidak menghiraukan cabaran dan permintaan kaum kafir yang menginginkan utusan dari malaikat. Allah telah mengutus kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka, seorang lelaki & manusia.

2. Jadi tidak akan timbul isu tidak faham bahasa,berbeza gaya hidup, keturunan dan lain-lain yang akan mereka pertikaikan pula.

3. Perintah Allah kepada semua para Nabi itu ialah untuk menyeru kepada Tauhid kepada Allah s.w.t.

4. Dakwah utamanya ialah: \”Sembahlah kamu akan Allah, dengan sebenarnya, tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripada-Nya.”

5. Oleh itu tidakkah kamu mahu bertaqwa kepada-Nya, kamu tidak takutkah akan azab Allah s.w.t jika berbuat syirik?

AYAT 33- {DAN (BAGI MENOLAK SERUAN ITU), KETUA-KETUA DARI KAUMNYA YANG KAFIR SERTA MENDUSTAKAN PERTEMUAN HARI AKHIRAT, DAN YANG KAMI MEWAHKAN MEREKA DALAM KEHIDUPAN DUNIA, BERKATA (SESAMA SENDIRI) \”ORANG INI HANYALAH SEORANG MANUSIA SEPERTI KAMU, IA MAKAN DARI APA YANG KAMU MAKAN, DAN MEMINUM DARI APA YANG KAMU MINUM.} (AL-MU\’MINUUN 23:33)

1. Dalam ayat ini ada 3 sifat ciri-ciri ketua-ketua kaum kafir (orang besar الْمَلَأُ – – al-Mala’) yang dahulu, yang menentang Rasulullah s.a.w.:

i- kufur kepada Allah s.w.t.

ii- mendustakan hari akhirat, tidak percaya bangkit semula dan ada pembalasan.

iii- mereka biasanya yang kaya dan mewah hidup mereka. Big boss.

Kerana itu agak tidak sesuai guna perkataan al-mala’ ini untuk pemimpin orang Islam.

2. Mereka berkata kepada kaum mereka, tentang nabi-nabi yang diutuskan: “Hanyalah seorang manusia seperti kamu, dia makan dan minum seperti kamu juga.”

3. Semua tuduhan ini untuk menafikan kenabian mereka itu, dengan menyifatkan mereka seperti manusia biasa, seperti mereka juga, yakni tiada keistimewaan apapun.

4. Memang Allah s.w.t utuskan rasul-rasul itu manusia biasa, dengan fitrah manusia biasa, bukan seperti ahli ibadat sesetengah ajaran yang menyalahi fitrah manusia, tidak berkahwin, tidak makan makanan tertentu dan lain-lain yang pelik.

5. Kenapa ini berlaku? Sedangkan jauh di sudut hati mereka tahu Rasulullah s.a.w itu benar. Semuanya kerana nafsu dan dunia.

AYAT 34- {\”DAN DEMI SESUNGGUHNYA, JIKA KAMU TAATI MANUSIA YANG SEPERTI KAMU, TENTULAH KAMU DENGAN MEMBUAT DEMIKIAN, MENJADI ORANG-ORANG YANG RUGI.} (AL-MU\’MINUUN 23:34)

1. Mereka berkata rugilah jika mereka mentaati dan mengikut nabi, ini kerana akan hilanglah jawatan dan pangkat kedudukan mereka yang tinggi selama ini.

2. Jadi semuanya kerana hasad dengki dan cintakan kedudukan dunia.

3. Beginilah keadaan apabila Rasulullah s.a.w tiba di Madinah, muncul kumpulan yang ketiga iaitu munafiqin, yang luarnya beriman tetapi dalam hatinya tidak, paginya bersama Rasulullah s.a.w, petangnya bersama kaum yahudi dan mereka yang menentang Rasulullah s.a.w.

4. Ketuanya adalah Abdullah bin Ubai, yang asalnya dia hampir-hampir ditabal menjadi raja Madinah, bila Rasulullah s.a.w datang dia hilang jawatan, kerana itulah dia berdendam dan marah.

5. Lalu untuk tidak rugi dia menjadi manusia dua alam, iaitu al-munafiqun.

AYAT 35- {\”PATUTKAH IA MENJANJIKAN KAMU, BAHAWA SESUNGGUHNYA APABILA KAMU MATI DAN MENJADI TANAH DAN TULANG, KAMU AKAN DIKELUARKAN (DARI KUBUR HIDUP SEMULA)?} (AL-MU\’MINUUN 23:35)

1. Mereka mendustakan lagi tentang hidup dan kebangkitan semula dengan main logik akal. Mereka menimbulkan keraguan dan kesamaran agar orang ramai makin tidak berjaya.

2. Tak mungkin sungguh apa yang dikatakan oleh nabi itu; iaitu apabila kamu mati dan menjadi tanah dan tulang, kamu akan dikeluarkan dari kubur hidup semula!

AYAT 36- {\”JAUH, AMATLAH JAUH (DARI KEBENARAN) APA YANG DIJANJIKAN KEPADA KAMU ITU!} (AL-MU\’MINUUN 23:36)

1. Mereka terus menafikan apa yang dijanjikan oleh Rasulullah s.a.w itu: Amat tidak logik dan tidak mungkin berlaku semua itu!!

2. Masih tidak percaya dan terus mendustakan sekuatnya.

AYAT 37- {\”TIADALAH HIDUP YANG LAIN SELAIN DARI HIDUP KITA DI DUNIA INI. KITA MATI DAN KITA HIDUP (SILIH BERGANTI) DAN TIADALAH KITA AKAN DIBANGKITKAN HIDUP SEMULA.} (AL-MU\’MINUUN 23:37)

1. Bagi mereka tiadalah hidup yang lain selain dari hidup mereka di dunia ini.

2. Mereka tetap tidak percaya bahawa mereka akan mati dan akan hidup semula, dan tidak akan dibangkitkan hidup semula.

3. Hidup bagi manusia ini hanyalah sekali bagi mereka, jadi laluilah dan nikmatilah ia dengan sepenuhnya, enjoy!

AYAT 38- {\”TIADALAH DIA (NABI HUD) ITU SELAIN DARI SEORANG LELAKI YANG MENGADA-ADAKAN PERKARA DUSTA TERHADAP ALLAH, DAN KAMI TIDAK AKAN BERIMAN KEPADANYA\”. (AL-MU\’MINUUN 23:38)

1. Nabi Nuh ini bagi mereka orang yang tidak betul, bercakap tanpa fakta dan kebenaran.

2. Yang mengada-adakan perkara dusta terhadap Allah, dan mereka sekali-kali tidak akan beriman kepadanya.

3. Apabila kemuncak penentangan kepada para nabi, ini menunjukkan pertolongan Allah sudah hampir.

AYAT 39- {NABI HUD BERDOA DENGAN BERKATA: \”WAHAI TUHANKU, BELALAH DAKU, KERANA MEREKA TELAH MENDUSTAKAN SERUANKU\”.} (AL-MU\’MINUUN 23:39).

1. Akhirnya setelah puas hati dengan segala usaha dakwahnya, nabi Nuh a.s pun mengangkat tangannya berdoa kepada Allah s.w.t juga.

2. Nabi Hud berdoa dengan berkata: \”Wahai TuhanKu, belalah daku, kerana mereka telah mendustakan seruanku!”

3. Kita telah tadabbur ayat-ayat sebelum ini bahawa para nabi ini tidak akan berdoa awal-awal dakwah. Doa para nabi ini setelah mendapat wahyu bahawa tidak akan ada lagi orang yang akan beriman dari kaumnya dan telah tertutup dakwah untuk mereka. Sama seperti kisah nabi Nuh a.s.

AYAT 40- {ALLAH BERFIRMAN: \”DALAM SEDIKIT MASA LAGI MEREKA AKAN MENJADI ORANG-ORANG YANG MENYESAL\”.} (AL-MU\’MINUUN 23:40)

1. Doa para nabi itu mustajab. Allah s.w.t terus menjawabnya.

2. Firman-Nya: Dalam sedikit masa yakni tidak lama Kami akan timpakan ke ats mereka azab dan mereka akan menjadi orang-orang yang menyesal.

AYAT 41- {AKHIRNYA MEREKA DIBINASAKAN OLEH LETUSAN SUARA YANG MENGGEMPAKAN BUMI, DENGAN BENAR LAGI ADIL, LALU KAMI JADIKAN MEREKA SEBAGAI SAMPAH SARAP (YANG DIHANYUTKAN OLEH BANJIR). MAKA KEBINASAANLAH KESUDAHANNYA BAGI KAUM YANG ZALIM ITU.} (AL-MU\’MINUUN 23:41)

1. Azab untuk kaum Hud ini datang dalam bentuk letusan suara yang membinasakan bumu, yakni dengan tempikan para malaikat.

2. Kebinasaan yang dijanjikan itu benar lagi adil, setelah didakwah, nasihat, amaran dan ancaman, masih kufur dan ingkar juga.

3. Lalu mereka bergelimpangan seperti sampah-sarap atau buih yang dihanyutkan oleh air banjir, maka kebinasaanlah kesudahannya bagi mereka.

AYAT 42- {KEMUDIAN KAMI CIPTAKAN, SESUDAH MEREKA, UMAT-UMAT YANG LAIN.} (AL-MU\’MINUUN 23:42)

1. Bila mereka sudah binasa, maka datanglah umat yang lain dan nabi yang lain pula.

2. Setelah kisah kebinasaan kaum nabi Nuh diceritakan tentang kemusnahan kaum lain pula. Begitulah kitaran hidup di atas dunia ini.

AYAT 43- {SESUATU UMAT ITU TIDAK DAPAT MENDAHULUI TEMPOHNYA YANG TELAH DITENTUKAN, DAN MEREKA PULA TIDAK DAPAT MELAMBATKANNYA.} (AL-MU\’MINUUN 23:43)

1. Semuanya berlaku dl tempoh yang ditentukan oleh Allah s.w.t.

2. Yakni mana-mana umat yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t akan kebinasaan mereka, mereka tidak akan dapat mempercepatkannya atau menangguhkannya.

3. Begitu juga kita, jika kita lagha dan jauh dari Allah s.w.t, kemurkaan dan azab Allah s.w.t akan datang bila Dia kehendakinya.

4. Hadis Rasulullah s.a.w ujian dalam 5 perkara.

Daripada Ibnu Umar r.a. berkata: Berhadap Rasulullah SAW kepada kami (pada suatu hari) kemudian Baginda bersabda; \”Wahai kaum Muhajirin, lima perkara kalau kamu telah dibalakan dengannya (kalau kamu telah mengerjakannya), maka tiada kebaikan lagi bagi kamu. Dan aku berlindung dengan Allah SWT, semoga kamu tidak menemui masa itu. Perkara-perkara itu ialah:

1-Tiada terzahir (nampak) perzinaan pada suatu kaum sehingga mereka berani berterus terang melakukannya, kecuali mereka akan ditimpa penyakit Tha\’un yang cepat merebak di kalangan mereka, dan mereka akan ditimpa penyakit-penyakit yang belum pernah menimpa umat-umat yang telah lalu.

2-Dan tiada mereka mengurangkan sukatan dan timbangan, kecuali mereka akan dibalakan dengan kemarau dan susah mencari rezeki dan kezaliman daripada kalangan pepimpin mereka.

3-Dan tiada menahan mereka akan zakat harta benda kecuali ditahan untuk mereka air hujan dari langit. Jikalau tiada ada binatang (yang juga hidup diatas permukaan bumi ini) tentunya mereka tidak akan diberi hujan oleh Allah swt.

4- Dan tiada mereka mungkir akan janji Allah dan Rasul-Nya kecuali Allah akan menguasakan ke atas mereka musuh mereka, maka musuh itu merampas sebahagian daripada apa yang ada di tangan mereka.

5- Dan apabila pemimpin-pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum Allah yang terkandung dalam al-Quran dan tidak mahu menjadikannya sebagai pilihan, maka (di saat ini) Allah akan menjadikan peperangan di kalangan mereka sendiri \”.

[H.R Ibnu Majah]

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS:

1. Firman slh s.w.t : {Kemudian Kami ciptakan, sesudah mereka, umat-umat yang lain.}

Adalah pengajaran untuk kita juga seluruh kafir atas muka bumi ini, hendaklah mengambil pengajaran daripada kebinasaan umat-umat yang terdahulu.

2. Yakni kebinasaan itu tidak terjadi begitu sahaja, bahkan ia adalah ketetapan Allah s.w.t terhadap orang-orang yang mendustakan para rasul mereka. Untuk semua generasi dan kaum yang mendustakan rasul, tidak kira dari kurun mana.

3. Zaman kita ini walaupun rasul dan nabi sudah tiada, al-Quran dan sunnah nabi s.a.w masih ada, maka sesiapa yang mendusta, lawan dan menginkari keduanya, mereka juga akan binasa, itu maksudnya.

4. Sebagai penutup Allah s.w.t bawa ayat ini: {Sesuatu umat itu tidak dapat mendahului tempohnya yang telah ditentukan, dan mereka pula tidak dapat melambatkannya.}

5. Bahawa setiap masa itu ada tempohnya. Maka kita yang kena sabar, setiap seorang Nabi itu sangat panjang tempohnya seperti Nabi Musa dan Firaun, nabi Nuh dan lain-lain. Kecuali nabi kita Muhammad s.a.w pendek tempohnya, ini kerana usia Baginda pendek dan masa dakwahnya juga pendek hanya 23 tahun.

6. Tetapi ada juga dunia hari ini berapa lama seorang pemimpin diktator itu memerintah sesebuah negara, tetapi bila terjadi revolusi dan naik yang lain, tetap jahat dan zalim juga! Maka jika keadaan kita sudah aman-damai dan selamat, janganlah terlalu tamak mahu kebebasan dan pertukaran, kerana belum tentu yang baru itu lebih baik daripada yang lama.

7. Semua pemerintahan di atas dunia akan bertukar ganti mengikut tempoh ketetapan Allah s.w.t. Semua umat juga akan binasa ikut tempohnya.

8. Maka kita jagalah mulut dan tangan kita dari membuat satu-satu kenyataan dan tuduhan, berhati-hatilah biar ada maklumat yang jelas, agar tidak menjadi fitnah berantai yang akan tersebar ke seluruh pelusuk dunia dan akibat yang dahsyat menunggu di akhirat kelak.

9. Maka baikilah diri kita, jangan harapkan orang saja baik, kita tidak buat baik.

10. Untuk membuat muhasabah diri jangan sampai seolah membuat tuduhan terhadap orang lain.

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs