Surah Al-Isra : Ayat 56-57

\"\"

BERBEZA DARJAT PARA NABI, KELEBIHAN NABI DAUD, SEMBAHAN GOLONGAN MUSYRIKIN TIDAK ADA KUASA & CARA BERTAWASSUL MENCARI JALAN TAQARRUB.


Full Video: https://youtu.be/oklhTzvNl-s

MUQADDIMAH:
1. Ayat sebelum ini Allah s.w.t menta’kidkan sekali lagi bahawa Dia Maha Mengetahui apa yang ada di langit dan di bumi dari segala jenis makhluk kejadiannya.

2. Semua nabi-nabi dan rasul-rasul itu manusia yang mulia dan terpilih, tetapi di antara mereka juga ada perbezaan antara darjat kedudukan, pengikut dan perjuangan. Juga keistimewaan dari segi ilmu, kitab yang diturunkan kepada mereka, ada setengah nabi tidak disebut nama kitabnya, berbeza Syariat perundangan dan berbeza dari segi mukjizat yang diberikan, juga ciri-ciri keistimewaan yang berbeza. Dalil, surah al-Baqarah, ayat 253.
Firman Allah s.w.t: { Rasul-rasul Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain (dengan kelebihan-kelebihan yang tertentu). Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata dengannya, dan ditinggikan-Nya (pangkat) sebahagian daripada mereka beberapa darjat kelebihan. Dan Kami berikan Nabi Isa ibni Maryam beberapa keterangan kebenaran (mukjizat), serta Kami kuatkan dia dengan Ruhul-Qudus (Jibril). Dan sekiranya Allah menghendaki nescaya orang-orang yang datang kemudian daripada Rasul-rasul itu tidak berbunuh-bunuhan sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan (yang dibawa oleh Rasul mereka). Tetapi mereka bertelingkah, maka timbulah di antara mereka: orang yang beriman, dan orang yang kafir. Dan kalaulah Allah menghendaki tentulah mereka tidak berbunuh-bunuhan; tetapi Allah melakukan apa yang dikehendaki-Nya.}
(Al-Baqarah 2:253)
Ini kedudukan darjat mereka disisi Allah s.w.t, tetapi kita manusia dilarang oleh Rasulullah s.a.w untuk melebih atau memuliakan antara para nabi ini. Kecuali Rasulullah s.a.w sendiri sebagai nabi dan rasul yang paling mulia.

3. Jumlah para nabi dikatakan ada 124,000 orang, Rasul 313 orang, yang tersebut dalam al-Quran 25 orang. 5 orang daripadanya rasul ulul-Azmi yang kuat ujian dan perjuangannya. Mereka ialah Nuh, Ibrahim, Musa, Isa dan Muhammad s.a.w. Manakala sayyidul anbiya’ ialah Rasulullah s.a.w Muhammad bin Abdullah.

4. Demikian juga kelebihan Nabi Muhammad s.a.w yang menjadi semulia-mulia nabi, (walaupun pihak Quraisy mengatakn Baginda tidak layak) kerana:
i- dengan al-Quran yang diturunkan kepadanya. Al-Quran sebagai satu mukjizat yang kekal sehingga ke hari Kiamat. Tiada lagi kitab lain selepas itu. Allah s.w.t sendiri telah memberi jaminan: {Kami yang turunkannya dan Kami yang menjaganya.}
al-Quran juga akan dapat memberi manfaat kepada orang yang membacanya.
ii- Diutuskan kepada seluruh manusia dan jin, global seluruh alam, bukan hanya kepada bangsa atau kaum tertentu. Juga sehingga ke hari Kiamat, tiada nabi atau rasul selepasnya lagi.
iii- Umatnya sebagai umat yang terbaik خير أمة di muka bumi kerana mereka menjalankan amar makruf dan nahi munkar, serta beriman dengan ikhlas kepada Allah s.w.t. Kerana itu jika kita lemah kita akan dihina dan dipijak oleh musuh Islam.

5. Sebagaimana dikurniakan kitab Zabur kepada Nabi Daud a.s, beliau juga memiliki kerajaan yang besar. Ada disebut khas pada akhir ayat ini.

6. Kenapa diakhir ayat Allah s.w.t sebut tentang khas tentang Nabi Daud yang diberi kitab Zabur? (Isra’ ayat 55)
Kata Imam al-Qurtubhi r.h.m:
i- Ini kerana dalam Zabur tidak disebut tentang hukum halal-haram, hukum faraidh dan undang-undang hudud.
ii- Yang ada hanya doa, zikir, tahlil dan tahmid kepada Allah s.w.t sahaja. Kitab ini terkenal sebagai Kitab Zikir atau bacaan, Mazamil yang asal di kalangan ahli kitab yang asal, walaupun sekarang sudah ditukar oleh mereka.
iii- Siapakah Nabi Daud? Seorang raja yang besar, tetapi Allah s.w.t tidak menyebut sekalipun tentang kerajaan Daud dan kekuasaan pemerintahnyam tetapi disebut tentang Zabur yang diberikan kepadanya. Ini untuk menunjukan bahawa maksud kelebihan yang Allah sebut itu adalah kerana ilmu dan agama, bukan kerana harta dan kekuasaan dunia.
iv. Ada disebut tentang umat Nabi Muhammad s.a.w dalam kitab Zabur.
7. Puak kafir quraisy ini suka berdebat berlawan dengan Rasulullah s.a.w. Tetapi kerana mereka tiada sumber rujukan, mereka mencari hujjah untuk berdebat dengan pergi berjumpa yahudi. Maka yahudi pun korek cari benda syubhat yang boleh mengelirukan orang ramai.
8. Nabi dan Kitab terakhir puak yahudi adalah Musa dan Taurat, Allah s.w.t telah batalkan hukum dan Syariat mereka sebelum itu dengan turunnya kitab-kitab lain seperti Zabur.
9. Allah s.w.t kurniakan kepada nabi Daud beberapa kelebihan yang terkumpul: Kenabian dan rasul, penulis yang hebat, khatib yang fasih berucap, raja dan pemimpin, juga sebagai hakim yang bijaksana. Beliau juga mempunyai suara yang merdu, mempunyai kepakaran dalam pertukangan besi, buat baju besi dan lain-lain.

KATA ALI R.A:
Beza antara ilmu dan harta. Harta kita kena jaga dia, takut hilang, rosak, diambil orang dan sebagainya.
Tetapi ilmu dia yang akan menjaga kita, mengingatkan akan kebaikan dan mengelak daripada berbuat keburukan.

AYAT 56- {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD KEPADA KAUM MUSYRIK): \”SERUKANLAH ORANG-ORANG YANG KAMU DAKWA (BOLEH MEMBERI PERTOLONGAN) SELAIN DARI ALLAH, MAKA SUDAH TENTU MEREKA TIDAK BERKUASA MENGHAPUSKAN BAHAYA DARIPADA KAMU DAN TIDAK DAPAT MEMINDAHKANNYA\”.} (AL-ISRAA\’ 17:56),
1. Allah s.w.t perintahkan Rasulullah s.a.w cabar kepada golongan yang menyangka bahawa sembahan mereka itu dapat menolong mereka itu untuk memanggilnya.
2. Pastilah mereka tidak dapat memberi apa-apa manfaat atau kemudharatan kerana semuanya adalah di bawah kekuasaan Allah s.w.t.
3. Contoh jika seseorang itu sakit, maka adakah dapatkah berhala dan sembahan itu mengalihkan atau menghilangkan kesakitan itu? Lapar jadi kenyang, kena bala jadi hilang, dari manusia jadi haiwan.. semuanya adalah mustahil.

AYAT 57- {ORANG-ORANG YANG MEREKA SERU ITU, MASING-MASING MENCARI JALAN MENDAMPINGKAN DIRI KEPADA TUHANNYA (DENGAN BERBUAT IBADAT), SEKALI PUN ORANG YANG LEBIH DEKAT KEPADA TUHANNYA, SERTA MEREKA PULA MENGHARAPKAN RAHMATNYA DAN GERUN TAKUT AKAN AZABNYA; SESUNGGUHNYA AZAB TUHANMU ITU, ADALAH (PERKARA YANG SEMESTINYA) DITAKUTI.} (AL-ISRAA\’ 17:57),
1- Sedangkan apa yang mereka sembah itu (kadang-kadang) sebenarnya adalah orang yang baik-baik, mereka juga mencari jalan mendekatkan diri kepada Allah s.w.t dengan berbuat ibadat dan taat kepada-Nya.
2. Tiga pegangan atau sifat yang perlu ada sebagai tanda keimanan:
i- Wasilah- cinta dan cuba dekatkan diri kepada Allah dengan beribadat.
ii- Raja’- Mengharapkan rahmat Allah s.w.t. الرجاء – berharap
iii- Khauf- takut kepada azab Allah. الخوف- takut.
3. Cerita jin bekas sembahan kaum kafir quraisy yang akhirnya telah memeluk Islam setelah mendengar ajaran dakwah Rasulullah s.a.w. [HR Bukhari].

PENUTUP & KESIMPULAN:
Ada 3 perkara yang kita kena ada untuk mendekatkan dirii kepada Allah s.w.t:
1. Tanda cinta- الحب ialah dengan bertawassul dengan melakukan amal soleh, ini makna mencari wasilah (الوسيلة – perantaraan) yang sebenar. Bukan meminta dengan benda lain samada yang masih hidup atau mati, ini ajaran syaitan.
2. Mengharapkan rahmat Allah s.w.t, iaitu apabila buat amal ibadat, kita harap Allah s.w.t menerimanya.
3. Takut akan siksaan Allah s.w.t, maka kita kan jadi manusia yang baik, menjauhkan diri daripada segala dosa dan keburukan.
* Inilah paksi diri untuk menunjukankan tanda ubudiyyah, pengabdian diri dan cinta kepada Allah.

KATA ULAMA\’ SALAF\”
1. Sesiapa yang beribadat semata-mata kerana hubb (cinta) حب saja adalah golongan Zindiq.
2. Sesiapa yang beribadat semata-mata kerana takut saja adalah golongan Khawarij yang menggunakan segala hadis tentang siksaan dan azab Allah s.w.t.
3. Manakala sesiapa yang beribadat semata-mata kerana harap saja adalah golongan murji’ah yang memisahkan antara iman dan amal. Seperti golongan seular hari ini yang memisahkan antara agama dan urusan lain.
4. Orang mukmin wajib ada ketiga-tiga sifat ini. Tidak sempurna ibadat tanpa ada khauf dan raja’. Ibdat juga mesti jelas, bukan ibadat rekaan.

KATA SEORANG ULAMA\’, SAHAL BIN ABDULLAH AL-TUSTARI: (ARABIC: سهل التستري‎)
Harap dan takut kepada Allah s.w.t adalah neraca timbangan seorang mukmin. Jika seimbang maka akan tenang hidupnya, jika hanya takut atau harap saja, maka akan berat sebelah dan tidak akan seimbang kehidupan dan amal ibadatnya.

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs