SURAH AL-ISRA\’ AYAT 85-89

\"\"

PERSOALAN TENTANG HAKIKAT ROH, AL-QURAN BOLEH HILANG DARI DADA DAN MUSHAF & I\’JAZ AL-QURAN TAK BOLEH DICIPLAK.

Full video: https://youtu.be/kZVu-XfE1J0

MUQADDIMAH:
1. Perbincangan kita yang besar hari ini ialah tentang roh dan mukjizat al-Quran..
2. Iaitu kisah orang kafir yang bertanya tentang roh kepada Nabi Muhammad s.a.w.
3. Juga mukjizat al-Quran yang kekal sehingga ke hari KIamat dan tidak mungkin diciplak dan dipesongkan.

AYAT 85 – { DAN MEREKA BERTANYA KEPADAMU TENTANG ROH. KATAKAN: \”ROH ITU DARI PERKARA URUSAN TUHANKU; DAN KAMU TIDAK DIBERIKAN ILMU PENGETAHUAN MELAINKAN SEDIKIT SAHAJA\”.} (AL-ISRAA\’ 17:85).
1. Kisah tentang kaum yahudi Madinah yang bertanya kepada Nabi s.a.w tentang roh.
2. Allah s.w.t menyuruh Rasulullah s.a.w menjawab bahawa urusan roh itu adalah urusan Allah s.w.t. Tiada yang lain tahu melainkan Allah s.w.t.
3. Peringatan kepada manusia agar jangan sombong dan merasa hebat. Mereka hanya diberi sedikit saja ilmu pengetahuan dari sisi Allah s.w.t.
4. Sabab nuzul, ayat ini HR Ibnu Mas’ud r.a.
Abdullah bin Mas’ud r.a berkata: Ketika aku berjalan bersama Rasulullah s.a.w, di kawasan kebun kota Madinah dan Nabi s.a.w bertongkat dengan pelepah tamar. Lalu kami bertemu dengan satu kumpulan kaum Yahudi. Sebahagian mereka menyuruh untuk bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang roh. Sebahagian yang lain pula melarangnya daripada menanyakan hal itu kerana takut akan mendapat jawapan yang tidak menyenangkan. Apabila tekad untuk bertanya, seorang dari mereka berdiri dan berkata: Wahai Abu al-Qasim (gelaran untuk Rasulullah s.a.w) apakah roh itu? Pada awalnya Nabi s.a.w diam.
Ibnu Mas’ud berkata: Rasulullah s.a.w sedang menerima wahyu, kemudian setelah selesai, Rasulullah s.a.w pun membaca ayat ini:
{Mereka bertanya padamu tentang roh, katakanlah roh itu urusan Tuhanku sedang kamu tiada berilmu kecuali sedikit sekali.} [HR Bukhari Muslim]

5. Maksud Roh di sini ialah nyawa yang menyebabkan kita hidup. Tetapi ada juga yang mengatakan ia bermaksud malaikat Jibrail yang digelar ar-Ruh. Roh ini urusan Allah s.w.t, tiada makhluk yang tahu tentang hakikatnya.
6. Hanya Allah yang mengetahui dan faham tentang ROH sedangkan manusia hanya diberi sedikit sekali ilmu pengetahuan tentangnya, itupun hanya tanda-tanda yang dilihat, atau sekadar apa yang dapat didengar, dipegang atau dicium bau tentangnya.
7. Hadis Rasulullah صلی الله عليه وسلم telah menceritakan Kisah Musa A.S Dan Khidir. Salah satunya tentang- Bandingan Ilmu Allah Dan Ilmu Manusia.
Apabila Nabi Musa dan Khidir menaiki perahu dilautan: Seekor burung terbang lalu hinggap pada tepi perahu itu dan mematuk ke laut. Khidhir lalu berkata kepada Musa: Ilmu kita jika dibandingkan dengan ilmu Allah adalah seperti patukan seekor burung pipit tersebut pada laut itu, tidak berkurangan dan memberi kesan apa-apa pada laut. [HR Muslim].

8. Seorang ulama\’, Ibnu al-Qayyim menulis sebuah kitab yang panjang tentang roh ini.
9. Walaupun ini bukan jawapan kepada soalan yahudi itu tentang hakikat roh, cuma Allah s.w.t suruh jawab begitu untuk mendiamkan mereka, kerana ia adalah urusan Tuhan. Begitulah Allah s.w.t cara untuk kita menjawab soalan yang sengaja dibuat untuk menguji atau mempermainkan agama.
10. Kisah teladan:- Seorang guru non-muslim bertanya kepada Allahyarham TG Hj Abdul Rahman bin Sulaiman tentang: “Tuan Guru, orang Islam kata ada tuhan, Jika ada mana dia kita nak tengok?”
TG balas balik dengan tanya: “Adakah kamu hidup atau mati? Dan jika hidup dengan apa?”
Dia kata: “Ya, hidup dengan nyawa.”
TG balas balik dengan tanya: “Mana nyawa kamu? Jika ada mana dia nak tengok?”
Maka terdiamlah kafir itu tidak dapat membalas soalan helahnya sendiri.

AYAT 86 – {DAN SESUNGGUHNYA JIKA KAMI KEHENDAKI, TENTULAH KAMI AKAN HAPUSKAN APA YANG KAMI TELAH WAHYUKAN KEPADAMU, KEMUDIAN ENGKAU TIDAK AKAN BEROLEH SEBARANG PEMBELA TERHADAP KAMI UNTUK MENGEMBALIKANNYA.} (AL-ISRAA\’ 17:86).
1. Allah s.w.t ingatkan Nabi s.a.w bahawa wahyu dan ilmu yang sedikit yang diberikan itu, sudahlah sedikit, bahkan boleh ditarik-Nya pada bila-bila masa sahaja.
2. Allah s.w.t juga boleh hilangkan al-Quran dari hati manusia para huffaz atau hilangkan tulisannya terus daripada mushaf.
3. Jika ini berlaku, maka tiada siapa dapat membela atau membantu kamu untuk mengembalikannya.
4. Al-Quran itu akan terhapus di akhir zaman nanti, dari dada-dada penghafaznya juga segala tulisan di mushaf-mushaf. Itulah antara tanda Kiamat.

AYAT 87 – {(TETAPI KEKALNYA AL-QURAN ITU) HANYALAH SEBAGAI RAHMAT DARI TUHANMU; SESUNGGUHNYA LIMPAH KURNIA-NYA KEPADAMU (WAHAI MUHAMMAD) AMATLAH BESAR.} (AL-ISRAA\’ 17:87),
1. Kekalnya al-Quran itu kepada Nabi s.a.w sebagai satu rahmat dari Allah s.w.t.
2. Nikmat turunnya al-Quran dan kekal terpeliharanya dalam hati Nabi s.a.w, orang-orang yang menghafaznya juga dalam kitab-kitab yang ditulis dengan sahnya, adalah sehingga ke saat hampir Kiamat.
3. Bila Kiamat tiba semuanya akan hilanglah al-Quran dari hati dan mushaf, maka tinggallah manusia teraba-raba dalam kesesatan mencari petunjuk.
4. Daripada Huzaifah bin al-Yaman R.A, Rasulullah bersbada:

يدرُسُ الإسلامُ كما يدرُسُ وَشيُ الثَّوبِ حتَّى لا يُدرَى ما صيامٌ، ولا صلاةٌ، ولا نسُكٌ، ولا صدَقةٌ، ولَيُسرى على كتابِ اللَّهِ عزَّ وجلَّ في ليلَةٍ، فلا يبقى في الأرضِ منهُ آيةٌ، وتبقَى طوائفُ منَ النَّاسِ الشَّيخُ الكبيرُ والعجوزُ، يقولونَ: أدرَكْنا آباءَنا على هذِهِ الكلمةِ، لا إلَهَ إلَّا اللَّهُ، فنحنُ نقولُها فقالَ لَهُ صِلةُ: ما تُغني عنهم: لا إلَهَ إلَّا اللَّهُ، وَهُم لا يَدرونَ ما صلاةٌ، ولا صيامٌ، ولا نسُكٌ، ولا صدقةٌ؟ فأعرضَ عنهُ حُذَيْفةُ، ثمَّ ردَّها علَيهِ ثلاثًا، كلَّ ذلِكَ يعرضُ عنهُ حُذَيْفةُ، ثمَّ أقبلَ علَيهِ في الثَّالثةِ، فقالَ: يا صِلةُ، تُنجيهِم منَ النَّار ثلاثًا.

Maksudnya: “Ajaran Islam akan terhakis daripada hati manusia sebagaimana terhakisnya corak dari pakaian sehingga manusia tidak ketahui apa itu puasa, apa itu solat, apa itu ibadat, apa itu sedeqah. Apabila hampir Kiamat akan dihilangkankan tuliasan kitab Allah seluruhnya pada suatu malam sehingga tidak tersisa di muka bumi ini satu ayat pun. Golongan yang tinggal hanyalah kelompok manusia yang lanjut usia dan lemah, lalu mereka berkata: Kami dengar dari bapa-bapa kami dulu ajar kalimat “Tiada Tuhan yang berhak di sembah melainkan Allah”, لا إله إلا الله maka kami pun mengucapkannya.
Para sahabat bertanya kepada Rasulullah apakah faedah kalimah itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Sesiapa yang mengucapkannya akan selamat dari azab neraka Jahannam.” [Riwayat Ibn Majah, Kitab Fitnah, Bab hilangnya al-quran dan ilmu, (4039]] [al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan sanad bagi hadis ini kuat].
5. Hadis ini menunjukkan akan keadaan umat Islam di akhir zaman disebabkan kejahilan tetapi dalam masa ada yang sama masih berpegang dengan kalimah tauhid. Manakala makna matan ini ialah “akan ditinggalkan kitab Allah di malam hari sehingga tidak tersisa di muka bumi ini satu ayat pun” akan datang satu hari di mana kitab Allah akan dipadamkan dan dihilangkan daripada dada-dada manusia dan juga kertas sehingga tidak tinggal satu ayat pun, bahkan ia diangkat ke langit. Kesimpulannya al-Quran ini akan diangkat kembali kepada-Nya. (Lum’ah al-I’tikad, 7/9)
6. Sesungguhnya anugerah nikmat yang Allah kurniakan kepada Rasulullah s.a.w dan umatnya adalah amat besar sekali.

PENGAJARAN:
1. Jika ada soalan provokasi atau ingin menguji, maka cukuplah sekadar jawapan yang ringkas seperti wallahu a’lam.
2. Bukan Allah s.w.t mahu meremehkan akal manusia, tapi itu adalah satu hakikat.
Contoh negara Jepun yang maju dan tinggi teknologinya tetapi rakyatnya tetap membunuh diri dengan sedikit silap sahaja.
3. Terlalu banyak pendapat-pendapat tentang roh, maka tidak perlu kita membuat andaian tentangnya, kerana ilmu manusia itu terhad dan semua itu adalah hikmah Allah s.w.t yang tersembunyi.

AYAT 88 – {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): \”SESUNGGUHNYA JIKA SEKALIAN MANUSIA DAN JIN BERHIMPUN DENGAN TUJUAN HENDAK MEMBUAT DAN MENDATANGKAN SEBANDING DENGAN AL-QURAN INI, MEREKA TIDAK AKAN DAPAT MEMBUAT DAN MENDATANGKAN YANG SEBANDING DENGANNYA, WALAUPUN MEREKA BANTU-MEMBANTU SESAMA SENDIRI\”.} (AL-ISRAA\’ 17:88).

1. Kaum musyrikim Makkah, para pujangganya telah beberapa kali dicabar untuk membawa/mencipta sesuatu yang sebanding dengan al-Quran.
2. Tetapi pastilah mereka tidak dapat melakukannnya sesama mereka. Juga walaupun mereka bekerjasama dengan sekelian manusia seluruhnya dan jin sekalipun serta seluruh makhluk atas dunia ini, pasti tidak akan mampu juga.
3. Mukjizat al-Quran itu sangat banyak; dari sudut bahasa, susunan, balaghah yang tinggi ilmunya, serta dari sudut maknanya sendiri tentang Allah, malaikat, tentang benda yang pelik-pelik pada 1400 tahun dulu, serta isi kandungannya tentang benda ghaib yang telah berlalu dan akan datang seperti hari Kiamat dan lain-lain.

AYAT 89 – {DAN SESUNGGUHNYA KAMI TELAH MENERANGKAN BERULANG-ULANG KEPADA MANUSIA, DI DALAM AL-QURAN INI, DENGAN BERBAGAI-BAGAI CONTOH PERBANDINGAN (YANG MENDATANGKAN IKTIBAR); DALAM PADA ITU, KEBANYAKAN MANUSIA TIDAK MAHU MENERIMA SELAIN DARI KEKUFURAN.} (AL-ISRAA\’ 17:89).
1. Berbagai jenis hujjah, bukti keterangan, tamsil- bandingan ibarat dan nasihat pengajaran, berita gembira dan ancaman amaran, juga kisah-n cerita panduan, semua itu telah dihuraikan dengan berbagai cara dan berulang kali dalam al-Quran, tetapi manusia itu tetap enggan tidak mahu beriman menerima kebenaran, dan terus berada dalam kekufuran والغياذ بالله.
2. Begitulah keadaan manusia, bila dicabar dia tidak boleh buat, tetapi tetap tidak mahu mengaku kalah, nak juga berada dalam kufur.
3. Setiap nabi itu ada mukjizat yang boleh menyebabkan orang beriman dengannya.
4. Rasulullah s.a.w banyak mukjizatnya, seperti air keluar dari jarinya, makanan sedikit menjadi banyak, binatang boleh bercakap, tetapi semua itu berwaktu dan hanya disaksikan oleh mereka yang bersamanya sahaja. Sama seperti mukjizat-mukjizat nabi lain, tangan Musa a.s bercahaya, mukjizat unta Nabi Saleh a.s dan lain-lain.
5. Tetapi mukjizat al-Quran kepada Rasulullah s.a.w kekal sehingga ke hari ini. Tiada yang boleh cabar al-Quran dari sudut isi kandungan, dari sudut keberkatan, membacanya tidak akan jemu walaupun selalu diulang sejak dari kecil hingga kini.
6. Syaitan tidak berjaya memesongkan al-Quran tetapi dia berjaya:
i- memesongkan akal manusia daripada memahami al-Quran.
ii. Menghalang manusia daripada tadabbur al-Quran.
iii- Menjauhkan manusia daripada membaca al-Quran.
*Maka kita jangan bagi kemenangan kepada Syaitan, selalulah kita baca dalam semua keadaan, tadabbur serta amalkan ajaran al-Quran.
6. Kita berdoa semoga Allah s.w.t jadikan al-Quran sebagai penyejuk & penenang hati kita, taman bunga dalam hidup kita. Juga semoga Allah jadikan Quran hujjah bagi kita bukan hujjah ke atas kita. Insya’ Allah.

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs