SURAH AL-KAHF : AYAT 21-26

\"\"

KISAH ASHABUL KAHFI MENJADI TULAR, ISU BILANGAN DAN TEMPOH TIDUR MEREKA SERTA ARAHAN MENYEBUT INSYA\’ ALLAH DAN SERAHKAN PERKARA GAHIB KEPADA ALLAH.

Full video: https://youtu.be/-cUJy7K3YQM

MUQADDIMAH:
1. Kisah hari ini apabila mereka bangun semula kemudian mati semula selepas itu.
2. Kemudian Allah s.w.t dedahkan kisah mereka ini lalu ia menjadi tular di kalangan orang ramai selepas itu.
3. Lalu ia menjadi pengajaran dan faedah kepada orang yang menyaksikan mereka itu untuk menguatkan akidah dan bertambah keimanan kepada kebangkitan semula.

AYAT 21- {DAN DEMIKIANLAH KAMI DEDAHKAN HAL MEREKA KEPADA ORANG RAMAI SUPAYA ORANG-ORANG ITU MENGETAHUI BAHAWA JANJI ALLAH MENGHIDUPKAN SEMULA ORANG MATI ADALAH BENAR, DAN BAHAWA HARI KIAMAT ITU TIDAK ADA SEBARANG SYAK PADANYA; PENDEDAHAN ITU BERLAKU SEMASA ORANG-ORANG ITU BERBANTAHAN SESAMA SENDIRI MENGENAI PERKARA HIDUPNYA SEMULA ORANG MATI. SETELAH ITU MAKA (SEBAHAGIAN DARI) MEREKA BERKATA: \”DIRIKANLAH SEBUAH BANGUNAN DI SISI GUA MEREKA, ALLAH JUALAH YANG MENGETAHUI AKAN HAL EHWAL MEREKA\”. ORANG-ORANG YANG BERKUASA ATAS URUSAN MEREKA (PIHAK RAJA) PULA BERKATA: \”SEBENARNYA KAMI HENDAK MEMBINA SEBUAH MASJID DI SISI GUA MEREKA\”.} AL-KAHFI- AYAT 21:
1. Demikianlah Allah s.w.t dedahkan kisah mereka kepada orang ramai dengan tujuan dan hikmah supaya mereka yang ingkar tidak percaya kepada hari Akhirat akan sedar dan insaf. Untuk memeberitahu bahawa bila-bila masa saja Allah s.w.t boleh matikan dan hidupkan semula manusia itu, semuanya di bawah kekuasaan-Nya.
2. Berkenaan ayat ini: {…supaya orang-orang itu mengetahui}. Dikatakan ditujukan kepada penduduk negeri itu untuk menambahkan keimanan; atau untuk ashaabul-Kahfi itu sendiri agar bertambah juga keimanan mereka.
3. Pendedahan ini berlaku ketika penduduk negeri itu sedang berbantah tentang –
i- akidah iaitu tentang kebangkitan semula.
ii- tentang sejarah, berapa bilangan ashaabul-kahfi dan maklumat tentang mereka.
4. Lalu mereka buat keputusan (golongan agama) untuk buat bangunan bagi menjaga mayat Ashabul-Kahfi itu daripada menjadi tempat tumpuan dengan niat yang salah.
Namun ada juga yang berpendapat (golongan pemerintah) untuk dijadikan masjid, sebagai pameran dan kunjungan orang ramai.
Dari Jabir r.a, dia berkata: “Rasulullah s.a.w telah melarang kuburan dikapur (di simen), dijadikan tempat duduk, dan juga didirikan bangunan diatasnya.” (HR Imam Muslim).
5. Ashaabul-Khafi bangkit betul-betul untuk memberi peringatan dan menunjukkan kekuasaan Allah s.w.t, bangun keluar ke bandar untuk membeli makanan, orang ramai pelik melilhat mereka, lalu menanyakan kisah mereka, lalu ke raja dan orang ramai ke gua mereka, selepas habis cerita, mereka lalu tidur kembali dan mati yang sebenarnya.

AYAT 22- {(SEBAHAGIAN DARI) MEREKA AKAN BERKATA: \”BILANGAN ASHAABUL KAHFI ITU TIGA ORANG, YANG KEEMPATNYA IALAH ANJING MEREKA \”; DAN SETENGAHNYA PULA BERKATA:\”BILANGAN MEREKA LIMA ORANG, YANG KEENAMNYA IALAH ANJING MEREKA\” – SECARA MERABA-RABA DALAM GELAP AKAN SESUATU YANG TIDAK DIKETAHUI; DAN SETENGAHNYA YANG LAIN BERKATA: \”BILANGAN MEREKA TUJUH ORANG, DAN YANG KEDELAPANNYA IALAH ANJING MEREKA\”. KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): \”TUHANKU LEBIH MENGETAHUI AKAN BILANGAN MEREKA, TIADA YANG MENGETAHUI BILANGANNYA MELAINKAN SEDIKIT\”. OLEH ITU, JANGANLAH ENGKAU BERBAHAS DENGAN SESIAPAPUN MENGENAI MEREKA MELAINKAN DENGAN BAHASAN (SECARA SEDERHANA) YANG NYATA (KETERANGANNYA DI DALAM AL-QURAN), DAN JANGANLAH ENGKAU MEMINTA PENJELASAN MENGENAI HAL MEREKA KEPADA SESEORANGPUN DARI GOLONGAN (YANG MEMBINCANGKANNYA).} AL-KAHFI- AYAT 22:
1. Orang yang terkemudian, seperti ahli kitab Taurat pada zaman Rasulullah s.a.w di Madinah, mereka berbincang pula tentang bilangan Ashaabul-Kahfi ini, meneka-neka dalam kesamaran, ada kata 3, 5 dan 7 serta 8 bersama anjing mereka.
2. Lalu Allah s.w.t menurunkan ayat ini, menyuruh Rasulullah s.a.w memberitahu bahawa hanya Allah s.w.t yang mengetahuinya. Tidak perlu mengorek menggali mencari maklumat yang tidak pasti dan tiada faedah, perbahasan yang sederhana sahaja.
3. Serta larangan supaya jangan bertanya kepada orang yang tidak tahu ini, iaitu para ahli Kitab yang telah terpesong itu, mereka juga hanya meneka.
3. Ulama\’ tafsir Ibnu Abbas berpendapat bilangan yang betul adalah 7 orang. Ini kerana bila disebut pendapat-pendapat yang sebelum ini Allah s.w.t katakan mereka hanyalah meneka dalam kegelapan sesuatu yang mereka tidak tahu. Tetapi bila disebut bilangan mereka adalah 7 orang dan yang ke 8 seekor anjing, Allah s.w.t tidak tegur lagi.

AYAT 23- {DAN JANGANLAH ENGKAU BERKATA MENGENAI SESUATU (YANG HENDAK DIKERJAKAN): \”BAHAWA AKU AKAN LAKUKAN YANG DEMIKIAN ITU, KEMUDIAN NANTI\”.} AL-KAHFI- AYAT 23:
1. Teguran untuk berkata: Insya’ Allah (إن شاء الله ( apabila berjanji atau berazam untuk mengerjakan sesuatu. Kerana semua perkara dan urusan adalah di bawah kehendak dan kekuasaan Allah s.w.t.

AYAT 24- {MELAINKAN (HENDAKLAH DISERTAKAN DENGAN BERKATA): \”INSYA ALLAH\”. DAN INGATLAH SERTA SEBUTLAH AKAN TUHANMU JIKA ENGKAU LUPA; DAN KATAKANLAH: \”MUDAH-MUDAHAN TUHANKU MEMIMPINKU KE JALAN PETUNJUK YANG LEBIH DEKAT DAN LEBIH TERANG DARI INI\”.} AL-KAHFI- AYAT 24:
1. Manakala jika kita lupa untuk menyebut insya\’ Allah apabila berjanji itu, maka hendaklah berkata sebaik sahaja mengingatinya.
2. Juga Allah s.w.t ajar Nabi s.a.w untuk berdoa meminta petunjuk dan bimbingan Allah dalam menyampaikan dakwah dan ilmunya.

AYAT 25- {DAN MEREKA TELAH TINGGAL TIDUR DALAM GUA MEREKA: TIGA RATUS TAHUN DENGAN KIRAAN AHLI KITAB), DAN SEMBILAN LAGI (DENGAN KIRAAN KAMU).} AL-KAHFI- AYAT 25:
1. Allah s.w.t memberitahu bahawa Ashaabul-Kahfi tidur selama 309 tahun ikut tahun Qamari (Lunar Calendar) atau 300 tahun ikut tahun Syamsi (Solar Calendar).
2. Ini jelas tidak perlu bertelingkah lagi tentang tempoh tidur mereka.

AYAT 26- {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): \”ALLAH JUA YANG MENGETAHUI TENTANG MASA MEREKA TIDUR; BAGI-NYA LAH TERTENTU ILMU PENGETAHUAN SEGALA RAHSIA LANGIT DAN BUMI; TERANG SUNGGUH PENGLIHATAN-NYA (TERHADAP SEGALA-GALANYA)! TIDAK ADA BAGI PENDUDUK LANGIT DAN BUMI PENGURUS SELAIN DARIPADA-NYA DAN IA TIDAK MENJADIKAN SESIAPAPUN MASUK CAMPUR DALAM HUKUM-NYA.} AL-KAHFI- AYAT 26:
1. Allah s.w.t perintahkan Rasulullah s.a.w untuk menegaskan bahawa hanya Allah s.w.t yang mengetahui semuanya, samada tentang tempoh mereka berada dalam gua serta segala urusan di langit dan bumi.
2. Jangan sesiapa yang merempuh masuk dalam urusan pentadbiran Allah s.w.t serta dalam urusan perundangan hukum-hakam-Nya. Yakni berhukum bukan dengan perundangan Syariah Islam yang Allah turunkan.

PENGAJARAN & FAEDAH:

1. Semua orang yang bergantung dan mengharapkan kepada Allah, Allah s.w.t akan beri pertolongan dan jalan keluar kelepasan kepada mereka. Itu kuasa-Nya.
2. Sesiapa yang ber’uzlah keluar untuk menyelamatkn diri dan agamanya dari fitnah, maka Allah swt akan menyelamatkannya daripada fitnah itu dengan izin-Nya, dengan bagaimana cara yang dikehendaki-Nya.
3. Kenapa Allah s.w.t tidak menyebut terus bilangan tepat Ashabul-Kahfi?
Hikmahnya Allah s.w.t rahsiakan angka ini kerana mahu mendidik hamba-hamba-Nya supaya menjauhkan diri daripada menyibukkan diri daripada berbincang tentang perkara yang tiada faedah samada untuk agama dan dunia.
4. Allah s.w.t mahu ajar ilmu analisa, tadabbur secara aktif.
Maka jika sebut tentang khilaf dalam sesuatu hukum, yang ada beberapa pendapat ulama\’; maka kita kena pilih serta nyatakan pendapat yang Rajih, iaitu yang terpilih dan sahih. Jika tidak akan menyebabkan masyarakat awam keliru dan terumbang-ambing. Iaitu setakat yang kita faham dan jika tidak tau kena rujuk ulama\’ yang pakar.
5. Allah s.w.t ajar dan didik kita supaya sentiasa mengucapkan Insya’ Allah.
6. Hati-hati dengan larangan bina masjid atas kubur, kerana Rasulullah s.a.w telah bersabda bahawa Allah laknat perbuatan ini kerana menyamai perbuatan yahudi zaman dulu yang bina masjid atas kubur para nabi dan orang soleh mereka, akhirnya boleh membawa kepada penyembahan dan pemujaan, iaitu syirik wal ‘iyazu billah.
7. Hikmah kenapa Allah s.w.t asingkan sebutan bilangan Ashaabul-Kahfi dan anjing mereka (mereka tujuh dan seekor anjing); kerana anjing bukan dari jenis manusia, yakni berlainan jenis maka tidak boleh letak sekali dalam bilangan.
8. Dengan ayat ini tamatlah kisah Ashabul-Kahfi, kita akan masuk pula kepada episod kisah lain selepas ini insya\’ Allah.

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs