View Categories

(19) Surah Al-An’am : Ayat 59-62

SEMPURNA ILMU ALLAH SWT, SETIAP ORANG ADA TEMPOH & MALAIKAT HAFAZAH.

Full video : https://youtu.be/0b2S8atmuFM?si=TgqiwqD7QqaqQjEw

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-An’am ini dengan ayat 59 sehingga 62 dalam juzu’ ketujuh.
  1. Dalam siri ini Allah SWT menceritakan tentang sempurnanya ilmu Allah SWT, meliputi setiap sesuatu.
  1. Hidup atas dunia ini setiap orang ada tempoh ajalnya; ia tidak akan dipercepatkan atau dilewatkan walaupun sesaat. 
  1. Allah juga menghantar bagi setiap manusia malaikat hafazah untuk menjaga dan mencatat amalannya.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan bahawa semua undang-undang ketetapan itu Allah yang tetapkan. 
    Allah juga menyatakan Dia juga tahu siapa yang zalim untuk diambil tindakannya.

    ii- Kemudian Allah nyatakan secara umum pula bahawa semua perkara, segala kunci benda ghaib duduk di bawah ilmu Allah! 
    Puak kafir jangan gopoh minta itu ini, minta bala. 
    Segalanya di bawah ilmu Allah dan semuanya ada tempohnya!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 59- {DAN PADA SISI ALLAH JUALAH ANAK KUNCI PERBENDAHARAAN SEGALA YANG GHAIB, TIADA SESIAPA YANG MENGETAHUINYA MELAINKAN DIA LAH SAHAJA; DAN IA MENGETAHUI APA YANG ADA DI DARAT DAN DI LAUT; DAN TIDAK GUGUR SEHELAI DAUN PUN MELAINKAN IA MENGETAHUINYA, DAN TIDAK GUGUR SEBUTIR BIJIPUN DALAM KEGELAPAN BUMI DAN TIDAK GUGUR YANG BASAH DAN YANG KERING, MELAINKAN (SEMUANYA) ADA TERTULIS DI DALAM KITAB (LAUH MAHFUZ) YANG TERANG NYATA.} (AL-AN’AM 6:59)

  1. Segala benda ghaib, yang tidak dapat diketahui dengan mata kasar, ilmu yang tersembunyi, kunci perbendaharaannya semuanya berada di dlm ilmu Allah! 
    Allah tahu apa yang manusia tidak ketahui.
  1. Hanya dua kumpulan yang Allah beri sebahagian ilmu yang hendak diberi-Nya iaitu:
    i- Para rasul melalui wahyu yang diberikan kepada mereka.

    ii- Para malaikat yang diberi ilmu taqdir kematian manusia selama setahun pada malam Lailatul Qadr untuk melaksanakan tugas.
    Mereka juga tidak mengetahui perkara ghaib kecuali apa yang Allah beritahu kepada mereka!
  1. Ayat ini boleh ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    i- {…Dan Allah tidak sekali-kali akan memperlihatkan kepada kamu perkara-perkara yang Ghaib akan tetapi Allah memilih dari RasulNya sesiapa yang dikehendakiNya (untuk memperlihatkan kepadanya perkara-perkara yang Ghaib). Oleh itu berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasulNya; dan kamu beriman dan bertaqwa, maka kamu akan beroleh pahala yang besar.} (Ali-‘Imran 3:179)

    ii- {Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dia lah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya.} (Luqman 31:34)

    Hadis-hadis yang menunjukkan bahawa hanya Allah yang mengetahui perkara ghaib:
    i- Riwayat Ibnu Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
    مَفَاتِيحُ الغَيْبِ خَمْسٌ لاَ يَعْلَمُهَا إِلَّا اللَّهُ: لاَ يَعْلَمُ مَا فِي غَدٍ إِلَّا اللَّهُ. وَلاَ يَعْلَمُ مَا تَغِيضُ الأَرْحَامُ إِلَّا اللَّهُ. وَلاَ يَعْلَمُ مَتَى يَأْتِي المـَطَرُ أَحَدٌ إِلَّا اللَّهُ. وَلاَ تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ. وَلاَ يَعْلَمُ مَتَى تَقُومُ السَّاعَةُ إِلَّا اللَّهُ
    Maksudnya: “Kunci-kunci perkara ghaib ada lima, tidak ada yang mengetahuinya kecuali Allah. Tidak ada yang mengetahui apa yang berlaku pada esok hari kecuali Allah, tidak ada yang mengetahui apa yang dikurangi pada rahim kecuali Allah, tidak ada seorang pun yang mengetahui bilakah akan turunnya hujan kecuali Allah. Setiap jiwa tidak mengetahui di negeri mana dia akan mati, dan tidak ada yang mengetahui bilakah akan berlakunya kiamat kecuali Allah.” [HR al-Bukhari (4697)].

    ii- Hadis riwayat UM Sayyidah Aisyah RA:
    Maksudnya: “Orang yang mengatakan bahawa Rasulullah saw. tahu apa yang akan terjadi esok. Orang itu sungguh-sungguh telah mengadakan suatu kebohongan besar terhadap Allah. Firman Allah: “Katakan: Tidak seorang pun di langit dan di bumi yang mengetahui apa yang tersembunyi, melainkan Allah.” (Naml:65).” [HR Muslim ].
  1. Kita hormat kepada Nabi SAW, kita tahu Nabi ada mukjizat dan tahu juga perkara-perkara ghaib yang Allah ceritakan kepada Baginda seperti tanda-tanda Kiamat dan lain-lain tetapi Nabi tetap tidak tahu bilakah akan berlaku hari Kiamat!

    Jangan melampaui kerana sesiapa yang beri’tiqad begitu bererti dia telah menyalahi al-Quran & Sunnah Nabi SAW sebagaimana hadis UM Aisyah tadi.
  1. Kesimpulannya Allah mengetahui semua perkara; yang di langit yang di bumi dalam laut dalam perut bumi kesemuanya! Tidak ada satu perkarapun yang terlepas dari ilmu Allah!

AYAT 60- {DAN DIA LAH YANG MENIDURKAN KAMU PADA WAKTU MALAM, DAN MENGETAHUI APA YANG KAMU KERJAKAN PADA SIANG HARI; KEMUDIAN IA BANGUNKAN KAMU (DARI TIDUR) PADANYA, UNTUK DISEMPURNAKAN AJAL (MASA UMUR KAMU) YANG TELAH DITETAPKAN. KEMUDIAN KEPADANYALAH TEMPAT KAMU KEMBALI, KEMUDIAN IA MENYATAKAN KEPADA KAMU APA YANG KAMU LAKUKAN.} (AL-AN’AM 6:60)

  1. Munasabah ayat ini dengan yang sebelumnya:
    i- Dalam ayat sebelum ini Allah SWT menyatakan bahawa ilmu-Nya meliputi segala perkara tiada yang terkecuali.
    ii- Kemudian Allah bawa contoh yang memang kita nampak dan hadapinya hari-hari, manusia tidur pada waktu malam, pada waktu siangnya bangun. Ini di bawah kerja buat manusia.
  1. Tetapi pada masa yang sama kita kena ingat ia bukan di bawah kuasa manusia; Allah yang menidurkan kita pada waktu malam itu dan Dia juga yang membangunkan kita keesokan harinya! Tidur itu adalah mati kecil, jika Allah tidak hantar kembali roh kita kepada jasad kita, maka kita tidak akan dapat bangun lagi dan terus mati!
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    Maksudnya: {Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Ia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Ia menahan jiwa orang yang Ia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya).} (Az-Zumar 39:42)
  1. Kerana ini kita lihat bila Allah kata Dia yang beri kita tidur baru kita nampak kebenarannya. Pada waktu biasa dan bagi orang yang sihat mungkin tiada masalah untuk tidur. Tetapi bagi orang yang ada penyakit dan masalah bukan senang untuk jatuh tidur! Satu hakikat betapa ramai orang yang terpaksa bergantung kepada pil tidur dan seumpama agar dapat memejamkan mata tidur lena!
  1. Kerana itu ketika dalam peperangan Badar, apabila para sahabat direzekikan tidur yang lena dari Allah pada malam itu adalah satu nikmat & anugerah! Sedangkan mereka dalam kebimbangan & ketakutan untuk mengahadapi musuh yang begitu ramai & lengkap senjatanya! Hanya Rasulullah SAW yang tidak tidur kerana Baginda sibuk berdoa & bermunajat kepada Allah SWT! 
  1. Firman Allah SWT tentang ini:
    Maksudnya: {Kemudian sesudah (kamu mengalami kejadian) yang mendukacitakan itu, Allah menurunkan kepada kamu perasaan aman tenteram, iaitu rasa mengantuk yang meliputi segolongan dari kamu (yang teguh imannya lagi ikhlas),…} (Ali-‘Imran 3:154)
  1. Kerana itu kata ulama’ : Orang yang dapat tidur lena dalam keadaan takut & cemas itu anugerah dari Allah. Tetapi jika tidur di dalam kelas atau ketika kuliah/khutbah, itu diulit oleh syaitan!
  1. Allah juga mengetahui apa yang kamu kerjakan pada waktu siangnya apabila kamu bangun dari tidur. Semua itu di bawah ilmu Allah!
  1. Kemudian Allah akan bangkitkan, bangunkan kamu kembali. Begitulah manusia ini selagai tidak tiba tempoh ajalnya, dia akan tidur bangun; tidur bangun sehingga tiba masa tidak bangun-bangun lagi!
  1. Cuba kaji dalam hidup kita ini sudah berapa lama kita tidur. Paling kurang waktu tidur yang minimum ialah satu pertiga dari umur kita, maka jika seseorang berumur 60 tahun, bererti dia telah tidur selama 20 tahun!
  1. Pejam celik pejam celik akhirnya kita akan mati dengan sungguhnya. Kita kembali kepada Tuhan untuk dihitung dihisab dan dberi pembalasannya! Allah akan nyatakan apa yang kita telah bua tatas dunia ini.
  1. Kata AAM : Surat amalan yang kita akan baca di Akhirat kelak; Kita sendirilah penulisnya! Maka jika nak baca surat yang baik maka perbanyakkanlah amal ibadat dan perbuatan kebaikan.

AYAT 61- {DAN DIA LAH YANG BERKUASA ATAS SEKALIAN HAMBANYA; DAN IA MENGUTUSKAN KEPADA KAMU PENGAWAL-PENGAWAL (MALAIKAT YANG MENJAGA DAN MENULIS SEGALA YANG KAMU LAKUKAN), SEHINGGA APABILA SAMPAI AJAL MAUT KEPADA SALAH SEORANG DI ANTARA KAMU, LALU DIAMBIL (NYAWANYA) OLEH UTUSAN-UTUSAN KAMI (MALAIKAT); SEDANG MEREKA PULA (MALAIKAT ITU) TIDAK CUAI (DALAM MENJALANKAN TUGASNYA).} (AL-AN’AM 6:61)

  1. Allah SWT yang Maha berkuasa ke atas hamba-Nya. Semua makhluk wajib tunduk patuh kepada Allah SWT.
  1. Semua makhluk ini akan tunduk kepada Allah sama ada:
    i- Tunduk patuh akur akan ketetapan Allah semuanya walaupun orang tidak beriman. Serta semua makhluk

    ii- Tunduk patuh dalam beribadat kepada Allah sebagai orang yang beriman.
  1. Kita sebagai orang beriman akan tunduk kepada Allah SWT kerana kedua-duanya, kita patuh akan ketetapan Allah dan kita juga tunduk sujud & rukuk kerana beribadat kepada Allah Azza wa Jalla.
  1. Tetapi dalam masa yang sama kita kena berusaha jaga diri kita. Antara jagaan yang Allah beri kepada kita ialah menghantar malaikat penjaga, yang menjaga kita dari segala kemudharatan serta dalam masa yang sama menulis segala amalan perbuatan kita baik atau jahat! 
  1. Antara usaha kita menjaga diri juga ialah membaca zikir pagi petang sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah SAW.
    Kata ulama’ : Zikir pagi petang bagi orang mukmin ialah seperti perisai baju besi bagi orang yang berperang.
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini juga:
    i- Maksudnya: {Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.} (Ar-Ra’d 13:11)
    ii- {Padahal sesungguhnya, ada malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawas segala bawaan kamu,
    (Mereka adalah makhluk) yang mulia (di sisi Allah), lagi ditugaskan menulis (amal-amal kamu);
    Mereka mengetahui apa yang kamu lakukan.} (Al-Infitar 82: 10-12)
  1. Diakhir ayat Allah kata kemudian apabila tiba tempohnya malaikat maut yang bertugas akan mencabut nyawa manusia yang telah tiba tempoh ajalnya, tidak dipercepat atau ditangguh! Satu saat pun tidak delay apabila tiba saatnya! Malaikat ini juga tidak pernah cuai atau tersalah dalam tugasannya atau tertukar orang atau alamat! Bukan seperti manusia yang begitu banyak kelemahannya.
    Malaikat maut ini terkenal dengan nama sebagai Izrail; tetapi tidak ada riwayat yang sahih.

AYAT 62- {KEMUDIAN MEREKA (YANG DIAMBIL NYAWANYA ITU) DIKEMBALIKAN KEPADA ALLAH PENGAWAS MEREKA YANG SEBENAR (YANG AKAN MEMBALAS DENGAN ADIL). KETAHUILAH, BAGI ALLAH JUA LAH KUASA MENETAPKAN HUKUM (PADA HARI KIAMAT ITU), DAN DIA LAH SECEPAT-CEPAT PENGIRA – PENGHITUNG.} (AL-AN’AM 6:62)

  1. Jangan kita berani atas dunia ini kerana selepas kita mati kita akan berada di dalam kubur; cukup tempohnya iaitu pada hari Kiamat kita semua akan dihidupkan dibangkitkan kembali kepada Allah. Ketika berhadapan dengan Allah itulah baru kita tahu di mana kedudukan kita!
  1. Kita minta dengan nama Allah yang Maha Indah, dengan sifat-Nya yang Maha Tinggi agar kita hidup ini berlandaskan al-Quran & Sunnah, mati kita dengan husnul khatimah, layak mendapat syafaat Nabi SAW di Akhirat dan layak ke syurga Allah.  
  1. Waktu Hisab (Perhitungan) itu pula hanya sekejap, kerana Allah Dia-lah secepat-cepat Pengira : Penghitung. Dalam kitab aqidah ada beberapa hadis yang menyebut tentang ini. 
  1. Kiraan hisab hanya sekejap, setengah hari saja selesai, bukan berhari-hari atau berminggu-minggu. Cuma perarakan untuk mencari siapa yang dapat memberi syafaat membantu manusia itu yang lambat, sehinggalah Rasulullah SAW muncul dan menyanggupi tugasan itu!
    Ya Allah hisablah kami dengan perhitungan yang mudah!

    Hadis- dari UM Sayyidah Aisyah RA dia berkata: 
    Aku telah mendengar Nabi SAW membaca pada sebahagian solatnya: اللَّهُمَّ حَاسِبْنِى حِسَاباً يَسِيرًا – (Ya Allah hisablah aku dengan hisab yang mudah).” Apabila Baginda selesai, aku berkata: “Wahai Nabi Allah, apa yang dimaksud dengan hisab yang mudah?” Baginda SAW bersabda, “Seseorang yang Allah melihat kitabnya lalu memaafkannya. Kerana orang yang dihisab pada hari itu, pasti celaka wahai Aisyah. Dan setiap musibah yang menimpa orang beriman Allah akan menghapus (dosanya), walaupun duri yang menusuknya.” [HR Imam Ahmad]
  1. Contoh hisab yang mudah atas dunia ini seperti kita melepasi line pemeriksaan kastam dengan cepat tanpa perlu buka apa-apa beg atau declare barang, hanya lalu saja. Begitulah juga di Akhirat kelak, bahkan Nabi SAW kata siapa kena tanya saja itu sudah dikira satu azab!
  1. Kerana itu orang misikin mendahului orang kaya di Akhirat kelak di syurga kerana mereka tidak ada banyak harta untuk dihisab satu persatu!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 59- {Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja;…}-

    Allah telah tegaskan dalam al-Quran ini dengan jelas bahawa segala perkara ghaib itu di bawah ilmu Allah semata-mata.
    Maka tak usahlah sesiapa yang rempuh masuk, berani mengaku bahawa dia tahu perkara ghaib!

    Beberapa hadis Nabi SAW melarang keras akan percaya kepada orang yang mengaku tahu perkara ghaib ini:
    i- Sabda Rasulullah SAW: Sesiapa yang mendatangi tukang ramal (dukun) dan bertanya kepadanya tentang sesuatu, maka tidak diterima solatnya selama empat puluh malam. [HR Muslim 5957].

    ii- Sabda Rasulullah SAW : Sesiapa yang mendatangi dukun atau tukang ramal, lalu dia membenarkan apa yang dikatakannya, maka sungguh ia telah kufur kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad”. [HR Ahmad 9171].

    Allah SWT Maha Kaya kadang-kadang dia beri sedikit ilmunya kepada sebahagian manusia lalu benar apa yang mereka teka lalu mereka salah gunanya dan orang lain akan percayanya dan taksub lalu terus mempercayainya!
    Seperti tukang tilik barang hilang, tukang ramal nasib dan ramalan hujan atau tidak untuk buat majlis dan sebagainya. 
    Sesekali benar & tepat ramalan mereka ini – maka manusia pun akan terus percaya & taksub kepada mereka.
    Inilah yang bahayanya bermain dengan benda ghaib ini kerana ia boleh membawa kepada kerosakan Aqidah, kepercayaan karut juga ketaksuban kepada tok bomoh itu! 
    Wal ‘iyazubillah.
  1. Ayat 59- {dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata.}-

    Allah kata Dia mengetahui semua perkara yang berlaku hatta tidak gugur sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan semuanya dalam ilmu pengetahun Allah.
    Kenapa Allah sebut secara detail satu persatu kejadian yang berlaku dalam ayat ini?
    Sedangkan kita sudah tahu secara umum bahawa ilmu Allah meliputi segala perkara.

    Jawapannya kata ulama’ :
    Apabila kita detailkan sesuatu setelah umumnya dan sebut nyatakan sesuatu yang nampak di depan mata lebih dekat kepada kefahaman!
    Seperti kita orang kampung; daun yang gugur kita nampak di depan mata kita, pokok yang kita tanama tumbuh pun boleh kita lihat di depan mata kita!
    Jadi Allah mahu nyatakan kepada kita wahai manusia, Allah tahu semuanya; pokok yang kamu tanam pun Allah tahu, yang tumbuh pun Allah tahu, maka tak usah peliklah!
  1. Ayat 59- {… dan Ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut;}-

    Allah sebut bahawa Dia juga mengetahui segala apa yang ada di darat & di laut!
    Kenapa Allah hanya sebut dua tempat ini sahaja, kenapa tidak disebut apa yang ada di udara atau langit? Sedangkan di sana jug aada makhluk lain?

    Jawapannya:
    Ini kerana biasanya manusia itu dia lebih dekat dengan apa yang boleh nampak di depan matanya! 
    Kita berada atas darat ini kita tahu ada haiwan-haiwannya, di dalam laut dan sungai juga kita nampak & tahu apa yang ada di dalamnya.
    Tuhan nak suruh kita faham lalu dibawanya apa yang kita boleh nampak dan biasa lihat. 

    Seperti ayat ini: { أَفَلَا يَنظُرُونَ إِلَى ٱلْإِبِلِ كَيْفَ خُلِقَتْ}
    Maksudnya: {(Mengapa mereka yang kafir masih mengingkari akhirat) tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta bagaimana ia diciptakan?} (Al-Ghaasyiyah 88:17)

    Kenapa Allah tak sebut gajah atau binatang lain yang lebih besar & hebat? 
    Jawapannya:
    Kerana unta itu lebih dekat dan biasa bagi orang Arab yang bersama Nabi SAW ketika ayat ini diturunkan.
    Mereka tak kenal dan tak biasa dengan gajah, jika Allah bawa perumpamaan dengan gajah pun pastilah ia tidak akan sampai ke dalam hati dan pemahaman jiwa mereka.
  1. Ayat 61- {Dan Dia lah yang berkuasa atas sekalian hambaNya; dan Ia mengutuskan kepada kamu pengawal-pengawal (malaikat yang menjaga dan menulis segala yang kamu lakukan),…}-

    Allah kata Dia lantik bagi setiap manusia itu satu malaikat yang menjaga & mengawasi segala perbuatanya.
    Ulama’ telah menulis beberapa faedah apabila ada malaikat penjaga ini:
    i- Seorang yang mukallaf & waras apabila mengetahui ada malaikat yang mencatat dan merakam setiap perbuatan & perkataannya, pastilah ia akan sentiasa beringat dan tidak berani buat maksiat. 
    Contoh seperti CCTV hari ini- ini antara alamat Kiamat juga.

    ii- Menjadikan kita tahu malaikat tulis amalan kita & amalan itu akan ditimbang di Akhirat kelak!

    iii- Allah buat apa saja dan berhukum dengan apa yang Dia nak, maka antaranya ialah ada malaikat yang menjaga & mengawas manusia.
    Firman Allah SWT: { مَّا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌۭ} –
    {Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).} (Qaaf 50:18)

    AAM telah keluarkan satu poster bahawa malaikat belum pencen;
    Maka jangan kita pandai-pandai nak ambil tugas malaikat. 
    Kerja malaikat juga mencabut nyawa manusia apabila tiba ajalnya. 
    Tidak didahulukan atau ditangguhkan walaupun sesaat! 
    Malaikat itu tidak pernah salah alamat, yang selalu silap alamtanya adalah courier penghantar barang!

    Kerana itu banyakkan berdoa dengan doa yang diajar oleh Nabi SAW ini: يَا مُقَلِّبَ القُلُوْبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِيْنِكَ
    Ertinya: “Wahai Zat yang Maha Membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agama-Mu.” (HR at-Tirmizi, no. 3522 dan Ahmad, 6:315).
  1. Ayat 62- {Kemudian mereka (yang diambil nyawanya itu) dikembalikan kepada Allah Pengawas mereka yang sebenar (yang akan membalas dengan adil). Ketahuilah, bagi Allah jua lah kuasa menetapkan hukum (pada hari kiamat itu), dan Dia lah secepat-cepat Pengira : Penghitung.}-

    Kepada Allah kita semua akan kembali dan kita akan dihukum dengan apa yang kita buat atas dunia dulu.
    Hisab kiraan Allah itu pula sekejap saja!
    Sekarang ini pun dapat kita lihat, apa yang telah kita save simpan dalam memori komputer atau hp kita, sekejap saja jika nak carinya semula tak sempat beberapa saat.
    Ini memori komputer, apa yang ada di sisi Allah SWT kelak pastilah lebih canggih dan sempurna! 
    Maka janganlah kita berani, kita berhentilah dari perkara yang maksiat & perkara yang tidak baik mudah-mudahan Allah kurniakan kepada kita syurga sebagaimana yang dijanjikan kepada para muttaqin & solihin.
    Ya Allah jadikanlah kami dan semua orang yang kami sayangi;
    sebagai orang yang bertaqwa, yang hidup atas amalan yang Engkau redhai, matikanlah kami dalam husnul-Khatimah, yang pengakhiran ucapannya adalah {لَا إِلَهَ إِلَّا الله}, dan jadikan kami orang yang layak duduk di bawah panji Nabi SAW dan masukkan kami, ibu bapa kami, pasangan & anak-anak kami ke dalam syurga-Mu yang Engkau sediakan bagi orang yang bertaqwa. 

Amin ya Allah!
Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir ringkas kita untuk hari ini semoga memberi manfaat & faedah dunia Akhirat.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs