SURAH MARYAM : AYAT 41-50

\"\"

KISAH NABI IBRAHIM SEORANG SIDDIQ, CARA IBRAHIM BERDIALOG DENGAN BAPANYA DAN KELEBIHAN MENINGGALKAN SESUATU PERKARA KERANA ALLAH SWT.

Full video: https://youtu.be/nP4sy9Dyeek

MUQADDIMAH :
1. Dalam surah Maryam ini kita telah mulakan dengan kisah yang pertama tentang Nabi Zakaria dan anaknya Nabi Yahya a.s. Kisah kedua tentang Sayyidah Maryam dan anaknya Isa a.s.
2. Siri hari ini masuk kisah ketiga iaitu tentang Nabi Allah Ibrahim al-Khalil dan peristiwa yang berlaku terhadap keluarganya, ianya bermula dari ayat 41-50. Inilah kisah nabi Ibrahim yang ada dalam surah Maryam, banyak lagi kisahnya dalam surah-surah lain.
3. Kisah Nabi Ibrahim ini muncul kerana di awal surah ini, antara objektif, maqasid surah ada menceritakan tentang tauhid, ketuhanan Allah s.w.t dan tentang akidah kebangkitan semula. Maka dibawa contoh dialog dakwah Nabi Ibrahim yang cukup harmoni dan indah, penuh kasih-sayang, rahmat dan pengharapan terhadap bapanya. Tetapi apa boleh buat, hati yang penuh nafsu dan telah ditutup daripada menerima kebenaran tidak akan melihatnya.
4. Dalam siri yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang kesesatan sesiapa saja golongan yang menyatakan boleh disembah selain daripada Allah s.w.t, samada menyembah benda yang hidup atau tidak, itu dikira kesalahan dan syirik kepada Allah s.w.t.
5. Syirik itu terbahagi kepada dua:
i- Menyembah benda hidup. Iaitu menyembah manusia seperti yahudi yang kata Uzair anak Allah, Nasara kata Isa anak Allah dan lain-lain.
ii- Benda kaku dan seperti patung, berhala, batu, pokok dan lain-lain benda yang tidak bergerak pun.
iii- Ideologi yakni penyembahan atau bertuhankan ideologi selain daripada Allah s.w.t yang bertentangan dengan Syariah Islam.
6. Pada hari ini kita akan lihat tentang jenis jenis syirik yang kedua iaitu penyembahan berhala. Bermula dari ayat 41 sehingga ke ayat 50 adalah tentang episod ini, kisah Nabi Ibrahim dan bapanya Aazar آزر si tukang berhala.

AYAT 41- {DAN BACAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD) DI DALAM KITAB (AL-QURAN) INI PERIHAL NABI IBRAHIM; SESUNGGUHNYA ADALAH IA SEORANG YANG AMAT BENAR, LAGI MENJADI NABI.} (MARYAM 19:41)
1. Allah s.w.t perintahkan Nabi s.a.w agar membaca dalam al-Quran ini tentang kisah Nabi Ibrahim a.s yang berdialog dengan bapanya untuk berdakwah.
2. Di mana Nabi Ibrahim menggunakan uslub dakwah yang lunak, bahasa yang lembut dan penuh kasih sayang, dengan hujjah-hujjah serta logik akal yang tinggi.
3. Allah s.w.t menyebut Nabi Ibrahim sebagai seorang yang إِنَّهُ كَانَ صِدِّيقًا نَبِيًّا ,
Siddiqan- iaitu seorang yang sangat benar dalam perkataan, perbuatan dan iktikadnya terhadap Allah s.w.t.
i- Amat benar muamalah/ hubunganya dengan Allah s.w.t.
Firman Allah s.w.t: {Dan juga (dalam Kitab-kitab) Nabi Ibrahim yang memenuhi dengan sempurnanya (segala yang diperintahkan kepadanya)?} [An-Najm 53:37]
ii- Amat benar dalam janjinya serta menunaikan tanggung-jawabnya terhadap perintah Allah s.w.t, sebagaimana perintah untuk menyembelih anaknya Ismail a.s.
iii- Tetap benar kepada imannya walaupun dicampak ke dalam api.
iv- Amat benar dalam sabarnya apabila diarah meninggalkan negerinya, dari Syam ke Mesir, kemudian ke Palestin dan akhir ke Makkah meninggalkan anaknya Ismail, itulah Ibrahim yang amat benar dalam segala muamalatnya.
4. Inilah Ibrahim a.s yang Allah s.w.t minta supaya kita jadikannya sebagai satu qudwah, contoh teladan yang amat indah.

AYAT 42- {KETIKA IA BERKATA KEPADA BAPANYA:\” WAHAI AYAHKU, MENGAPA AYAH MENYEMBAH BENDA YANG TIDAK MENDENGAR DAN TIDAK MELIHAT SERTA TIDAK DAPAT MENOLONGMU SEDIKITPUN?} (MARYAM 19:42)
1. Ketika Ibrahim bertanya kepada ayahnya kepada menyembah berhala, sesuatu yang tidak berkuasa? Dia tidak menggunakan bahasa kasar atau mengutuk-ngutuk sembahan bapanya.
2. Dia menggunakan psikologi dan logik akal dalam berdakwah.

AYAT 43- {\”WAHAI AYAHKU, SESUNGGUHNYA TELAH DATANG KEPADAKU DARI ILMU PENGETAHUAN YANG TIDAK PERNAH DATANG KEPADAMU OLEH ITU IKUTLAH DAKU; AKU AKAN MEMIMPINMU KE JALAN YANG BETUL.} (MARYAM 19:43)
1. Ibrahim bercakap lagi dengan ayahnya dengan menyeru bapanya dengan penuh hormat dan kasih-sayang, {\”Wahai ayahku}
2. Ibrahim menegaskan kepada bapanya bahawa dia telah menerima wahyu ilmu tentang ajaran yang benar dan meminta bapanya mengikutnya agar selamat dunia dan akhirat.

AYAT 44- {\”WAHAI AYAHKU, JANGANLAH AYAH MENYEMBAH SYAITAN, SESUNGGUHNYA SYAITAN ITU ADALAH MENDERHAKA KEPADA ALLAH YANG MELIMPAH-LIMPAH RAHMATNYA.} (MARYAM 19:44)
1. Ibrahim masih memberi nasihat kepada ayahnya, supaya jangan menyembah syaitan iaitu berhala-berhala itu.
2. Ini kerana syaitan adalah pengkhianat yang menderhaka kepada Allah s.w.t.

AYAT 45- {\”WAHAI AYAHKU, SESUNGGUHNYA AKU BIMBANG BAHAWA AYAH AKAN KENA AZAB DARI (ALLAH) AR-RAHMAN DISEBABKAN AYAH MENYEMBAH YANG LAINNYA; MAKA DENGAN SEBAB ITU AKAN MENJADILAH AYAH RAKAN BAGI SYAITAN DI DALAM NERAKA\”.} (MARYAM 19:45)
1. Ibrahim masih menyeru ayahnya dengan lembut, “Wahai ayahku”. sudah 4 kali.
2. Ibrahim menyatakan dia bimbang jika ayahnya akan terkena azab kelak dengan sebab menyembah berhala itu.
3. Maka siapa yang mengikut syaitan di dunia ini akan menjadi rakan/pengikutnya juga di dalam neraka kelak, yakni sama-sama mendapat azab di dalam neraka.

AYAT 46- {(BAPANYA) MENJAWAB: \”PATUTKAH ENGKAU BENCIKAN TUHAN-TUHANKU, WAHAI IBRAHIM? DEMI SESUNGGUHNYA JIKA ENGKAU TIDAK BERHENTI DARIPADA MENYERU DAN MENASIHATI DAKU SUDAH TENTU AKU AKAN MELUNTARMU DENGAN BATU; DAN (INGATLAH LEBIH BAIK) ENGKAU TINGGALKAN DAKU SEPANJANG MASA\”.} (MARYAM 19:46)
1. Tetapi malangnya segala itu tidak memberi kesan lansung kepada ayahnya.
2. Bahkan dia menjerkah marah mengatakan Ibrahim tidak patut marah kepada tuhan-tuhannya si berhala.
2. Bahkan mengancamnya jika masih lagi tidak berhenti menasihati dan mengganggunya dia akan balasnya dengan samada akan melontar Ibrahim dengan batu.
4. Maka baiklah kamu tinggalkan aku, yakni meghalaunya agar pergi jauh darinya.

AYAT 47- {NABI IBRAHIM BERKATA: \”SELAMAT TINGGALAH AYAH; AKU AKAN MEMOHON KEPADA TUHANKU MENGAMPUNI DOSAMU; SESUNGGUHNYA IA SENTIASA MELIMPAHKAN KEMURAHAN IHSANNYA KEPADAKU.} (MARYAM 19:47)
1. Maka Ibrahim pun masih menjawab dengan baik, selamat tinggal ayah, aku akan berhenti dan kamu akan selamat dari nasihat aku.
2. Tetapi Ibrahim berkata dia akan memohon kepada Tuhan agar mengampuni bapanya, yakni memohon kepada Allah s.w.t agar bapanya mendapat hidayah lalu bertaubat dan akan mendapat pengampunan Allah s.w.t.
3. Ibrahim menyatakan bahawa Allah s.w.t sentiasa melimpahkan kemurahan ihsanNya kepadanya.
4. Dikatakan Ibrahim ini sentiasa berdoa kepada ayahnya hatta dia membina Ka\’bah di Makkah. Sehinggalah sampai waktunya dia berhenti apabila ditegur dan dijelaskan oleh Allah s.w.t.
5. Firman Allah s.w.t: {Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka.} (At-Taubah 9:113)
{Dan bukanlah istighfar Nabi Ibrahim bagi bapanya (dibuat) melainkan kerana adanya janji yang dijanjikan kepadanya; dan apabila ternyata kepada Nabi Ibrahim bahawa bapanya musuh bagi Allah, ia pun berlepas diri daripadanya. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu lembut hati lagi penyabar.} (At-Taubah 9:114)
6. PERINGATAN: Boleh kita berdoa kepada saudara-mara dan kawan-kawan orang kafir yang masih hidup supaya diberi hidayah oleh Allah s.w.t, TETAPI tidak lagi selepas kita pasti dia mati dalam keadaan kafir dan musyrik, tidak boleh lagi kita berdoa agar dia mendapat rahmat dan keampunan.

AYAT 48- {DAN AKU AKAN MEMBAWA DIRI MENINGGALKAN KAMU SEMUA SERTA APA YANG KAMU SEMBAH YANG LAIN DARI ALLAH; DAN AKU AKAN BERIBADAT KEPADA TUHANKU DENGAN IKHLAS; MUDAH-MUDAHAN AKU DENGAN IBADATKU KEPADA TUHANKU ITU TIDAK MENJADI HAMPA (DAN DERHAKA SEPERTI KAMU)\”.} (MARYAM 19:48)
1. Maka Ibrahim mengambil keputusan untuk meninggalkan tempat itu, yang penuh dengan syirik dan penentangan daripada kaumnya dan bapanya sendiri.
2. Dia akan membawa diri ke tempat lain yang jauh daripada semua kesesatan dan kesyirikan itu, adar dapat beribadat dengan lebih ikhlas dan bebas.
3. Dia juga berdoa semoga dengan ibadatnya itu dia tidak akn menjadi orang yang derhaka seperti mereka.
4. Begitu juga kita disyariatkan untuk berhijrah meninggalkan tempat/suasana yang penuh ahli maksiat dan keburukan ke tempat yang lebih baik dan mesra ibadat.

AYAT 49- {MAKA APABILA IA BERHIJRAH MENINGGALKAN MEREKA DAN APA YANG MEREKA SEMBAH YANG LAIN DARI ALLAH KAMI KURNIAKAN KEPADANYA: ISHAK (ANAKNYA), DAN YAAKUB (CUCUNYA); DAN KEDUA-DUANYA KAMI JADIKAN BERPANGKAT NABI.} (MARYAM 19:49)
1. Maka Nabi Ibrahim a.s pun keluar dari negerinya Babylon, Iraq ke Syam (Syria). Meninggalkan bapa dan kaumnya yang masih menyembah berhala serta bersamanya beberapa orang pengikutnya yang tidak ramaipun.
2. Maka Allah jadikan keturunan Ibrahim ini berkembang biak dengan mengurniakan kepadanya anak iaitu Ishak yang dapat pula anak Ya’kub yang keduanya adalah keturuan yang baik, dilantik sebagai nabi-nabi juga.
Disebut Ishak dan Ya’kub sebagai zuriat Ibrahim daripada bani Israil manakala anaknya yang seorang lagi nabi Ismail a.s pula adalah zuriat dari bangsa Arab. Ia mempunyai kisah khas yang lain pula.

AYAT 50- {DAN KAMI KURNIAKAN KEPADA MEREKA DARI RAHMAT KAMI, DAN KAMI JADIKAN BAGI MEREKA SEBUTAN DAN PUJIAN YANG TINGGI DALAM KALANGAN UMAT MANUSIA.} (MARYAM 19:50)
1. Anak cucunya yang mulia ini dikurniakan amal yang soleh, ilmu yang bermanfaat, rezeki yang luas, keturunan soleh yang berkembang dan menjadi sebutan manusia sehingga ke hari ini.
2. Ini terbukti kerana kita hari ini sentiasa menyebut nama Nabi Ibrahim a.s bersama Rasulullah s.a.w di dalam setiap selawat dan solat kita.

BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :
1. Nabi Ibrahim a,s sangat berhemah dalam dakwahnya, menggunakan bahasa yang lunak dan cara psikologi.
2. Siapa yang ikut syaitan seolah-olah telah menyembah syaitan.
3. Berhijrahlah kita meninggalkan benda yang buruk kepada sesuatu yang lebih baik.
4. Kata cerdik pandai, sesiapa yang berhijrah meninggalkan keburukan ke arah kebaikan kepada Allah s.w.t, maka Allah s.w.t akan membalasnya dengan kebaikan yang berganda-ganda sebagaimana Ibrahim a.s.

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs