SURAH LUQMAN : AYAT 31-32

\"\"

TANDA KUASA ALLAH BAHTERA BELAYAR DI LAUTAN, KEPENTINGAN SABAR DAN SYUKUR & KESAN KEIKHLASAN HATI KETIKA BERDOA.

Full video : https://youtu.be/1TCsvTUl92I

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini kita akan bincangkan dalil kekuasaan dan keesaan Allah s.w.t di atas bumi dan di lautan yakni sebelah bawah kita. Ini adalah dalil zahir yang dapat dilihat.
  2. Hanya dua ayat sahaja hari ini tetapi mempunyai dalil tentang kekuasaan Allah s.w.t yang amat besar dan hebat, yang dapat kita lihat di atas bumi dan laut.
  3. Lengkaplah perbincangan kita kali ini tentang Allah s.w.t yang Maha Teliti خَبِيرٌ, Berkuasa dan Bijaksana عَزِيزٌ حَكِيمٌ, dan Maha Tinggi dan Mengetahui الْعَلِيُّ الْكَبِيرُ.
    Jika kita memahami nama-nama Allah yang indah ini ianya amat menarik dan cukup untuk memantapkan keimanan.
  4. Dalam siri sebelum ini Allah s.w.t menyebut dalam ayat 29 tentang kekuasaan-Nya dalam mencipta malam dan siang yang silih berganti. Ini dalil di angkasa, kerana sumbernya adalah matahari dan bulan yang berjalan. الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ كُلٌّ يَجْرِي- أَلَمْ تَرَ
  5. Kemudian dalam ayat selepasnya dibawa contoh dan dalil di sebelum bawah, tentang bahtera dan kapal yang belayar di lautan pula. أَلَمْ تَرَ أَنَّ الْفُلْكَ تَجْرِي

AYAT 31- {TIDAKKAH ENGKAU MEMERHATIKAN BAHAWASANYA KAPAL-KAPAL BELAYAR DI LAUT DENGAN NIKMAT KURNIA ALLAH, UNTUK DIPERLIHATKAN KEPADA KAMU SEBAHAGIAN DARI TANDA-TANDA KEMURAHANNYA? SESUNGGUHNYA YANG DEMIKIAN ITU MENGANDUNGI KETERANGAN-KETERANGAN DAN BUKTI (UNTUK BERFIKIR) BAGI TIAP-TIAP (MUKMIN) YANG TETAP TEGUH PENDIRIANNYA, LAGI SENTIASA BERSYUKUR.} (LUQMAN 31:31)

  1. Tidakkah kamu lihat perahu, bahtera dan kapal berlayar di atas permukaan laut dengan nikmat dan kuasa Allah s.w.t.
  2. Demikian itu untuk memperlihatkan kepadamu sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan-Nya sebagai bukti serta berfikir bagi mukmin yang tetap teguh pendiriannya, lagi sentiasa bersyukur supaya tidak leka dan lalai dari mengingati Allah s.w.t.
  3. Sebelum ini adalah perbincangan tentang dalil di atas, hari ini kita turun di bawah.

4.. Maka Allah s.w.t bincangkan tentang sebab dan musabbab, terjadi siang dan malam dengan perjalanan, peredaran matahari dan bulan, manakala sebab berjalannya kapal dan perahu itu dengan angin yang meniupnya dengan kuasa dan perintah Allah s.w.t.

  1. Kita pada hari ini telah dilhamkan Allah s.w.t untuk merekacipta pelbagai cara seperti enjin, mesin dan seumpamanya.
  2. Allah s.w.t berkata Dia mahu menunjukkan sebahagian daripada kuasa-Nya untuk menjadi dalil bagi kita akan keesaan dan kekuasan Allah s.w.t.
  3. Ulama\’ berkata maksudnya: {dengan nikmat Kurnia Allah} itu adalah:
    i- atas kapal itu biasanya penuh dengan nikmat sumber rezeki bagi manusia. Makanan dan hasil perniagaan
    ii- nikmat angin atau enjin yang dengan sebabnya kapal bergerak.
  4. Nikmat dan bahagialah bagi sesiapa yang baca al-Quran bertambah keimanannya serta malanglah bagi yang sebaliknya.
  5. Orang mukmin ini sifatnya dalam semua keadaan samada sabar atau syukur: صَبَّارٍ شَكُورٍ
  6. Berada di atas bahtera di tengah lautan yang luas yang bergelombang pastilah sesuatu yang menakutkan dan menggerunkan, maka kita kena sabar dan dalam masa yang sama wajib bersyukur atas nikmat melalui bahtera yang bergerak itu.
  7. Hidup kita di atas dunia ini begitulah, di atas daratan jalannya berliku, di tengah laut bergelombang dilambung ombak pula!

AYAT 32- {DAN (ORANG-ORANG YANG TIDAK BERSIFAT DEMIKIAN) APABILA MEREKA DIREMPUH SERTA DILIPUTI OLEH OMBAK YANG BESAR SEPERTI KELOMPOK-KELOMPOK AWAN MENYERKUP, PADA SAAT ITU MEREKA SEMUA BERDOA KEPADA ALLAH DENGAN MENGIKHLASKAN KEPERCAYAAN MEREKA KEPADANYA SEMATA-MATA. KEMUDIAN BILA SAHAJA ALLAH MENYELAMATKAN MEREKA KE DARAT MAKA SEBAHAGIAN SAHAJA DI ANTARA MEREKA YANG BERSIKAP ADIL (LALU BERSYUKUR KEPADA ALLAH SERTA MENGESAKANNYA). DAN SEMEMANGNYA TIADA YANG MENGINGKARI BUKTI-BUKTI KEMURAHAN KAMI MELAINKAN TIAP-TIAP ORANG YANG BERSIFAT PEMUNGKIR JANJI, LAGI AMAT TIDAK MENGENANG BUDI.} (LUQMAN 31:32)

  1. Apabila manusia kafir itu menaiki kapal, lalu mereka dilambung ombak yang besarnya seperti gunung, dan gelapnya seperti ada awan yang besar menaungi, maka apabila berada dalam kecemasan, kengerian, ketakutan dan kegawatan ini, mereka pun menyeru Allah dengan tulus ikhlas kepada-Nya, berdoa kepada Allah saja, lupa terus kepada sembahan mereka yang lain sebelum ini.
  2. Firman Allah s.w.t juga: {Dalam pada itu, apabila mereka naik bahtera (lalu menemui sesuatu bahaya di laut), mereka memohon pertolongan kepada Allah dengan doa yang tulus ikhlas kepadaNya. Kemudian setelah Allah menyelamatkan mereka (naik) ke darat, mereka berlaku syirik kepadaNya.} (Al-\’Ankabuut 29:65)
  3. Maka ingatlah hanya kepada Allah s.w.t kita berdoa dan minta pertolongan, murnikan akidah, jangan seru dan berdoa kepada yang lain selain-Nya.
  4. Setelah Allah menyelamatkan mereka dari bahaya tenggelam dan selamat kembali ke daratan, maka mereka terbahagi menjadi dua golongan: مُقْتَصِدٌ
    i- ada antara mereka yang bersikap adil, مُقْتَصِدٌ lalu bersyukur kepada Allah serta beriman dan mengesakan-Nya.
    ii- ada di antara mereka bersikap pertengahan, مُقْتَصِدٌ iaitu sederhana imannya, tidak lagi bersungguh menentang dan ingkar, tetapi tetap tidak bersyukur kepada Allah secara sempurna.
  5. Tetapi ada yang mereka tetap dalam keadaan berdosa dan menzalimi diri sendiri, mereka kufur kepada nikmat Allah lagi mengingkarinya. mereka mengkhianati perjanjian dengan Tuhannya, bahawa jika Allah menyelamatkannya, dia akan bersyukur dan akan mengesakanNya.
  6. Tetapi dia tidak memenuhi janjinya, sangat ingkar kepada nikmat-nikmat Allah, tidak berterima kasih dan tidak mensyukurinya, bahkan sengaja melupakannya. Padahal tidak ada sikap yang layak dilakukan bagi orang yang telah diselamatkan Allah selain bersyukur.
  7. Beberapa peribahasa Melayu tentang ini: Seperti melepaskan anjing yang tersepit atau kacang yang lupakan kulit!
  8. Semoga kita sentiasa ikhlas dalam keimanan ita kepada Allah s.w.t . sentiasa bersyukur atas nikmat-Nya serta sabar atas segala ujian dari-Nya.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

A- Dari Sudut Pendidikan:

  1. Ayat 31- {bagi tiap-tiap (mukmin) yang tetap teguh pendiriannya, lagi sentiasa bersyukur.} صَبَّارٍ شَكُورٍ- para ulama\’ berkata ayat ini menunjukkan Allah berkata setiap mukmin itu sentiasa ingat Allah, samada pada waktu senang atau susah, kaya atau miskin, mendapat nikmat atau di uji, sabar ketika susah, syukur ketika dapat nikmat.
  2. Ayat 32- { melainkan tiap-tiap orang yang bersifat pemungkir janji, lagi amat tidak mengenang budi.} خَتَّارٍ كَفُورٍ – ayat ini pula sebaliknya memberi amaran kepada orang yang mungkir janji, lupa diri, yang kufur nikmat iaitu apabila senang lupa kepada Allah. Ini supaya kita insaf agar nikmat itu tidak menjadikan kita kufur kepada Allah serta khianat kepada kawan.
    Hadis dari Abdullah bin Amr RA, \”Rasulullah SAW bersabda, \’Barangsiapa yang ada dalam dirinya empat sifat, maka ia benar-benar seorang munafik sejati, dan barangsiapa dalam dirinya terdapat salah satu dari empat sifat ini, maka dalam dirinya tertanam satu kemunafikan sehingga ia meninggalkannya, (iaitu);
    (1) Apabila bercakap ia berdusta
    (2) Apabila diberi amanah ia mengkhianati
    (3) Apabila berjanji ia mengingkari
    (4) Apabila berdebat ia tidak jujur dan ingin menang,\’
    (HR. Bukhari & Muslim).
    Ini adalah sifat munafik amali (dari segi perangai atau sifat) bukan iktikad.
  3. Iman itu ada dua bahagian: صَبَّارٍ شَكُورٍ
    i- separuh terletak pada sabar. Sabar apabila ditimpa ujian.
    ii- separuh pada syukur. Syukur apabila mendapat nikmat kesenangan.
    Hadis dari Rasulullah s.a.w: \”Ajaibnya perihal seorang mukmin itu. Sesungguhnya semua urusannya baik-baik belaka. Dan tiadalah memiliki ciri yang seperti ini melainkan hanya kepada seorang yang mukmin. Sekiranya dia diuji dengan kesenangan, lalu dia bersyukur. Maka syukur itu adalah yang terbaik baginya. Sekiranya dia diuji dengan kesusahan, lalu dia bersabar. Maka sabar itu adalah yang terbaik baginya.\” [HR Muslim]
  4. Ayat 32- Apa munasabah Allah s.w.t sebut di awal ayat tentang bahtera yang belayar dan di akhir ayatnya Allah sebut tentang {orang yang sabar dan syukur صَبَّارٍ شَكُورٍ } – ulama\’ tadabbur kata kerana ia nampak jelas bahawa bahtera yang belayar di lautan berada di dalam dua keadaan:
    i- apabila dilambung ombak, perjalanannya bergelombang, menyebabkan penumpangnya berasa cemas dan tidak tenang, ada yang sakit atau mabuk, maka kena sabar atas ujian itu.
    ii- adakalannya angin dan lautan tenang, udara baik, pemandangan indah, kapal bahtera belayar dengan lancar, maka penumpangnya berasa suka dan gembira menikmati pelayaran itu, maka mereka pastilah kena bersyukur atas nikmat itu.
    begitulah keadaan atas kapal itu suka atau takut,maka penumpang kapal pun kena syukur dan sabar.
    Begitulah juga perumpamaan hidup kita di atas dunia ini.
  5. Ayat 32- {apabila mereka dirempuh serta diliputi oleh ombak yang besar seperti kelompok-kelompok awan menyerkup,} – yang menceritakan kisah kapal dan ombak ini dengan detail dan tepat tentang suasana di lautan adalah Rasulullah s.a.w yang tidak pernah naik kapal atau belayar di lautan, maka kita yakinlah bahawa maklumat ini adalah sesuatu dari Allah s.w.t, melalui wahyu yang diberikan kepadanya. Ini antara mukjizat Baginda s.a.w yang boleh menceritakan apa yang tidak dialaminnya.
    Begitu juga cerita apabila Rasulullah kembali dari Isra\’ Mi\’raj salah satu soalan perangkap yang ditanya oleh Quraisy tentang sifat Baitul-Maqdis, berapa tiang dan pintunya. Lalu Allah s.w.t hantar seolah gambar yang dapat dilihat oeh Baginda dan dapat menjawab dengan tepat semuanya dan diakui oleh kafir Quraisy yang pernah ke sana dan ada maklumat tentangnya.
  6. Ayat 32- {Pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadaNya semata-mata.} – Orang kafir itu berdoa kepada Allah s.w.t menunjukan satu dalil bahawa mereka yakin akan kewujudan dan kekuasaan Allah s.w.t, ini Tauhid Rububiyyah. Tetapi mereka tidak beriman dengan Tauhid Uluhiyyah, mereka tidak menyembah Allah s.w.t yang Esa sahaja, bahkan syirik kepada-Nya dengan menyekutukan-Nya dengan yang lain.
    Ulama\’ kata Iman itu apa yang keluar dari mulut seseorang itu secara spontan ketika gawat dan kecemasan menunjukkan keimanannya kepada benda itu.
    Kerana seseorang itu tidak mungkin panggil minta pertolongan dari orang yang dia tidak percaya berkuasa untuk menolongnya. Maka jika kita mahu keluar rumah kita baca nama Allah dan minta perlindungan darinya.
  7. Ayat 32- {Pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadaNya semata-mata.} – ini menunjukkan Allah s.w.t menerima doa orang yang ikhlas walaupun mereka kafir sebelumnya. Ini kerana pada masa itu mereka benar-benar ikhlas dan telah tutup pintu kepada makhluk yang lain.
    Hadis daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda: \”Berdoalah kepada Allah dengan penuh keyakinan bahawa doamu pasti dikabulkan oleh Allah, dan ketahuilah bahawa Allah itu tidak berkenan menerima doa orang-orang yang hatinya lali dan lupa.\” (Riwayat at-Tirmizi)

Inilah pentingnya berdoa dilakukan dengan penuh ikhlas dan khusyuk serta yakin akan dimakbulkan oleh Allah SWT.
Biar nampak kita berhajat, jangan hanya minta orang berdoa dan solat hajat sedangkan dia sendiri tidak buat.
Contoh perbuatan tidak elok yang berlaku sekarang ada yang berdoa live di depan Ka\’bah, doa live dari kubur dan seumpamanya itu adalah permainan iblis.
Berdoa mesti dari hati serta ikhlas dan khusyuk.

  1. Ayat 32- { Ayat 32- {Pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadaNya semata-mata } – Ulama\’ menafsirkan betapa besarnya kedudukan ikhlas, pentingnya bagi mereka yang betul-betul terdesak dalam kesusahan untuk ihklaskan dan khusyukkan doanya. Bukan sekadar minta tolong orang alim, pak imam atau orang ramai berdoa dan solat hajat minta keperluannya, tetapi dia sendiri tidak pandai atau tidak cuba untuk berdoa dan meminta hajatnya.
    Bukan tidak boleh atau salah meminta tawassul doa dari orang alim yang masih hidup, tetapi dia sendiri yang berhajat itu tunjukkan keikhlasan dan keperluanya.
  2. Kata ulama\’; qabulnya doa kerana hati yang ikhlas.
    Sebagaimana orang kafir dalam ayat 32 yang berhajat dan ikhlas ketika di atas kapal tadi, mereka betul-betul ikhlas minta dari Allah maka Allah selamatkan mereka walaupun masih kafir.
    Ada orang yang betul-betul berdesak berdoa di hadapan tungul kayu atau kubur tetapi Allah qabulkan permintaannya. Kenapa?
    Ini kerana hatinya benar-benar berhajat dan ikhlas ketika itu, maka Allah kabulkan, mungkin seseorang itu berdoa di dalam Ka\’bah tetapi kerana dia tidak ikhlas Allah s.w.t tidak maqbulkan.
    Tetapi yang berdoa kepada selain dari Allah pastilah salah dan tidak akan mendapat pahala, bahkan berdoaa!

Manakala permohonan doa itu samada Allah s.w.t akan:

  1. Lulus terus perkenan maka maqbul segera.
    ii- tidak terjadi tetapi dapat pahala di akhirat.
    iii- Allah s.w.t tukarkannya dengan yang lain, yang faedahnya lebih baik.
  2. Ayat 31- {Tidakkah engkau memerhatikan bahawasanya kapal-kapal belayar di laut dengan nikmat Kurnia Allah} – ayat ini menunjukkan tanda kekuasaan Allah s.w.t di atas bumi ini, di atas air laut.
    Air adalah sesuatu cecair yang lembik, jika kita fikirkan secara logik dan lihat dengan mata yang zahir saja, bagaimana kapal yang beratnya beribu-ribu tan dapat terapungg dan bergerak di atas laut itu.

Pada zaman dahulu lagi kapal merupakan pengangkutan utama manusia, belayar beribu batu ke sana sini, tanpa teknologi moden, Allah permudahkan dengan bantuan ciptaan-Nya yang lain seperti angin, matahari, bulan dan bintang menjadi panduan pelayar di tengah lautan yang luas. Masya Allah betapa hebatnya kuasa Allah s.w.t.
Kemudian Allah berikan ilham demi ilham kepada manusia untuk meningkatkan teknologi bagi nikmat dan kemudahan manusia. Awalnya guna angin, kemudian api, minyak, enjin, solar dan bertambah canggih semuanya menunjukkan kuasa Allah.

Semua keajaiban di lautan ini (di daratan juga), kita lihatlah dengan mata hati, semoga Allah tingkatkan iman kita.

Powered by BetterDocs