View Categories

(64) Surah Ali-‘Imran : Ayat 187-188

JANJI AHLI KITAB NYATAKAN KEBENARAN, NABI SAW BENAR & KUMPULAN YANG GEMBIRA DI DUNIA TIDAK SELAMAT DI AKHIRAT

Full video : https://youtu.be/fqYaFE-gAK8?si=o2kkNURMj4NJSN_w

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir bagi ayat 187 sehingga 188, Surah Ali-‘Imran iaitu surah yang ketiga, dalam juzu’ yang keempat.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan tentang janji ahli kitab, iaitu Allah buat perjanjian dengan mereka untuk menyatakan kebenaran. Iaitu wajib mereka sampaikan apa yang ada dalam kitab Injil & Taurat mereka. 
  1. Antara maklumat yang wajib mereka sampaikan adalah bahawa benarnya Nabi Muhammad SAW, dialah nabi akhir zaman yang disebut sifat-sifat & kisahnya dalam Taurat & Injil. 
    Tetapi apa boleh buat kerana hasad, dendam & dengki mereka ketepikan janji ini & sembunyikan kebenaran ini!
  1. Kemudian Allah nyatakan kumpulan yang bergembira dengan apa yang mereka tak buat atas dunia ini. 
    Walaupun mendapat pujian manusia di dunia tetapi mereka TIDAK akan mendapat pengiktirafan Allah SWT & tidak akan selamat di akhirat.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    a)
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT menyatakan tentang keraguan atau syubhah yang ditimbulkan oleh golongan yahudi yang mencela & menimbulkan keraguan tentang Rasulullah SAW, bukan Baginda tetapi orang lain rasul akhir zaman!

    ii- Maka dalam ayat ini pula Allah nyatakan bagaimana kamu berbuat begitu sedangkan kebenaran & keterangan telah jelas dalam kitab Taurat & Injil yang kamu ada, janji untuk sampaikannya juga sudah ada!  
    Ayat ini turun kepada yahudi tetapi ia juga peringatan kepada kita yang ada ilmu tetapi tak mahu ikut & tidak sampaikannya.

    b)
    i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan kepada Nabi SAW bahawa mereka golongan yahudi akan menyakiti Baginda SAW. Mereka akan buat apa saja untuk menyakitinya.

    ii- Maka dalam ayat ini Allah nyatatakan antara keburukan & kejahatan yang mereka akan buat ke atas Nabi AW ialah menyembunyikan maklumat tentang kebenaran Baginda SAW! 
    Ini adalah kejahatan yang amat berat- tahu tetapi tidak mahu akui, ada maklumat tetapi sembunyikannya!
  1. Surah Ali-‘Imran ini panjang- di mana:
    i- Pada awal surah Allah SWT ceritakan tentang kedatangan nasrani Najran yang datang berdebat dengan Rasulullah SAW. 

    ii- Kemudian dalam ayat 121 sehingga ayat 180, diceritakan peristiwa yang berkait dengan Ghazwah Uhud di mana terserlah kejahatan puak munafiqin. 

    iii- Maka sekali lagi dalam ayat ini, di hujung surah, kita u-turn balik kepada kejahatan yahudi & nasrani yang menyembunyikan kebenaran yang terkandung dalam kitab Taurat & Injil, yang berkait dengan kebenaran Rasulullah SAW.

    iv- Walaupun yahudi sembunyikan fakta, kebenaran Rasulullah SAW tetap terserlah, makin hari makin ramai yang ikut. 
    Akhirnya yahudi yang terkeluar dari Madinah & yahudi terakhir yang ada di Madinah iaitu bani Quraizah telah dibunuh kerana kejahatan mereka yang menyokong tentera Ahzab yang datang untuk menyerang Madinah!
    Boleh baca buku ini untuk fakta & maklumat yang lebih lanjut:
    Madinah Munawwarah Kelebihan Dan Sejarah. https://dartaibah.com/…/Madinah-Munawwarah-Kelebihan…

    Sesiapa yang mahu mengerjakan haji atau umrah molek ada dan baca kitab ini bersama kembarnya:
    Makkah Mukarramah Kelebihan Dan Sejarah https://dartaibah.com/…/Makkah-al-Mukarramah-Kelebihan…

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 187- {DAN (INGATLAH) KETIKA ALLAH MENGAMBIL PERJANJIAN SETIA DARI ORANG-ORANG YANG TELAH DIBERIKAN KITAB (IAITU): “DEMI SESUNGGUHNYA! HENDAKLAH KAMU MENERANGKAN ISI KITAB ITU KEPADA UMAT MANUSIA, DAN JANGAN SEKALI-KALI KAMU MENYEMBUNYIKANNYA”. KEMUDIAN MEREKA MEMBUANG (PERJANJIAN SETIA) ITU KE BELAKANG MEREKA, SERTA MEREKA MENUKARNYA DENGAN MENGAMBIL FAEDAH DUNIA YANG SEDIKIT. MAKA AMATLAH BURUKNYA APA YANG MEREKA DAPATI DARI PENUKARAN (KALAMULLAH DAN JANJINYA) ITU.} (ALI-‘IMRAN 3:187)

  1. Allah sebut dan ungkit tentang perjanjian-Nya dengan ahli kitab golongan yahudi & Nasrani; satu perjanjian yang kuat & mantap. Iaitu mereka berjanji untuk menyatakan, menyampaikan, menzahirkan kebenaran akan isi kandungan kitab yang mereka dapat & jangan menyembunyiknya.
  1. Antara amanah yang dipertanggungjawabkan ialah untuk menyatakan sifat Nabi SAW dari segi kejadian & akhlaknya! 
    Serta mengisbatkan Risalah bahawa Baginda ialah orang yang benar, yang betul diutus oleh Allah SWT bukan orang lain!
  1. Tetapi malangnya demi habuan & kepentingan dunia mereka membuang janji itu, nasib malang & tidak beruntung; jumpa dengan Nabi SAW tetapi tidak beriman dengannya bahkan melawannya pula!
    Maka tak perlu lah kita dok menyanyi (Lau Kana bainana) kerana kita tidak tahu jika kita hidup bersama Rasulullah SAW pada zaman itu- kita tidak tahu kita akan berada di sebelah golongan mana? Wal-‘iyazu billah dari bersama penentangnya.
    Kita sekarang ini walaupun hidup pada akhir zaman tetapi alhamdulillah kita adalah orang yang beriman kepada Allah & Rasulullah SAW! 
  1. Hadis riwayat Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda: مَنْ سُئِلَ عَنْ عِلْمٍ فَكَتَمَهُ أَلْجَمَهُ اللَّهُ بِلِجَامٍ مِنْ نَارٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ.
    Maksudnya: Barangsiapa ditanya tentang suatu ilmu tetapi menyembunyikannya, dia akan dikekang (dimulutnya) dengan kekangan api neraka! (Kemudian akan Allah akan campaknya ke dalam neraka). [HR at-Tirmizi, Abu Daud & Ibnu Majah].

    Yakni siapa yang ditanya tentang ilmu yang dia tahu tetapi dia sembunyikannya. 
    Sembunyikan kerana beberapa sebab seperti kerana kepentingan diri, takut orang marah arau kena boikot & disekat.
  1. Allah gambarkan perbuatan jahat & buruk mereka yang membuang perjanjian setia itu ke belakang.  
    Yakni mereka membatalkan perjanjian itu dengan:
    i- Tidak ceritakan kepada orang ramai tentang Nabi SAW & sifatnya yang ada dalam kitab Taurat & Injil. 

    ii- Mereka tidak beramal dengan apa yang ada dalam kitab Taurat & Injil mereka.
    Kita hari ini ini begitu juga- tidak beramal sepenuhnya dengan apa yang ada dalam al-Quran. 
    Antaranya ialah dalam perundangan seperti hudud & qisas.

    iii- Atau mereka sembunyikan sifat Nabi SAW daripada manusia.
    Kenapa tak mahu kata- takut orang marah- kenapa tak mahu beritahu; kerana takut orang tak ikut, takut orang sekat.
  1. Perbuatan buruk kedua mereka ialah: Allah nyatakan bahawa mereka sanggup jual agama dengan sedikit habuan dunia. 
    Apabila mereka sembunyikan apa yang ada dalam kitab mereka semata-mata untuk mendapat habus dunia seperti pangkat kedudukan, harta-benda, projek dan seumpamanya.
  1. Maka Allah nyatakan di akhir ayat bahawa perbuatan mereka si yahudi itu adalah sifat yang paling buruk; orang yang paling rugi dalam perjuangan. 
    Menjual agama dengan kebendaan yang sedikit, meninggalkan kelebihan yang besar semata-mata untuk habuan yang kecil!

AYAT 188- {JANGAN SEKALI-KALI ENGKAU MENYANGKA (WAHAI MUHAMMAD, BAHAWA) ORANG-ORANG YANG BERGEMBIRA DENGAN APA YANG MEREKA TELAH LAKUKAN, DAN MEREKA PULA SUKA DIPUJI DENGAN APA YANG MEREKA TIDAK LAKUKAN – JANGAN SEKALI-KALI ENGKAU MENYANGKA MEREKA AKAN TERSELAMAT DARI SEKSA, DAN MEREKA PULA AKAN BEROLEH AZAB YANG TIDAK TERPERI SAKITNYA.} (ALI-‘IMRAN 3:188)

  1. Allah berpesan lagi kepada Rasulullah SAW & kita semua orang beriman agar jangan menyangka orang kafir yang tidak beriman atas dunia ini akan gembira bahagia, selamat daripada segala kesusahan & siksaan!
  1. Sedangkan hakikatnya mereka akan beroleh azab yang tidak terperi sakitnya di Akhirat kelak!
  1. Walaupun ayat ini turun kepada golongan kafir yang bersikan demikian; ia juga menjadi amaran kepada orang beriman & menjadi kewajipan kepada kita untuk mengambil ibrah pengajaran juga!
    العبرة بعموم اللفظ لا بخصوص السبب
    Ini kerana yang diambil-kira ialah umum lafaz bukan sebabnya yang khas!
  1. Sabab nuzul ayat ini: Hadis riwayat dari Abu Said al-Khudri RA bahawa-:
    Terdapat beberapa orang lelaki dari kalangan munafiq pada zaman Nabi SAW; Apabila mahu keluar berperang mereka tidak mahu pergi dan memberi alasan yang tidak logik. Setelah Rasulullah SAW pergi, mereka gembira dan bahagia kerana Rasulullah SAW benarkan mereka tidak pergi! Apabila Rasulullah kembali mereka datang lagi memberi pelbagai alasan serta bersumpah palsu. Mereka juga suka bila Nabi puji mereka. Maka turunlah ayat al-Quran ini. [HR Muslim].
    Maka terserlah tembelang mereka ini sama ada mereka yahudi atau munafiq yang menyembunyikan kekufuran dalam hati mereka!
  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan bahawa nabi SAW akan menghadapi puak kafir yang akan menyakiti orang Islam dengan kuat. 
    Allah nyatakan antara perkara yang menyakiti ialah kata kepada Nabi & sembunyikan sifatnya!

    ii- Maka dalam ayat ini Allah nyatakan sifat & perbuatan mereka yang buruk. 
    Mereka juga suka mengacau pengikut Nabi yang lemah. 
    Dalam masa yang sama, mereka suka pula dipuji atas benda yang mereka tidak buat.
    Mereka suka benar kalau dikatakan kepada mereka yang mereka itu ahli ilmu, ahli agama atau Ahli Kitab.
    Maka Allah dedahkan sifat mereka di sini- mulut manis ditunjuk tetapi hati busuk di dalam dapat dikesan melalui karenah jahat mereka.
    Maka Nabi teruskan perjuangan, jangan percaya kepada mereka!  
  1. Sebenarnya, golongan Ahli Kitab dan munafiq berbangga dengan kesalahan yang mereka lakukan. 
    Berbangga dengan kesalahan mereka menyembunyikan berita tentang kebenaran Islam dan kedatangan Nabi Muhammad SAW dan lain-lain yang memang terdapat dalam kitab mereka.
  1. Maksudnya, mereka sepatutnya menyebarkan ilmu kepada manusia, tetapi mereka tidak buat. 
    Mereka cuma berbangga dengan kedudukan mereka dipandang sebagai orang yang ada ilmu. 
  1. Antara perbuatan jahat mereka- senarai pendeknya:
    i- Sembunyikan ilmu! Mereka suka dipanggil ahli ilmu, namun sebenarnya mereka menyembunyikan ilmu yang patut mereka sebarkan. 
    Oleh itu, kalau kita berbangga orang panggil kita ulama’, panggil kita ‘ustaz’, tetapi kita tidak menyebarkan dan mengajarkan ilmu agama kepada manusia, itu adalah perangai orang Yahudi.

    ii- Mereka tidak ikut berperang dengan alasan bodoh yang mereka berikan.
    Ini pula sifat munafiq- amalan mereka hanya kosmetik & di depan kita sahaja baik tetapi di belakang lain. 
  1. Hadis Nabi SAW: وَمَنِ ادَّعى دَعْوى كاذِبَةً لِيَتَكَثَّرَ بها لَمْ يَزِدْهُ اللَّهُ إِلّا قِلَّةً
    “Siapa yang mendakwa dengan dakwaan palsu, kerana nak suruh orang ramai ikutnya; maka Allah tidak akan tambah baginya kecuali makin sedikit.” [HR Muslim].

    Yakni walaupun pada zahir nampak ramai pengikutnya; tetapi semua itu adalah sokongan yang membawa rebah & tidak ada keberkatannya!
  1. Ramai atau sedikit bukan bermaka benar; jika kita nak kata ramai itu tanda benar maka pastilah para artis akan menang daripada para pendakwah & penceramah agama!
  1. Mereka ini suka jika orang memuji mereka- jika buat ketaatan walaupun sedikit terus diviralkan; lalu mereka ini telah mencampurkan antara perbuatan yang baik & buruk! 
    Mereka memang suka dipuji walaupun dengan perbuatan yang mereka tidak buat!
  1. Sebuah athar- Dari Alqomah ibni Waqas RHM bahawa Khalifah Marwan telah menyuruh seorang pengawalnya untuk pergi bertanya kepada Ibnu Abbas RA tentang ayat ini; iaitu kita akan diazab jika suka & dipuji orang. Katanya: Jika suka dengan apa yang kita buat & orang puji dengan apa kebaikan yang kita buat; maka pastilah semua kita akan kena azab! Macam mana tu apakah tidak boleh orang puji lansung?? Maka Abdullah bin Abbas  pun menjawab: Kamu telah salah faham tentang ayat ini. Ayat ini adalah kerana Allah nak mendedahkan tembelang ahli kitab yang telah membuat perjanjian dengan Allah untuk menyatakan kebenaran jangan sembunyi kebenaran yang ada dalam kitab Taurat & Injil. Tetapi mereka tetap sembunyikan! Ayat ini juga menyatakan jangan kamu sangka orang yang suka dengan apa yang dia buat & suka dipuji dengan apa yang dia buat itu baik! Maksudnya ayat ini ialah; Nabi SAW bertanya kepada pendeta yahudi tetapi mereka sembunyikan jawapan yang sebenar & ceritakan benda lain; maka Allah SWT turunkan ayat ini. [Athar ini iwayat Bukhari & Muslim].
    Bermakna kita buat benda baik & orang puji tiada masalah dengan syarat jangan riya & jangan takabbur! 
  1. Allah juga nyatakan kamu jangan sangka mereka akan selamat daripada azab; bahkan Allah akan timpakan ke atas mereka azab neraka yang amat berat & dahsyat kelak! 

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 187- {Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari orang-orang yang telah diberikan Kitab (iaitu): “Demi sesungguhnya! Hendaklah kamu menerangkan isi Kitab itu kepada umat manusia, dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya”.}-

    Allah nyatakan bahawa Dia sudah buat perjanjian dengan yahudi agar beritahu kepada orang ramai apa yang ada dalam kitab Taurat jangan sembunyikannya!
    Ayat ini nak menyatakan sebahagian daripada sifat buruk ahli kitab iaitu menyembunyikan sifat Rasulullah SAW yang ada di dalam kitab Taurat & Injil! 
    Kerana itu ia berpindah daripada {وَإِذْ أَخَذَ ٱللَّه- ambil perjanjian dari orang-orang} dhamir ghaib (kata ganti nama ketiga- mereka) – kepada ayat khitab (kata ganti nama kedua- kamu) – { وَلَا تَكْتُمُونَهُۥ – kamu jangan sembunyikan}.
    Untuk menyakan bahawa sifat buruk ini akan dirakam oleh Allah SWT- bahawa kamu memang jahat menyembunyikan kebenaran!
    Satu peringatan besar; kena nyata jangan sembunyikan- kamu jangan sembunyikan apa yang telah dinyatakan oleh Allah SWT! 
    Kita yang belajar ilmu jangan sembunyikan apa yang kita tahu & belajar. 
    Masalahnya pengkuliah hari ini bukan sembunyi ilmu; tetapi tidak mahu tambah ilmu dan maklumat- maka tidak ada ilmu baru yang nak disampaikan!
  1. Ayat 187- {Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari orang-orang yang telah diberikan Kitab (iaitu): “Demi sesungguhnya! Hendaklah kamu menerangkan isi Kitab itu kepada umat manusia, dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya”.}-

    Ayat ini menyatakan orang yang ada ilmu wajib menyampaikan ilmunya!
    Tetapi Allah SWT tidak sebut bagaimana & apa cara untuk menjelas & menyampaikan ilmu itu?

    Ulama’ kata ianya bergantung kepada keadaan & keperluan.
    i- Adakalanya dengan perkataan & ucapan.

    ii- Adakalanya melalui penulisan.

    iii- Majlis umum- seperti kuliah umum untuk semua.

    iv- Ada yang perlu majlis khas, kepada sekumpulan tertentu, untuk talaqi menyampaikan ilmu.

    Tugas kita ialah menyampaikan ilmu ikutlah dengan apa cara sekalipun. 
    Seperti zaman sekarang boleh secara berdepan dan boleh juga secara alam maya.
    Tetapi malangnya ada yang jauh ikuti pengajian tetapi yang dekat tidak datang- maka rugilah kita yang dekat lari sedangkan orang yang jauh-jauh ikut pengajian!
  1. Ayat 187- {Hendaklah kamu menerangkan isi Kitab itu kepada umat manusia, dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya”.}-

    Dalam, ayat ini Allah sebut kamu nyatakan jangan smebunyikan!  
    Yakni beri peringatan kemudian beri arahan perintah!
    Jika benda besar kita kembarkan dua-dua, beri peringatan & beri arahan atau suruh supaya sempurna arahannya. 
    Seperti dalam ayat ini, Allah beri peringatan agar nyatakan serta amaran agar jangan sembunyikan!
  1. Ayat 187- {Kemudian mereka membuang (perjanjian setia) itu ke belakang mereka, serta mereka menukarnya dengan mengambil faedah dunia yang sedikit.}-

    Ayat ini menyatakan betapa jahatnya perbuatan ahli kitab itu bukan setakat tidak dengar dia campakkan kitab ke belakang!
    Yakni bukan setakat tak ikut, siap putar belit, dia khianat, dia putar belit, letakkan arahan di belakang, yakni tak tengok kepada apa yang ada di dalam kitab! 
    Kitab diperlakukan sedemikian rupa menunjukkan buruknya perbuatan mereka!
    Inilah bahayanya ahli imu yang tidak mengikut ajaran ilmu yang mereka ada!
  1. Ayat 188- {dan mereka pula suka dipuji dengan apa yang mereka tidak lakukan}-

    Orang yang suka dipuji walaupun dengan perbuatan yang dia tidak buat atau perbuatan itu sebenarnya buruk- itu adalah satu sifat yang amat jelek & buruk!
    Tetapi apabila kita ikhlas melakukan sesuatu kebaikan; kemudian ada manusia yang memuji, kita tidak memintanya maka itu adalah khabar gembira yang dianugerah Allah kepada kita.
    Bahawa apa yang kita lakukan itu diterima atau diluluskan oleh Allah dan disukai oleh manusia, maka kita kata alhamdulillah!
    Kesimpulan daripada dua ayat ini:
    Allah nyatakan betapa buruk & jahatnya perangai ahli kitab; maka kita orang yang beriman jangan ikut sifat mereka ini! 

    3 perkara yang wajib kita buat :
    i- Para ulama’, para penuntut ilmu wajib memahami kitab Allah & Sunnah Nabi SAW. Maka kena belajar dulu takkan nak mengajar tanpa ilmu!

    ii- Kena sampaikan kepada orang Islam apa yang mereka wajib buat & apa yang mereka tidak boleh buat.

    iii- Kena sampaikan juga dakwah ini kepada non-muslim agar mereka kembali kepada fitrah & kembali kepada ajaran yang diturunkan Allah SWT, kepada agama yang murni ini!

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs