SURAH AN-NUR : AYAT 62-64

\"\"

ADAB MINTA IZIN MENINGGALKAN MAJLIS NABI S.A.W, ADAB MEMANGGIL DAN BERCAKAP DENGAN NABI S.A.W & AMARAN DARI MENYALAHI ARAHAN NABI S.A.W.

Full video : https://youtu.be/w0Czpc6jff0

MUQADDIMAH :

  1. Hari ini merupakan siri terakhir dalam surah an-Nur dengan ayat 64.
  2. Dalam 3 ayat terakhir ini kita akan belajar tentang 3 adab:
    i- Adab pertama, minta izin untuk keluar dari majlis bersama Rasulullah s.a.w.
    ii- Adab kedua cara atau etika memanggil Rasulullah s.a.w. dan wajib menyahut seruan perintahnya.
    iii- Allah s.w.t juga memberi amaran agar jangan menyalahi ajaran sunnah Nabi s.a.w.
  3. Siri lepas kita belajar adab masuk ke dalam rumah, adab masuk bilik, minta izin dan beri salam.
  4. Maka sebagai penutup Allah s.w.t pula ajar kepada kita adab untuk keluar dari majlis atau sesuatu tempat. samada majlis Kuliah, mesyuarat atau seumpamanya.
  5. Ini adalah adab bersama Rasulullah s.a.w sertA para ulama\’-ulama\’ selepasnya.

AYAT 62- {SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG SEBENAR-BENARNYA BERIMAN IALAH MEREKA YANG BERIMAN KEPADA ALLAH DAN RASULNYA, DAN APABILA MEREKA TURUT BERSAMA-SAMA DENGAN RASULULLAH DALAM SESUATU PERKARA YANG MEMERLUKAN PERHIMPUNAN RAMAI, TIDAKLAH MEREKA MENINGGALKAN MAJLIS PERHIMPUNAN ITU SEBELUM MEREKA MEMINTA IZIN KEPADANYA. SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG MEMINTA IZIN KEPADAMU (WAHAI MUHAMMAD) ITULAH ORANG-ORANG YANG BERIMAN KEPADA ALLAH DAN RASULNYA. MAKA APABILA MEMINTA IZIN KEPADAMU UNTUK PERGI MENJALANKAN SESUATU URUSAN MEREKA, MAKA IZINKANLAH BAGI SESIAPA YANG ENGKAU KEHENDAKI DI ANTARA MEREKA, DAN MINTALAH AMPUN KEPADA ALLAH UNTUK MEREKA; SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA PENGAMPUN, LAGI MAHA MENGASIHANI.} (AN-NUUR 24:62)

  1. Dalam ayat ini Allah sebut kategori manusia yang sebenar-benarnya beriman ialah mereka yang beriman serta akur dan taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Ini untuk membezakan mereka dengan golongan munafiqin.
  2. Mereka juga sentiasa mendengar perintah Rasulullah s.a.w,sentiasa minta izin dan restu Baginda, iaitu apabila bersama Rasulullah s.a.w dalam sesuatu majlis, pertemuan, mesyuarat atau perhimpunan untuk berperang, jika mahu keluar atau tarik diri, mereka tidak akan keluar tanpa minta izin dari Rasulullah s.a.w.
  3. Inilah adab dan etika keluar majlis, bukan hanya ada adab masuk sahaja.
  4. Allah s.w.t serahkan kepada Rasulullah s.a.w untuk membuat penilaian bagi sesiapa yang boleh dan patut diberi keizinan. Yakni ikut keperluan dan maslahah.
  5. Kemudian Allah s.w.t mengajar Rasulullah untuk: {..mintalah ampun kepada Allah untuk mereka; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.}. Kenapa perlu minta ampun lagi sedangkan sudah diberi izin?
  6. Ini kerana keizinan itu walaupun sudah diberikan, tetapi masih ada kekurangannya, kerana pada hakikatnya walau atas apa alasan sekalipun, mereka telah mementingkan urusan dunia mereka daripada urusan akhirat.
  7. Maka istighfar Rasulullah s.a.w itu samada untuk:
    i- menampung kekurangan atau kesalahan mereka jika ada. Atau;
    ii- untuk menenangkan hati mereka yang terpaksa keluar itu.
  8. Inilah adab yang diajar oleh Islam yang amat indah dan sopan, sebelum meninggalkan majlis agar tidak menimbulkan spekulasi dan tanda-tanya orang.
  9. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani bagi hamba-hamba-Nya yang lemah dan mempunyai masalah.

AYAT 63- {JANGANLAH KAMU JADIKAN SERUAN ATAU PANGGILAN RASULULLAH DI ANTARA KAMU SEPERTI SERUAN ATAU PANGGILAN SESAMA KAMU; SESUNGGUHNYA ALLAH MENGETAHUI ORANG-ORANG DI ANTARA KAMU YANG MENARIK DIRI KE LUAR (DARI MAJLIS NABI) SECARA BERSELINDUNG DAN BERSEMBUNYI. OLEH ITU, HENDAKLAH MEREKA YANG MENGINGKARI PERINTAHNYA, BERINGAT SERTA BERJAGA-JAGA JANGAN MEREKA DITIMPA BALA BENCANA, ATAU DITIMPA AZAB SEKSA YANG TIDAK TERPERI SAKITNYA.} (AN-NUUR 24:63)

  1. Ini adalah adab yang kedua yang diajar cara bersama Rasulullah s.a.w. iaitu cara menyeru atau memanggil Rasulullah DAN wajib menyahut panggilan dan seruannya.
  2. Allah s.w.t memberi amaran agar beradab dan segera mematuhi seruan Rasulullah s.a.w. bahkan ada seorang sahabat sedang solatpun (solat sunat) Rasulullah menasihatinya agar menjawab panggilan Baginda.
  3. Kita pada hari ini setelah kewafatan Rasulullah s.a.w, seruan dan panggilannya kepada kita adalah dengan sunnah Baginda yang sahih dan sabit.
  4. Manakala cara panggilan/seruan kepada Rasulullah s.a.w pula ialah jangan panggil Baginda seperti kita panggil kawan-kawan kita sahaja. Kena beradab dan sopan menggunakan pangkat dan gelarannya yang mulia seperti; Ya Rasulullah, Ya Nabiyullah.
  5. Bukan hanya bagi para sahabat semasa kehidupan Baginda sahaja, tetapi juga bagi kita selepas kewafatan Baginda s.a.w. ini samada secara tersurat (penulisan) atau sebutan. Juga selepas menyebut nama Baginda hendaklah diucap selawat ke atasnya.
  6. Ini kerana di dalam al-Quran pun Allah s.w.t tidak pernah memanggil Baginda dengan namanya sahaja, bahkan sentiasa dengan pangkatnya, Ya ayyuhan-Nabi, Ya ayuhhar-Rasul! يَاأَيُّهَا النَّبِيُّ, يَاأَيُّهَا الرَّسُولُ
  7. Orang yang keluar dari majlis Rasulullah s.a.w secara senyap-senyap tanpa meminta izin ialah kaum munafiq, yang hatinya tidak dapat menerima ajaran dan suruhan Baginda.
  8. Allah s.w.t memberi amaran kerasa; Mereka ini yang menyalahi dan mengingkari arahan Rasulullah s.a.w hendaklah mereka berhati-hati kerana samada:
    i- mereka akan ditimpa fitnah di atas dunia ini.
    Pelbagai tafsiaran ulama\’ tentang maksud fitnah ini:
  • Imam Ahmad kata fitnah ini maksudnya boleh membawa kepada kufur dan kehinaan.
    Imam al-Mawardi kata fitnah ini ada tiga; Kafir, akibat balasan (hukuman) dan bala yang Allah campak ke dalam hati mereka dengan menjadi tidak percaya.
    Imam Ibnu Kathir kata fitnah itu adalah: kafir, munafiq dan suka melakukan perkara bid\’ah – yakni sesiapa yang meninggalkan sunnah pasti dia akan terjebak dengan melakukan perbuatan bid\’ah.
    ii- atau akan ditimpa azab siksa yang tidak terperi azabnya di akhirat kelak.

AYAT 64- {KETAHUILAH! SESUNGGUHNYA ALLAH JUALAH YANG MENGUASAI SEGALA YANG ADA DI LANGIT DAN DI BUMI. SESUNGGUHNYA IA MENGETAHUI KEADAAN YANG KAMU BERADA PADANYA (WAHAI UMAT MANUSIA); DAN PADA HARI UMAT MANUSIA ITU KEMBALI KEPADANYA, MAKA IA AKAN MENERANGKAN KEPADA MEREKA SEGALA YANG MEREKA KERJAKAN, KERANA SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA MENGETAHUI AKAN TIAP TIAP SESUATU.} (AN-NUUR 24:64)

  1. Allah s.w.t tutup ayat ini dengan mengatakan ketahuilah bahawa Allah jualah yang menguasai segala yang ada di langit dan di bumi.
  2. Sesungguhnya Dia mengetahui keadaan yang kamu berada padanya wahai umat manusia, samada kamu beriman atau kufur, taat atau ingkar.
  3. Juga untuk mantapkan iman kita agar yakin bahawa semua umat manusia ini akan kembali kepada-Nya, serta akan dihitung dan dihisab segala pekerjaan dan amalan mereka di dunia dulu.
  4. Allah s.w.t tutup ayat ini dengan menekankan sekali lagi, {..kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap tiap sesuatu.} Maka jagalah segala pebuatan dan hukum hakam selama hidup kita.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS:

  1. Kita kena beradab dengan Rasulullah s.a.w. Jangan panggil atau sebut namanya tanpa adab dan hormat. Kena beradab juga dengan menurut perintah dan ajarannya secara beramal dengan sunnahnya s.a.w.
  2. Begitu juga adab kita dengan para alim ulama\’, hormati pandangan mereka yang telah berijtihad setakat yang mereka mampu dan nampak dengan ilmu yang mereka ada. Tetapi para ulama\’ juga kena sentiasa melihat kepada peredaran masa dan tuntutan keadaan semasa, kena peka kepada keperluan ummat juga.
  3. Kita jangan sekali-kali menyalahi ajaran dan perintah Rasulullah s.a.w, kelak akan mendapat azab di akhirat dan kehinaan di dunia.
  4. Kata Imam Malik rhm.: \”Apakah fitnah yang lebih besar daripada kamu sangka kamu telah dapat buat sesuatu yang tidak dilakukan oleh Rasulullah s.a.w?\”
  5. Seseorang telah pergi bertanya kepada seorang ulama\’ bahawa dia mahu panjangkan solat sunat fajar. Syeikh kata jangan lakukannya. Dia bertanya balik: Takkanlah saya akan masuk neraka kerana solat? Syeikh menjawab: Bukan kerana solat, tetapi aku khuatir kamu akan masuk neraka kerana menyalahai sunnah Nabi s.a.w!\”
  6. Allah s.w.t mulakan surah ini dengan ayat: {Ini ialah satu \”surah\” yang Kami turunkan, dan Kami wajibkan hukum-hukumnya, serta Kami turunkan padanya ayat-ayat keterangan yang nyata supaya kamu beringat (mengamalkannya).} Kemudian Allah s.w.t akhiri surah ini dengan perintah dan cara untuk beradab dengan Rasulullah s.a.w, ikuti sunnahnya dan jangan menyalahi ajarannya.
  7. Alhamdulillah dengan ini tamatlah surah an-Nur ini dengan 20 siri Kuliah. Kita berdoa kepada Allah s.w.t agar memberkati ilmu dan majlis kita ini, Ya Allah berikan kami kefahaman yang baik tentang kitab al-Quran serta kefahaman tentang sunnah Nabi-Mu s.a.w. serta memahami dan mengamalkan segala ilmu yang diterima.

Wallahu a\’lam.

Powered by BetterDocs