SURAH AL\’ANKABUT : AYAT 24-27

\"\"

PENENTANG NABI IBRAHIM MEMBERI ANCAMAN, NABI IBRAHIM BERHIJRAH KE PALESTIN & BAGINDA DIANUGERAHKAN ZURIAT YANG MENJADI NABI.

Full video : https://youtu.be/Av13uVD9AUs

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini kita akan mendengar hujjah penentang nabi Ibrahim a.s di kalangan kaumnya selepas mereka mendengar hujjahnya.
  2. Ibrahim memberi fakta dan dalil yang mantap serta dapat diterima akal. Setelah mereka tidak berjaya dan kalah dalam berhujjah dengannya, mereka yang tidak dapat membalasnya kecuali menggunakan akta kekerasan.
  3. Ini kerana nabi Ibrahim pada peringkat awalnya tidak ramai pengikutnya maka mereka berani menindasanya, sewenag-wenangnya menjatuhkan hukuman bunuh ke atasnya. Mereka tidak tahu bahawa Ibrahim bergantung sepenuhnya kepada Allah s.w.t. lalu ditunjukkan bukti dan mukjizat yang nyata. Ibrahim digelar \’Khalilullah- iaitu Kekasih Allah, kerana beberapa sebab yang istimewa.
  4. Tetapi segala mukjizat dan ayat itu tidak memberi kesan kepada mereka. Begitulah keadaannya apabila hati sudah tertutup tidak mahu menerima walaupun kebenaran jelas di depan mata.
  5. Untuk memenangkan nafsu dan pegangan mereka yang sesat itu mereka terus mahu membunuh nabi Ibrahim dengan dibakar.
  6. Dalam surah ini lebih ditekan tentang penjelasan hujjah daripada kisah-kisah yang berlaku. Ini kerana ia sudah banyak diceritakan dalam surah lain.

AYAT 24- {KEMUDIAN, SERUAN NABI IBRAHIM TIDAK DIJAWAB OLEH KAUMNYA MELAINKAN DENGAN KATA-KATA (TENTANGAN YANG KERAS): \”BUNUHLAH DIA ATAU BAKARLAH DIA\”. MAKA ALLAH SELAMATKAN NABI IBRAHIM DARI API (YANG DISEDIAKAN OLEH KAUMNYA). SESUNGGUHNYA PERISTIWA YANG DEMIKIAN, MENGANDUNGI TANDA-TANDA (YANG MEMBUKTIKAN KEKUASAAN ALLAH) BAGI KAUM YANG (MAHU) BERIMAN. (AL-\’ANKABUUT 29:24)

  1. Setelah kaumnya tidak dapat menjawab hujjah Ibrahim dengan jawapan yang yang berfakta mereka mula menggunakan kekerasan: \”Bunuhlah dia atau bakarlah dia\”.
    Firman Allah s.w.t dalam beberapa surah lain:
    i- {(Setelah tidak dapat berhujah lagi, ketua-ketua) mereka berkata: \”Bakarlah dia dan belalah tuhan-tuhan kamu, jika betul kamu mahu bertindak membelanya!\”} (Al-Anbiyaa\’ 21:68).
    ii- {(Setelah tak dapat berhujah lagi, ketua-ketua) mereka berkata: \”Binalah untuk Ibrahim sebuah tempat (untuk membakarnya), kemudian campakkan dia ke dalam api yang menjulang-julang itu\”.} (As-Saaffaat 37:97)
  2. Lalu mereka membuat unggun api yang begitu besar sehingga tidak dapat didekati dek panasnya. Setelah mereka campakkan Ibrahim, Allah selamatkannya dari api yang disediakan oleh kaumnya dengan menjadikannya sejuk dan tidak menyakiti Ibrahim a.s.
  3. Kisah jelasnya dalam firman Allah s.w.t ini:
    {Kami berfirman: \”Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim! \”.} [Al-Anbiyaa\’ 21:69]. Maka selamatlah nabi Ibrahim dari panas api dan sejuknya juga.
  4. Ini adalah tanda-tanda kekuasan Allah s.w.t dan rahmat-Nya ke atas sesiapa saja yang beriman dari kalangan orang yang beriman.

AYAT 25- {DAN NABI IBRAHIM BERKATA PULA (KEPADA KAUMNYA): \”PERBUATAN KAMU MENYEMBAH BERBAGAI BERHALA, TIDAK MENYEMBAH ALLAH ITU, HANYALAH KERANA MENJAGA HUBUNGAN KASIH MESRA DI ANTARA KAMU MASING-MASING DALAM KEHIDUPAN DUNIA INI; KEMUDIAN PADA HARI KIAMAT KELAK SETENGAH KAMU AKAN MEMBANTAH SETENGAHNYA YANG LAIN, DAN SETENGAH KAMU PULA AKAN MELAKNATKAN SETENGAHNYA YANG LAIN; DAN (KESUDAHANNYA) TEMPAT KEMBALI KAMU IALAH NERAKA, DAN KAMU TIDAK AKAN BEROLEH SESIAPAPUN YANG DAPAT MEMBERIKAN PERTOLONGAN\”.} (AL-\’ANKABUUT 29:25)

  1. Selepas selamat nabi Ibrahim terus berdakwah dan menasihati mereka. (walaupun pun ada ulama\’ kta kata-kata ini sebelum dibakar). Tetapi yang jelas jika ikut tertib ayat adalah selepas selamat dari api itu!
  2. Dia berhujjah lagi bahawa perbuatan mereka menyembah berhala itu bukan kerana ada hujjah atau tahu ianya benar, tetapi hanya kerana mahu tidak mahu berpecah dan menjaga hubungan sesama mereka di atas dunia ini. مَوَدَّةَ بَيْنِكُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا
  3. Atas nama (ukhuwwah) untuk mantapkan hubungan, kaum nabi Ibrahim ini berkumpul dekat berhala mereka, dan melakukan aktiviti mereka. Begitulan manusia hari ini yang sanggup menggadai prinsip untuk menjaga hati kawan atau mengambil hati ketua. Atau sekadar ikut trend dan orang ramai, tanpa pasti ia betul atau salah.
  4. Tidak salah melakukan aktiviti untuk merapatkan ukhuwwwah sesama kita, tetapi jangan mereka-reka ibadat atas nama demi kesatuan ummat. Kerana ibadat itu perlu berpaksikan kepada dalil dari Allah s.w.t dan sunnah Rasulullah s.a.w.
  5. Tetapi semua perbutan itu tidak akan memberi faedah pada hari Kiamat nanti, kerana dibuat bukan atas dasar keimanan. Mereka akan berkelahi dan saling membantah antara satu sama lain, saling menyalahkan pula.
  6. Kesudahan dan tempat kembali bagi mereka ialah neraka, dan tidak akan ada sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan di akhirat kelak.

AYAT 26- {SETELAH ITU LUT BERIMAN KEPADANYA DAN NABI IBRAHIM PUN BERKATA: \”AKU HENDAK BERHIJRAH KEPADA TUHANKU, SESUNGGUHNYA DIA LAH JUA YANG MAHA KUASA, LAGI MAHA BIJAKSANA\”. (AL-\’ANKABUUT 29:26)

  1. Orang pertama yang beriman kepada nabi Ibrahim selepas isterinya Sarrah, adalah anak saudaranya iaitu Lut. Hanya 3 orang sahaja yang jelas tersebut.
  2. Lut juga telah diutuskan Allah sebagai rasul kepada satu kaum di Qura Sadum, tidak jauh dari Palestin tempat Nabi Ibrahim berhijrah.
  3. Kita dapat lihat nabi Ibrahim ini berdakwah kepada kaum keluarganya terlebih dahulu, awal kepada bapanya, isterinya kemudian anak saudara dan sepupunya Lut a.s. Begitulah yang sepatutnya kita pun lakukan, dakwahlah orang terdekat dahulu. Mereka terima atau tidak itu terserah kepada Allah s.w.t.
  4. Sebagai orang Islam, kita mesti ambil pengajaran daripada kisah-kisah dari al-Quran untuk direalisasikan dan ambil iktibar dalam hidup kita hari ini.
  5. Fahaman yang salah bahawa al-Quran hanyalah kisah-kisah orang terdahulu dan dibacakan untuk orang mati sahaja! Kisah-kisah dan watak di dalamnya tidak mati begitu sahaja bahkan ia akan muncul dan terjadi pula di sepanjang zaman selagi manusia masih hidup di atas dunia ini.
  6. Setelah melihat keadaan kaum yang tidak menerima dakwahnya ini, Nabi Ibrahim pun berkata: \”Aku hendak berhijrah kepada TuhanKu, sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana\”.
  7. Ahli sejarah mengatakan nabi Ibrahim adalah manusia pertama yang berhijrah kerana Allah s.w.t, meninggalkan tempat yang tidak baik.
  8. Ibrahim berhijrah ini kerana dia yakin akan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana pasti akan menolongnya.
  9. Maka sesiapa yang buat sesuatu kerana Allah s.w.t, meninggalkan apa yang haram, syubhat dan apa saja yang Allah tidak suka, maka insya\’ Allah, Allah akan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik!
  10. Masyarakat hari ini telah banyak menukar istilah yang haram; dilembutkan dihiasi sehingga tidak menjadi sesuatu yang ditakuti dan wajib dijauhi. Contoh seperti- zina & khalwat- gejala sosial, pergaulan bebas; riba- bunga/interest; rasuah- duit kopi; mengumpat – membawang/bincang isu semasa dan seumpamanya.

AYAT 27- {DAN KAMI KURNIAKAN KEPADANYA: ISHAK (ANAKNYA) DAN YAAKUB (CUCUNYA); DAN KAMI JADIKAN DALAM KALANGAN KETURUNANNYA ORANG-ORANG YANG BERPANGKAT NABI DAN MENERIMA KITAB-KITAB AGAMA; DAN KAMI BERIKAN BALASANNYA YANG BAIK DI DUNIA; DAN SESUNGGUHNYA ADALAH IA, PADA HARI AKHIRAT, DARI ORANG-ORANG YANG SOLEH. (AL-\’ANKABUUT 29:27)

  1. Dalam kisah nabi Ibrahim a.s ini, kaumnya tidak mahu beriman bahkan menentangnya sehingga dia terpaksa berhijrah meninggalkan kampung halamannya, lalu Allah s.w.t gantikannya dengan sesuatu yang lebih baik dan amat istimewa.
  2. Allah s.w.t kurniakan kepada Ibrahim anak cucu keturunan yang terpilih dan menjadi para nabi yang dikurniakan kitab. Melalui Sarrah dapat anak Ishak, melalui Ishak ini adalah jalur keturunan nabi-nabi Bani Israil iaitu- anak Ishak Ya\’Kub, selepas Ya\’kub anaknya Yusuf dan seterusnya.
  3. Melalui jalur anaknya Ismail pula (dengan Hajar) ialah jalur keturunan bangsa Arab sehingga nabi dan rasul yang terakhir, Muhammad Rasulullah s.a.w.
  4. Bagi Ibrahim a.s balasan yang baik di dunia – rezeki yang luas, anak cucu keturunan yang mulia, pujian dan sebutan yang baik serta disayagi oleh semua manusia.
    Firman Allah s.w.t: {Dan Kami kurniakan kepadanya: Ishak (anaknya), dan Yaakub (cucunya) sebagai tambahan; dan tiap-tiap seorang (dari mereka) Kami jadikan orang yang soleh.} (Al-Anbiyaa\’ 21:72)
    {Maka Kami pun memberikan berita yang mengembirakan kepadanya (melalui malaikat itu), bahawa ia akan mendapat seorang anak: Ishak, dan sesudah Ishak, (ia pula akan mendapat seorang cucu): Yaakub.} [Hud 11:71]
  5. Allah s.w.t juga berikan kepadanya balasan yang baik di akhirat, di mana sesungguhnya dia pada hari akhirat dari golongan orang-orang yang soleh, para anbiya\’ dan syuhada\’.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 26- إِنِّي مُهَاجِرٌ إِلَى رَبِّي {Nabi Ibrahim pun berkata: \”Aku hendak berhijrah kepada TuhanKu,} – Nabi Ibrahim meletakkan sepenuh pergantunggannya kepada Allah s.w.t. Maka sesiapa yang meletakkan pergantunggannya selain daripada Allah dia akan kecewa dan kerugian. Kita yang hendak belajar letakkan pergantungan agar Allah s.w.t buka hati dan dada kita untuk menerima kebenaran dan beramal dengannya.
    Kata AAM: Cabaran dan fitnah paling besar ialah apabila kita mahu menilai seseorang ialah dengan mendengar apa yang orang katakan kepadanya, bukan dengar apa yang dia sendiri kata! الله المستعان
  2. Ayat 25- وَقَالَ إِنَّمَا اتَّخَذْتُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ أَوْثَانًا {..hanyalah kerana menjaga hubungan kasih mesra di antara kamu masing-masing dalam kehidupan dunia ini;} jika kamu mahu menyatukan masyarakat dan manusia dengan menggunakan berhala dan lain-lain kesyirikan tidak akan berjaya dan tidak akan bersatu. Sama juga seperti kita mereka-reka amalan yang tidak ada dalil untuk menyatukan orang ramai atas dasar ibadat.
  3. Ayat 25- {hanyalah kerana menjaga hubungan kasih mesra di antara kamu masing-masing dalam kehidupan dunia ini;} – ulama\’ kata ini termasuk semua manusia yang sepakat mahu menyatukan masyarakat dengan mengadakan pesta atau majlis yang tidak mematuhi Syariah
  4. Ayat 25- { مَوَدَّةَ بَيْنِكُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا – jika perbuatan hanya untuk dunia dan tidak ikut Syari\’ah dan sunnah, akan sia-sia tidak mendapat pulangan pahala di akhirat.
  5. Ayat 24- {Kemudian, seruan Nabi Ibrahim tidak dijawab oleh kaumnya melainkan dengan kata-kata (tentangan yang keras): \”Bunuhlah dia atau bakarlah dia\”.} – kenapa Allah s.w.t kata bunuh itu jawapan? Kerana mereka sudah tiada idea dan tidak mampu guna hujjah lagi, jadi terus guna akta dan kekerasan.
  6. Ayat 24- {\”Bunuhlah dia atau bakarlah dia\”.} – setiap orang tidak akan mampu menolak sesuatu yang benar kecuali dia akan menunjukkan kekuatannya, yakni guna kekerasan untuk mengalahkannya.
  7. Ayat 24- { Sesungguhnya peristiwa yang demikian, mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi kaum yang (mahu) beriman.} – semua itu, pembakaran Ibrahim dan selamatnya, adalah tanda bagi orang berakal, bagi orang yang tengok peristiwa itu dan bagi kita yang baca ini juga bahawa Allah s.w.t itu Maha Berkuasa.
  8. Apa perbezaan &persamaan antara ayat-ayat ini:
    i- Al-Ankabut: Ayat 24- {Sesungguhnya peristiwa yang demikian, mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi kaum yang (mahu) beriman.}
    إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ
    ii- An-Nahli: 12- {Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kebijaksanaan Allah) bagi kaum yang mahu memahaminya.}
    {إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَعْقِلُون
    iii- Ar-Ra\’du: 3- {Sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang (mahu) berfikir.} {إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ (3)]
    Kerana orang yang guna akal dan pemikiran yang baik akan memberri kesan bagi orang yang beriman. Cara menguatkan iman kita ialah dengan bertafakkur dengan ayat-ayat Allah s.w.t. Kita fikir, kita tadabbur kita amati dan ambil iktibar pengajaran.
  9. Kenapa Nabi Ibrahim a.s berhijrah meninggalkan kampungnya? Sepatutnya pendakwah tidak boleh tinggalkan kaumnya? Tetapi ini kerana:
    i- pendakwah itu kena ada perancangan dan strategi yang bermanfaat. Jika sudah habis gaya dan kaedah, orang masih tidak terima dan tidak akan beriman juga, tiada guna lagi Ibrahim berada di Babylon; tidak memberi faedah lagi kepada kaumnya, mereka, bahkan akan memberi bahaya kepadanya, akan dihukum dan dibunuh.
    ii- Setibanya Ibrahim di Syam, Islam berkembang, kemudian apabila dibawa anaknya Ismail ke Makkah, ia berkembang sehingga ke Semenanjung Tanah Arab.
    iii- Begitu juga kisah Nabi Muhammad s.a.w yang Allah izinkan berhijrah ke Madinah meninggalkan Makkah yang semakin bahaya selepas 13 tahun berdakwah di sana. Quraisy sudah sampai ke kemuncak kejahatannya mahu membunuh Baginda, lalu Allah s.w.t mengizinkannya berhijrah.
    iv- Di Madinah Rasulullah s.a.w mendapat sambutan yang begitu meriah dan mesra. Islam berjaya disebarkan ke seluruh pelusuk Tanah Arab dan dunia luar.
    v- Begitulah juga hukum ini terpakai kepada semua pendakwah yang mengalami keadaan ini. Boleh keluar meninggalakan temapt yang tidak dapat memberi kebaikan lagi.
  10. Kenapa Allah kata Ibrahim menjadi imam / ikon kepada manusia? إماما للناس
    i- menyerahkan jiwanya kepada Allah, beriman dan tawakkal.
    ii- menyerahkan tubuhnya kepada Allah s.w.t- kaumnya mahu dibakar, bakarlah.
    iii- Ibrahim sudah tua dapat anak Ismail tetapi sangggup meninggalkan dan kemudian mengorbankan anaknya kerana perintah Allah juga.
    iv- hartanya juga fisabilillah, suka menjamu tetamu.
    v- meletakkan dirinya sebagai pendakwah yang disayangi oleh semua orang. Sehingga semua mengaku sebagai pengikutnya walaupun tidak ikut ajarannya.
    Namanya juga disebut sehingga ke hari ini dalam solat kita bersama selawat ke atas Rasulullah s.a.w.
    اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَآلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَآلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ
    Ya Allah, berilah selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberi selawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha terpuji lagi Maha Mulia. Dan berilah berkat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau memberi berkat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha terpuji lagi Maha Mulia.

Powered by BetterDocs