View Categories

(8) Surah Al-A’raf : Ayat 26-27

ALLAH SWT BERIKAN PAKAIAN KEPADA MANUSIA, PAKAIAN TAQWA TERBAIK & SYAITAN NAMPAK KAMU.

Full video : https://youtu.be/Wc0-r21t3CE?si=ZN0Dbmp1XctFev5y

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada pagi ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf, dengan ayat 26 sehingga 27 dalam juzu’ kelapan.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan bahawa Allah SWT berikan keperluan hidup atas dunia ini kepada anak Adam seperti pakaian yang amat diperlukan.
  1. Pakaian itu pula sama ada:
    i- Yang berbentuk zahir, yang dipakai untuk melindungi tubuh badan kita secara fizikal atau;

    ii- Pakaian dalam bentuk akhlaq dan taqwa.
    Kemudian Allah nyatakan bahawa pakaian taqwa adalah yang terbaik.
  1. Allah nyatakan bahawa cukuplah datuk kamu Adam AS digoda syaitan iblis sehingga terkeluar dari syurga. 
    Kita beringatlah agar jangan sampai turut terjatuh dalam tipu dayanya juga sehingga terhalang pula dari masuk syurga!
  1. Serta ingatlah syaitan nampak kamu tetapi kamu tidak dapat melihatnya! 
    Tetapi kita tidak nampak mereka itu adalah lebih baik bagi kita!
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan bahawa Allah telah perintahkan Adam & Hawwa’ untuk keluar dari syurga & langit lalu turun ke bumi. 
    Allah jadikan bumi sebagai tempa tinggal mereka sehingga mereka mati & kembali kepada Allah semula.

    ii- Dalam ayat ini Allah nyatakan telah disediakan di bumi dari keperluan dunia & agama kamu.
    Antaranya ialah pakaian, untuk kepentingan dunia nak jaga kita dari cuaca panas & sejuk manakala untuk agama kita kena jaga & tutup aurat untuk ibadat.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 26- {WAHAI ANAK-ANAK ADAM! SESUNGGUHNYA KAMI TELAH MENURUNKAN KEPADA KAMU (BAHAN-BAHAN UNTUK) PAKAIAN MENUTUP AURAT KAMU, DAN PAKAIAN PERHIASAN; DAN PAKAIAN YANG BERUPA TAQWA ITULAH YANG SEBAIK-BAIKNYA. YANG DEMIKIAN ITU ADALAH DARI TANDA-TANDA (LIMPAH KURNIA) ALLAH (DAN RAHMATNYA KEPADA HAMBA-HAMBANYA) SUPAYA MEREKA MENGENANGNYA (DAN BERSYUKUR).} (AL-A’RAF 7:26)

  1. Allah nyatakan di sini kepada manusia dari keturunan Adam, bahawa Allah turunkan & sediakan bahan-bahan pakaian kepada kita, sebagai keperluan asas untuk menutup aurat sebagaimana ajaran Islam.
  1. Pakaian itu pula ada beberapa jenis:
    i- Pakaian menutup aurat kamu iaitu pakaian dalam sebagai yang asas {لِبَاسًۭا يُوَٰرِى سَوْءَٰتِكُمْ}.

    ii- Dan pakaian perhiasan; seperti lapisan luar sebagai tambahan keperluan sampingan sebagai perhiasan {وَرِيشًۭا}.  
    Ini untuk memperindahkan penampilan lahiriah dengan hiasan pakaian dan kecantikan.
  1. Batasan aurat dan cara berpakaian mengikut ajaran Islam wajib kita belajar & tahu sama ada untuk lelaki atau wanita.
    Para pendakwah perlu didik dan ajar masyarakat supaya berpakaian patuh Syari’ah.
    Boleh lihat pamphlet yang dikeluarkan oleh DAAM: Auratku Maruahku.
    Satu kepincangan dalam masyarakat hari ini, orang Islam seperti tidak tahu dan tidak reti dalam berpakaian seolah tidak mengaji dalam bab ini!
  1. Ada ulama’ memanjangkan huraian Allah menurunkan pakaian ini {قَدْ أَنزَلْنَا} iaitu:
    i- Allah menurunkan hujan lalu;

    ii- Tumbuh pokok-pokok;

    iii- Lalu dimakan haiwan, yang hidup & membesar;

    iv- Yang mengeluarkan bulu & kulit, yang menjadi sumber bahan untuk diambil manusia lalu dijadikan pakaian.
  1. Kemudian Allah nyatakan bahawa: Dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya.
    Iaitu sama ada:
    i- Pakaian yang zahir, yang menutup aurat & patuh Syari’ah.

    ii- Secara batin iaitu sifat taqwa. 
    Pakaian takwa {وَلِبَاسُ ٱلتَّقْوَىٰ} bermaksud akhlak, adab & hati yang bersifat malu, penuh keimanan, taat & takut kepada Allah dengan beramal soleh.
  1. Kata Ibnu Jarir RHM tentang orang yang bertaqwa itu ialah:
    i- Orang yang beriman.

    ii- Orang yang mematuhi arahan Allah.

    iii- Mereka takut menyalahi peraturan Allah.

    iii- Sentiasa merasai & menjiwai bahawa dia di bawah perhatian Allah SWT.
  1. Pakaian-pakaian itu sama ada yang zahir atau batinnya semuanya adalah dari tanda-tanda limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya.
  1. Ini supaya mereka mengenangnya dan bersyukur lalu mereka mengmbil pengajaran & iktibar, lalu mengesakan Allah semata-mata dengan patuh, taat & bertaqwa kepada Allah SWT semata-mata.
  1. Manusia ini ada baju atau pakaiannya yang khas; tetapi haiwan pakaian mereka adalah kulit & bulu mereka itu sendiri mengikut keadaan iklim & tempat hidup mereka!
  1. Begitu juga manusia ada jenis pakaiannya masing-masingnya, yang penting wajib patuh Syari’ah, tetapi malangnya, apabila datang penjajah kafir, ditelanjangkannya semua anak orang Islam ikut budaya mereka. 
    Maka menjadi tanggungjawab ibu bapa memastikan anak-anak patuh Syari’ah.

AYAT 27- {WAHAI ANAK-ANAK ADAM! JANGANLAH KAMU DIPERDAYAKAN OLEH SYAITAN SEBAGAIMANA IA TELAH MENGELUARKAN KEDUA IBU BAPA KAMU DARI SYURGA, SAMBIL IA MENYEBABKAN TERLUCUTNYA PAKAIAN MEREKA BERDUA UNTUK MEMPERLIHATKAN KEPADA MEREKA: AURAT MEREKA (YANG SEBELUM ITU TERTUTUP). SESUNGGUHNYA SYAITAN DAN KAUMNYA MELIHAT KAMU DENGAN KEADAAN YANG KAMU TIDAK DAPAT MELIHAT MEREKA. SESUNGGUHNYA KAMI TELAH MENJADIKAN SYAITAN-SYAITAN ITU TEMAN RAPAT BAGI ORANG-ORANG YANG TIDAK BERIMAN.} (AL-A’RAF 7:27)

  1. Wahai anak cucu anak Adam ingatlah bahawa syaitan telah berjaya memperdayakan datuk & nenek kita Adam dan Hawwa’ sehingga terkeluar mereka dari syurga! 
    Maka kita yang berada di luar syurga ini kena berusaha untuk dapat masuk balik ke syurga kelak! 
  1. Maka kita kena jaga diri kita daripada terjatuh dalam tipu daya syaitan sama ada yang mahu menelanjang manusia secara zahir dan batin, dengan pakaian tidak patuh Syari’ah atau dengan akhlak & sifat yang buruk serta menyalahi peraturan Allah Azza wa Jalla!
  1. Syaitan telah berjaya melucutkan pakaian mereka (Adam & Hawwa’) sehingga terlihat aurat mereka yang sebelum itu tertutup.
    Begitu juga pada hari ini syaitan telah berjaya sekali lagi menelanjangkan manusia sama ada yang beriman atau tidak, pakaian mereka terutama wanita amat terdedah dan tidak terlindung lagi!
  1. Allah nyatakan bahawa sesungguhnya Syaitan dan kaumnya dapat melihat kamu manusia dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka.
    Tetapi itu adalah lebih baik bagi kita!
  1. Serta sesungguhnya Allah telah menjadikan Syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman, yakni orang kafir telah disesatkan oleh syaitan maka bertambahlah kederhakaan & kesesatan mereka.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 26- {Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya.}-

    Ayat ini menjadi satu isyarat bahawa berpakaian patuh Syari’ah itu adalah satu darjat yang tinggi. 
    Manakala yang paling tinggi ialah pakaian taqwa, aurat zahir ditutup & aurat batin dijaga juga, hatinya baik tiada keburukan dan hasad dengki kepada orang lain.
    Yakni Allah telah jelaskan bahawa pakaian untuk manusia itu merangkumui keduanya:
    i- Pakaian zahir, hissi : Menutup aurat dengan sempurna & elok

    ii- Pakaian maknawi iaitu bertaqwa dengan sifat & akhlak yang mulia.
    Jika sesiapa berpakaian cantik indah tetapi hatinya busuk penuh hasad dengki, perangai buruk maka dia bukan bertaqwa dan dalam keadaan buruk. 
    Maka kita kena hiaskan diri kita dengan kedua pakaian yang mulia ini, aurat zahir (hissi) ditutup, aurat batin (maknawi) dijaga; barulah menepati Syariah.
  1. AYAT 26- {WAHAI ANAK-ANAK ADAM! SESUNGGUHNYA KAMI TELAH MENURUNKAN KEPADA KAMU (BAHAN-BAHAN UNTUK) PAKAIAN MENUTUP AURAT KAMU, DAN PAKAIAN PERHIASAN; …}-

    Allah mulakan ayat ini dengan menyeru anak Adam iaitu manusia, bukan haiwan, kerana anak Adam perlu ada pakaian yang dipakai khas untuk menutup aurat dan menjaga badannya!
    Juga kerana anak Adam itu sahaja yang ada fitrahnya yang baik dalam jiwa mereka, cuma mereka telah dirosakkan oleh jin syaitan & manusia yang jahat!
    Oleh kerana kamu berasal dari fitrah yang sebegini baik, maka kamu jadilah manusia yang baik iaitu manusia yang ikut arahan Allah SWT.
    Apabila Allah sebut pakaian, dibawanya juga tentang taqwa. Maka ulama’ kata : Pakaian itu termasuk juga dalam amalan. 
    Ini kerana manusia yang baik jiwanya, yang patuh & taat kepada Allah tidak akan buka & dedahkan auratnya sama sekali.
    Manakala manusia yang berani buka auratnya adalah manusia yang keras kepala tak dengar kata, itulah manusia yang berani lawan hukum Allah.
    Kita kena ingat jaga aurat ini bukan suka-suka & main-main, ia termasuk dalam penjagaan agama.
    Sebagaimana kita jaga & patuh dalam bab solat, puasa & ibadat lain; kita kena patuh juga kepada Allah dengan jaga juga pakaian & aurat.
    Jika tidak kita telah masuk dalam zon perangkap syaitan yang amat bahaya!
  1. Ayat 27- {Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari Syurga,….}-

    Allah SWT peringatkan sekali lagi kepada kita anak Adam bahawa fitnah itu boleh datang dengan pelbagai cara.
    Sama ada melalui fitnah yang dibuat jin syaitan manusia memperdayakan kita atau menyekat kita dari jalan Allah atau jin syaitan yang berbisik waswas di telinga kita untuk bermudah dengan hukum Allah.
    Syaitan juga masuk menghasut melalui bab isu toleransi dalam agama, seperti perayaan orang kafir dan seumpamanya! 
    Pihak pemimpin Islam yang berkuasa wajib tahu dan jaga aqidah rakyat Islam. 
    Apa faedah jadi kerajaan jika tak boleh buat satu peraturan untuk menjaga aqidah umat Islam yang ada! 
    Tergelincir dari landasan aqidah yang benar adalah satu kecelakaan.
    Allah peringatkan agar kita jangan terpedaya dengan perangkap syaitan sebagaimana datuk kita dulu Adam & Hawwa’ terpedaya dengan hasutan syaitan sehingga terdedah aurat mereka dan dikeluarkan dari syurga yang penuh nikmat & kekal abadi.
    Wajib orang Islam mempertahankan haknya, menjelaskan batasan hukum-hakam agar kita tidak tergelincir dari batasan aqidah.
    Boleh rujuk kepada Kitab Mestika Hadis, keluaran JAKIM Malaysia, Jilid Pertama dalam bab akhir, antara tiga perkara yang dapat merosakkan aqidah ialah iktiqad, ucapan dan perbuatan.
    Maka kita jangan main-main, jika ada orang nak kacau agama kita wajib kita bangkit mempertahankannya bersama-sama!!
  1. Ayat 27- {.. Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka…}-

    Syaitan nampak kita tetapi kita tak nampak mereka. 
    Satu keadaan & kelebihan yang Allah berikan pada mereka, dan satu ujian pada manusia.
    Oleh kerana syaitan nampak; dia boleh datang dekat kita, berbisik di telinga kita, memasuki tubuh kita hatta dalam saluran darah dan hati kita!!!!
    Apabila kita tahu syaitan ini musuh kita; yang sentiasa memerhatikan kita, maka wajib kita sentiasa berhati-hati dan berjaga dari hasutan, tipu daya & fitnah syaitan ini agar tidak tergelincir dari landasan Islam.
    Sebagaimana kita memandu kereta pada jalan yang licin, kita berjalan dengan slow dan penuh waspada agar tidak terbabas, tergelincir atau terlanggar sana sini!
    Begitu juga dalam agama ini kita kena jaga baik-baik kerana kita tahu banyak godaan & jalan yang boleh membawa kepada kesesatan!
  1. Ayat 27- {… Sesungguhnya Kami telah menjadikan Syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman.}-

    Ingatlah baik-baik kerana:
    Allah telah tetapkan dan gazetkan bahawa syaitan akan menjadi wali & ketua bagi orang-orang yang tidak beriman!
    Maka kita orang yang beiman jangan berwalikan syaitan, jangan ikut hasutan & tipu daya syaitan, berhati-hatilah dengan langkah kita agar kita selamat di dunia & aman di Akhirat dan dapat ke syurga dengan izin Allah.
    Ingatlah langkah syaitan sentiasa berlaku mendahului, kita orang beriman sentiasa menjaga langkah kita agar dapat menjejak kaki ke syurga!
    Kita minta perlindungan dari Allah SWT daripada segala bentuk godaan syaitan sama ada yang zahir atau yang batin!

Semoga Bermanfaat Buat Pencinta llmu al-Quran. 

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs