Surah Al-Baqarah : Ayat 94-96

YAHUDI DAKWA HAK ISTIMEWA, DICABAR MINTA MATI & MEREKA SANGAT LOBA NAK HIDUP.

Full video : https://youtu.be/3JFk_tUYTw4?si=tDWizoH3Z9PYHDr-

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam ayat 94 sehingga ayat 96 bagi surah Al-Baqarah, surah yang kedua dalam juzu’ yang pertama.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan tentang yahudi yang mendakwa bahawa mereka ada hak istimewa & disayangi Allah, jika masuk neraka pun hanya sebentar & beberapa hari sahaja.
  1. Maka Allah cabar mereka agar minta mati segera jika benar bagai yang didakwa.
  1. Tetapi bagaimana mereka nak minta mati kerana puak yahudi ini adalah antara golongan yang sangat loba nak hidup.
    Manakala yang saggup mati adalah orang Islam iaitu para pejuang & mujahidin fi sabilillah.
  1. Maka jelas sangatlah betapa berbeza watak mereka dengan kata-kata mereka!
    Mereka kata Tuhan sayangkan mereka, tetapi perbuatan mereka tidak menunjukkan mereka nak mati!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 94- {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD KEPADA KAUM YAHUDI): “KALAU SYURGA NEGERI AKHIRAT ITU TELAH MENJADI HAK ISTIMEWA UNTUK KAMU PADA SISI HUKUM ALLAH, TIDAK BOLEH DICAMPURI OLEH ORANG-ORANG LAIN (SEPERTI YANG KAMU DAKWAKAN ITU), MAKA CITA-CITAKANLAH MATI (SUPAYA KAMU DIMATIKAN SEKARANG JUGA), JIKA BETUL KAMU ORANG-ORANG YANG BENAR”.} (AL-BAQARAH 2:94)

  1. Ayat ini adalah satu cabaran untuk puak yahudi. Allah perintahkan Rasulullah SAW untuk bertanya kepada yahudi yang ada pada zaman Baginda itu yang mendakwa bahawa syurga adalah hak milik istimewa mereka!
  1. Maka jika benar apa yang kamu dakwa itu kenapa kamu tidak minta untuk dimatikan sekarang ini juga?
    Cita-citakanlah untuk mati agar kamu dapat segera menikmati hak keistimewaan yang kamu dakwa milik kamu itu!
  1. Ayat ini adalah satu cabaran untuk orang kafir & yahudi.
    Ini adalah dalam bentuk (Mubhalah) iaitu doa laknat dimana masing-masing laknat-melaknati dalam doa untuk membenarkan hujjah yang dituduh tidak benar. Yakni sesiapa yang tidak betul maka Allah akan laknat mereka dengan mematikannya.
    Selepas mati maka tahulah siapa yang benar sebenarnya.
  1. Peristiwa mubahalah ini telah berlaku di mana Rasulullah SAW telah diajar oleh Allah untuk berdebat dengan rombongan Nasrani dari Najran.
    Mereka datang untuk berdebat dengan Rasulullah SAW lalu Allah tunjukkan kebatilan mereka & kebenaran Rasulullah SAW
    Tetapi mereka tetap degil tidak mahu mengaku salah & kalah. Lalu Allah ajar Rasulullah SAW untuk bermubahalah dengan mereka.
  1. Kisah ini terakam dalam firman Allah SWT ini:
    {Kemudian sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad) mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: “Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta”.} (Ali-‘Imraan 3:61)
  1. Tetapi ingat mubahalah ini bukan satu perkara yang boleh dibuat main-main- hanya dalam isu yang besar seperti isu Aqidah, isu keagamaan dan seumpamanya.
  1. Jika kisah Al-Baqarah berkait rapat dengan kisah kejahatan yahudi, surah Ali-‘Imran pula lebih banyak menceritakan tentang kisah keburukan golongan Nasrani (Kristian) pula.

AYAT 95- {DAN SUDAH TENTU MEREKA TIDAK AKAN MENCITA-CITAKAN MATI ITU SELAMA-LAMANYA, DENGAN SEBAB DOSA-DOSA YANG TELAH MEREKA LAKUKAN; DAN ALLAH SENTIASA MENGETAHUI AKAN ORANG-ORANG YANG ZALIM ITU.} (AL-BAQARAH 2:95)

  1. Tetapi Allah nyatakan dengan ilmu-Nya dengan pasti bahawa mana mungkin mereka akan bercita-cita untuk mati selamanya, sudah tentu tidak!
  1. Ini kerana mereka tahu banyak dosa-dosa yang telah mereka lakukan!
    Mereka tahu mereka bukan benar!
    Pastilah mereka tidak berani untuk minta mati! Mereka tidak akan berbuat sedemikian.
  1. Antara perbuatan buruk mereka ialah mendustakan Rasulullah SAW & menyembunyikan kebenaran Rasulullah SAW yang telah jelas disebut sifatnya di dalam kitab Taurat mereka!
    Mereka juga tahu telah ada di dalam Taurat bahawa mati adalah satu jalan untuk Allah SWT membalas perbuatan-perbuatan mereka yang buruk!
  1. Kita yang duduk atas Islam ini pun, yang beriman & yakin dengan Allah, masih tidak berani juga untuk mati.
    Mati tidak mahu, kerana kita banyak masalah, kita tahu yang kita tidak betul mana, masih bercampur lagi yang baik & tidak!
  1. Allah perkenalkan sifat Allah yang Maha tinggi iaitu: {dan Allah sentiasa mengetahui akan orang-orang yang zalim itu.}
  1. Kata ulama’ tafsir : Ayat ini adalah janji & amaran keras untuk puak yahudi bahawa Allah tahu semua yang mereka buat!
    Segala kezaliman yang mereka lakukan semuanya di bawah pengawasam Allah, sama ada:
    i- Menzalimi diri sendiri dengan berbuat dosa maksiat.

    ii- Atau menzalimi orang lain dengan rampas hak atau buat khianat!
    Maka hati-hatilah kita semua juga. Jangan sekali-kali menzalimi orang lain, kerana Allah SWT tahu semua perbuatan hamba-Nya & akan membalas semua kezaliman yang dilakukan atas dunia ini!
  1. Firman Allah SWT yang menafsirkan ayat ini juga :
    {Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai orang-orang yang beragama Yahudi, kalau kamu anggap bahawa kamulah sahaja orang-orang yang dikasihi Allah tidak termasuk umat-umat manusia yang lain, maka bercita-citalah hendakkan mati (dengan meminta kepada Allah supaya kamu dimatikan sekarang juga), jika betul kamu orang-orang yang benar!”} (Al-Jumu’ah 62:6)

    {Dan (sudah tentu) mereka tidak akan bercita-cita hendakkan mati itu selama-lamanya, dengan sebab dosa-dosa yang mereka telah lakukan; dan Allah sentiasa mengetahui akan orang-orang yang zalim itu.} (Al-Jumu’ah 62:7)

AYAT 96- {DEMI SESUNGGUHNYA ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD) AKAN DAPATI MEREKA ITU SETAMAK-TAMAK MANUSIA KEPADA HIDUP (YANG LANJUT MASANYA), DAN (LOBANYA MEREKA KEPADA HIDUP ITU) MELEBIHI LOBA ORANG-ORANG KAFIR MUSYRIK. TIAP-TIAP SEORANG DARI MEREKA SUKA KIRANYA IA BOLEH HIDUP SERIBU TAHUN, PADAHAL UMUR PANJANG YANG DEMIKIAN, TIDAK AKAN DAPAT MELEPASKANNYA DARI AZAB (YANG DISEDIAKAN OLEH ALLAH). DAN (INGATLAH), ALLAH SENTIASA MELIHAT AKAN APA YANG MEREKA LAKUKAN.} (AL-BAQARAH 2:96)

  1. Allah nyatakan lagi sifat buruk kaum yahudi ini, iaitu sangat tamak haloba untuk hidup lama, bahkan mereka lebih tamak daripada orang kafir musyrikin lain!
  1. Munasabah ayat:
    i- Setelah Allah cabar mereka untuk mati. Allah tahu mereka tidak akan sekali-kali berani & nak minta mati! Allah yakin sekali akan hal ini!

    ii- Sebabnya kerana mereka puak yahudi ini adalah orang yang paling tamak haloba untuk kekal hidup atas dunia & mereka sangat tidak suka untuk mati!
    INI kerana mereka juga tahu tentang dosa-pahala, buata apa mati kerana mereka akan kena azab cepat (sudah ada dalam kitab Taurat juga).
  1. Kelobaan tamak mereka yahudi untuk hidup lama atas dunia ini, untuk menguasai kekayaan, pemerintahan, ekonomi & kuasa tentera.
    Mereka lebih tamak haloba lagi daripada puak kafir musyrikin yang tidak ada kitab, yang tidak percaya kepada rasul & kebangkitan semula!
  1. Tentang kafir mana {ٱلَّذِينَ أَشْرَكُوا۟ ۚ} yang dibandingkan dengan yahudi ini {أَحْرَصَ ٱلنَّاسِ}: Ialah semua kafir-kafir atas dunia ini.
    Mereka ini musyrikin yang tidak percayakan akhirat pun lebih mudah nak mati daripada yahudi yang tamak haloba akan dunia itu!
  1. Puak kafir atau yahudi ini amat tamak untuk hidup sehingga bercita-cita untuk hidup seribu tahun.
    Yakni ada pendapat kata yang tamak ini adalah yahudi atau orang kafir!

    Ada ulama’ kata : Yang tamak untuk hidup 1000 tahun ini adalah puak kafir musyrikin tetapi puak yahudi lebih tamak daripada itu, mungkin nak hidup lebih 2000 tahun pula!
  1. Mati itu kita tidak tahu bila masanya. Tiada siapa yang tahu bila saat kematiaannya!
    Maka menjadi kewajian kepada kita untuk membuat persiapan untuk mati.
    Juga kita sentiasa berdoa agar mati dalam husnul-khatimah, mati dalam redha Allah, tidak dihinakan di akhir hayat dengan menzahirkan keburukan atau ujian yang berat.
  1. Akhir zaman ini pelbagai penyakit & wabak yang timbul.
    Kita minta perlindungan dengan Allah dari teruji dengan apa yang kita tidak sanggup & tidak mampu untuk menanggungnya!
  1. Allah menjelaskan lagi bahawa panjang umur tidak akan menyelamatkan seseorang itu dari azab di akhirat!
    Kerana panjang setara mana pun seorang manusia itu akan mati.
    Lihat Nabi Nuh AS walaupun umurnya dekat 1000 tahun tetap akan mati.
  1. Maka baiklah kita bersiap sedia untuk mati agar Allah masukkan kita ke dalam kategori yang akan mendapat rahmat & kasih sayang Allah SWT!
  1. Ingatlah bahawa Allah sentiasa melihat akan apa yang mereka lakukan.
    Ini adalah janji amaran kepada puak yahudi yang buat perangai buruk & jahat, bahawa Allah SWT akan balas atas semua perangai mereka.
    Kerana Allah lihat semua yang kamu buat, tiada benda yang tersembunyi dari pengetahuan Allah SWT maka jika buat baik, baiklah! Jika buat tak baik maka celakalah!
  1. Firman Allah SWT juga:
    {Katakanlah (wahai Muhammad): “Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya)”.} (Al-Jumu’ah 62:8)
  1. Jika kita baca ayat ini maka kita kena sedarlah bahawa hidup kita sentiasa di bawah pemerhatian Allah, di bawah kawalan & pengawasannya, maka sentiasalah buat benda yg baik-baik.
  1. Sebagaimana kata DAAM :
    Suratan amalan kita yang kita nak baca, nak tengok nak ditimbang di hadapan Allah di akhirat nanti; kita sendirilah penulis & pelakonnya!
    Ya Allah akhiri hidup kami dengan husnul-khatimah, dengan keredhaan & limpah kurnia-Mu.
    Yang mendapat kasih sayang-Mu yang melayakkan kami ke syurga!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 94- {Katakanlah (wahai Muhammad kepada kaum Yahudi): “Kalau syurga negeri akhirat itu telah menjadi hak istimewa untuk kamu pada sisi hukum Allah, tidak boleh dicampuri oleh orang-orang lain (seperti yang kamu dakwakan itu), maka cita-citakanlah mati (supaya kamu dimatikan sekarang juga), jika betul kamu orang-orang yang benar”.}-

    jika kamu betul-betul rasa syurga & akhirat itu untuk kamu maka mintalah mati!
    Kata ulama’ : Ayat ini menjadi pengukur benar atau tidak iman yahudi dan juga untuk menolak dakwaan buruk mereka!

    Ada tiga dakwaan batil kaum yahudi ini:
    i- Mereka akan masuk neraka sekejap saja: {Dan mereka berkata: “Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka kecuali beberapa hari yang tertentu”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Adakah kamu sudah mendapat janji dari Allah supaya (dengan itu) Allah tidak akan menyalahi janjiNya, atau hanya kamu mengatakan atas nama Allah sesuatu yang tidak kamu mengetahuinya?”} (Al-Baqarah 2:80)

    ii- Syurga hanya untuk mereka kaum yahudi & Nasrani: {Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: “Tidak sekali-kali akan masuk Syurga melainkan orang-orang yang beragama Yahudi atau Nasrani”. Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): “Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar”.} (Al-Baqarah 2:111)

    iii- Mereka adalah anak-anak Allah yang disayangi Allah: {Orang-orang Yahudi dan Nasrani berkata: “Kami adalah anak-anak Allah dan yang amat disayangiNya”. Katakanlah (wahai Muhammad): “(Kalau betul demikian), maka mengapakah Ia menyeksa kamu dengan sebab dosa-dosa kamu?} (Al-Maaidah 5:18)

    Kerana dakwaan-dakwaan inilah Allah SWT cabar mereka untuk minta mati segera!
    Hidup ini keras. Buat apa hhidup lama atas dunia yang penuh pancaroba ini, maka matilah kamu untuk segera ke syurga bagi menikmati segala keistimewaannya.
  1. Ayat 95- {Dan sudah tentu mereka tidak akan mencita-citakan mati itu selama-lamanya.}-

    Allah tegaskan di sini dengan penuh keyakinan bahawa mereka tidak akan sekali-kali minta mati!
    Dari seg bahasa Arab. Jika guna perkataan {لَن} untuk tidak bermakna tidak akan lansung!
    Jadi Allah gunakan perkataan {وَلَن} yakni mereka tidak akan sekali minta mati!

    Kata ulama’ lughah : Ia membawa erti tidak akan berlaku, tidak mungkin berlaku!
    Sebagaimana firman Allah SWT : {Allah berfirman: “Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihatKu.} [Al-A’raf: 143].

    {قَالَ لَن تَرَىٰنِى} Yakni kamu sekali-kali tidak akan dapat melihat Allah semasa hidup atas dunia ini. Di Akhirat kelak lain ceritanya pula.
    Ayat ini mensabitkan juga menunjukkan ilmu Allah itu meliputi yang lepas, yang sekarang & yang akan datang.
  1. Ayat 95- {dan Allah sentiasa mengetahui akan orang-orang yang zalim itu.}-

    Allah mengetahui semua bentuk kezaliman yang kamu buat!
    Ayat ini memberi amaran keras kepada semua yang melanggar perintah Allah!
    Ingatlah jangan berani-berani buat zalim & dosa maksiat terhadap Allah kerana tindakan susulan bagi semua kejahatan & kezaliman itu akan mendapat balasan yang amat dahsyat!

    Hadis- Sabda Nabi SAW:
    رَحِمَ اللَّهُ عَبْدًا كَانَتْ لأَخِيهِ عِنْدَهُ مَظْلَمَةٌ فِي عِرْضٍ أَوْ مَالٍ فَجَاءَهُ فَاسْتَحَلَّهُ قَبْلَ أَنْ يُؤْخَذَ وَلَيْسَ ثَمَّ دِينَارٌ وَلاَ دِرْهَمٌ فَإِنْ كَانَتْ لَهُ حَسَنَاتٌ أُخِذَ مِنْ حَسَنَاتِهِ وَإِنْ لَمْ تَكُنْ لَهُ حَسَنَاتٌ حَمَّلُوا عَلَيْهِ مِنْ سَيِّئَاتِهِمْ
    Maksud: “Barangsiapa yang menanggung kezaliman yang dilakukan ke atas orang lain, sama ada mengenai maruah dan kehormatan atau sebarang perkara lain (mengambil harta orang lain) maka bersegeralah untuk meminta keampunan sebelum datangnya masa yang tidak ada padanya wang ringgit atau emas perak untuk membayarnya, bahkan pada masa itu kalau ia mempunyai amal soleh, akan diambil daripada amalnya itu dan diberikan kepada orang itu, kalau ia pula tidak mempunyai amal soleh, maka akan diambil dari kesalahan orang itu serta dibebankan kesalahan itu ke atasnya.” [Riwayat Tirmizi( 2419)]

    Hadis ini mengajar kepada kita supaya bertaubat sebelum mati & minta maaf kepada orang yang pernah kita zalimi & khianati buat salah sebelum mati!
  1. Ayat 96- {Tiap-tiap seorang dari mereka suka kiranya ia boleh hidup seribu tahun, padahal umur panjang yang demikian, tidak akan dapat melepaskannya dari azab (yang disediakan oleh Allah).}-

    Panjang umur tidak menjamin kebaikan di akhirat kelak kecuali dia penuhi usianya yang panjang itu dengan kebaikan & amal soleh.
    Ya Allah panjangkan umurku dalam kesihatan & ketaatan & ibadat kepada Allah!

    Hadis- Abu Bakrah ada meriwayatkan, bahawa ada seorang bertanya kepada Rasulullah SAW : “Siapakah orang yang paling baik?” Baginda SAW menjawab: “Orang yang panjang umurnya dan baik amalannya.” Dia bertanya lagi: “Siapakah pula orang yang paling buruk?” Baginda SAW menjawab: “Orang yang panjang umurnya, tapi buruk amal perbuatannya.” [HR at-Tirmizi].

    Sentiasalah kita baca doa ini, seeloknya di akhir solat sebelum salam:
    اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ، وَأَعُوذُ بِكَ أَنْ أُرَدَّ إِلَى أَرْذَلِ الْعُمُرِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الدُّنْيَا، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ.
    “Ya Allah aku berlindung kepada-Mu dari sikap pengecut; dan aku berlindung kepada-Mu dari dikembalikan kepada serendah-rendahnya usia (nyanyuk); dan aku berlindung kepada-Mu dari fitnah dunia; dan aku berlindung kepada-Mu dari siksa kubur.”.

    Berhatilah apabila mendoakan semoga seseorang panjang umur, jangan setakat minta panjang umur sahaja.
    Sepatutnya tambah lagi dengan doa yang betul & baik: Semoga dipanjangkan umur dalam kebaikan kesihatan & ketaatan kepada Allah!
    Ayat ini adalah tentang yahudi yang bercita-cita nak panjang umur, kita pun nak juga panjang umur tetapi atas kesihatan, ketaatan kepada Allah & dalam keredhaan-Nya.
    Sama-samalah kita mendoakan kepada saudara Islam kita di Palestin & Ghazzah yang sedang dizalimi oleh yahudi yang melanyak mereka!

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.

Powered by BetterDocs