SURAH AN-NUR : AYAT 23-26

\"\"

BALASAN PENUDUH QAZAF DI AKHIRAT, MULUT DIKUNCI DAN ANGGOTA MENJADI SAKSI & PERBUATAN BAIK SESUAI DENGAN ORANG BAIK DAN SEBALIKNYA.

Full video : https://youtu.be/lMaW_42lZUA

MUQADDIMAH :

  1. Kita masih lagi dalam kisah tentang perancangan jahat kaum munafiqin di Madinah serta beberapa orang muslim yang terpengaruh dengan propaganda mereka.
  2. Salah seorangnya adalah Mistoh yang menjadi anak angkat Abu Bakar r.a, dari kaum kerabatnya juga. Sepatutnya dialah yang membela Aisyah r.a. yang amat dikenalinya, serta Abu Bakar yang banyak berjasa kepadanya selama ini.
  3. Kerana itulah Allah s.w.t menyebut banyak kali peringatan kepada kaum mukmin akan sikap yang sepatutnya mereka ambil.
  4. Mereka menyerang peribadi Ummul-Mukminin isteri Rasulullah s.a.w dan rumahtangga Rasulullah yang mulia.
  5. Selepas Allah s.w.t menurunkan ayat al-Quran membersih kan tuduhan ini terhadap UM Aisyah r.a, dalam ayat-ayat hari ini diceritakan pula tentang balasan para penuduh Qazaf ini di akhirat kelak.
  6. Dalam ayat sebelum ini juga Allah s.w.t menegur Abu Bakar r.a dan perintah untuk seluruh kaum mukmin juga agar memaafkan dan melupakan perbuatan tidak baik orang lain
  7. Tetapi bagi golongan yang tidak insaf dan tidak bertaubat , masih berdegil mahu melakukan tuduhan dan sebar fitnah, maka Allah s.w.t memberi amaran dan ancaman tentang azab balasan neraka yang akan dikenakan ke atas mereka kelak.
  8. Contoh jelas hari ini ialah kaum Syiah yang masih meneruskan perbuatan jahat ini mengeji dan mencela UM Aisyah r.a. walaupun ayat al-Quran sudah diturunkan membersihkan dirinya!!! Allahu al-Musta\’an.

AYAT 23- {SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG MENUDUH PEREMPUAN-PEREMPUAN YANG TERPELIHARA KEHORMATANNYA, YANG TIDAK TERLINTAS MEMIKIRKAN SEBARANG KEJAHATAN, LAGI YANG BERIMAN, AKAN DILAKNAT (OLEH ALLAH) DI DUNIA DAN DI AKHIRAT DAN, MEREKA PULA AKAN BEROLEH AZAB SEKSA YANG BESAR;} (AN-NUUR 24:23)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t menyebut beberapa sifat wanita baik-baik yang dituduh itu, yang terpelihara kehormatannya, yang tidak terlintas memikirkan sebarang kejahatan, lagi yang beriman. الْمُحْصَنَاتِ الْغَافِلَاتِ الْمُؤْمِنَاتِ ))
  2. Sesungguhnya bagi mereka penuduh itu akan dilaknat (oleh Allah) di dunia dan di akhirat dan, mereka pula akan beroleh azab seksa yang besar.
  3. Para ulama\’ berpendapat ayat ini masih diturunkan berkait dengan Sayyidah Aisyah r.a., kerana masih ada lagi yang tidak berhenti membuat tuduhan terhadapnya dan TIDAK BERTAUBAT.
  4. Ibnu Jarir pula berkata walaupun asal kisah ini diturunkan kepada UM Aisyah r.a. tetapi ia juga untuk semua perbuatan jahat begini, maka hukumnya umum, laknat dan ancaman untuk semua yang bersifat begini.
  5. Kaedah berkata: Yang diambil kira dari ayat ini ialah umum lafaznya, walaupun sebab turunnya untuk kisah Aisyah r.a., tetapi ia boleh digunakan untuk semua.
  6. Begitu juga lafaz mukminat yang digunakan; termasuk juga mukminin (kaum lelaki beriman) yang dituduh. Kerana tuduhan zina tidak akan terjadi tanpa ada ada kedua-dua jenis orang lelaki dan perempuan.
  7. Maksud laknat Allah: bermula dari di dunia lagi, persaksian mereka ditolak, kepercayaan orang ramai terhadap mereka sudah tiada, ia dianggap satu perbuatah yang buruk. Manakala di akhirat pula pastilah azab neraka yang tidak terperi siksanya.
  8. Hadis Rasulullah s.a.w agar menjauhkan diri dari 7 perkara yang membinasakan.
    Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah S.A.W bersabda:
    \’\’Tinggalkanlah tujuh dosa yang akan membinasakan. Sahabat bertanya, \’\’Wahai Rasulullah, apakah dosa-dosa itu? Jawab Nabi S.A.W: \’\’Syirik mempersekutukan Allah Swt, melakukan sihir, membunuh jiwa manusia yang telah diharamkan Allah S.W.T kecuali dengan hak, makan riba, makan harta anak yatim, lari dari perang jihad, MENUDUH ZINA PADA WANITA MUKMINAT.\’\’ [HR Bukhari & Muslim]

AYAT 24- {PADA HARI LIDAH MEREKA DAN TANGAN MEREKA SERTA KAKI MEREKA MENJADI SAKSI TERHADAP DIRI MEREKA SENDIRI, TENTANG SEGALA YANG MEREKA LAKUKAN.} (AN-NUUR 24:24)

  1. Pada hari Kiamat kelak, anggota badan kita sendiri akan menjadi saksi ke atas segala amal perbuatan kita semasa di dunia, walaupun bukan dengan sukarela, tetapi terpaksa mengatakan semua yang benar dan hak.
  2. Manakala mulut pula akan dikunci kerana ia masih mahu berdolak-dalik.
  3. Hadis Rasulullah s.a.w. tentang keadilan Allah s.w.t yang membawakan saksi-saksi ke atas manusia pada hari Kiamat nanti.
  4. Firman Allah s.w.t: {Katakanlah lagi: \”Cukuplah Allah menjadi saksi antaraku dengan kamu; sesungguhnya adalah Ia Amat Mendalam pengetahuan-Nya, lagi Amat Melihat akan keadaan hamba-hamba-Nya\”.} [Al-Israa\’ 17:96)

AYAT 25- {PADA HARI ITU ALLAH AKAN MENYEMPURNAKAN UNTUK MEREKA BALASAN (AZAB SEKSA) YANG BERHAK MEREKA MENDAPATNYA, DAN MEREKA PULA AKAN MENGETAHUI BAHAWA ALLAH IALAH TUHAN YANG MAHA ADIL, LAGI NYATA KEADILANNYA.} (AN-NUUR 24:25)

  1. Pada hari Kiamat kelak Allah s.w.t akan sempurnakan balasan (azab seksa) kepada yang berhak mereka mendapatnya.
  2. Segalanya akan dihitung, dihisab dan diberi pembalasan, tiada yang akan tertingal dan dizalimi, walaupun sebesar biji tamar atau sebesar atom.
  3. Firman Allah s.w.t: {Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk (menimbang amal makhluk-makhluk pada) hari kiamat; maka tidak ada diri sesiapa akan teraniaya sedikitpun; dan jika (amalnya) itu seberat biji sawi (sekalipun), nescaya Kami akan mendatangkannya (untuk ditimbang dan dihitung); dan cukuplah Kami sebagai Penghitung.} (Al-Anbiyaa\’ 21:47)
  4. Maka pada hari itu akan terserlah dan tersingkaplah segala rahsia dan yang tersembunyi sebelum ini, yang zahirnya adalah Allah s.w.t Yang Maha Adil, Maha Benar.
  5. Maka sesiapa yang mahu selamat di akhirat maka perbaikilah diri kita di dunia ini sebaiknya.

AYAT 26- {(LAZIMNYA) PEREMPUAN-PEREMPUAN YANG JAHAT ADALAH UNTUK LELAKI-LELAKI YANG JAHAT, DAN LELAKI-LELAKI YANG JAHAT UNTUK PEREMPUAN-PEREMPUAN YANG JAHAT; DAN (SEBALIKNYA) PEREMPUAN-PEREMPUAN YANG BAIK UNTUK LELAKI-LELAKI YANG BAIK, DAN LELAKI-LELAKI YANG BAIK UNTUK PEREMPUAN-PEREMPUAN YANG BAIK. MEREKA (YANG BAIK) ITU ADALAH BERSIH DARI (TUDUHAN BURUK) YANG DIKATAKAN OLEH ORANG-ORANG (YANG JAHAT); MEREKA (YANG BAIK) ITU AKAN BEROLEH PENGAMPUNAN (DARI ALLAH) DAN PENGURNIAAN YANG MULIA.} (AN-NUUR 24:26)

  1. Allah s.w.t rakamkan dari ayat 11 sehingga ayat 26 dari surah an-Nur ini, untuk membersihkan UM Aisyah r.a. Juga memberi peringatan kepada orang yang beriman agar menjauhi sifat ini dan mengajar sikap yang sepatutnya diambil.
  2. Selepas Allah s.w.t membawa hukum bahawa tiada sebarang keraguan tentang kesucian dan kebaikan UM Aisyah r.a., yang terpilih menjadi isteri dan pasangan kepada Nabi Allah yang bersih dan mulia, maka di bawa ayat ini; { perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik.}
  3. Biasanya orang-orang yang buruk perangainya akan tertarik antara satu sama lain, maka perempuan-perempuan dan lelaki yang jahat mereka akan memilih pasangan yang jahat perangainya juga. Sebagaimana lalat yang sentiasa mencari yang busuk dan buruk. {الْخَبِيثَاتُ لِلْخَبِيثِينَ وَالْخَبِيثُونَ لِلْخَبِيثَاتِ}- {lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat}.
  4. Begitu juga sebaliknya perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik.
  5. Mereka yang baik itu adalah bersih dari tuduhan buruk yang dikatakan oleh orang-orang yang jahat; mereka yang baik itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan kurniaan rahmat balasan yang mulia.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS:

  1. Ulama\’ berbincang dan memberi pendapat tentang ayat ini:
    {الْخَبِيثَاتُ لِلْخَبِيثِينَ وَالْخَبِيثُونَ لِلْخَبِيثَاتِ}- {lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat}.
    Imam Mawardi berkata maksudnya :
    i- yakni orang itu sendiri, pribadinya buruk, perkataan dan perlakuannya buruk.
    ii- perbuatan yang buruk itu, yang sesuai dengan orang yang jahat.
    iii- perkataan buruk/jahat adalah sifat orang yang jahat/buruk juga.
    ** Iaitu merangkumi semua dimensi, orang itu sendiri dan sifat yang dibawanya.
  2. Maka jika kita nak jadi orang yang baik, maka semaklah sifat perbuatan dan perkataan kita. Kita sendiri yang pilih samada mahu jadi orang baik atau orang yang buruk!!! Maka tinggalkan segala yang buruk ambil yang buruk, semak diri kita dan hari ini juga berubah, jangan tunggu besok atau lupa, kita tidak mahu bila akan mati!
  3. Bagaiman kita mahu realisasikan ayat Ayat 26 ini dengan kisah isteri Nabi Nuh, serta isteri Nabi Lut? Dua wanita ini tidak mendapat faedah dari suami mereka, yang adalah nabi-nabi yang terpilih serta masuk ke dalam neraka.
    Hikmahnya kerana:
  4. Allah s.w.t mahu kita sentiasa cemas dan berfikir agar setiap orang jangan rasa yakin dan cukup dengan menyandar kepada suami atau ahli keluarga kita yang warak dan hebat.
  5. Allah s.a.w telah menyebut dalam firman-Nya: al-Hasyr: 21, al-Ankabut- 43, at-Tahrim 10. Firman Allah s.w.t:
    i- {Dan misal-misal perbandingan yang demikian itu Kami kemukakan kepada umat manusia, dan hanya orang-orang yang berilmu yang dapat memahaminya.} (Al-\’Ankabuut 29:43).
    ii- {Dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya.} (Al-Hasy-r 59:21)
    iii- {Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada manfaatnya) bagi orang-orang kafir (berhubung rapat dengan orang-orang mukmin selagi mereka tidak beriman dengan sebenar-benarnya), iaitu: perihal isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut; mereka berdua berada di bawah jagaan dua orang hamba yang soleh dari hamba-hamba Kami (yang sewajibnya mereka berdua taati); dalam pada itu mereka berlaku khianat kepada suami masing-masing; maka kedua-dua suami mereka (yang berpangkat Nabi itu) tidak dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka dari (azab) Allah, dan (sebaliknya) dikatakan kepada mereka berdua (pada hari pembalasan): \”Masuklah kamu berdua ke dalam neraka bersama-sama orang-orang yang masuk (ke situ)\”.} (At-Tahriim 66:10)
  6. Selepas kita memahami bahawa keluarga yang soleh tidak akan dapat memberi bantuan kepada akhirat kita, maka ini akan menjadikan kita cemas dan takut, sentiasa menjaga diri untuk menjadi orang baik. Kitalah yang islah, baiki diri kita agar menjadi pasangan yang baik dan sesuai, untuk kita sama-sama menjadi perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik.
    7.Hati manusia ini sentiasa berbolak-balik, paginya baik-petangnya sudah berubah. Maka kita sentiasalah berdoa kepada Allah s.w.t agar diberi istiqomah dan menjadi orang yang baik-baik yang sesuai dengan orang yang baik-baik juga. Insya\’ Allah.

Wallahu a\’lam.

Powered by BetterDocs