Surah Al-Baqarah : Ayat 215-216

SOALAN TENTANG NAFKAH SUNAT, ORANG YANG BERHAK DIBERI & DIWAJIBKAN BERPERANG WALAUPUN NAFSU TAK SUKA.

Full video : https://youtu.be/0Ro6NMLJzbM?si=WAJ6tarvxqrwRAZd

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam ayat 215 sehingga ayat 216 bagi surah Al-Baqarah. Surah yang kedua dalam juzu’ yang kedua.
  2. Dalam siri ini Allah SWT bawa persoalan yang ditanya tentang nafkah sunat.
  3. Iaitu tentang kepada siapakah yang berhak diberi nafkah sunat.
  4. Kemudian Allah nyatakan bahawa diwajibkan berperang walaupun nafsu tak suka.
  5. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah sebut bahawa punca khilaf & perselisihan umat ini ialah kerana cintakan dunia. Orang yang betul-betul beriman akan berjaya dalam ujian kehidupannya samada Allah uji dengan kesusahan atau kesenangan. Hendaklah kita sabar untuk mendapat pahala & rahmat Allah SWT!

    ii- Maka dalam ayat ini Allah bawa perintah & galakan untuk infaq.
    Orang susah kita bantu dan tolong!
    Nak mencari nafqah untuk dapatkan harta kena sabar; nak infaq kena sabar pula!
    Bukan mudah nak senang-senang mengeluarkan harta dan memberi kepada orang lain!

    iii- Infaq ini boleh juga dilakukan samada dengan harta atau dengan badan.
    Jangan bakhil, sudahlah badan tak sampai, harta juga tak sampai!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 215- {MEREKA BERTANYA KEPADAMU (WAHAI MUHAMMAD): APAKAH YANG AKAN MEREKA BELANJAKAN (DAN KEPADA SIAPAKAH)? KATAKANLAH: “APA JUA HARTA BENDA (YANG HALAL) YANG KAMU BELANJAKAN MAKA BERIKANLAH KEPADA: KEDUA IBU BAPA, DAN KAUM KERABAT, DAN ANAK-ANAK YATIM, DAN ORANG-ORANG MISKIN, DAN ORANG-ORANG YANG TERLANTAR DALAM PERJALANAN. DAN (INGATLAH), APA JUA YANG KAMU BUAT DARI JENIS-JENIS KEBAIKAN, MAKA SESUNGGUHNYA ALLAH SENTIASA MENGETAHUINYA (DAN AKAN MEMBALAS DENGAN SEBAIK-BAIKNYA).} (AL-BAQARAH 2:215)

  1. Ayat ini adalah soalan yang ditanya dalam Al-Quran {يسألونك} yang akan dijawab oleh Allah dengan perkataan {قُلْ}- iaitu agar Rasulullah SAW jawabnya {Katakanlah:}.
  2. Iaitu para sahabat datang bertanya kepada Rasulullah SAW cara nak infaq serta jenisnya, bagaimana & kepada siapa?
  3. Allah jawab bahawa infaq ini ikut setakat kemampuan yang kita ada; ada banyak beri banyak, ada sedikit beri setakat yang ada & mampu.
  4. Kerana itu kata ahli fikir:
    Berinfaqlah dengan apa yang kamu ada (ikut kemampuan) sehingga kamu kaya!
    Jangan tunggu kaya baru nak infaq.
    Ini agar tangan kita juga pernah menjadi tangan yang di atas iaitu yang memberi infaq.
  5. Infaq yang paling afdhal dan terbaik adalah kepada keluarga yang terdekat.
    i- Iaitu jika ibu bapa {لْوَٰلِدَيْنِ } kita susah & miskin kita kena bantu. Inilah sedekah & infaq yang paling afdhal.

    ii- Jika mereka ibu bapa itu kaya & tidak perlu bantuan atau orang senang- kita beri kepada mereka sebagai hadiah!
    Apatah lagi jika ibu bapa kita orang yang suka infaq bersedekah- kita akan dapat juga tempias pahala dari kebaikannya!
    Kita bagi kepada ibu bapa dapat pahala dah, dia bagi infaq kita dapat pahala juga insya’ Allah.

    ii- jika kita susah tak mampu nak beri infaq atau hadiah kepada ibu bapa- maka gembirakanlah hati mereka dengan kehadiran dan pertolongan apa saja yang kita dapat beri kepada mereka!
    Sehingga dikatakan: Makan malam dengan ibu bapa & menyukakan hati mereka lebih baik daripada perjalanan haji sunat!
  6. Kemudian utamakan kaum keluarga yang terdekat dalam kalangan keluarga (الأقربون من الأقربين)
    seperti ibu bapa saudara samada dari sebelah ibu (خال & خالة) atau sebelah bapa (عم & عمة), anak-anak mereka sepupu-sepapat dan seterusnya.
    Kerana itu perlunya ada komunikasi antara kalangan keluarga, jika mereka tak mengaku sendiri, kena ada penyiasat yang dapat beri maklumat agar jangan terjadi orang jauh dibantu tetapi kaum keluarga yang dekat terbiar!
  7. Kemudian bantulah anak-anak yatim {ٱلْيَتَـٰمَىٰ} yang miskin, yang memerlukan sumbangan samada dari segi duit atau lain-lain bantuan. Anak yatim ini tidak ramai & tidak luas kerana apabila mereka baligh cukup umur- hilang title yatim ini!
  8. Serta orang miskin {ٱلْمَسَـٰكِين} iaitu mereka yang ada pendapatan tetapi tidak mencukupi keperluan sara hidupnya.
    Allah tidak sebut orang faqir kerana ia lebih rendah kadar kemiskinannya maka pastilah mereka lebih wajib dibantu.
    Kerana itu kita nak jadi al-Faqir ilallah, bukan tok faqir yang tiada apa-apa kebaikan.
    Jangan kita jadi faqir di dunia dengan akhlak yang buruk & faqir di Akhirat dengan kehilangan segala pahala.
  9. Kemudian orang-orang yang terlantar dalam perjalanan {ٱبْنِ ٱلسَّبِيلِ} iaitu mereka yang keluar musafir atau berdakwah pada jalan Allah lalu terputus bekalan atau kehabisan belanja.
    Tak kiralah walaupun pada tempat asalnya mereka kaya.
    Berhati-hati dengan scammer di tempat hentian rehat dan stesen-stesen minyak.
  10. Allah SWT janjikan bahawa segala perbuatan baik & infaq kita itu sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui-Nya dan akan membalas dengan sebaik-baiknya.
  11. Ini adalah infaq yang sunat, jika yang wajib seperti zakat sudah ada asnafnya yang tertentu.
    Maka saudara semua perbanyakkan berinfaq agar jangan sampai harta yang kita kumpul ditinggalkan apabila kita mati, menjadi milik orang dan tak dapat hasil untuk bekalan Akhirat kita!

AYAT 216- {KAMU DIWAJIBKAN BERPERANG (UNTUK MENENTANG PENCEROBOHAN) SEDANG PEPERANGAN ITU IALAH PERKARA YANG KAMU BENCI; DAN BOLEH JADI KAMU BENCI KEPADA SESUATU PADAHAL IA BAIK BAGI KAMU, DAN BOLEH JADI KAMU SUKA KEPADA SESUATU PADAHAL IA BURUK BAGI KAMU. DAN (INGATLAH), ALLAH JUALAH YANG MENGETAHUI (SEMUANYA ITU), SEDANG KAMU TIDAK MENGETAHUINYA.} (AL-BAQARAH 2:216)

  1. Allah katakan bahawa diwajibkan {كُتِبَ} ke atas kamu untuk berperang; sedangkan peperangan itu sesuatu yang dibenci, tidak disukai oleh sesiapa saja!
  2. Ini kerana:
    i- Perang boleh membawa mudharat seperti kecederaan, maut, hilang harta & keluarga serta banyak kemusnahan lagi.

    ii- Tetapi perang juga boleh menyekat kepada Syirik & menyebarkan agama Allah apabila Islam dapat kemenangan. Jika kita tak menang tetapi kalah atau terkorban; seorang mujahid akan dapat pahala mati syahid- di mana Rasulullah SAW telah bersabda: “Akan diampunkan segala dosa orang yang mati syahid kecuali orang yang berhutang.” [HR Muslim].
    Ini menunjukkan hutang wajib dibayar dalam apa jua keadaan sekalipun!
    Kegagalan membayar hutang adalah satu dosa besar di mana Allah tidak akan ampun atau batalkan dosanya walaupun mati syahid!
    Begitu juga trend sekarang yang galakkan orang berhutang untuk pergi umrah atau haji!
    Ini tidak wajib kerana Allah sudah nyatakan hanya orang yang mampu saja wajib!
  3. Ini adalah perintah {كُتِبَ -iaitu diwajibkan} ke atas kamu, yang ke-4 dalam surah Al-Baqarah.
    {كُتِبَ} yang pertama ayat 178 (Qisas), ayat 180 (wasiat), ayat 183 (puasa) dan ayat 216 ini tentang diwajibkan (perang).
  4. Ini kerana kamu tidak tahu:
    i- Kerana mungkin kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, seperti berperang yang membawa banyak pahala bermula dari keluar dari rumah lagi.

    ii- Dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu! Seperti kamu sangka kamu selamat dan aman apabila berada di rumah tetapi mungkin kamu juga akan ditimpa bencana atau kematian di rumah sendiri!
  5. Ayat ini adalah ayat jihad, ayat perang- untuk berperang melawan orang kafir, bukan ayat menggalakkan untuk bergabung dengan orang kafir!
    Jangan salah guna ayat Al-Quran, hati-hati jangan salah mentafsirkannya dengan ikut kepentingan dan nafsu kamu!
  6. Sama seperti ayat; yang Allah tidak mengubah nasib seseorang kaum kecuali mereka ubahnya sendiri- ayat ini larangan daripada melakukan kemungkaran & maksiat!
    Bukan untuk ubah undi atau parti- kita nasihat apa yang kita rasa betul- tak kira siapa dan di mana jangan mudah koyak dan terasa disindir, jika setuju boleh terus ikut.
  7. Pada zaman Rasulullah SAW : Kisah Qazman atau Quzman (قُزْمَانُ) yang tidak mahu pergi berperang, bersembunyi apabila pasukan Rasulullah SAW dan kaum muslimin keluar berperang. Namun, sejumlah perempuan Bani Zhafar di Madinah yang melihatnya mencela dan mengejeknya sebagai pengecut. “Wahai Quzman, tidakkah kamu malu, ketika orang lain pergi berperang, kamu hanya bersembunyi dirumah seperti perempuan,” cela mereka. Kerana dikecam terus menerus, Quzman berasa malu dirinya disebut sebagai perempuan dia lalu kemudian mengambil pedang, tombak, dan perisai, lalu menyusul pasukan muslimin. Sesampainya di medan perang, Quzman mengamuk dan bertempur tak ubahnya seperti pahlawan muslim lainnya. Berkali-kali Quzman menyerbu pasukan kaum Quraisy, dan mencerai-beraikan mereka.
    Tak terhitung berapa banyak pasukan Quraisy yang menjadi korban pedangnya, hingga pedang itu patah. Para sahabat Nabi dalam pasukan muslimin yang melihat pertarungan Quzman merasa takjub dan mengira orang ini adalah mujahid pahlawan kerana semangat dan keberaniannya di medan perang. Banyak sahabat takjub kepadanya. Tiba-tiba Rasulullah berkata: “Orang ini ahli neraka!” Para sahabat pun tertanya-tanya, apakah benar Quzman seorang ahli neraka. Quzman masih bertarung dengan gagah berani. Namun, dia kemudian mendapatkan banyak luka ditubuhnya. Akibat luka-lukanya, Quzman merasa tak tahan. Dia kemudian mengambil anak panah, dan menusuk jantungnya sendiri. Quzman melakukan bunuh diri, sehingga benarlah apa yang dikatakan Rasulullah SAW, Quzman adalah ahli neraka. Orang yang mengikuti Quzman & melihat perbuatannya itu datang kepada Rasulullah SAW dan berkata: “Aku bersaksi bahwa engkau memang utusan Allah. Rasulullah SAW bertanya: “Ada apa ini?” Orang itu menjawab: “Orang yang Tuan sebut sebagai ahli neraka tadi, orang ramai menganggap berat (anggapan itu), maka aku pun mengikutinya, lalu aku mencarinya dan aku dapati ia terluka parah. Ia mempercepat kematian dengan meletakkan pedangnya di tanah, sedangkan hujung pedang berada di dadanya, kemudian ia menekan badannya hingga meninggal.” (yakni bunuh diri). Setelah itu, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya ada orang yang melakukan perbuatan ahli syurga, seperti yang kelihatan pada ramai orang, padahal sebenarnya ia ahli neraka. Dan ada orang yang melakukan perbuatan ahli neraka, seperti yang kelihatan pada ramai orang, padahal ia termasuk ahli syurga.”
    [HR Bukhari].
  8. Jika orang kutuk, keji kita, sebar fitnah dan tuduhan jahat kepada kita, kita kata alhamdulillah kerana kita sedang tidur dapat pahala masuk hasil daripada fitnah mereka itu!
    Ingatlah muflis kita di Akhirat nanti tiada guna- rugi pahala!
    Biarlah kita susah di dunia jangan faqir di Akhirat, biarlah kita hina di dunia asal aman & selamat di Akhirat.
  9. Allah SWT tutup ayat ini dengan mengatakan bahawa Dia lebih tahu mana yang lebih baik bagi kamu, kerana itu Allah galakkan untuk pergi berperang!
    Kerana jika tak pergi berperang pun jika sudah sampai ajal kamu akan mati juga walaupun di atas tilam di rumah kamu!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 215- {Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad)}-

    Ayat ini menyatakan para sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW.
    Ini menunjukkan betapa para sahabat ini amat gemar bertanya dan suka untuk menuntut ilmu, mereka akan bertanya terus kepada Rasulullah SAW yang menjadi sumber rujukan kepada mereka!
    Dalam Al-Quran terdapat lebih daripada 12 kali ayat soalan {وَإِذَا سَأَلَكَ & يَسْـَٔلُونَكَ} yang ditanya oleh para sahabat atau orang kepada Rasulullah SAW!
    i- Setiap kali Allah suruh Rasulullah SAW jawabnya dengan firman-Nya: {Katakan- قُلْ}.

    ii- Kecuali sekali dalam ayat- {وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِى عَنِّى فَإِنِّى قَرِيبٌ} (Al-Baqarah-186) tidak ada Qul- Allah jawab terus untuk menunjukkan dekatnya Allah SWT dengan hamba-Nya, dengan cepatnya dibawa jawapan!
    Alhamdulillah, Rasulullah SAW menjadi tempat rujukan sahabat bertanya – kita juga akan mendapat jawapan dan manfaatnya apabila Rasulullah SAW menjawabnya!
    Kita ni dalam perkara bab agama ini jika tidak faham atau kemusykilan kena tanya- jangan biarkan ia berlegar dalam fikiran kita sehingga membawa kepada syak, waswas & keraguan terhadap agama.
    Contohnya dalam bab pembahagian harta pusaka & poligami; banyak menimbulkan polemik & salah faham.
    Untuk penjelasan & kefahaman hikmah di sebalik beberapa pensyariatan hukum oleh Allah SWT boleh baca buku ini: https://dartaibah.com/?page_id=179…
  2. Ayat 215- {Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)?}-

    Sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW tentang apa & kepada siapa mereka perlu berbelanja iaitu mengeluarkan infaq sedekah yang sunat.
    Allah jawab dengan jawapan yang padu- yang tidak perlu kepada soalan lain lagi- jawapan Al-Quran yang sangat mantap dan lengkap.
    Allah kata beri nafkah kepada golongan-golongan ini- ikutlah nak beri apa yang kamu ada & berapa kamu nak beri- jenisnya terpulanglah kepada apa yang kamu ada!

    Hadis daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Bersedekahlah kamu.” Seorang lelaki bertanya: “Wahai Rasulullah, aku hanya mempunyai satu dinar.” Baginda menjawab: “Sedekahlah ia untuk dirimu sendiri.” Lelaki itu bertanya lagi: ” Aku mempunyai satu dinar selainnya.” Baginda bersabda: “Sedekahlah ia untuk anakmu.” Lelaki itu bertanya lagi: “Jika aku mempunyai yang selainnya.” Baginda bersabda: “Sedekahlah ia untuk pembantumu.” Lelaki itu berkata: Aku mempunyai yang selainnya.” Baginda bersabda: “Engkau lebih bijak untuk menentukan mana yang lebih baik daripada itu.” [HR Abu Daud & an-Nasae’i].

    Yakni Rasulullah SAW ajarnya untuk bersedekah kepada orang yang terdekat dan paling rapat terlebih dahulu kemudian jika ada lagi lebih barulah kepada yang lain, yang lebih jauh sedikit.
    Ayat Al-Quran ini begitu mantap sekali- Allah ajar cara infaq yang sempurna agar kita tidak terumbang-terambing!
  3. Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuiNya}-

    Allah maha mengetahui segala perbuatan dan amal kebaikan kita & akan membalas sebaik-baiknya.
    Allah tak tanya banyak atau sedikit kamu sedekah- tetapi apakah kamu buat atau tidak!
    Ayat ini memberi makna agar kita ikhlas dalam sedekah.
    Serta anjuran untuk bersedekah secara rahsia tak perlu umumkan kepada manusia.
    Ini kerana Allah maha Mengetahui, manusia lain tak tahu tak mengapa!
    Tak masuk akhbar, tak masuk medsos pun tidak mengapa!
    Sedekah paling afdhal ialah sedekah yang tersembunyi atau secara rahsia, bak kata umpama tangan kanan infaq, tangan kiri pun tak tahu!
  4. Ayat 216- {Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci;}-

    Orang Islam wajib berperang walaupun ia adalah sesuatu yang tidak disukai!
    Ayat ini memberi isyarat bahawa kita wajib terima, akur, taat & patuh kepada segala perintah dan arahan Allah Azza wa Jalla dengan Ikhlas samada yang kita suka atau tidak suka.
    Jika kita suka terima, jika tak suka apakah nak tolak???
    Jika kita tak suka dengan perintah & Syari’ah Allah- kita nak suka kepada arahan siapa?
    Takkan arahan syaitan pula!
    Ini kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui mana yang lebih baik bagi kamu!
    Ayat perang ini adalah amat susah dan berat bagi orang yang jiwanya tidak kuat perjuangannya, takut mati- tetapi jika orang yang redha & tahu akan kelebihan mati syahid dia tidak akan takut untuk pergi berjuang & mati pada jalan Allah.
    Sebagaimana dalam ayat sebelum ini Allah telah jelaskan tentang kelebihan mati syahid.
  5. Ayat 216- {Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci;}-

    Perang wajib ke atas kamu walaupun kamu membencinya!
    Perjuangan Islam ini adalah sesuatu yang tidak disukai & dibenci oleh nafsu- tak kira samada perjuangan jihad dengan badan dan nyawa atau dengan infaq harta.
    Jika berperang secara fizikal- mungkin hilang kaki atau tangan atau hilang kepala- mati terus!
    Maka Allah suruh kita lawan nafsu ini untuk menang pada jalan Allah!
    Jangan ikut dan menyerah kalah kepada nafsu.
    Ini kerana nafsu ini seperti bayi menyusu- jika dibiarkan ia akan menyusu kepada ibnya sehingga besar!
    Tetapi jika kita bersungguh melawannya kerana Allah, insya’ Allah kita akan menang!
    Ya Allah bantulah kami untuk mengekang melawan nafsu agar kami tetap berada di atas landasan-Mu yang benar.

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.

Powered by BetterDocs