SURAH AL-KAHF : AYAT 92-98

\"\"

KISAH ZULQARNAIN BERTEMU DENGAN KAUM YANG SUKAR MEMAHAMI CAKAPANNYA, MEMBINA TEMBOK PEMISAH DARI YA\’JUJ DAN MA\’JUJ & KISAH KELUARNYA PADA AKHIR ZAMAN

Full video: https://youtu.be/ECtiz19sNvs

MUQADDIMAH :
1. Sebelum ini tentang perjalanan Zulqarnain sehingga tiba di maghrib (barat- tempat matahari jatuh), ulama\’ kata laut yang gelap/Atlantik, kemudian dia berjalan sekitar negara Arab yang sebelah barat seperti Tunis, Maghribi dan lain-lain.
2. Kemudian dia pergi berjalan sehingga tiba pula ke negara matahari terbit, jumpa kaum yang masih tidak bertamadun.
3. Hari adalah sambungan ayat 92, tentang penaklukannya di jalan yang ketiga pula.

AYAT 92- {KEMUDIAN IA BERPATAH BALIK MENURUT JALAN YANG LAIN.} (AL-KAHFI 18:92)
1. Lalu dia berpatah balik semula perjalanannya tadi, (1) dari tempat jatuh matahari (barat), (2) undur kembali semula ke timur, kemudian jalan yang ketiga ini.
2. Ulama\’ mengatakan ia adalah ke sebelah utara pula.

AYAT 93- {SEHINGGA APABILA IA SAMPAI DI ANTARA DUA GUNUNG, IA DAPATI DI SISINYA SATU KAUM YANG HAMPIR-HAMPIR MEREKA TIDAK DAPAT MEMAHAMI PERKATAAN.} (AL-KAHFI 18:93)
1. Maralah Zulqarnain dan tenteranya kea rah utara, sehinggalah dia tiba di antara dua gunung, di situ terdapat satu kaum yang bahasanya pelik, hampi-hampir tidak dapat difahami.
2. Bagaimana pula Zulqarnain boleh memahami mereka? Ulama\’ mengatakan boleh jadi:
i- Dia sebagai seorang penakluk timur & barat, boleh memahami dan mengetahui semua bahasa dengan ilham yang Allah s.w.t berikan kepadanya.
ii- Ataupun dia menggunakan juru bahasa sebagai penterjemahnya.

AYAT 94- {MEREKA BERKATA: \”WAHAI ZULKARNAIN, SESUNGGUHNYA KAUM YAKJUJ DAN MAKJUJ SENTIASA MELAKUKAN KEROSAKAN DI BUMI; OLEH ITU, SETUJUKAH KIRANYA KAMI MENENTUKAN SEJUMLAH BAYARAN KEPADAMU (DARI HASIL PENDAPATAN KAMI) DENGAN SYARAT ENGKAU MEMBINA SEBUAH TEMBOK DI ANTARA KAMI DENGAN MEREKA?\” (AL-KAHFI 18:94)
1. Mereka mengenalinya dan mengadu kepada Zulqarnain tentang satu kaum yang sentiasa melakukan kerosakan di bumi. Dikatakan ia adalah satu bangsa yang suka menceroboh, mengacau, membuat rusuhan dan merosakkan harta benda dan kehidupan manusia lain.
2. Allah s.w.t tidak menjelaskan siapa dan dimanakah asal mereka ini. Pelbagai pendapat tentang apakah Yakjuj dan Makjuj ini.
3. Mengikut Tafsir al-Alusi- Ruhul Ma’ani, J16, m/s 38 ke atas;
i- dia adalah dua kaum yang berbeza Yakjuj DAN Makjuj. Dua nama kabilah Ajam, bukan Arab, daripada anak Yafis bin Nuh a.s.
ii- Yakjuj adalah Tartar, manakala Makjuj adalah Mongol. Asal kedua kabilah ini dari bapa yang satu iaitu Turk.
iii- Mereka berasal dari Asia tengah, negerinya terletak antara Tibet, China dan berakhir di sebelah barat dengan negara Turkistan. Wallahu A’lam.
4. Bilangan mereka; hadis sahih dari Abi Said bin al-Khudri:
5. Ulama\’ kata mereka adalah dua kabilah daripada anak Adam. Yakni mereka adalah manusia juga cuma rupanya lain dan pelik sedikit, bukan makhluk lain yang diceritakan dengan pelbagai versi.
6. Semua itu tiada riwayat yang sahih, kebanyakannya adalah dari Israiliyyat.
7. Banyaknya bilangan Yakjuj wa Makjuj ini:
Antaranya, hadis daripada Abi Sa’id al-Khudri R.A, Rasulullah S.A.W bersabda:
يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى يَا آَدَمُ فَيَقُولُ لَبَّيْكَ وَسَعْدَيْكَ وَالْخَيْرُ فِي يَدَيْكَ فَيَقُولُ أَخْرِجْ بَعْثَ النَّارِ قَالَ وَمَا بَعْثُ النَّارِ قَالَ مِنْ كُلِّ أَلْفٍ تِسْعَمِئَةٍ وَتِسْعَةً وَتِسْعِينَ فَعِنْدَهُ يَشِيبُ الصَّغِيرُ وَتَضَعُ كُلُّ ذَاتِ حَمْلٍ حَمْلَهَا وَتَرَى النَّاسَ سُكَارَى وَمَا هُمْ بِسُكَارَى وَلَكِنَّ عَذَابَ اللهِ شَدِيدٌ قَالُوا : يَا رَسُولَ اللهِ وَأَيُّنَا ذَلِكَ الْوَاحِدُ قَالَ أَبْشِرُوا فَإِنَّ مِنْكُمْ رَجُلٌ وَمِنْ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ أَلْفٌ…
Maksudnya: Allah S.W.T berfirman, “Wahai Adam!” Kemudian Adam berkata, “Labbaik wa sa’daik! Kebaikan berada di tangan-Mu.” Allah pun berkata, “Pisahkanlah (dari zuriatmu) mereka yang akan menjadi penghuni neraka!” Adam berkata, “Siapakah penghuni-penghuni neraka itu?” Allah berkata, “Dari setiap seribu orang ada sembilan ratus sembilan puluh sembilan orang (yang akan ke neraka).” Itu adalah ketika anak kecil akan beruban, setiap wanita hamil akan keguguran dan kamu melihat manusia seolah-olah mabuk, padahal mereka tidak mabuk. Akan tetapi, azab Allah-lah yang sangat pedih.”
Para sahabat pun berkata, “Ya Rasulullah! Siapakah di antara kami satu orang tersebut?” Kemudian Baginda S.A.W menjawab, “Bergembiralah kamu. Sesungguhnya dari setiap orang daripada kamu, maka dari Ya’juj dan Ma’juj ada seribu orang.” [HR al-Bukhari (3348)].
8. Penduduk itu meminta pertolongan Zulqarnain untuk membina sebuah tembok untuk menyekat kaum Yakjuj wa Makjuj dari datang mengganas. Mereka menawarkan untuk membayar upahnya dengan hasil pendapatan mereka.

AYAT 95- {DIA MENJAWAB: \”(KEKUASAAN DAN KEKAYAAN) YANG TUHANKU JADIKAN DAKU MENGUASAINYA, LEBIH BAIK (DARI BAYARAN KAMU); OLEH ITU BANTULAH DAKU DENGAN TENAGA (KAMU BERAMAI-RAMAI) AKU AKAN BINA ANTARA KAMU DENGAN MEREKA SEBUAH TEMBOK PENUTUP YANG KUKUH.} (AL-KAHFI 18:95)
1. Tetapi Raja yang soleh ini menolak tawaran upah mereka, kerana sudah cukup baginya kekuasaan dan kekayaan yang Allah kurniakan kepadanya.
2. Cuma dia meminta bantuan mereka beramai-ramai untuk menolongnya dari segi tenaga dan bahan binaan untuk membina sebuah tembok penutup yang kukuh.
3. Yakni menutup lembah antara dua gunung itu supaya yakjuj wa makjuj tidak dapat masuk menyerang mereka.

AYAT 96- {BAWALAH KEPADAKU KETUL-KETUL BESI\”; SEHINGGA APABILA IA TERKUMPUL SEPARAS TINGGINYA MENUTUP LAPANGAN ANTARA DUA GUNUNG ITU, DIA PUN PERINTAHKAN MEREKA MEMBAKARNYA DENGAN BERKATA: \”TIUPLAH DENGAN ALAT-ALAT KAMU\” SEHINGGA APABILA IA MENJADIKANNYA MERAH MENYALA SEPERTI API, BERKATALAH DIA: \”BAWALAH TEMBAGA CAIR SUPAYA AKU TUANGKAN ATASNYA\”.} (AL-KAHFI 18:96).
1. Zulqarnain meminta mereka supaya membawa ketulan besi yang banyak, sehingga terkumpul setinggi paras antara dua gunung itu, lalu membakarnya dengan api yang marak sehingga menjadi merah menyala seperti api, yakni betul-betul masak dan cair.
2. Kemudian Zulqarnain meminta pula dibawakan tembaga cair untuk dituangkan dicelah-celahnya supaya menjadi satu tembok yang amat kukuh dan licin.
3. Tidak dapat dibayangkan bagaimana teknologi yang digunakan oleh Raja Zulqarnain begitu hebat dan kuat.

AYAT 97- {MAKA MEREKA TIDAK DAPAT MEMANJAT TEMBOK ITU, DAN MEREKA JUGA TIDAK DAPAT MENEBUKNYA. (AL-KAHFI 18:97).
1. Kemudian Zulqarnain memberi jaminan akan kualiti dan keteguhan tembok binaannya itu.
2. Yakni kaum Yakjuj Mereka tidak akan mampu memanjatnya dek kerana tinggi, tebal dan licinnya besi bercampur tembaga itu.
3. Mereka juga tidak akan mampu menebuknya kerana tebal dan padunya. Ini pada peringkat awalnya. Tetapi dengan izin Allah boleh berlaku sebaliknya.
4. Beza dua perkataan yang sama-sama bererti tidak mampu ini:
{فَمَا اسْطَاعُوا أَنْ يَظْهَرُوهُ وَمَا اسْتَطَاعُوا لَهُ نَقْبًا} [الكهف: 97]
Kaedah Bahasa Arab; bila bertambahnya bilangan huruf bertambahlah kekuatan maksud sesuatu perkataan itu.
Maksudnya untuk memanjatnya pun mereka tidak mampu; apatah lagi untuk menebuknya!

AYAT 98- {(SETELAH ITU) BERKATALAH ZULKARNAIN: \”INI IALAH SUATU RAHMAT DARI TUHANKU; DALAM PADA ITU, APABILA SAMPAI JANJI TUHANKU, DIA AKAN MENJADIKAN TEMBOK ITU HANCUR LEBUR, DAN ADALAH JANJI TUHANKU ITU BENAR\”.} (AL-KAHFI 18:98)
1. Zulqarnain menyambung lagi bahawa ini (tembok untuk menyekat Yakjuj wa Makjuj ini) adalah satu rahmat dan pertolongan dari Tuhanku.
2. Tetapi jika sudah sampai masanya dengan izin Allah s.w.t, tembok itu akan hancur lebur dan mereka akan terlepas keluar untuk melakukan kerosakan di muka bumi ini.
3. Ini adalah janji Allah s.w.t yang benar, yakni bila tiba hari Kiamat, Yakjuj wa Makjuj ini akan keluar bertebaran dari tembok, mengganas masuk ke dalam kota-kota menyerang dan membunuh manusia sebagai salah satu tanda Kiamat yang besar.
4. Manusia semua lari bersembunyi dalam kota dan gua kerana takut dilanyak oleh mereka yang begitu ramai bilangannya. Mereka juga begitu sombong dan angkuh.
5. Apabila Nbi Isa a.s turun dari langit, ketika itu Dajjal yang sedang mengamuk di Syam, terus menjadi lembik dan lemah lalu mati dibunuh oleh Isa.
6. Tidak lama kemudian keluar pula Yakjuj wa Makuj terlepas dari tembok mereka, datang mengganas membuat kerosakan dia atas muka bumi. Lalu manusia mengadu pula kepada Nabi Isa.
7. Nabi Isa a.s pun berdoa kepada Allah s.w.t untuk memusnahkan mereka, lalu Allah s.w.t hantar ulat kecil (naghafa) yang mengigit tengkuk mereka sehingga mati.
8. Bangkai mereka bergelimpangan dan menjadi busuk mencemari udara. Sehinggalah Allah s.w.t menghantar pula burung yang lehernya sebesar leher unta, memunggah bangkai-bangkai mereka entah ke mana dicampaknya.
9. Selepas itu Allah menurunkan hujan semua ini menjadi sama dan landai, semua rumah dan bangunan ranap habis, sebagai persiapan untuk Kiamat, menjadi seperti Padang mahsyar (yang terhampar). Kemudian Allah s.w.t perintahkan kepada bumi untuk mengeluarkan tumbuhan pula. Pada ketika itu sebiji buah delima boleh dimakan seramai berpuluh orang dan kulitnya boleh dibuat payung. Susu seekor unta boleh diminum oleh berpuluh orang.
10. Keadaan bumi pada masa itu aman dan damai, lalu Allah s.w.t hantar angin yang yang baik dan menarik nyawa semua orang mukmin yang baik. Yang tinggal ketika itu hanyalah orang jahat yang tidak tahu apa-apa lalu berlakulah Kiamat.

PENGAJARAN DAN FAEDAH:
1. Persoalan; dimanakah tembok Yakjuj wa Makjuj ini? Ia pasti wujud kerana Allah s.w.t telah menyebutnya di dalam al-Quran, cuma kita tidak nampaknya di mana kerana Allah s.w.t tidak mengizinkan untuk kita melihatnya lagi.
2. Mereka ini tersembunyi, sehingga sampai waktu yang dijanjikan, mereka akan keluar di akhir zaman dengan izin Allah s.w.t, apabila keluar Nabi Isa a.s. nanti.
Surah al-Anbiya’ ayat:
3. Antara urutan peristiwa tanda-tanda Kiamat yang besar ialah munculnya Imam Mahdi, Nabi Isa, Dajjal, Yakjuj wa Makjuj, keluar Dabbatul-Ardh, gempa bumi, tanah runtuh lalu naik matahari di sebelah barat, lalu Israfil pun meniup sangkakala.

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs