SURAH AN-NUR : AYAT 27-29

\"\"

HUKUM MINTA IZIN MASUK RUMAH ORANG, ADAB-ADAB SALAM MINTA IZIN & HUKUM MASUK RUMAH TIADA PENGHUNI ATAU PENGINAPAN UMUM.

Full video : https://youtu.be/GEFlU2qHV0A

MUQADDIMAH :

  1. Pada hari ini kita akan belajar adab yang sangat penting untuk diamalkan dalam kehidupan seharian kita.
  2. Iaitu adab berkunjung ke rumah orang, terdapat beberapa adab yang diajar oleh Islam yang sempurna dan indah ini.
  3. Ia termasuk juga di dalam rumah kita sendiri atau rumah-rumah awam seperti hotel atau kedai-kedai.
  4. Kesinambungan ayat ini dengan ayat-ayat sebelumnya; tentang hukum hudud qazaf, iaitu menuduh seorang muslim beriman tanpa membawa 4 orang saksi.
  5. Kemudian tentang hukum Li\’an, tuduhan khas antara suami-isteri; satu isu dalaman rumah-tangga yang tidak dapat dicampur oleh orang luar.
  6. Kemudian tentang kisah khas tuduhan jahat yang dilemparkan ke atas UM Sayyidah Aisyah r.a. lalu Allah sucikan tuduhannya oleh ayat-ayat al-Quran.
  7. Lalu Allah s.w.t yang Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui, membawa sebuah lagi undang-undang dan adab yang dapat mencegah dan menjauhkan semua fitnah dan perbuatan buruk ini. Iaitu adab minta izin sebelum memasuki mana-mana rumah, ada penghuni atau tidak, rumah kita atau orang lain, publik atau private.

AYAT 27- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN, JANGANLAH KAMU MASUK KE DALAM MANA-MANA RUMAH YANG BUKAN RUMAH KAMU, SEHINGGA KAMU LEBIH DAHULU MEMINTA IZIN SERTA MEMBERI SALAM KEPADA PENDUDUKNYA; YANG DEMIKIAN ADALAH LEBIH BAIK BAGI KAMU, SUPAYA KAMU BERINGAT (MEMATUHI CARA DAN PERATURAN YANG SOPAN ITU).} (AN-NUUR 24:27)

  1. Allah s.w.t menyeru orang-orang yang beriman; agar membuka mata, telinga dan hati untuk mendengar ajaran dan perintah Allah ini.
  2. Allah s.w.t mahu mengajar kita adab berziarah ke rumah orang lain agar terhindar perkara yang tidak diingini seperti ternampak aurat tuan rumah atau terjadi khalwat dengan lain jantina.
  3. Iaitu jangan kita masuk ke rumah orang sehingga kita minta izin serta memberi salam kepada ahlinya.
  4. Ulama\’ berbeza pendapat dalam susunan ayat ini; minta izin atau salam dulu???
    i- ada yang kata minta izin dulu, ketuk minta izin, bila tuan ada dan beri izin masuk, lalu beri salam. Zaman sekarang minta izin tu boleh jadi dengan tekan loceng, tunjuk muka di kamera dan lain-lain cara modern, bila dah dikenali dan diizin masuk, maka berilah salam. Atau juga boleh call dan maklumkan dulu minta izin untuk datang.
    ii- ada ulama\’ kata beri salam dulu, kemudian baru minta izin masuk.
    iii- jika telah dipastikan tuannya ada dan dia sudah nampak kita, boleh bagi salam dulu kemudian minta izin masuk. Tengok suasana, jika tak nampak tuan minta izin dulu, dah ada tuan baru bagi salam. **Inila pendapat yang lebih sesuai, ikut suasana dan keadaan, bertepatan dengan ayat ini.
  5. Juga perkenalkan diri dengan jelas dan beradab agar mudah dikenali. Hadis Jabir r.a.
  6. Serta pastikan penghuni yang ada itu ada tuan rumah lelaki, yakni mahram atau suami kepada perempuan yang ada di dalam rumah itu.
  7. Dari Abu Musa r.a. katanya: Rasulullah SAW bersabda: (Meminta izin itu sebanyak tiga kali sahaja. Maka jikalau diizinkan untukmu masuklah, jikalau belum diizinkan maka kembalilah!\” [HR Bukhari, Muslim].
  8. Kisahnya dia ke rumah Umar r.a, selepas 3 kali memberi salam dan tiada jawapan dia lalu balik. Umar datang mencarinya dan bertanya kenapa terus balik tak tunggu dia keluar. Lalu Abu Musa menceritakan hadis ini, rupanya Umar tidak pernah mendengarnya, lalu dia meminta dalil atau saksi untuk mensahihkannya. Lalu Abu Musa pergi mencari sahabat lain, alhamdulillah Ubai bin Ka\’ab menjadi saksinya, lalu Umar pun terima.
    9 Rasulullah s.a.w berkata adab ini adalah berpunca dari mata, lalu untuk menjaga pandangan orang luar dari aurat tuan rumah.
    Dari Sahl bin Sa\’ad r.a katanya, Rasulullah S.A.W bersabda: \”Sesungguhnya diadakan peraturan minta izin semata-mata untuk menjaga pandangan mata.\” {HR Bukhari & Muslim].
  9. Apabila Rasulullah s.a.w sampai di pintu rumah seseorang, baginda tidak akan berdiri menghadap pintu tersebut, sebaliknya baginda akan berdiri di sisi kanan atau kiri pintu sambil mengucap \’Assalamualaikum, Assalamualaikum\’. Ini kerana ketika itu tiada langsir di pintu rumah. [Sunan Abu Daud].
  10. Ini juga menjadi satu permasalahan besar. Ada sesetengah orang yang mana bukan sahaja ketuk lebih dari tiga kali, bahkan menjenguk-jenguk ke tingkap dari depan sampai ke dapur. Ada juga yang bila tuan rumah buka pintu sahaja, terus menjenguk dalam rumah.
  11. Perkara ini sangatlah dilarang keras, yang mana kebiasaan orang lakukannya. Kita sebenarnya tidak tahu apa yang sedang dilakukan oleh tuan rumah, pakaiannya, atau sedang berduaan, atau mereka ada anak perempuan, atau sedang tidur, atau sedang bertengkar. Ini akan menimbulkan keaiban tuan rumah, sekali gus akan menjadi fitnah untuk mereka.
  12. Mematuhi cara dan peraturan yang sopan ini adalah lebih baik bagi kita, juga supaya kita beringat untuk sentiasa beramal dengannya.

AYAT 28- {MAKA SEKIRANYA KAMU TIDAK MENDAPATI SESIAPA (YANG BERHAK MEMBERI IZIN) MAKA JANGANLAH MASUK KE DALAM RUMAH ITU SEHINGGA KAMU DIBERI IZIN; DAN JIKA DIKATAKAN KEPADA KAMU \”BALIKLAH\”, MAKA HENDAKLAH KAMU BERUNDUR BALIK; CARA YANG DEMIKIAN ADALAH LEBIH SUCI BAGI KAMU; DAN (INGATLAH) ALLAH MAHA MENGETAHUI AKAN APA YANG KAMU LAKUKAN.} (AN-NUUR 24:28)

  1. Jika selepas meminta izin dan beri salam tiada yang menjawab; samada tiada tuan atau dia tidak dengar, maka jangan masuk sehingga dapat izin.
  2. Yang lebih pentingnya jika tuan rumah ada tetapi dia tidak bersedia menerima tetamu dan dia minta kita balik, maka dengan berlapang hati baliklah dan jangan marah.
  3. Jangan berkeras kepala mundar-mandir menunggu di depan rumah mereka, berundurlah balik dengan hormat.
  4. Ini mungkin kerana hanya perempuan saja yang ada, tiada suami atau mahramnya di rumah, atau mereka ada apa-apa alasan dan masalah, terpulang atas tuan rumah. Jangan sekali- kali kita langar Syariat.
  5. Inilah yang lebih baik dan bersih bagi jiwa tuan rumah dan jiwa kita sendiri. Jaga diri kita dari terjebak dengan segala fitnah dan godaan.
  6. Ingatlah bahawa Allah Maha Mengetahui akan segala apa yang kita lakukan dan akan membalas yang setimpalnya.

AYAT 29- {TIDAKLAH MENJADI SALAH KAMU MEMASUKI (DENGAN TIDAK MEMINTA IZIN) MANA-MANA RUMAH YANG TIDAK DIDIAMI ORANG, YANG ADA KEPERLUAN KAMU PADANYA; DAN (INGATLAH) ALLAH MENGETAHUI AKAN APA YANG KAMU ZAHIRKAN DAN APA YANG KAMU SEMBUNYIKAN.} (AN-NUUR 24:29)

  1. Ayat ini adalah etika untuk rumah yang tiada penghuni atau rumah awam, khas untuk disewa atau dihuni seperti hotel dan seumpamanya.
  2. Yakni tidak menjadi kesalahan untuk masuk ke dalm rumah kosong yang tiada tuan atau ada tuan tetapi tiada penghuni tetap. Contoh:
    i- rumah di tepi jalan yang dibina khas untuk orang musafir, seperti rumah wakaf atau kita sekarang ini di R &R, kerajaan bina khas untuk musafir gunakan.
    ii- rumah kosong tinggal terus, masuklah jika berani tetapi jangan lupa baca doa.
    iii- tempat umum seperti kedai, perpustakaan awam, jika ditulis buka; masuk jelah, tak perlu minta izin lagi. Jika ada petugas Islam bolehlah bagi salam.
  3. Ulama\’ berbincang tentang perkataan: {فِيهَا مَتَاعٌ لَكُم – yang ada keperluan kamu padanya;} ada dua pandangan tentangnya:
    i- ada barang kita di dalamnya, contoh kita tinggalkan barang kita di sebuah rumah dan tuan rumah bagi kunci dan izinkan kita masuk ambilnya bila-bila. Maka bolehlah masuk walaupun tiada tuan rumah.
    ii- Kita memanfaatinya. Seperti memang rumah publik seperti bangsal atau wakaf di tepi jalan, kita berhenti untuk berteduh dari panas atau hujan seketika, atau seperti semua kemudahan yang disediakan oleh kerajaan di R & R hari ini. Duduk sekadar keperluan dan kebiasaan, jangan pula buat milik berkampung terus.
  4. Yakni rumah awam seperti rumah persatuan, perpustakaan dan seumpamanya boleh masuk waktu bukanya tanpa minta izin.
  5. Kita hendaklah sentiasa ingat dan sedar bahawa Allah s.w.t mengetahui semua yang kita zahirkan dan apa yang disembunyikan.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Kita belajar adab minta izin sebelum ke masuk rumah orang lain.
  2. Ini kerana untuk:
    i- menjaga pandangan mata dari yang tidak sewajarnya.
    ii- tidak mahu menyusahkan orang lain, iaitu tuan rumah. Orang tak izin, kita masuk juga dan menyusahkan hatinya.
  3. Keizinan ini ada dua sudut:
    i- Keizinan dari sudut Syara\’ dan; ii- keizinan tuan rumah.
    *Wajib lulus keizinan Syara\’ dulu, contoh walaupun suami atau lelaki tiada di rumah, isterinya tidak belajar hukum, ajak masuk juga, kita yang tahu hukum hendaklah jaga Syariat dan jangan masuk walaupun tuan rumah izin.
  4. Jika tuan rumah suruh balik, lebih suci bagi dia dan bagi kita, tidak menyusahkan tuan rumah dan kita pun tidak langgar Syariat.
  5. Dalam ayat ini mengajar satu adab yang besar, ajaran Islam untuk bercakap benar dan berterus terang, beri alasan yang baik dan sebenar tetapi jangan sampai menyakiti hati tetamu serta menimbulkan masalah dan syak wasangka. Contoh; Jelaskan bahawa suami tiada di rumah, ada orang sakit atau tuan rumah sendiri tidak sihat.
  6. Allah s.w.t juga ajar tetamu supaya berlapang dada dan menerima penolakan tuan rumah dengan baik. Jangan marah dan berdendam pula.
  7. Adab minta izin ini untuk mengelakkan berlaku beberapa kerosakan:
    i- menjaga pandangan mata dan ternampak aurat yang haram.
    ii- menolak syak wasangka buruk kepada tetamu dan menimbulkan spekulasi atau tuduhan.
  8. Ada al-Quran atau baca saja tiada guna, semoga kita semua belajar al-Quran untuk faham dan amal, insya\’ Allah.

Wallahu a\’lam.

Powered by BetterDocs