SURAH AR-RUUM : AYAT 17-23

\"\"

BEBERAPA DALIL RUBUBIYYAH ALLAH; ALLAH JADIKAN MANUSIA BERPASANGAN, LIDAH DAN BAHASA BERBEZA & TIDUR MALAM.

Full video : https://youtu.be/fGhsz7qNt28

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t sebut beberapa dalil dan keterangan yang menjadi hujjah akan keEsaan dan kekuasaan Allah s.w.t. untuk manusia berfikir.
  2. Ia adalah tentang beberapa dalil Rububiyyah (ketuhanan) Allah s.w.t dalam Penciptaan;
    i- Allah Jadikan Manusia Berpasangan,
    ii- Lidah Dan Bahasa Berbeza
    iii- Tidur Malam
    dan beberapa tanda lagi dalam ayat seterusnya selepas ini.
  3. Maka untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t hendaklah kita sentiasa sedar akan tanda kekuasaan Allah s.w.t dan beribadat kepada-Nya pada setiap waktu.

AYAT 17- {(SETELAH KAMU MENGETAHUI YANG DEMIKIAN) MAKA BERTASBIHLAH KEPADA ALLAH SEMASA KAMU BERADA PADA WAKTU MALAM DAN SEMASA KAMU BERADA PADA WAKTU SUBUH.} (AR-RUUM 30:17)

  1. Ayat ini dimulai ayatnya dengan disucikan Allah s.w.t, iaitu arahan bertasbih.
  2. Setelah melihat kepada semua dalil dan tanda yang telah dibawa sebelum ini, maka kita diperintahkan untuk bertasbih kepada Allah semasa berada pada waktu malam dan semasa berada pada waktu subuh.
  3. Ulama\’ kata bertasbih itu maknanya SOLAT; iaitu pada waktu malam iaitu maghrib & isya serta waktu subuh. (3 waktu dalam ayat ini). Nanti zuhur & asar ayat seterusnya.
  4. Ada juga ulama\’ kata bertasbih itu dengan maknanya yang sebenar sebagaimana Nabi s.a.w ajar kita dalam zikir yang sahih untuk bertasbih kepada Allah s.w.t 100x pagi & 100x petang. Yang selebihnya adalah ajaran tambahan.

AYAT 18- {SERTA PUJILAH ALLAH YANG BERHAK MENERIMA SEGALA PUJI (DARI SEKALIAN MAKHLUKNYA) DI LANGIT DAN DI BUMI, DAN JUGA (BERTASBIHLAH KEPADANYA SERTA PUJILAH DIA) PADA WAKTU PETANG DAN SEMASA KAMU BERADA PADA WAKTU ZUHUR.} (AR-RUUM 30:18)

  1. Hanya Allah s.w.t yang berhak dipuji dan disembah oleh sekalian makhluk-Nya yang di langit dan di bumi.
  2. Serta diperintahkan lagi untuk kita berzikir atau bersolat pada waktu petang (asar) dan pada waktu zuhur. Maka lengkaplah 5 waktu solat disebut dalam dua ayat ini.
  3. Manakala waktu solat yang tepat serta cara, fardhu, rukunnya semuanya dijelaskan dalam hadis-hadis Rasulullah s.a.w yang kita pegang dan percayai. Jangan kita runtuhkan integriti ilmu hadis sebagai sumber kedua Syariah kita, jika tidak dari mana kita nak ambil hukum-hakam yang tidak dijelaskan dalam al-Quran secara terperinci?

AYAT 19- {IA MENGELUARKAN SESUATU YANG HIDUP DARI BENDA YANG MATI, DAN MENGELUARKAN BENDA YANG MATI DARI SESUATU YANG HIDUP, SERTA MENGHIDUPKAN BUMI SESUDAH MATINYA; DAN SEDEMIKIAN ITULAH KAMU AKAN DIKELUARKAN (HIDUP SEMULA DARI KUBUR).} (AR-RUUM 30:19)

  1. Allah s.w.t mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati; contohnya manusia yang berasal dari air mani, pokok-pokok dari benih juga, ayam dari telur dan sebagainya, ini semua dari yang mati menjadi hidup.
  2. Begitu juga mati maknawi dimana anak yang lahir dari kafir (mati hatinya) – kemudian menjadi Islam (hidup hatinya).
  3. Allah s.w.t juga boleh juga menjadikan yang sebaliknya terjadi, dari yang hidup menjadi mati, manusia dan tumbuhan dari hidup mati kekeringan, anak orang muslim menjadi kafir (na\’uzubillah) dan seumpamanya.
  4. Allah s.w.t juga yang berkuasa menghidupkan bumi sesudah matinya, iaitu bumi yang kering kontang, tumbuh subur menghijau semula selepas turunnya hujan.
  5. Serta yang utamanya ialah Allah s.w.t juga berkuasa menghidupkan semula manusia sesudah matinya, hidup semula dan keluar dari kuburnya!

PERHATIAN :

Ayat-ayat berikutnya adalah yang menunjukkan tanda-tanda kekuasan Allah s.w.t dalam ciptaan-Nya dan menghidupkan semula manusia:

AYAT 20- {DAN DI ANTARA TANDA-TANDA YANG MEMBUKTIKAN KEKUASAANNYA (MENGHIDUPKAN KAMU SEMULA), BAHAWA IA MENCIPTAKAN KAMU DARI TANAH; SETELAH SEMPURNA SAHAJA PERINGKAT-PERINGKAT KEJADIAN KAMU, KAMU MENJADI MANUSIA YANG HIDUP BERTEBARAN DI MUKA BUMI.} (AR-RUUM 30:20)

  1. Allah menegaskan bahawa manusia ini asalnya dari tanah, bermula dari penciptaan Nabi Adam a.s kemudian susur galur seterusnya juga dari unsur tanah. Air mani dan makanan manusia semuanya berasal dari tanah.
  2. Selesai sempurna sahaja peringkat-peringkat kejadiannya, kita menjadi manusia yang hidup bertebaran di muka bumi, mencari rezeki dan meneruskan kehidupan sehingga tempohnya berakhir.

AYAT 21- {DAN DI ANTARA TANDA-TANDA YANG MEMBUKTIKAN KEKUASAANNYA DAN RAHMATNYA, BAHAWA IA MENCIPTAKAN UNTUK KAMU (WAHAI KAUM LELAKI), ISTERI-ISTERI DARI JENIS KAMU SENDIRI, SUPAYA KAMU BERSENANG HATI DAN HIDUP MESRA DENGANNYA, DAN DIJADIKANNYA DI ANTARA KAMU (SUAMI ISTERI) PERASAAN KASIH SAYANG DAN BELAS KASIHAN. SESUNGGUHNYA YANG DEMIKIAN ITU MENGANDUNGI KETERANGAN-KETERANGAN (YANG MENIMBULKAN KESEDARAN) BAGI ORANG-ORANG YANG BERFIKIR.} (AR-RUUM 30:21)

  1. Ayat ini membawa tanda kedua kekuasaan Allah s.w.t. bahawa; Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri.
  2. Maka fitrahnya kejadian manusia ciptaan Allah itu:
    i- kahwin sesama jenis manusia bukan dengan jin, bunian, binatang atau yang selainnya.
    ii- berpasangan juga mesti berlainan jantina, lelaki kahwin wanita bukan sama jenis!!
  3. Tujuan Allah s.w.t jadikan ini supaya kamu:
    i- bersenang hati dan hidup mesra dengannya, bukan sekadar kahwin dan hidup bersama saja, ada kasih sayang dan kemesraan.
    ii- dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang مَوَدَّةً ini biasanya ketika masih muda dan hangat cintanya.
    iii- dan belas kasihan. وَرَحْمَةً kasih sayang apabila sudah tua penuh rahmat dan kasihan belas pula.
  4. Semua ini mengandungi dalil keterangan yang dapat memberi kesedaran bagi orang-orang yang berfikir! Kerana perasaan semua ini bukan senang untuk hadir tanpa kekuasaan dan kehendak Allah s.w.t!
  5. Ada orang benci, ada yang sayang, betapa ramai yang kahwin saja kerana keluarga, tetapi tidak cuba hadirkan hatinya lalu bercerai.

AYAT 22- {DAN DI ANTARA TANDA-TANDA YANG MEMBUKTIKAN KEKUASAAN-NYA DAN KEBIJAKSANAAN-NYA IALAH KEJADIAN LANGIT DAN BUMI, DAN PERBEZAAN BAHASA KAMU DAN WARNA KULIT KAMU. SESUNGGUHNYA YANG DEMIKIAN ITU MENGANDUNGI KETERANGAN-KETERANGAN BAGI ORANG-ORANG YANG BERPENGETAHUAN.} (AR-RUUM 30:22)

  1. Antara tanda kekuasaan Allah s.w.t dan kebijaksanaan-Nya lagi ialah:
    i- kejadian langit dan bumi, atas dan bawah kita!
    ii- dan perbezaan bahasa manusia atas dunia ini. Lidah satu dan sama, tetapi bahasa berbeza betapa ajaibnya!
    iii- dan warna kulit (bangsa) juga berbeza.
  2. Ini semua akan menjadi tanda bagi orang yang berakal dan berpengetahuan.

AYAT 23- {DAN DI ANTARA TANDA-TANDA YANG MEMBUKTIKAN KEMURAHANNYA DAN KASIH SAYANGNYA IALAH TIDURNYA KAMU PADA WAKTU MALAM DAN PADA SIANG HARI, DAN USAHA KAMU MENCARI REZEKI DARI LIMPAH KURNIANYA (PADA KEDUA-DUA WAKTU ITU). SESUNGGUHNYA KEADAAN YANG DEMIKIAN MENGANDUNGI KETERANGAN-KETERANGAN BAGI ORANG-ORANG YANG MAHU MENDENGAR (NASIHAT PENGAJARAN).} (AR-RUUM 30:23)

  1. Antara tanda yang membuktikan kemurahan Allah dan kasih sayang-Nya juga ialah:
    i- tidurnya manusia pada waktu malam. Jangan pandang kecil, tidur adalah satu nikmat anugerah Allah yang besar kepada kita. Kebanyakan manusia menghabiskan 1/3 dari usianya dengan tidur. Tanpa tidur manusia tidak akan sihat dan mengalami depression. Berama ramai yang mencari ubat tidur dan bantuan doktor untuk dapat tidur yang normal.
    ii- dan pada siang hari- adalah peluang untuk kamu berusaha mencari rezeki dan kehidupan.
  2. Pada kedua-dua waktu itu adalah dari limpah kurnia-Nya kepada manusia. Semoga semuanya akan menjadi tanda keterangan bagi orang-orang yang mahu mendengar nasihat pengajaran.
  3. Empat dalil yang dibawa dan Allah s.w.t, ditutupnya dengan 4 cara arahan berfikir yang berlainan. Cuba kita tadabburnya kenapa:
    i- {Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.} (Ar-Ruum 30:21) لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
    ii- {Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan.} (Ar-Ruum 30:22) لَآيَاتٍ لِلْعَالِمِينَ
    iii- {Sesungguhnya keadaan yang demikian mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang mahu mendengar (nasihat pengajaran).} (Ar-Ruum 30:23) لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَسْمَعُونَ
    iv- {Sesungguhnya yang demikian mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang menggunakan akal untuk memahami-Nya.} (Ar-Ruum 30:24) لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَعْقِلُونَ

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 19- {Ia mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati,} – ayat ini menggalakan kita untuk melihat kejadian awal makhluk, dikaitkan ayat ini dari awal ciptaan sehingga kematian dan kebangkitan semula, untuk kita bersiap membuat persediaan untuk menghadapi kematian, dibangkitkan semula untuk berjumpa Allah s.w.t. maka kita kena bersiap dan berhiaslah sebaik hati dan amalannya!
  2. Ayat 21- {Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri} – Allah jadikan pasangan manusia yang jenisnya juga, bukan jin atau syaitan. Ayat ini menunjukkan sistem kehidupan yang Allah s.w.t buat adalah sisten pasangan!
    Sesiapa yang melakukan sebaliknya seperti LGBT itu maka dia telah menjadi manusia yang melanggar sunnah kehidupan dan perintah Allah s.w.t!
  3. Ayat 21- {dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.} – ini tanda kekuasaan Allah s.w.t, dicampakkan dalam hati di antara suami isteri itu kasih sayang dan rahmat, saling melindungi, bantu-membantu, tolong jaga semasa sakit demam, susah senang bersama.
    Kata ulama\’; kasih sayang itu tidak dapat dibayar dengan harta atau wang, ia datang dari hati.
    Hadis; doa yang diajar oleh Rasulullah s.a.w:
    اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ حُبَّكَ وَحُبَّ مَنْ يُحِبُّكَ وَالْعَمَلَ الَّذِي يُبَلِّغُنِي حُبَّكَ اللَّهُمَّ اجْعَلْ حُبَّكَ أَحَبَّ إِلَيَّ مِنْ نَفْسِي وَأَهْلِي وَمِنْ الْمَاءِ الْبَارِدِ
    Ertinya : Ya Allah, aku memohon kepada-Mu kecintaan-Mu, dan kecintaan orang yang mencintai-Mu, serta amalan yang menyampaikanku kepada kecintaan-Mu. Ya Allah, jadikanlah kecintaan-Mu lebih aku cintai daripada diriku, keluargaku serta air dingin.\” [Doa ini diambil dari HR at-Tirmizi].
  4. Ayat 23- {dan usaha kamu mencari rezeki dari limpah kurniaNya (pada kedua-dua waktu itu).} – jangan ingat rezeki itu datang dan kita dapat sendiri; ianya adalah hasil pemberian Allah s.w.t atas usaha yang kita lakukan!
  5. Ayat 17- {Maka bertasbihlah kepada Allah semasa kamu berada pada waktu malam dan semasa kamu berada pada waktu subuh.}- dalil wajib solat dan memuji Allah pada setiap masa, pagi-petang, siang dan malam.
  6. Ayat 19- {Ia mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati,} – dari yang hidup kepada mati, anak-anak muslim yang lahir dari ibu bapa yang kafir, serta anak-anak orang alim yang menjadi liberal!
  7. Ayat 19- {serta menghidupkan bumi sesudah matinya;}- adalah dalil yang jelas bahawa Allah s.w.t berkuasa untuk menghidupkan bumi dengan cara-Nya. Begitu juga kita manusia akan dihidupakn di akhirat untuk dibalas!
  8. Ayat 20- {bahawa Ia menciptakan kamu dari tanah; } – manusia ini asalnya dari tanah. Menolak teori Darwin yang mengatakan manusia berasal dari monyet dan lain-lain teori manusia yang karut!
  9. Ayat 21- {supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya} – supaya kamu tenang hidup dengannya, rasa gembira dan suka untuk balik ke rumah bersama anak-anak isteri, rahmat kasih sayang untuk hidup bersama.
  10. Ayat 21- {dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.} – dalil bahawa cinta dan kasih sayang antara suami isteri adalah satu cinta yang dibenarkan dan dituntut dalam Syara\’.
    *Setiap kasih-sayang itu kategorinya yang tersendiri dan berbeza.
    i- Kasih sayah antara ibu bapa dengan anak mereka sesuatu yang tidak putus walau apa yang terjadi, anak derhaka atau jahat hati ibu tetap kasih.
    ii- Tetapi cinta antara suami isteri adalah sesuatu yang mesti seimbang dan ada timbang-tara, berbalas, saling memberi dan menerima kebaikan itulah \’Mawaddah\”.
    iii- Apabila sudah hilang perasaan itu dari hati salah seorang pasangan, atau cinta kepada orang lain, maka tidak ada guna diteruskan lagi, tidak akan ada kebahagian.
    iv- tetapi biar berpada jangan melampaui dalam mencintai sesama makhluk.

KATA DAAM :

\”Sayangi isteri untuk dilindungi bukan untuk ditayangi\”.
\”Isteri untuk disayangi dan dipayungi bukan untuk ditayangi di media sosial dan sebagainya\”.

Powered by BetterDocs